Tuesday, December 04, 2007

BEBERAPA PERMASALAHAN MENGENAI AURAT

Untuk memahami tajuk ini, perlu difahami terlebih dahulu pengertian aurat di dalam Islam.
Aurat berasal dari perkataan ‘aar yang bermaksud perkara yang memalukan atau mengaibkan. Fuqahak mentakrifkan aurat ialah setiap perkara yang menimbulkan rasa malu apabila didedahkan. Dan batas aurat menurut istilah fuqahak ialah penentuan bahagian tubuh badan yang boleh atau tidak boleh dipandang atau disentuh oleh orang lain yang sama atau berlainan jantina.
Aurat terbahagi kepada dua jenis : Aurat Solat dan Aurat Ru’yah.
Aurat Ru’yah tidak sama dengan Aurat Solat yang wajib ditutup sebagai satu daripada syarat sah solat. Aurat Ru’yah biasanya lebih luas daripada Aurat Solat. Aurat Solat bagi wanita ialah seluruh tubuh selain muka dan dua tapak tangan serta dua tapak kaki menurut pandangan setengah mazhab. Manakala Aurat Ru’yah wanita bagi mahramnya ialah bahagian-bahagian selain muka, kepala, leher, dua tangan dan dua kaki. Dan Aurat Ru’yah wanita bagi suami adalah tidak ada. Suami harus melihat dan menyentuh seluruh tubuh isteri tanpa kecuali. Begitu juga sebaliknya.
Hukum melihat bahagian badan yang bukan aurat.
Bahagian yang bukan aurat walaupun pada asalnya harus dilihat namun ada pengecualiannya. Pada keadaan tertentu bahagian yang bukan aurat juga haram dipandang. Harus atau haram melihat anggota seseorang adalah bergantung sama ada boleh mendatangkan fitnah, membangkitkan syahwat atau tidak. Justeru lelaki yang tidak dapat mengawal syahwahnya tidak harus memandang muka wanita yang bukan mahramnya sekalipun muka itu bukan aurat. Dia juga haram melihat wajah lelaki tampan atau lelaki lembut sekiranya pandangan itu meransang syahwahnya.
Bahagian yang harus dilihat dan disentuh oleh mahram.
Jumhur ulamak berpendapat bahagian yang harus dilihat ialah anggota yang biasa terdedah ketika bekerja atau pakaian yang biasa dipakai ketika berada di dalam rumah. Mereka menyebut beberapa anggota seperti muka, kepala, leher, dua tangan hingga ke siku dan dua kaki hingga ke lutut. Selain daripada anggota tersebut tidak harus dilihat kerana tidak ada keperluan untuk membukanya.
Hukum sentuh, Ulamak Mazhab Hanafiy dan Malikiy berpendapat anggota yang harus dilihat harus disentuh berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqiy dari Aisyah RA bahawa Nabi SAW mencium tangan dan pipi puterinya Fatimah RA. Di dalam riwayat lain ada menyebut bahawa Rasulullah SAW mencium kepala puterinya Fatimah RA dan Abu Bakar as-Siddiq RA mencium kepala puterinya Aisyah RA. Ulamak Mazhab Hanbaliy berpendapat makruh berjabat tangan dengan wanita walaupun mahram selain daripada ayah. Mereka berkata orang yang pulang dari musafir harus mencium mahramnya jika dia tidak bimbang nafsunya teransang.

