Tuesday, May 25, 2010

Putera Raja (Al-Ameer) dan Pemunggah Barang (Al-Hammal)

Pada suatu hari, Putera Ali bin Khalifah al-Ma’mun al-‘Abbasiy menaiki menara istananya yang tinggi. Dari situ dia melihat kesibukan kotaraya Baghdad dangan aktiviti perniagaan yang sedang berjalan rancak. Tiba-tiba pandangannya tertumpah pada seorang lelaki yang mengambil upah mengangkut barang-barang. Wajahnya tampak tenang. Dia menyangkut tali di bahunya dan meletakkan barang-barang di atas belakangnya, memunggah dan mengangkut barang-barang dari satu kedai ke satu kedai, dari satu tempat ke satu tempat dengan upah tertentu.
Putera Ali (Al-Ameer) begitu tertarik dengan pergerakan lelaki itu (Al-Hammal). Dia terus berdiri memerhatikannya tanpa jemu. Apabila matahari naik segalah, dia melihat lelaki itu meninggalkan pasar yang sibuk menuju ke tepi sungai Dajlah. Dia mengambil wuduk lalu menunaikan solat dua rakaat kemudian mengangkat kedua tangannya dan berdoa. Selepas itu dia kembali semula ke pasar dan meneruskan aktiviti yang sama. Sebelum masuk waktu Zohor dia membeli sekeping roti dan membawanya ke tepi sungai. Dibasahkan roti dengan air lantas memakannya. Selesai makan dia mengambil wuduk dan menunaikan solat Zohor. Selepas solat dia tidur sekejap kemudian bangun dan kembali ke pasar untuk menyambung kerjanya.
Hari berikutnya Al-Ameer memerhatikan lelaki itu menjalankan aktiviti yang sama dengan jadual yang sama, tidak berubah daripada semalam. Demikianlah pada hari ketiga dan keempat. Lalu Al-Ameer mengutus salah seorang pengawalnya membawa lelaki itu mengadapnya di istana. Pengawal segera menjalankan arahan. Lelaki itu di bawa ke istana mengadap Al-Ameer. Maka berlakulah percakapan antara keduanya seperti berikut:
Al-Ameer: Tidakkah kamu mengenaliku?
Al-Hammal: Aku tidak pernah melihatmu, bagaimana aku boleh mengenalimu?
Al-Ameer: Aku adalah Putera Khalifah.
Al-Hammal: Itulah yang mereka beritahu kepadaku.
Al-Ameer: Apa pekerjaanmu?
Al-Hammal: Aku bekerja bersama dengan hamba-hamba Allah di bumi Allah.
Al-Ameer: Aku telah memerhatikanmu sejak beberapa hari yang lalu. Aku lihat kamu dalam keadaan yang susah, maka aku ingin meringankan kesusahanmu.
Al-Hammal: Bagaimana caranya?
Al-Ameer: Kamu dan keluargamu tinggal bersamaku di istana, makan dan minum dengan selesa. Kamu tidak risau, tidak sedih dan tidak berdukacita.
Al-Hammal: Wahai al-Ameer, tiada kesedihan bagi mereka yang tidak melakukan dosa, tiada dukacita bagi mereka yang tidak menderhakai Allah dan tiada kerisauaran bagi mereka yang tidak melakukan kejahatan. Adapun mereka yang pada waktu petang melakukan perkara yang dimurkai Allah, waktu pagi melakukan maksiat kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang risau, sedih dan dukacita.
Al-Ameer: Adakah kamu mempunyai keluarga dan bagaimana keadaan mereka?
