Saturday, February 27, 2016

JOM TADABBUR 17


Sedang hangat berita mengenai seseorang yang dipecat dari jawatan timbalan presiden sebuah parti politik yang kini berkuasa di tanah air kita yang tercinta.
Kepada kedua-dua pihak yang memecat dan dipecat, marilah kita tadabbur firman Allah Ta'ala di dalam kitab suciNya yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya.” (Aali ‘Imran:26-27)

Ayat di atas menerangkan bahawa dalam hidup ini kita mengalami perubahan dan pertukaran dari segi:
1.    Kuasa. Kadang-kadang kita diberi kuasa, kadang-kadang kuasa ditarik daripada genggaman kita.
2.    Mulia dan hina. Ada ketika kita dipandang mulia, ada ketikanya kita dihina.
3.    Hidup dan mati. Hari ini kita hidup, namun pada bila-bila masa saja hidup ini bertukar kepada mati.
4.    Rezeki. Ada masa rezeki melimpah ruah. Namun ada ketikanya segala pintu bagaikan enggan terbuka walau seketika cuma.

Kalau kita insaf adanya pertukaran serta perubahan di dalam hidup ini, dan pertukaran serta perubahan itu bukan ditentukan oleh kita atau sesiapa saja di muka bumi ini, tentunya kita tidak akan berlagak sombong dan bongkak ketika berkuasa, disanjung sebagai orang mulia, bernafas lega menghirup udara dalam timbunan harta berjuta-juta.


Dan begitulah juga sebaliknya, kita tidak mungkin keciwa dan berputus asa andai dipecat, dihina dan dirampas segala yang ada pada kita kerana sebagaimana Allah menukarkan malam menjadi siang dan siang menjadi malam, begitulah pertukaran itu pasti berlaku dalam hidup kita, baik sebagai individu mahupun sebagai suatu bangsa. Lebih-lebih lagi mereka yang sedang berjuang untuk mengislah diri menuju negara rahmah, negara indah penuh maghfirah.  

Wednesday, February 17, 2016

TAUHID 3 – DI MANAKAH SALAHNYA?


Akhir-akhir ini sering kita dengar bahawa aqidah tauhid 3 punca keganasan, menyeleweng daripada ahli sunnah wal-jamaah, sehinggakan setengah majlis agama negeri mengharamkan buku yang membicarakan tentang tauhid 3.

Tauhid 3 terdiri dari tauhid rububiah, tauhid uluhiah dan tauhid asma' wa sifat.

Rububiah berasal daripada kalimah rabb. Perkataan rabb dari segi bahasa bermaksud pemilik, tuan, pentadbir, yang membaiki atau yang memberikan kebaikan dan yang disembah. Ibn Jarir berkata: al-Rabb adalah satu daripada nama Allah yang bermakna sayyid (tuan), musleh (yang menjaga atau menjamin kebaikan urusan makhluk) dan malik (raja atau pemilik).
Ada pendapat yang mengatakan Rabb bermakna murabbi daripada perkataan tarbiah.
Maka tauhid rububiah bermaksud yakin dan percaya bahawa Allah adalah satu-satunya rabb, iaitu raja, tuan yang memiliki seluruh alam, yang mentadbir dan mengatur urusannya, yang menjaga kepentingan dan kebaikan makhlukNya dengan memberi rezeki serta segala yang diperlukan mereka, yang mendidik dan memberi hidayah kepada mereka. Inilah maksud yang terkandung di dalam firmanNya "alhamdulillah rabbil-alamin".

Uluhiah berasal daripada kalimah ilah. Ilah dari segi bahasa bermakna ma’bud, iaitu  yang disembah, yang diibadati atau yang dihambakan diri kepadanya. Ibadah atau sembah mengandungi makna taat, cinta serta takut. Maka tauhid uluhiah  membawa maksud mengesakan Allah Ta’ala dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya dalam semua aspek kehidupan, lahir dan batin dengan mentaati segala perintah serta laranganNya yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dengan penuh rasa cinta, takut serta mengharap redhaNya semata-mata. Inilah maksud yang terkandung di dalam kalimah syahadah la ilaha illa Allah.

