“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;” (Aali ‘Imran:190)
Memang hebat KekuasaanMu yang Allah. Daripada pertukaran malam dan siang itulah terciptanya hari, minggu, tahun, dekad dan kurun. Dan pertukaran itulah mengubah suasana serta kehidupan makhluk, khususnya yang bernama manusia dan aku sebahagian daripadanya.
Pertukaran malam dan siang menukar bayi menjadi kanak-kanak, kanak-kanak menjadi remaja, remaja menjadi dewasa, dewasa menjadi tua, dan tua menjadi ….?
Hari ini, manusia menghitung sebagai hari pertama bagi suatu tahun baru, iaitu tahun 2013. Ia disambut dengan pelbagai acara, pelbagai gaya, pelbagai suasana, pelbagai rasa, pelbagai doa di sini sana.
Doa kita, sebagai muslim tidak lain dan tidak bukan supaya agama ini kian tersebar dengan lebih luas, supaya ia sampai, mengetuk pintu-pintu hati bani insan hingga ke gegendang telinga janin di dalam rahim ibu.
Doa kita, saudara-saudara kita rakyat Palestin yang terusir dari tanah air sejak lebih 60 tahun yang lalu akan kembali menjulang bendera kemenangan dengan izinNya, lantas musuh-musuh durjana yang merampas tanpa hak, yang bermaharajalela melakukan kezaliman tanpa batas akan tersungkur, tersembam dan terhina.
Doa kita, saudara-saudara kita di Syria meraih kemenangan, bebas dari cengkaman manusia paling jahat, Basyar al-Asad. Asad bermakna singa. Namun singapun tidak seganas Basyar yang membunuh anak bangsa sendiri. Doa kita semoga Allah segerakan pembalasanNya terhadap si kejam pemusnah umat itu.
Doa kita, saudara-saudara kita di mana-mana jua di seluruh pelusuk alam maya ini diampuni dosa-dosa mereka, diberi hidayah ke jalan yang lurus, diberi kekuatan untuk iltizam dalam perjuangan menegakkan Kalimah Allah sehingga tiada lagi fitnah dan dunia tunduk menyerah hanya kepada Allah.
Doa kita, sebagaimana Allah telah panjangkan usia kita hingga ke saat ini, maka hendaknya Dia membimbing kita supaya mampu memanfaatkan usia yang masih berbaki ini untuk meningkatkan amal soleh sebagai bekalan hari esok ketika kita dipanggil pulang mengadapNya. Ketika itu, tidak ada apa yang bermanfaat kecuali amal soleh.
Doaku, Allah lembutkan hati anda semua yang membaca coretan ini untuk memaafkan segala kesalahanku terhadap kalian sama ada yang zahir atau tersembunyi, yang sengaja atau tidak sengaja, yang masih dikenang atau yang sudah lupa. Maafkan aku, semoga dengan kemaafanmu Allah terima diriku dengan limpahan rahmat serta keredhaanNya.
And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Monday, December 31, 2012
Monday, December 24, 2012
Rakyat Mesir Berbicara Tentang Dirinya
Risalah minggu ini
Nukilan: al-Ustaz Dr. Muhammad Badi'e, Mursyid Aam Ikhwan Muslimin
Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam. Selawat dan salam ke atas imam para nabi dan petunup para rasul, ke atas keluarga baginda, sahabat dan tabi'in yang mengikutinya dengan ihsan sehingga ke hari pembalasan. Amma ba'du..
Sesungguhnya Mesir mempunyai kedudukan yang sangat besar, sejarah yang panjang dan mendalam akarnya, tamadun yang dikagumi oleh setiap mata yang memandang, negeri yang dirindui oleh hati manusia yang mengunjunginya, dan masa depan yang gemilang dan bergemerlapan, yang mana kebaikannya tidak melimpah di bumi Mesir sahaja, sebaliknya ia merupakan harapan seluruh manusia umumnya, umat Islam khususnya, dan lebih khusus lagi umat Arab, muslim di timur tengah.
Sesungguhnya Allah telah memuliakan Mesir dengan kelebihan yang sangat banyak; dari segi penduduknya, sejarahnya dan geografinya. Allah menjelaskan kelebihannya di dalam al-Quran, menurunkan padanya keberkatan-keberkatan, pernah didiami dan dilalui oleh para nabi, ulama', khulafa', hukama', raja-raja dan perkara-perkara yang menakjubkan yang tidak terdapat di negeri lain serta tidak ada di bumi selain Mesir.
