Sunday, November 28, 2010

Berakhirnya Musim Haji

Musim haji 1431 berakhir sudah. Para tetamu Allah berduyun-duyun pulang meninggalkan kota suci dengan membawa seribu kenangan pahit dan manis sepanjang mengerjakan ibadah haji, rukun Islam yang ke 5. Apa yang paling penting ialah perasaan gembira dengan janji syurga serta diampunkan dosa.
Saya menerima sepucuk surat melalui email yang diutus oleh seorang sahabat dari Negara Arab mengisahkan pengalaman seorang tetamu Allah yang sungguh mencuit hati. Justeru saya rasa terpanggil untuk berkongsi dengan sahabat semua kisah tersebut.
Begini ceritanya:
Setelah berakhirnya musim haji, lapangan terbang Jedah penuh sesak dengan para jamaah yang menunggu pesawat untuk pulang ke tanah air masing-masing.
Antara mereka ialah Haji Sa’eid yang mengambil tempat duduk di sebuah kerusi. Di sebelahnya jamaah lain yang kelihatannya berasal dari negara yang sama dengannya.
Kedua-duanya bersalaman, berkenalan dan berbual mesra walaupun baru pertama kali berjumpa. Lelaki yang baru berkenalan dengan Haji Sa’eid itu (kita panggil dia Haji Abdul Ghani atau ringkasnya HAG) bercerita mengenai dirinya:
- Saya seorang konteraktor yang Berjaya, Alhamdulillah. Tahun ini Allah telah menganugerahkan rezeki di mana saya berjaya mendapat satu tender yang saya kira cukup untuk membiayai keperluan sepanjang hayat saya. Dengan rezeki yang melimpah ruah itu, saya berikrar perkara pertama yang mesti saya lakukan ialah menunaikan haji kali ke 10 sebagai tanda syukur kepada Allah di atas nikmat-Nya yang begitu banyak. Dan sebelum berangkat, saya tidak lupa mengeluarkan zakat, memberi sedekah agar haji saya diterima di sisi Allah. Syukur kepada Allah, sekarang saya telah dapat menyelesaikan haji saya yang ke 10.
Haji Sa’eid (HS) mengangangguk-anggukkan kepalanya sambil berkata:
- Haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa diampuni insya Allah.
HAG tersenyum sambil mengaminkan doa HS. Kemudian dia bertanya:
- Anda bagaimana ya akhi? Adakah anda juga mempunyai cerita tertentu di sebalik haji anda?
HS menjawab dengan teragak-agak:
- Demi Allah ya akhi. Ceritanya sangat panjang dan saya tidak mahu memeningkan kepala anda mendengarnya.
HAG tertawa pendek. Dengan nada mesra dia berkata:
- Tak mengapa ya akhi. Kita di sinipun bukan buat apa selain menunggu saja. Ceritakanlah kisahmu itu!
HS turut ketawa seraya berkata penuh makna mengenangkan hari-hari yang dilalui sebelum dijemput oleh Allah menjadi tetamu-Nya yang dimuliakan.
- Ya, menunggu. Sebenarnya itulah permulaan cerita saya. Sesungguhnya saya telah menunggu saat untuk menunaikan haji beberapa tahun lamanya. Saya telah bekerja sebagai perawat fisioterapy sejak 30 tahun yang lalu, iaitu sejurus selepas menamatkan pengajian. Tak lama lagi saya akan bersara. Anak-anak semuanya telah berumahtangga dan telah terlepas dari tanggungan saya. Maka saya membuat keputusan menggunakan simpanan yang ada untuk menunai ibadah haji yang telah sekian lama saya impikan pada tahun ini. Maklumlah umur kita tiada siapa yang tahu bila akan habis?
- Saya mengeluarkan semua wang simpana dan berazam untuk pergi mendaftarkan diri di jabatan pengurusan haji selepas tugas saya selesai pada hari itu. Sebelum meninggalkan hospital tempat saya bekerja, saya terserempak dengan seorang ibu yang selalu membawa anaknya yang lumpuh untuk mendapatkan rawatan. Wajahnya sugul, muram dan kusam. Dia menghampiri saya seraya berkata:
- Selamat tinggal akhi Sa’eid. Ini merupakan kunjungan saya yang terakhir ke hospital ini.