Asma’ dan sifat bererti nama dan sifat. Tauhid asma’ dan sifat bermakna yakin dan percaya Allah mempunyai nama-nama tertentu. Setiap nama menunjukkan sifatNya yang maha tinggi, maha sempurna, maha suci dan maha agong, yang tidak serupa dan tidak sama dengan sesiapa dan apa saja sebagaimana ditegaskan di dalam firmanNya yang bermaksud “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.” (Al-Ikhlas:4).

Di dalam syahadah la ilaha illa Allah mengandungi semua jenis tauhid di atas kerana orang yang mengaku tiada tuhan yang layak dan berhak disembah kecuali Allah (tauhid uluhiah) pastinya tidak akan mengakui sedemikian kecuali kerana dia yakin dan percaya bahawa Allah adalah satu-satunya tuhan yang mencipta, memberi segala ni’mat, mengatur dan menjaga segala urusan makhluk termasuk dirinya (tauhid rububiah), dan tuhan yang mencipta dan mentadbir urusan makhluk pastinya memiliki sifat-sifat kebesaran yang tiada tanding, tiada serupa dan tiada tara dengan apa saja selain Nya (tauhid asma’ wa sifat).


Kalau saya berpegang seperti di atas, bahagian manakah yang bercanggah dengan aqidah ahli sunnah waljamaah? Bahagian manakah yang mengandungi unsur keganasan dan boleh mencetuskan keganasan?

Wednesday, February 10, 2016

Semua umat yang ingin bangkit, perlukan ini!


Nukilan ISHAB

Semua umat yang ingin bangkit, perlukan TIGA perkara:
-       mengenali musuhnya agar ia dapat berjaga-jaga daripada tipu helahnya
-       mengenali mereka yang menyayanginya agar ia dapat menjaga hubungan dan setia dengannya
-       mempunyai manhaj yang kemas, jelas dan mantap untuk bangkit supaya dia dapat berjalan lurus di atas landasannya tanpa menyimpang dan menyeleweng darinya.

Umat yang tidak mengenali musuhnya akan terperangkap  di dalam tipu dayanya dan akan berkata dengan penuh penyesalan selepas hilang segala peluang "aku telah dimakan pada hari lembu putih itu dimakan".*
Umat yang tidak mengenali orang-orang yang menyayanginya, tidak mampu memanfaatkan kekuatan yang ada pada tangannya, lantas akan menyesal pada ketika penyesalan tidak berguna lagi
Umat yang tidak menggariskan manhaj untuk bangkit akan terumbang ambing dalam perjalanannya. Dia tidak maju walau setapakpun. Sebaliknya mungkin akan terkebelakang beberapa tapak.

Dan umat yang dicintai ini sedang berjalan menuju kebangkitan dengan menapak perlahan-lahan, jelas kelihatan pada setiap aspek kehidupannya tanda-tanda kesuburan dan kesegarannya.
Namun, dari sudut lain engkau akan melihat sesuatu yang menakutkan tentang masa depan kebangkitan ini, iaitu
Kejahilannya tentang musuh-musuhnya, ketundukannya kepada mereka dan kelekaannya dari ancaman mereka,
Kejahilannya tentang orang-orang yang menyayanginya, menjauhkan diri daripada mereka, tidak meletakkan kepercayaan kepada mereka, tidak ikhlas dan setia terhadap mereka,
Tidak bersungguh-sungguh dalam menggariskan manhaj yang ia berjalan di atasnya, dan tidak jelas objektif yang ingin dicapainya.