Al-Hammal: Ibuku telah tua, adik perempuanku pula lumpuh dan buta. Kedua-duanya berpuasa setiap hari. Aku membawakan kepada mereka makanan untuk berbuka. Kami makan bersama-sama, kemudian tidur.
Al-Ameer: Bila kamu bangun dari tidur?
Al-Hammal: Apabil al-Hayyu al-Qayyum (Allah ‘Azza wa Jalla) turun ke langit dunia.
Al-Ameer: Adakah kamu menanggung hutang?
Al-Hammal: Ya! Dosa-dosaku yang lalu antara aku dengan Tuhanku
Al-Ameer: Adakah kamu inginkan kehidupan seperti kami?
Al-Hammal: Tidak! Demi Allah, aku tidak mahu!
Al-Ameer: Kenapa?
Al-Hammal: Aku takut hatiku akan jadi keras dan agamaku akan hilang.
Al-Ameer memerhatikannya dengan penuh ketaajuban dan Al-Hammal menasihati dan memperingatinya berhubung dengan iman dan tauhid. Kemudian dia pergi meninggalkan Al-Ameer untuk meneruskan hidupnya.
Pada suatu malam, Al-Ameer terbangun dari tidurnya yang lena. Dia benar-benar merasai bahawa dia telah lama tenggelam di dalam tidur yang amat nyenyak. Seolah-olah ada seseorang yang datang mengejutkannya. Pada tengah malam itu dia memberitahu pengawal-pengawalnya bahawa dia akan pergi ke tempat yang jauh. Dia berpesan kepada mereka supaya memberitahu ayahandanya bahawa mereka akan bertemu kembali pada Hari Perhimpunan yang agung.
Mereka bertanya apa yang menyebabkan dia membuat keputusan sedemikian?
Dia menjawab: Aku melihat kepada diriku, tiba-tiba aku tersedar bahawa selama ini aku tidur, sesat dan tiada halatuju yang jelas. Aku ingin berhijrah dengan ruhku kepada Tuhanku.
Dia keluar sendirian meredah kegelapan malam setelah menanggalkan pakaian kebesaran sebagai seorang putera raja dan memakai pakaian orang-orang fakir. Pemergiannya tidak diketahui oleh Khalifah dan penduduk kota Baghdad.
Dia memberitahu khadamnya pada hari dia meninggalkan istana bahawa dia berjalan menuju ke Bandar Wasit. Namun keadaannya tidak lagi sebagai seorang putera raja, tetapi sebagai seorang fakir rakyat biasa. Dia menjadi penjual di kedai membuat gelang (barang kemas). Dia mempunyai jadual tetap menghafaz al-Quran setiap pagi, puasa pada hari Isnin dan Khamis, bangun malam bertahajjud dan berdoa. Dia tidak menyimpan harta kecuali sekadar cukup untuk satu hari sahaja. Perasaan sedih, risau dan dukacita telah hilang daripadanya. Sifat sombong dan ujub juga telah lenyap dari hatinya.
Ketika kematian menghampirinya, dia menyerahkan sebentuk cincin kepada saudagar yang menjadi majikannya seraya berkata:
Aku adalah putera kepada Khalifah al-Ma’mun. Kalau aku mati, mandikan aku, kafankan dan kuburkan. Kemudian pergilah kamu menemui ayahandaku dan serahkan cincin ini kepadanya.
Setelah Al-Ameer meninggal dunia, saudagar melaksanakan pesanannya. Kemudian dia membawa cincin itu kepada Khalifah al-Ma’mun dan menceritakan kisah puteranya. Melihat cincin itu al-Ma’mun menangis dan meraung sekuat-sekuatnya menyebabkan semua menteri yang berada di istana turut menangis. Mereka mengakui bahawa Putera Ali telah memilih jalannya yang betul….
Sumber:
سياط القلوب, د. عائض القرني