Saya hairan mendengar kata-katanya itu. Saya terfikir, mungkin dia tidak berpuas hati dengan rawatan yang saya berikan dan telah memilih pusat rawatan lain untuk merawat anaknya. Setelah saya luahkan kehairanan saya itu, dia menjawab dengan suara yang sebak:
- Akhi Sa’eid, sesungguhnya Allah menjadi saksi bahawa anda seperti mengasihi anak saya lebih daripada ayahnya dan rawatan yang anda berikan telah banyak membantu memulihkan penyakitnya sedikit demi sedikit meskipun sebelumnya kami rasakan tidak ada harapan untuk dia sembuh.
HAG tidak dapat membendung perasaan hairannya terhadap keputusan ibu mahu menghentikan rawatan anaknya, lalu bertanya:
- Aneh, kalau dia berpuas hati dengan rawatan yang anda beri beri, dan anaknya semakin sembuh, kenapa dia mahu mengehentikan rawatan?
- Itu jugalah yang menghairankan saya. Saya segera ke bahagian pentadbiran, bertemu dengan pegawai di situ untuk mengetahui sebabnya. Saya amat terkilan seandainya keputusan yang dibuat oleh ibu itu berpunca dari kecuaian saya. Pegawai menjelaskan bahawa keputusan itu tidak ada kena mengena dengan saya. Sebenarnya suami wanita itu telah kehilangan pekerjaan, jadi mereka tidak mampu lagi menanggung kos rawatan. Justeru mereka membuat keputusan untuk mengehentikan rawatan anak mereka.
Tak terkata sedihnya hati HAG mendengar penjelasan HS itu membuat dia mengeluh panjang:
- La hawla wa la quwwata illa billah. Kasihan wanita itu. Bukan sedikit manusia yang terpaksa berhenti atau diberhentikan kerja pada zaman ini. Jadi apa yang anda lakukan ya akhi?
- Saya pergi bertemu dengan Pengarah, merayu supaya rawatan anak itu diteruskan dan kosnya ditanggung oleh pihak hospital. Namun pengarah tidak setuju sama sekali. Dia berkata, hospital ini bukan badan kebajikan untuk golongan fakir dan miskin. Kalau tidak mampu, mereka tidak perlu datang ke sini!
- Saya keluar dari biliknya dengan hampa. Saya tidak dapat membayangkan nasib anak itu jika rawatan dihentikan? Tiba-tiba tanpa saya sedari tangan saya meraba-raba wang yang ada di dalam saku saya, wang yang saya keluarkan untuk membayar kos menunaikan haji. Buat seketika saya terpaku di tempat saya berdiri. Kemudian saya mengangkat muka ke langit sambil meluahkan isi hati kepada Tuhan:
- Ya Allah, Engkau Maha Tahu apa yang ada di dalam hatiku. Engkau Maha Tahu bahawa tidak ada yang labih aku cintai selain daripada menunaikan haji di Rumah-Mu dan menziarahi Masjid Nabi-Mu. Aku telah berusaha sepanjang hayatku. Setiap detik, setiap waktu aku menghitung saat yang ditunggu-tunggu. Tetapi kini aku terpaksa membatalkan janjiku dengan-Mu. Maka ampunilah aku ya Tuhanku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
- Saya pergi bertemu dengan kerani kewangan, dan saya berikannya semua wang yang ada pada saya sebagai pendahuluan kos rawatan anak itu selama 6 bulan. Saya meminta kerani memberitahu ibu itu, anaknya boleh meneruskan rawatan kerana pihak hospital mempunyai tabungan khas untuk kes-kes separtinya.
Air mata HAG berguguran mendengar penjelasa HS. Dia berkata:
- Semoga Allah memberkatimu dan membanyakkan lagi orang-orang sepertimu. Tetapi sekiranya anda telah mensedekahkan semua wang yang anda miliki, bagaimana anda dapat menunaikan haji tahun ini?
- Nampaknya anda tidak sabar untuk mendengar kesudahan cerita saya. Adakah anda telah jemu? Begini sambungannya...
- Selepas menyerahkan wang itu saya pulang ke rumah dengan perasaan bercampur-campur; seih kerana terlepas peluang untuk menunaikan haji yang merupakan satu-satunya peluang sepanjang hidup saya selama ini dan gembira kerana dapat melepaskan ibu dan anaknya dari kesusahan yang ditanggung mereka. Saya tidak dapat membendung dua perasaan yang bercampur-campur itu sehingga akhirnya saya tertidur dalam linangan air mata...