Aku teringat bahawa pada suatu ketika sebuah universiti di Amerika mengadakan satu perayaan. Antara pemidatonya ialah Prof Jeffri yang memburukkan Islam dan mencerca Nabi s.a.w. di dalam pengajarannya dan tulisan-tulisannya. Maka ramai di kalangan pembesar Mesir menerima jemputan universiti itu ke upacara tersebut termasuk muslim yang soleh, warak dan bersemangat dalam memperjuangkan Islam.
Masih ramai di kalangan masyarakat yang menganggap Abu al-'Ato al-Jalindahri, Abdul Jalil Saad dan lain-lain tokoh Qadyani dan Bahae sebagai pendakwah Islam.
Salah sebuah akhbar harian ada menyebut bahawa seorang anggota pertubuhan Islam yang aktif juga menjadi anggota pertubuhan pemuda Kristian beberapa ketika yang agak lama. Dan contoh-contoh seperti itu sangat banyak di dalam masyarakat kita
Punca berlaku perkara yang sedemikian adalah kerana:
Sama ada kita tidak mengenali musuh-musuh kita, atau kita lemah sehingga tidak mampu untuk mengendalikan perasaan kita, pendirian dan perlakuan kita.
Ramai dari kalangan reformis, saya tidak suka mendedahkan nama-nama mereka, dipandang serung oleh masyarakat. Padahal mereka itu, aku bersumpah dengan Nama Allah menggunakan perbelanjaan diri sendiri dan perbelanjaan anak-anak mereka untuk berkhidmat kepada umat. Kadang-kadang dia tidur dalam keadaan mengikat perut kerana lapar, namun dia bangun pagi dengan perasaan bahagia dan puas hati kerana telah dapat berkhidmat kepada umatnya. Ada di kalangan mereka yang selalu menangis memikirkan nasib umat, berjaga sepanjang malam mencari jalan penyelesaian di kala manusia tidur nyenyak. Namun di mata manusia mereka dianggap sebagai penipu dan mementingkan diri sendiri.
Perkara seperti ini berlaku kerana beberapa faktor. Antaranya: mudah tertipu dengan pandangan luaran, mudah terpedaya dan menyerah kepada keadaan. Setiap orang yang pada zahirnya kelihatan selari dengan kecenderungan kita dan keinginan kita dianggap sebagai 'orang kita'. Dia bermuka-muka dan berpura-pura, pada hal di sebalik kepura-puraan itu terperap penyakit yang amat berbisa. Dan setiap orang yang zahirnya tidak selari dengan nafsu kita, dianggap musuh yang dibenci dan dijauhi meskipun hakikatnya dia menyayangi kita dan sangat ikhlas terhadap kita.
Seperkara lagi yang mencadi punca ialah sebatinya  sikap suka mengambil hati walaupun dalam perkara yang bukan hak kita. Sehinggakan ada di kalangan kita yang sangat malu dan segan untuk berkata kepada orang yang bersalah itu: "awak salah". Atau yang berasa segan untuk menunjukkan sikap permusuhan apabila berdepan dengan musuh dengan.  Bahkan selalu mengambil sikap ingkar dengan hati yang merupakan selemah-lemah iman.
Akhlak mukmin bukan begitu. Mereka dituntut supaya menyuruh makruf dan mencegah mungkar, menegakkan neraca keadilan, menarik golongan batil kepada kebenaran dengan bersungguh-sungguh.
Kemudian apabila kamu berdepan dengan para pemikir di kalangan umat ini dan pemacu kebangkitannya, kamu bertanya kepada mereka pendapat mereka tentang landasan untuk sampai kepada matalamat yang ingin mereka capai, kamu akan dapati percanggahan yang sangat pelik. Bahkan kalau kamu tanya soalan yang sama kepada beberapa orang nescaya kamu akan kebingungan kerana jauhnya jarak perbezaan dan percanggahan fikiran antara satu sama lain.
Percanggahan pada objektif, dan perbezaan dari segi wasilah akan melemahkan umat, mensia-siakan potensinya dan memecahkan kekuatannya. Bahkan ia membawa kepada pertembungan antara satu sama lain dan tidak akan membawa kepada sebarang pencapaian selama-lamanya.
Oleh itu kewajipan kita yang pertama ialah menggariskan manhaj dengan tepat, rapi dan teliti. Kemudian kita nilai manusia dengan neraca yang betul. Setiap orang yang menolong kita, maka dia adalah orang yang menyayangi kita yang mesti kita sayangi dan hormati. Dan setiap orang cuba menghalang atau menjauhkan maka dia adalah musuh yang mesti dilayan sebagai musuh. Bukankah iman itu neracanya cinta dan benci?

(Akhbar mingguan Ikhwan Muslimin, bil 30, tahun pertama, 15 Zulqaedah 1352H bersamaan 1 Mac 1943M)