Pandangan Antara Lelaki dan Wanita Bukan Mahram

i. Lelaki Memandang Wanita Bukan Mahram

Mengambil pandangan ulamak semua mazhab serta hujah-hujah mereka, penulis merumuskan:
a. Tidak harus memandang bahagian yang termasuk di dalam lingkungan aurat, iaitu selain daripada muka dan dua tapak tangan sama ada dengan syahwah atau tanpa syahwah, ketika bimbang terjadi fitnah atau tidak kecuali dalam keadaan darurat.
b. Melihat bahagian yang bukan aurat, iaitu muka dan dua tapak tangan tidak harus dengan syahwah atau ketika takut terjadi fitnah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ”Dua mata berzina”. Yang dimaksudkan dengan berzina adalah melihat dengan syahwah dan ia menjadi punca terjadinya perbuatan yang haram.
c. Harus melihat muka dan dua tapak tangan kerana keperluan atau dalam keadaan darurat.
d. Pandangan tanpa syahwah dan tidak bimbang berlaku fitnah, jika tiada keperluan dan tidak dalam keadaan darurat maka yang awla dan afdal tidak melakukannya. Firmah Allah SWT maksudnya: ”Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan”. [An-Nur : 30]
Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Sesungguhnya setiap anak Adam itu ada habuannya daripada zina, dia tidak akan dapat mengelak darinya. Zina mata ialah melihat, zina lidah ialah bercakap. Nafsu berkeinginan dan berkhayal, lantas kemaluan merealisasikannya atau mengelak darinya”
Sebagai langkah ihtiatiy (berhati-hati dan berwaspada) adalah lebih baik mengelak daripada melihat walaupun tanpa syahwah. Ini juga bertepatan dengan saranan Nabi SAW ketika baginda berkata kepada Ali RA maksudnya: ”Wahai Ali! Jangan engkau ikuti pandangan pertama itu dengan pandangan seterusnya kerana engkau tidak berdosa dengan pandangan pertama, tetapi tidak harus bagimu pandangan berikutnya”. Riwayat at-Tirmizi.

ii. Wanita Memandang Lelaki Bukan Mahram
Menurut ulamak Mazhab Hanafiy, satu daripada dua pandangan dalam Mazhab Hanbaliy dan satu daripada beberapa pandangan dalam Mazhab Syafi’iy, harus wanita melihat lelaki yang bukan mahram pada bahagian yang bukan auratnya. Aurat lelaki ialah antara pusat dengan lututnya. Keharusan ini dengan syarat tanpa syahwah dan aman dari fitnah. Pandangan ini berdasarkan beberapa dalil:
a. Nabi SAW menyuruh Fatimah binti Qais supaya beriddah di rumah Ibn Ummi Maktum. Baginda berkata kepada Fatimah maksudnya: ”Pergilah beriddah di rumah Ibn Ummi Maktum kerana dia seorang lelaki yang buta. Engkau tidak perlu menjaga aurat kerana dia tidak dapat melihatmu”. Riwayat Abu Daud
b. Aisyah RA menceritakan peristiwa dia melihat orang Habasyah bermain di halaman masjid: ”Rasulullah SAW melindungiku dengan kainnya ketika aku menyaksikan permainan orang-orang Habasyah sehingga aku puas menontonnya”. Riwayat al-Bukhari.
c. Ibn Hajar al-Asqalaniy berkata sejak dahulu wanita-wanita keluar ke masjid dan ke pasar-pasar dengan memakai niqab supaya tidak dilihat oleh lelaki sedangkan lelaki tidak disuruh memakainya agar tidak dilihat oleh wanita. Ini menunjukkan muka lelaki harus dilihat oleh wanita. Walau bagaimanapun wanita mestilah memelihara pandangannya kerana melihat dengan syahwah atau bimbang tidak dapat mengawal nafsu dari tergoda adalah haram.