Bersambung...

Thursday, November 18, 2010

PADAN MUKA

Anda pernah dengar atau pernah ucap ungkapan padan muka? Tahukah anda apa maksudnya? Mungkin cerita di bawah ini menjelaskan apa maksud ‘padan muka’.

Di dalam kitab Al-Bukhala’ (orang-orang yang bakhil) yang ditulis oleh seorang sasterawan terkenal ‘Amru bin Bahar al-Jahidz (lahir pada zaman pemerintahan khalifah al-Mahdi 159H dan wafat pada zaman pemerintahan khalifah al-Muhtadi Billah, 255H), diceritakan bahawa seorang penyair telah mengarang sebuah syair memuji-muji Gabenor Khurasan dengan pujian yang melampau-lampau. Setelah selesai mendeklamasikan syairnya, Gabenor berkata, “sungguh, bagus sekali syairmu itu!”
Kemudian Gabenor berkata kepada keraninya, “berikan dia 10,000 dirham!”
Gembiralah penyair bukan kepalang, terasa bagaikan terbang di awangawangan. Melihat keadaannya yang begitu gembira, Gabenor berkata lagi, “sesungguhnya aku melihat bahawa kata-kataku tadi telah menggembirakan kamu begitu sekali. Maka aku jadikannya 20,000 dirham!”
Bertambah-tambahlah gembiranya si penyair tidak boleh digambarkan. Melihat kegembiraannya bertambah, Gabenor berkata lagi, “nampaknya kegembiraanmu bertambah dengan bertambahnya kata-kataku, maka berilah dia 40,000 dirham!”
Gembiranya si penyair bagaikan hampir-hampir kegembiraan itu membunuhnya.

Kemudian kerani mengadap Gabenor seraya berkata, “Subhanallah! Penyair ini akan redha jika tuan berikan dia 40 dirham, tapi tuan perintahkan supaya diberikannya 40,000 dirham!”
Jawab Gabenor: Wailak (celaka engkau)! Adakah kamu hendak memberinya sesuatu?
Keranai: Bukankah perintah tuan mesti dilaksanakan?
Gabenor: Wahai si bodoh! Sesungguhnya lelaki(penyair) ini menyukakan hati kita dengan kata-katanya, maka kita sukakan hatinya dengan kata-kata juga. Lihat, ketika dia memuji aku dengan kata-katanya bahawa aku lebih elok daripada bulan, lebih gagah daripada singa, kata-kataku lebih tajam daripada pedang, perintahku lebih pantas dilaksanakan daripada mata panah, adakah dia letakkan semua itu di tanganku yang boleh aku bawa pulang ke rumahku? Bukahkah kita semua tahu bahawa dia sebenarnya berdusta? Tetapi kita rasa gembira ketika dia berdusta kepada kita. Maka kita gembirakan dia dengan kata-kata juga. Kita perintahkan dia diberikan hadiah walaupun hanya dusta. Maka jadilah dusta dengan dusta, kata-kata dengan kata-kata. Sekiranya dusta dengan benar, kata-kata dengan perbuatan, maka itu merupakan satu kerugian yang nyata!”