Abdullah bin 'Amru bin al-'Aas r.'anhu menyifatkan Mesir dengan kata-katanya: "Bangsa 'ajam yang paling mulia, tangan yang paling pemurah, etnik yang paling afdhal, paling kasih kepada Arab umumnya dan Quraisy secara khusus. Sesiapa yang mahu mengingati Syurga al-Firdaus atau melihat tempat yang seumpamanya di dunia ini, maka lihatlah kepada bumi Mesir ketika tanamannya menghijau dan buah-buahnya lebat meranum."
Diriwayatkan bahawa Ka'ab al-Ahbar berkata tentang Mesir: "Kalaulah tidak kerana cintaku kepada Baitil-Maqdis, aku tidak akan menetap kecuali di Mesir." Apabila ditanya tentang sebabnya, beliau menjawab: "Kerana Mesir sejahtera dari fitnah. Sesiapa yang ingin melakukan kejahatan terhadap Mesir, Allah akan sungkurkan wajahnya. Mesir adalah negeri yang diberkati bagi mereka yang mendiaminya."
Mesir juga dipanggil Ibu kepada negeri-negeri (Ummu al-Bilad), penulung sekelian hamba (Ghauth al-'Ibad). Pernah disebut bahawa Mesir tertulis di dalam kitab-kitab terdahulu. Semua bandar-banda menadah tangan ke arah Mesir meminta makanan daripadanya.
Mungkin tidak perlu dihitungkan semuanya. Sudah memadai jika disebut bahawa sejak zaman berzaman Mesir menghulurkan manfaatnya, sumbangan kepakarannya kepada dunia seluruhnya khususnya al-Haramain yang mulia (Makkah dan Madinah). Daripada Mesirlah datangnya makanan, pakaian dan segala keperluan asas ke tanah haram itu. Dengan itu bermakna Mesir memberi makanan kepada seluruh isi dunia yang datang menunaikan haji sepanjang mereka berada di sana. Mereka yang datang dari selatan dan utara yang terdiri dari kaum muslimin India, Andalusia dan yang terletak di antara keduanya mengambil belakan mereka dari Mesir. Hal ini tidak dinafikan oleh sesiapapun. Maka cukuplah sebagai keberkatan dari segi agama dan dunia.
Al-Quran al-Karim mengabadikan nama Mesir
Sesungguhnya Allah menyebut Mesir di dalam Kitab SuciNya pada 24 tempat. Sebahagiannya dengan lafaz yang jelas dan sebahagiannya difahami melalui tafsir.
Antara ayat-ayat berkaitan dengan Mesir:
1. "Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya dan mentimunnya dan bawang putihnya dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab: "Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke Mesir kerana di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu" Al-Baqarah:61
2. "Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istanaku)? Tidakkah kamu melihatnya?” (Az-Zukhruf:51)
3. “Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya).” (Yunus:87)
4. “Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya". (Yusuf:55)
5. “Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman.” (Yusuf:99) Di dalam kitab Taurat juga ada menyatakan: Mesir adalah khazanah bumi seluruhnya. Sesiapa yang berniat jahat terhadapnya Allah akan mematahkannya.
6. “Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik (Mesir, sesudah Kami binasakan Firaun) dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik.” (Yunus:93)
7. “Dan Kami jadikan (Nabi Isa) Ibni Mariam serta ibunya sebagai satu tanda (mukjizat) dan Kami telah menempatkan keduanya di tanah tinggi (Mesir), tempat tinggal yang ada tanaman dan mata air yang mengalir.” (50)
8. “Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin dan Mesir) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi)” (Al-A’raf:137)
9. “Banyak sungguh kebun-kebun dan mata air, mereka tinggalkan, Dan juga berbagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah mulia, Dan juga kemewahan hidup, yang mereka sekian lama menikmatinya (di Mesir). Demikianlah keadaannya (hukum Kami ke atas orang-orang yang derhaka) dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan orang-orangnya: Milik kaum yang lain (kaum Bani Israil).” (Ad-Dukhan: 25-28)
Selain daripada ayat-ayat di atas, Nabi s.a.w. memuji Mesir dengan sabdanya bermaksud: "Nil, Sihan, Jihan dan Furat daripada sungai-sungai syurga." Setengah orang berkata: "Sesiap yang ingin melihat seakan-akan syurga, maka lihatlah kepada Mesir ketika ia berbunga".