Bersentuhan dan Bersalaman

i. Bersentuhan dan Bersalaman Antara Sesama Jantina
Daripada Abu Sa’eid al-Khudriy RA sesungguhnya Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki lain, dan janganlah seorang wanita melihat aurat wanita lain. Janganlah seorang lelaki tidur bersama dalam satu selimut dengan lelaki lain dan janganlah seorang wanita tidur bersama wanita lain dalam satu selimut”. Riwayat at-Tirmizi. Imam an-Nawawiy berkata, Hadis ini menunjukkan haram bersentuhan antara sesama lelaki kecuali dalam keadaan darurat dan haram menyentuh mana-mana bahagian daripada auratnya. Namun bersalaman (berjabat tangan) adalah dikecualikan, iaitu harus.
Antara Hadis berkaitan dengan bersalaman (musafahah):
- Daripada al-Barra’ bin ’Azib RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: ”Apabila bertemu dua orang muslim, lalu keduanya bermusafahah, memuji Allah dan beristighfar, Allah akan mengampunkan kedua-duanya”. Riwayat Abu Daud.
- Daripada Qatadah RA katanya: ”Saya bertanya Anas, adakah sahabat-sahabat Nabi SAW bermusafahah?” Beliau menjawab: ”Ya!”. Riwayat al-Bukhariy.
Menurut Imam an-Nawawiy, ulamak secara umumnya berpendapat bermusafahah adalah satu sunnah ketika berjumpa. Tetapi mengkhususkan waktu-waktu tertentu dan beriltizam dengannya seperti selepas solat subuh dan selepas solat asar adalah terkeluar daripada asal sunnah, maka lebih awla tidak melakukannya.
Begitu juga, harus berpelukan antara sesama lelaki dan sesama wanita berdasarkan dalil-dalil berikut:
- Abu Daud meriwayatkan di dalam ’Sunan’nya bahawa seorang lelaki bertanya Abu Dzar RA: ”Adakah Rasulullah SAW bermusafahah dengan kalian apabila bertemu?” Abu Dzar menjawab: ”Setiap kali bertemu denganku baginda akan bermusafahah. Pada suatu hari baginda mengutus seseorang datang menjemputku ketika aku tiada di rumah. Setelah aku pulang, keluargaku memberitahu tentang hal itu. Aku segera ke rumah baginda. Ketika itu baginda berada di atas katil, lalu baginda memelukku. Maka itu adalah lebih bagus dan lebih bagus untukku”.
- Al-Baihaqiy meriwayatkan dari Imam asy-Sya’biy katanya: Sahabat-sahabat Nabi SAW apabila bertemu mereka bermusafahah dan pabila pulang dari musafir mereka berpelukan antara satu sama lain.

ii. Bersentuhan dan Bersalaman Antara Berlainan Jantina
Bermusafahah antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah haram sama ada lelaki yang memulakan atau sebaliknya, sama ada kedua-duanya masih muda atau telah tua, atau salah seorang daripada keduanya masih muda dan seorang lagi telah tua. Hadis-hadis yang berkaitan dengan larangan bermusafahah antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah umum meliputi semua peringkat dan golongan. Di dalam Mazhab Syafi’iy ada menyebut harus bermusafahah antara lelaki dan wanita bukan mahram dengan dua syarat: aman daripada fitnah dan berlapik.