Pengajarannya, fikir-fikirlah sendiri…

Monday, November 15, 2010

Mengenang Haji Wadak



Sempena perhimpunan tahunan umat Islam besar-besaran yang sedang berlangsung di tanah suci sekarang, mari kita singkap perhimpunan yang dipimpin sendiri oleh Nabi s.a.w. di tempat sama kira-kira 1421 tahun yang lalu. Perhimpunan dikenali yang sebagai haji wadak atau haji perpisahan juga merupakan satu-satunya haji yang ditunaikan oleh baginda s.a.w. sepanjang hayatnya.
Setelah baginda menyempurnakan tugas menyampaikan dakwah, menyebarkan risalah dan membina masyarakat berlandaskan akidah tauhid yang tulus murni, tibalah masa untuk baginda kembali mengadap Tuhan yang mengutusnya sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Seolah-olah baginda dapat merasai dekatnya saat itu sehingga ketika baginda mengutus Mu’az menjadi kadi di Yaman, baginda sempat berpesan (maksudnya): “Wahai Mu’az, boleh jadi engkau tidak akan bertemu lagi denganku selepas ini. Boleh jadi engkau hanya akan lalu di masjidku ini dan kuburku…”. Ucapan yang sungguh menyentuh hati Mu’az dan sekelian mukmin yang mendengarnya. Maka menangislah Mu’az membayangkan saat perpisahan dengan Rasul tercinta.
Pada tahun ke 10 hijrah, baginda mewarwarkan hasrat untuk menunaikan haji sebagai menyahut perintah Allah yang telah menurunkan wahyu mewajibkan haji kepada setiap muslim yang mampu. Firman Allah bermaksud: “…dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Aali ‘Imran:97)
Berduyun-duyunlah umat Islam datang berkumpul di Madinah untuk mengikuti Rasulullah s.a.w. menunaikan fardu haji di Mekah. Baginda bertolak dari Madinah bersama ahli rombongan yang sangat ramai pada 25 Zul Kaedah tahun ke 10 hijrah dan tiba di Mekah pada 4 Zul Hijjah dengan menunggang unta yang bernama al-Qaswa’.
Pada hari Arafah, kemuncak ibadah haji, baginda telah menyampaikan satu khutbah yang cukup-cukup penting di hadapan para jamaah yang terdiri dari 124,000 atau 44,000 orang. (Ar-Raheeq al-Makhtum). Dalam keadaan berdiri di Batn al-Wadi baginda menyampaikan khutbah berikut (maksudnya):
“Wahai sekelian manusia, dengarlah kata-kataku ini. Sesungguhnya aku tidak mengetahui, boleh jadi aku tidak akan menemui kamu lagi selepas tahun ini di tempat ini selama-lamanya.
Sesungguhnya darah kamu dan harta kamu haram ke atas kamu (mencerobohnya) seperti haramnya hari ini, bulan ini dan negeri ini. Ketahuilah bahawa segala sesuatu daripada urusan jahiliah terletak di bawah tapak kakiku. Tuntutan ke atas darah yang tumpahkan pada masa jahiliah dibatalkan. Dan yang pertama dibatalkan ialah tuntutan ke atas darah Ibn Rabi’ah bin al-Harits. Riba jahiliah juga dibatalkan. Dan riba pertama yang dibatalkan ialah riba ‘Abbas bin Abdul Muttalib. Semuanya dibatalkan.
Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan wanita (isteri-isteri kamu). Sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah, dan dihalalkan kepada kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu ke atas mereka ialah mereka tidak boleh membenarkan seorangpun yang kamu tidak suka menjejaki hamparanmu. Jika mereka lakukan, maka pukullah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan. Dan hak mereka ke atas kamu ialah makanan serta pakaian dengan cara yang makruf.
Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu perkara yang kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengannya, iaitu Kitab Allah. (Sahih Muslim)
Wahai sekelian manusia, sesungguhnya tiada lagi Nabi selepasku dan tiada lagi umat selepas kamu. Maka ingatlah, sembahlah Allah Tuhan kamu, solatlah lima waktu, puasalah pada bulan Ramadan, bayarlah zakat harta kamu dengan senang hati, tunaikanlah haji di Baitillah, taatilah pemerintah kamu, nescaya kamu akan memasuki syurga Tuhan kamu.
Dan kamu akan ditanya tentang aku. Maka apakah jawapan kamu? Mereka menjawab: “Kami bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan, telah menunaikan amanah dan telah menasihatkan ummah”.

Maka baginda menghalakan jari telunjuk ke langit dan menggerak-gerakkannya ke arah manusia sambil bersabda “اللهم اشهد “ tiga kali.”