Wednesday, May 19, 2010

Generasi Rabbani

Ubai bin Ka'ab r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengutusnya ke suatu daerah di Madinah untuk memungut zakat harta dari penduduknya. Ikuti kisahnya dalam melaksanakan misi tersebut:

Aku mengunjungi seorang lelaki dan meminta supaya ditunjukkan senarai harta yang ada padanya. Setelah membuat kiraan, maka aku mendapati dia hanya wajib membayar zakat sebanyak seekor anak unta. Lalu aku berkata kepadanya: "Serahkan kepadaku seekor anak unta. Ia merupakan sedekah yang wajib (zakat) ke atas kamu".

Lelaki itu menjawab: "Anak unta masih kecil. Ia belum mengeluarkan susu dan belum boleh ditunggangi. Ini untaku yang telah cukup umur, besar dan gemuk. Ambillah yang ini".

Aku menjawab: "Aku sekali-kali tidak akan mengambil lebih daripada apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepadaku. Di sana Rasulullah s.a.w. tidak jauh dari tempatmu. Jika kamu mahu menemuinya dan menawarkan apa yang kamu tawarkan kepadaku itu, lakukanlah!
Sekiranya baginda terima tawaranmu, aku terima. Jika baginda menolak, maka aku juga menolaknya".

Lelaki itu berkata: "Bawalah aku bertemu Rasulullah s.a.w."

Dia mengikutiku bertemu Rasulullah s.a.w. dengan membawa bersama unta yang ditawarkan kepadaku. Setelah sampai, dia berkata kepada baginda: "Wahai Nabi Allah, aku didatangi utusanmu untuk mengambil zakat hartaku. Demi Allah! Sesungguhnya tidak pernah datang seorang Nabi atau utusan Nabi sebelum ini untuk mengambil zakat daripada hartaku. Maka aku telah senaraikan semua harta milikku dan tunjukkan kepadanya. Dia memberitahuku bahawa aku wajib membayar seekor anak unta yang tiada susu dan tiada layak untuk ditunggangi. Tetapi aku minta supaya dia ambil untaku ini yang telah cukup umur, yang besar dan gemuk. Dia tidak mahu mengambilnya. Sekarang aku datang untuk menyerahkannya kepadamu, ambillah daripadaku ya Rasulullah!"

Baginda bersabda: "Memang apa yang dikatakannya itulah yang wajib ke atas kamu. Tetapi sekiranya kamu secara sukarela mahu memberi yang lebih baik, Allah akan memberi ganjaran pahala kepadamu dan kami menerima pemberianmu itu".

Lelaki itu berkata: "Inilah untaku ya Rasulullah. Ambillah!"

Maka Rasulullah s.a.w. perintahkan supaya diambil untanya sambil baginda mendoakan keberkatan untuknya dan hartanya.

Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim.

Tuesday, May 11, 2010

Musafir di Bumi Anbia'

Alhamdulillah hari ini selamat kembali ke tanah air dari perjalanan di Bumi Anbia' Damascus, Syria menghadiri Muktamar anjuran Mu'assasah al-Quds yang berlangsung mulai 7 May 2010 hingga 10 May 2010.



Sebahagian peserta wanita yang hadir, terdiri dari wakil-wakil Iraq, Aljeria, Mesir, Jordan dan lain-lain.




Bersama Abu al-Waleed (Khalid Misy'al) dan isteri.




Perwakilan wanita bersama aktivis wanita Palestin.

Tuesday, May 04, 2010

Untukmu Palestin



Oleh: Penyair


Seandainya matahari beredar dari kiri ke kanan
Seandainya pyramid berkecai, batu-batanya yang utuh rebah bergelimpangan
Seandainya setiap orang anak-anak zionis bisa kembali ke dalam perut ibu mereka menjadi janin
Tidak mungkin kami akan biarkan walau sejengkal bumi Palestin dirampas
Kami cinta kepadamu wahai Palestin
Kami cinta kepadamu wahai Palestin
Seandainya kamu tidak mampu melihat di hadapanmu
Kerana masa depanmu dipadam gelap
Seandainya kamu tidak upaya melihat di belakangmu
Kerana masa lampaumu telah dinoda penuh derita
Maka dongaklah mukamu ke atas sana
Di sana Tuhanmu sedang menghadapmu
Senyumlah…
Sesungguhnya di sana ada yang mencintaimu
Yang mengambil berat tentangmu
Yang melindungimu
Yang menolongmu
Yang mendengar suara dan doamu
Yang melihat penindasan ke atasmu
Dia-lah Allah
Dia tidak mengambil sesuatu daripadamu kecuali untuk memberi yang lebih baik
Dia tidak membuat kamu menangis kecuali untuk menjadikan kamu tertawa
Dia tidak menghalangmu dari sesuatu kecuali untuk mengurniakanmu sesuatu yang lebih mulia
Dia tidak mengujimu kecuali kerana Dia cinta kepadamu
Dia-lah matlamat, Dia-lah penyuluh ke jalan selamat.