Kafirah Melihat Muslimah

Kebanyakan ulamak dalam Mazhab Hanafiy, Malikiy dan Syafi’iy berpendapat wanita Islam tidak harus membuka auratnya di hadapan wanita bukan Islam sama seperti di hadapan lelaki bukan mahram. Ini berbeza dengan pandangan Imam Ahmad bin Hanbal. Di dalam satu riwayat, beliau berkata: ”Sesetengah orang berkata bahawa Muslimah tidak boleh membuka tudungnya di hadapan Nasraniyyah dan Yahudiyyah. Adapun saya berpendapat mereka tidak boleh melihat kemaluannya sahaja dan tidak boleh membidaninya ketika dia (muslimah) bersalin.
Ulamak yang berpendapat wanita Islam tidak harus membuka auratnya di hadapan wanita bukan Islam berpegang kepada firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 bermaksud: ”Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak keinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak Terjemahan " yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.
Di dalam ayat ini Allah menyebut perkataan ’aw nisa’ihinna’. Kebanyakan mufassirin mentafsirkan maksud ’nisa’ihinna’ di dalam ayat itu ialah wanita Islam. Berdasarkan tafsiran ini, wanita bukan Islam tidak termasuk dalam golongan mereka yang boleh melihat perhiasan atau aurat wanita Islam.
Namun terdapat di kalangan mufassirin yang mengatakan maksud ’nisa’ihinna’ ialah semua golongan wanita tidak kira muslimah atau bukan.
Di dalam kitab ’Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah’ Dr. Abdul Karim Zaidan mentarjihkan pendapat yang mengatakan batas aurat antara wanita Islam dengan wanita bukan Islam sama seperti batas aurat antara sesama wanita Islam. Hujah yng beliau kemukakan ialah:
a. Wanita-wanita Yahudi pada zaman Nabi SAW datang ke rumah baginda bertemu dengan isteri-isteri baginda RA. Mereka (isteri-isteri baginda) tidak memakai hijab dan tidak disuruh memakainya. Asma’ binti Abu Bakr RA menceritakan bahawa ibunya sering datang mengunjunginya walaupun enggan memeluk Islam. Beliau telah bertanya Rasulullah SAW adakah dia patut berbuat baik kepada ibunya dengan pemberian sesuatu? Baginda menjawab: ”Ya!”. Di sini baginda SAW tidak menyuruh Asma’ menutup aurat ketika ibunya datang.
b. Perintah supaya Muslimah menutup aurat di hadapan lelaki adalah kerana sebab yang diketahui, iaitu mengelak fitnah, memelihara syahwah dan mengawal perbuatan mungkar. Sebab ini tidak ada jika wanita memandang wanita. Maka tidak wajib wanita Islam menutup seluruh tubuhnya di hadapan wanita bukan Islam sebagaimana tidak wajib lelaki Islam menutup seluruh tubuhnya di hadapan lelaki bukan Islam.
c. Mewajibkan Muslimah menutup semua tubuhnya sebagaimana di hadapan lelaki bukan mahram memerlukan dalil dari nas yang soreh atau qias yang sahih. Di sini tiada nas yang soreh kerana ungkapan ’nisa’ihinna’ di dalam ayat di atas tafsirannya tidak qat’iy. Boleh ditafsirkan wanita secara umum dan boleh ditafsirkan wanita Islam sahaja. Qias yang sahih pula tidak ada langsung kerana wanita bukan Islam tidak boleh diqias kepada lelaki anjabiy kerana kedua-duanya tiada persamaan.
d. Beberapa riwayat mengatakan sahabat seperti Ibn ’Abbas dan lain-lain melarang Muslimah membuka tudung di hadapan kafirah merupakan riwayat yang sahih. Tetapi larangan itu boleh diandaikan sebagai sunat dan digalakkan, bukan wajib. Ertinya sunat dan afdal bagi Muslimah kekal bertudung di hadapan kafirah.

Melihat dan Menyentuh sesama Wanita

Wanita melihat kepada wanita lain sama seperti lelaki melihat kepada lalaki lain, iaitu seluruh tubuh kecuali antara pusat dengan lutut. Pusat dan lutut tidak termasuk aurat pada pandangan jumhur, berbeza dengan pandangan Mazhab Hanafiy yang menganggap lutut adalah termasuk aurat.
Jadi haram bagi wanita melihat wanita lain di bahagian antara pusat dengan lutut sama ada dengan syahwah atau tanpa syahwat, sama ada ketika aman fitnah atau sebaliknya. Adapun bahagian yang lain daripada itu harus dilihat dengan syarat tidak ada syahwah dan tidak bimbang terjadi fitnah. Ini merupakan syarat mutlak yang meliputi semua pihak dan golongan, lelaki dengan lelaki, wanita dengan wanita, dan wanita dengan mahramnya.
Bahagian yang harus disentuh adalah sama dengan bahagian yang harus dilihat. Begitu juga hukum bermusafahah antara sesama wanita adalah harus dan digalakkan seperti lelaki sesama lelaki. Wanita Islam juga haus bermusafahah dengan wanita bukan Islam.

Dipetik dari kitab ’al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah’, Abdul Karim Zaidan, jilid 3, m.s. 141-268.