Selepas menyampaikan khutbah yang penuh makna itu, turunlah wahyu daripada Allah Ta’ala yang bermaksud: “… Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu….” (Al-Maidah:3)

Ketika mendengar ayat itu, Umar bin al-Khattab r.a. terus menangis. Bila ditanya sebab beliau menangis, beliau menjawab: “Sesungguhnya tiada lagi selepas kesempurnaan melainkan kekurangan.” (Al-Bukhari)

Khutbah yang disampaikan mengandungi beberapa pengajaran yang perlu direnungi dan diikuti. Antaranya:
1. Meskipun berucap di hadapan jamaah haji yang terdiri daripada orang-orang Islam yang beriman, baginda menggunakan seruan wahai sekelian manusia. Baginda tidak menyeru wahai muslim atau wahai mukmin, apalagi wahai orang Arab yang merupakan bangsanya. Ini jelas menunjukkan bahawa ajaran baginda ditujukan kepada seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan agama.
2. Baginda telah mengistiharkan suatu deklarasi menjamin hak asasi manusia, nyawa dan harta. Kehurmatan kedua-duanya adalah sama dengan kehurmatan bulan haram, di tanah haram. Ertinya ia haram dicerobohi dan tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.
3. Keperihatinan baginda terhadap wanita. Dipertegaskan bahawa lelaki yang diamanahkan menjadi pelindung wanita tidak harus lupa adanya Tuhan yang lebih gagah menguasai mereka. Justeru jangan sekali-kali menzalimi wanita di bawah jagaan mereka.
4. Al-Quran adalah sumber rujukan yang menjamin kesejahteraan hidup manusia sepanjang zaman.

Sunday, November 14, 2010

Arafah – hari memperbaharui janji

Arafah adalah sebaik-baik hari. Hari paling afdhal dan paling diberkati. Hari Allah ‘Azza wa Jalla mengambil perjanjian daripada seluruh zuriat keturunan Adam ‘alaihis-salam. Ahmad meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian daripada keturunan Adam di Na’man, iaitu Arafah. Dia telah mengeluarkan dari sulbinya semua zuriatnya yang akan lahir ke dunia, lalu ditaburkan di hadapan-Nya seperti menabur bijian, kemudian Dia berfirman kepada mereka:
وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ (١٧٢) أَوۡ تَقُولُوٓاْ إِنَّمَآ أَشۡرَكَ ءَابَآؤُنَا مِن قَبۡلُ وَڪُنَّا ذُرِّيَّةً۬ مِّنۢ بَعۡدِهِمۡ‌ۖ أَفَتُہۡلِكُنَا بِمَا فَعَلَ ٱلۡمُبۡطِلُونَ
Maksudnya: “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. Atau supaya kamu tidak mengatakan: Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?” (Al-A’raf: 172-173)

Maka alangkah besar ertinya hari ini dan alangkah besarnya perjanjian yang telah dimeteraikan!

Selain itu, Hari Arafah juga mempunyai pelbagai keistimewaan yang tidak terdapat pada hari-hari lain. Antaranya:

1. Hari disempurnakan ad-din dan dilengkapkan ni’mat
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab r.a. bahawasanya seorang lelaki Yahudi telah bertanya kepadanya: “wahai Amirul-Mukminin, satu ayat yang terdapat di dalam kitab kamu, yang kamu sering membacanya, sekiranya ayat itu diturunkan kepada kami orang-orang Yahudi, nescaya kami akan jadikan hari turunnya sebagai hari raya!” Umar bertanya, “ayat mana?” Lelaki itu menjawab, “(الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا)” Umar berkata, “Sesungguhnya kami telah mengetahui hari dan tempat ayat itu diturunkan, iaitu pada hari Jumaat ketika baginda sedang wuquf di Arafah”

2. Dimasyhurkan sebagai hari raya
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Hari Arafah, Hari Nahar dan Hari-hari Tasyriq adalah hari raya kita orang-orang Islam. Ia adalah hari makan dan minum.” Riwayat ahli as-Sunan

3. Hari yang Allah bersumpah dengannya
Allah Yang Maha Besar lagi Maha Agung tidak akan bersumpah kecuali dengan sesuatu yang besar juga. Di dalam surah al-Buruj, ayat 3 Allah bersumpah (وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ). Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: اليوم الموعود (hari yang dijanjikan) adalah Hari Qiamat, واليوم المشهود (hari yang disaksikan) adalah Hari Arafah dan الشاهد (hari yang menyaksikan) adalah Hari Jumaat.” Riwayat at-Tirmizi.
Di dalam surah al-Fajr pula Allah berfirman: (وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ). Menurut Ibn ‘Abbas r.a., الشفع adalah Hari al-Adha, manakala الوتر adalah Hari Arafah.

4. Puasanya menghapuskan dosa dua tahun
Daripada Abi Qatadah r.a. Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa sunat pada Hari Arafah, baginda menjawab maksudnya: "menghapuskan dosa tahun yang lepas dan tahun yang akan datang." Riwayat Muslim.
Yang disunatkan berpuasa ialah mereka yang tidak menunaikan haji. Mereka yang sedang menunaikan haji tidak disunatkan puasa kerana Nabi s.a.w. tidak berpuasa pada hari itu. Malah terdapat riwayat mengatakan baginda melarang orang yang sedang menunaikan haji berpuasa pada Hari Arafah.

5. Hari pengampunan dan pembebasan dari api neraka
Daripada Aisyah r.a., Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Hari yang paling banyak Allah s.w.t. membebaskan hamba-Nya daripada neraka ialah Hari Arafah. Dan sesungguhnya Dia Mendekati mereka yang sedang wukuf di Arafah, Dia berbangga dengan mereka di hadapan para malaikat kemudian berfirman kepada malaikat: “Apa yang mereka itu mahu?” Riwayat Muslim
Daripada Ibn Umar r.a., Nabi s.a.w. bersabda makasudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala berbangga di hadapan malaikat-Nya pada petang Hari Arafah ketiak melihat orang wukuf di situ. Dia berfirman kepada malaikat: “Lihatlah kepada hamba-Ku! Mereka datang kepadaku dalam keadaan rambut yang kusut dan berdebu!” Riwayat Ahmad.

Marilah manfaatkan hari ini dengan membaharui janji dengan Allah untuk terus istiqamah di jalan-Nya, melaksanakan titah perintah-Nya, mengembangkan agama-Nya dan mempertahankan serta mendaulatkan syaria’at-Nya.

Saturday, November 13, 2010

Sedikit tentang Imam an-Nawawi

Sambungan….

Penguasaan an-Nawawi dalam pelbagai bidang ilmu

An-Nawawi dianugerahi ilmu yang luas dan mendalam dalam pelbagai bidang. Antaranya:
1. Ilmu fiqh. Beliau merupakan pakar rujuk dan menjadi tumpuan dalam ilmu fiqh Mazhab asy-Syafi’ei
2. Ilmu mengenai Matan Hadis dan nama-nama rijal (perawinya), yang dikenali sebagai Ilmu Riwayah dan Dirayah. Dia merupakan orang pertama pada zamannya yang menguasai ilmu tersebut.
3. Menghafaz, menekuni dan mengkelaskan Hadis Rasulullah s.a.w. Beliau mengetahui dengan mendalam Hadis yang sahih, yang tidak sahih serta sanadnya.
4. Beliau merupakan faqih muhadditsin dan muhaddits fuqaha’, iaitu seorang yang faqih dari kalangan ahli hadis dan seorang ahli hadis dari kalangan fuqaha’. Bahkan boleh dikatakan bahawa an-Nawawi adalah menara ilmu pada zamannya yang menjadi tumpuan dan rujukan tanpa saingan, tanpa pertikaian.

Peribadi yang unggul

Seorang yang sangat warak, zuhud dan sentiasa muraqabah Allah di mana jua dan dalam keadaan apa saja. Kerana terlalu menjauhi perkara syubhah belaiu tidak makan kecuali makanan yang dihantar oleh ayahnya dari kampungnya sendiri. Di samping ilmu dan waraknya Imam an-Nawawi juga terkenal dengan kegigihan menjalankan amar makruf dan nahi mungkar. Beliau berdepan dengan raja dan pemerintah, menulis surat kepada mereka memberi peringatan supaya berlaku adil terhadap rakyat, membatalkan cukai yang berlebihan dan memulangkan hak kepada tuannya. Kata Abu al-‘Abbas bin Faraj, Imam an-Nawawi telah mencapai tiga darjat yang mana setiap satu darjat itu tidak mampu dicapai oleh manusia biasa kecuali dengan usaha yang sangat gigih.
Darjat pertama: ilmu
Darjat kedua: zuhud
Darjat ketiga: amar makruf dan nahi mungkar.