HUKUM MEMBACA DAN MENYENTUH KITAB SUCI AL-QURAN KETIKA HAID

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI PENYAYANG


I. HUKUM MEMBACA AL-QURAN
Ulamak bersepakat bahawa wanita haid harus berzikir dengan beristighfar, bertasbih, bertahmid, bertahlil dan lain-lain. Adapun membaca (tilawah) al-Quran, mereka berbeza pandangan.
Imam Abu Hanifah, Ahmad dan asy-Syafi’iy di dalam salah satu riwayat darinya berpendapat haram bagi wanita haid membaca al-Quran. Dalil mereka:
1. Hadis yang diriwayat dari Ibn Umar RA dari Nabi SAW, baginda telah bersabda maksudnya: “Orang yang berjunub dan wanita haid tidak harus membaca sedikitpun daripada al-Quran”. Riwayat Abu Daud, al-Tirzimi dan Ibn Majah.
2. Qias kepada orang yang berjunub. Kebanyakan ulamak berpendapat orang yang berjunub haram membaca al-Quran berdasarkan apa yang diriwayat oleh Ali RA, beliau berkata maksudnya: ”Rasulullah SAW keluar selepas menunaikan hajatnya (hadas kecil), lalu membaca al-Quran dan makan daging bersama dengan kami. Tiada suatupun yang menghalangnya dari membaca al-Quran kecuali junub”. Menurut riwayat al-Tirmizi : ”Rasulullah SAW membacakan al-Quran kepada kami dalam semua keadaan selagi mana baginda tidak dalam keadaan junub”. Mereka berkata, junub adalah hadas. Haid pula lebih besar hadasnya kerana wanita yang datang haid tidak boleh berpuasa selagi darah tidak berhenti. Sedangkan orang yang berjunub boleh berpuasa. Wanita haid juga tidak boleh menunaikan solat dan tidak boleh disetubuhi. Maka apa yang tidak harus dilakukan oleh orang yang berjunub kerana hadasnya, orang yang didatangi haid lebih-lebih lagi tidak harus.
Imam Malik, berpendapat orang yang didatangi haid tidak haram membaca al-Quran tetapi haram bagi orang yang berjunub. Alasannya ialah hari-hari haid adalah lama. Sekiranya wanita haid ditegah membaca al-Quran kita bimbang ia akan lupa. Salah satu riwayat dari Imam asy-Syafi’iy dan satu riwayat dari Imam Ahmad juga berpendapat tidak haram. Pendapat ini turut dipersetujui oleh Imam Ibn Taimiyah. Beliau telah mengemukakan beberapa dalil. Anataranya:
1. Tidak ada satu dalil pun, sama ada al-Quran atau as-Sunnah yang menegah wanita haid membaca al-Quran. Hadis yang diriwayatkan dari Ibn Umar adalah tidak sahih di sisi semua ahli Hadis kerana Hadis tersebut diriwayatkan oleh Ismail bin ’Iyasy dari Musa bin ’Uqbah dari Nafi’ dari Ibn Umar. Hadis-hadis Ismail dari Ahli Hijaz banyak berlaku kesilapan.
2. Ramai wanita yang datang haid pada zaman Nabi SAW. Sekiranya haram bagi mereka membaca al-Quran seperti solat tentulah Nabi SAW akan menerangkannya kepada umatnya serta diajar oleh Ummahat al-Mukminin dan perkara ini pastinya diketahui oleh ramai orang. Oleh kerana tiada larangan, sedangkan kedatangan haid seringkali berlaku ketika hayat baginda, nyatalah ia tidak haram.
Imam al-Bukhariy berkata: menurut pendapat Ibrahim, tidak mengapa wanita haid membaca al-Quran. Beliau juga berpendapat orang berjunub juga tidak mengapa membaca al-Quran. Sesungguhnya Nabi SAW berzikir mengingati Allah dalam semua keadaan. Ummu ’Atiyyah berkata: ”Kami diperintahkan membawa wanita haid keluar (ke tempat solat hari raya). Mereka ikut bertakbir dan berdoa dengan para jamaah”. Imam Ibn Hajar mengulas kata-kata al-Bukhari di atas bahawa maksud al-Bukhari ialah haid dan janabah (junub) tidak menghalang ibadah dan sah bagi mereka beberapa ibadah badaniyah seperti zikir dan lain-lain. Oleh kerana membaca al-Quran adalah satu zikir, maka ia adalah sama dengan zikir yang lain. Sekiranya membaca al-Quran itu ta’abbud, maka ia memerlukan dalil khusus mengenainya. Tetapi tidak ada satu Hadis pun yang sahih (di sisi Imam al-Bukhariy) mengenai larangan membacanya ketika haid dan junub. Meskipun terdapat Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh pihak lain, kebanyakan Hadis-hadis itu boleh diberbahaskan atau boleh ditakwil. Lantaran itu Imam al-Bukhariy dan Imam-imam lain seperti at-Tobariy, Ibn al-Munzir dan Daud az-Zohiriy yang berpendapat harus membacanya berpegang kepada Hadis yang bermaksud: ”Nabi SAW berzikir mengingati Allah dalam semua keadaan”. Zikir adalah umum, meliputi membaca al-Quran dan lain-lain. Hanya uruf sahaja yang membezakannya.