Karya

Beliau telah menghasilkan berpuluh-puluh kitab dalam bidang fiqh, hadis dan lain-lain. Antara hasil tulisan beliau yang masyhur:
1. Syarah Muslim
2. Riadhus-Solihin
3. Al-Azkar
4. Al-Arba’un an-Nawawiyyah wa Syarhuha
5. Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat
6. Tabaqat al-Fuqaha’
7. Bustanul-‘Arifin
8. Dan lain-lain…

Wafat

Di penghujung usianya beliau kembali ke tanah tumpah darahnya setelah selesai menunaikan haji dan menziarahi al-Quds. Beliau telah jatuh sakit di sisi dua ibu bapanya dan kembali ke rahmatullah pada malam rabu hujung bulan Rejab tahun 676 hijrah.

Dipetik dari:
Kitab al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, karangan Imam an-Nawawi rahimahullah.

Thursday, November 11, 2010

Sedikit tentang Imam an-Nawawi

Ramai di kalangan kita yang mengetahui nama Imam an-Nawawi. Betapa tidak? Hadis 40 susunannya menjadi bahan utama di dalam halaqah dan usrah. Namun adakah semua kita mengenali beliau dengan sebenarnya?
Nama beliau ialah al-Hafiz Abu Zakariya Yahya bin Syaraf.
Dilahirkan pada bulan Muharam 631 hijriah di desa Nawa, sebuah kampong yang terletak di Bukit Gulan, Damsyiq. Di situlah beliau membesar dan menghafaz al-Quran.
Kembara ilmu
Menceritakan pengembaraannya mencari ilmu, beliau menulis: ketika berusia 19 tahun, aku dibawa oleh ayahku ke Damsyiq pada tahun 649 hijriah. Aku memasuki sekolah ar-Rawahiyyah selama dua tahun. Selama itu aku tidak pernah meletakkan badanku di atas bumi (tidak baring) dan tidak makan kecuali makanan yang disediakan oleh pihak sekolah.
Beliau mempelajari 12 matapelajaran sehari di hadapan mahagurunya dalam pelbagai ilmu: usuluddin, fiqh serta usulnya, hadis serta mustalahnya, lughah dan mantiq (ilmu bahasa dan lojik)
Suatu peristiwa luar biasa telah belaku semasa Imam an-Nawawi berusia 7 tahun. Ayahnya menceritakan bahawa malam itu adalah malam 27 Ramadan. An-Nawawi tidur di sebelahnya. Tiba-tiba dia terjaga dari tidur di pertengahan malam sambil berkata: “Ayah, cahaya apa yang memenuhi rumah kita sekarang?” Mendengar suaranya, kami terjaga tetapi kami tidak nampak apa-apa cahaya. Maka aku yakin bahawa itu adalah Lailatul-Qadar.
Seorang yang arif bernama Ustaz Yasin bin Yusuf az-Zarkasyi berkata: aku pernah melihat Syaikh (an-Nawawi) ketika beliau berumur 10 tahun di Nawa. Kanak-kanak seusianya memaksanya bermain dengan mereka sedangkan dia enggan. Dia lari dari mereka dan menangis kerana mereka memaksanya. Dalam keadaan itu dia asyik membaca al-Quran. Maka aku jatuh hati padanya. Aku bertemu dengan guru yang mengajarnya al-Quran dan berpesan kepadanya supaya menjaga budak ini dengan baik. Aku berkata kepadanya: “Budak ini diharap akan menjadi orang yang paling alim dan paling zuhud di zamannya. Dan manusia akan banyak mendapat manfaat daripadanya.” Guru itu berkata kepadaku: “Adakah engkau seorang ahli nujum?” Aku menjawab: “Tidak. Tetapi Allah yang izinkan aku berkata begitu.” Guru itu menyampaikannya kepada ayahnya. Maka dia sangat mengambil tentangnya sehingga dia khatam menghafaz al-Quran sebelum mencapai usia baligh.
Antara karamah yang dianugerahkan Allah kepadanya ialah, sekiranya tidak ada pelita untuk digunakan ketika mengarang, jarinya akan bercahaya meneranginya dengan izin Allah.

Bersambung….

Wednesday, November 03, 2010

Kenapa bersedih?

Pada suatu hari Ibrahim al-Adham melihat seorang lelaki dalam keadaan muram dan sedih. Beliau bertanya kepada lelaki tersebut,
Ibrahim: Wahai lelaki, adakah pernah terjadi di dunia ini sesuatu yang tidak dikehendaki oleh Allah?
Lelaki: Tidak!
Ibrahim: Adakah berkurang sedikit daripada rezeki yang Allah tetapkan untukmu?
Lelaki: Tidak!
Ibrahim: Adakah berkurang satu detik daripada ajal yang telah Allah tulis untuk usiamu?
Lelaki: Tidak!
Ibrahim: Lantas, apa yang membuatkan kamu sedih dan gusar?

Tuesday, November 02, 2010

HARI YANG PALING AFDAL DI DUNIA

Daripada Jabir bin Abdullah رَضِيَ الله عَنْهُ dia berkata bahawa Rasulullah صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ telah bersabda:
"أَفْضَلُ أَيَّامِ الْدُّنْيَا أَيَّامُ الْعَشْرِ، يَعْنِي عَشْرُ ذِي الحْجَّةِ".
Maksudnya: “Hari yang paling afdal di dunia ialah hari-hari 10, iaitu 10 hari (yang pertama) bulan Zul-Hijjah.”
Hadis dikeluarkan oleh al-Bazzar. Menurut al-Haitsami rawi-rawinya tsiqah.

Yang disebut hari paling afdal dalam Hadis ini ialah hari yang paling afdal di dunia. Ia tidak termasuk hari yang paling afdal di akhirat. Hari yang paling afdal di akhirat ialah Yaumul-Mazid, iaitu Hari Allah ‘Azza wa Jalla menzahirkan Wajah-Nya kepada ahli syurga, lalu mereka dapat memandang-Nya.

Kenapa 10 hari pertama bulan Zul-Hijjah dipilih menjadi hari paling afdal di dunia?
Kerana pada hari-hari itu terkumpul ibadah-ibadah yang utama. Allah sendiri telah bersumpah dengan hari-hari itu di dalam kitab suci-Nya:
{وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْر}
Maksudnya: “Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);” (Al-Fajr: 1-2)

Kelebihan hari-hari pertama 10 Zul-Hijjah ini berbanding hari-hari lain dalam setahun seperti kelebihan tempat-tempat ditunaikan manasik haji berbanding kawasan-kawasan lain di seluruh pelusuk muka bumi. Atas alasan itu terdapat segolongan ulamak berpendapat 10 hari pertama Zul-Hijjah lebih afdal daripada 10 hari terakhir Ramadan. Namun sebahagian lain berpendapat 10 hari terakhir Ramadan lebih afdal.

Ibn al-Qayyim berkata: yang betulnya ialah malam-malam 10 terakhir Ramadan lebih afdal daripada malam-malam 10 pertama Zul-Hijjah kerana terdapat Lailatul-Qadar. Dan siang hari 10 pertama Zul-Hijjah lebih afdal daripada siang hari 10 terakhir Ramadan kerana terdapat Hari Arafah dan ibadah korban.

Justeru, inilah masanya untuk memulakan lembaran hidup baru, hubungan yang lebih rapat dengan-Nya pada hari yang paling afdal di sisi-Nya.
Rasulullah صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda maksudnya:
“Amal soleh yang paling Allah sukai dilakukan oleh hamba-Nya ialah amal-amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (10 pertama Zul-Hijjah)”, mereka bertanya: “Ya Rasulullah, adakah Allah lebih suka daripada berjihad fi sabilillah?” Baginda menjawab (maksudnya): “Ya, tidak dapat mengatasi jihad fi sabillah, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid)” Sunan Ibn Majah

Dan sabdanya lagi bermaksud:
“Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah selain daripada 10 hari pertama bulan Zul-Hijjah, dan tidak ada amalan yang paling Dia suka dilakukan selain daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari pertama bulan Zul-Hijjah. Maka hendaklah kamu membanyakkan tahlil, takbir dan tahmid pada hari-hari tersebut.” Musnad Ahmad