II. HUKUM MENYENTUH KITAB SUCI AL-QURAN

Jumhur berpendapat wanita haid dan orang yang berjunub tidak harus menyentuh al-Quran dan membawanya. Dalil mereka ialah:
1. Firman Allah SWT bermaksud:
”Bahawa sesungguhnya itulah Al-Qur'an yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan). Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara. Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. Al-Qur'an itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam.” [Al-Waqi’ah : 77-80]
Imam an-Nawawiy berkata, di dalam ayat di atas Allah SWT menyifatkan ’Qur'an itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam’. Ini jelas menunjukkan ia merujuk mushaf yang ada pada kita, bukan yang berada di Luh Mahfuz.
2 Hadis yang diriwayat dari Abi Bakr bin Muhammad bin ’Amru bin Hazm dari ayahnya dari datuknya, bahawa Nabi SAW telah menulis sepucuk surat kepada penduduk Yaman. Antara kandungan surat itu tertulis: ”Tidak menyentuh al-Quran kecuali orang yang suci”. Riwayat al-Athram dan ad-Daruqutniy.
Ketika mengulas Hadis ini, Imam asy-Syaukaniy berkata: Hadis ini menunjukkan bahawa mushaf tidak boleh disentuk kecuali orang yang suci. Tetapi ungkapan orang yang suci mengandungi banyak makna. Kadang-kadang ungkapan itu bermaksud orang yang beriman seperti firmanNya yang bermaksud: ” Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya orang musyrik itu najis,.......” [At-Taubah : 28] Di dalam sepotong Hadis Nabi SAW berkata kepada Abu Hurairah maksudnya: ”Mukmin itu tidak najis”.
Makna lain bagi ungkapan orang yang suci ialah orang yang tidak berhadas sama ada hadas kecil atau hadas besar dan orang yang di badannya tiada najis sama ada najis hissiy (najis yang nyata) atau najis hukmiy (najis yang tidak nyata). Ungkapan yang mengandungi pelbagai pengertian tidak boleh diputuskan pengertian mana yang mesti dipegang tanpa dalil lain yang menyokongnya. Dalam bab ini telah berlaku persepakatan ulamak bahawa tidak harus bagi mereka yang berhadas besar menyentuh al-Quran. Yang tidak selari dengan persepakatan ini hanyalah Daud az-Zohiriy.
Walaubagaimana pun ulamak Mazhab Malikiy mengecualikan guru dan pelajar. Mereka berkata harus bagi guru dan pelajar menyentuh dan membawa al-Quran. Ulamak Mazhab Hanafiy berkata harus menyentuh al-Quran yang diletak di dalam sarungnya.