Sesungguhnya semua itu menunjukkan Mesir tetap kekal, kebaikannya melimpah ruah dengan syarat orang yang memegang tampuk pemerintahannya menggabungkan antara ilmu dan iman, sebagaimana ucapan Nabi Yusuf 'alaihis-salam " sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”. Dan kalaulah tidak kerana kebaikannya yang sangat banyak, hasilnya yang sangat besar, tentulah Mesir sudah lenyap dari peta dunia disebabkan ia dirompak berdekad-dekad lamanya. Justeru, kami amat yakin bahawa kebangkitan Mesir telah bermula dan revolusi akan meneruskan kerjanya serta jihadnya sehingga Mesir bebas dari saki baki kaum perosak dan kepala-kepala penjahat yang kami simpati kepada mereka apabila Allah membalas mereka demi menyelamatkan manusia dari tipu daya serta putar belit mereka. “Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya.” (Al-An’am:123)
Di dalam satu wasiatnya yang sangat berharga, Rasulullah s.a.w. menyifatkan ahli Mesir sebagai sebaik-baik tentera di bumi, iaitu tentera yang taat yang berhajat kepada qiadah. Dan apabila terdapat di sana qiadah yang fasid yang ditaati oleh tentera-tentera ini, maka ia berhajat kepada qiadah yang matang dan tentera-tentera yang sedar insaf.
Wasiat Rasulullah s.a.w. tentang ahli Mesir
Muslim meriwayatkan di dalam kitab sahihnya, daripada Abu Dzar r.’anhu secara marfu’ : “Sesungguhnya kamu akan membuka satu negeri yang dikenali sebagai permata berharga (Qirat). Maka hendaklah kamu berpesan berbuat baik kepada ahlinya. Sesungguhnya mereka ada kehormatan dan hak serta silatul rahim.” Dalam riwayat lain, “Hendaklah kamu berpesan berbuat baik kepada ahli (penduduk) Mesir kerana mereka ada hak nasab dan semenda.”
Maksud nasab ialah Hajar isteri Nabi Ibrahim, bonda kepada Nabi Islamil yang berasal dari Mesir dan Rasulullah s.a.w. adalah keturunan Nabi Ismail. Maksud semenda pula Mariah al-Qibtiyyah, bonda kepada Ibrahim putera baginda s.a.w.
Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda maksudnya: “Hendaklah kamu berpesan berbuat baik kepada qibti kerana sesungguhnya kamu akan mendapati mereka adalah sebaik-baik penolong dalam memerangi musuh kamu.” Dalam riwayat lain: “Dan mereka adalah penolong kamu dalam menentang musuh kamu dan penolong kamu dalam menegakkan agama kamu.”
Dalam riwayat lain: “Awasi Allah dalam hubungan kamu dengan qibti di Mesir. Sesungguhnya kamu akan menang ke atas mereka dan mereka akan menjadi pendokong dan penolong kamu di jalan Allah.”
Wasiat-wasiat ini wajib dipegang oleh setiap muslim. Jika tidak, Rasulullah s.a.w. menjadi musuhnya. Adakah di sana terdapat sebarang alasan bagi mereka yang suka mencari alasan?
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila Allah membukakan Mesir untuk kamu, ambillah di situ tentera yang ramai kerana tenteranya adalah sebaik-baik tentera di muka bumi.” Maka Abu Bakar bertanya baginda: “Kenapa demikian wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kerana mereka dan isteri-isteri mereka sentiasa berkawal di sempadan (sentiasa berjihad) sehingga ke hari qiamat.” Ketika disebut tentang Mesir di hadapan baginda, baginda bersabda maksudnya: “Tidak papa seorangpun di sana melainkan Allah akan cukupkan mereka dengan bantuannya.”
Rasul-rasul yang mulia di bumi Mesir
Antara keistimewaan Mesir ialah namanya diberikan bersempena dengan nama seorang daripada zuriat Nabi Nuh ‘alaihis-salam. Dan Nabi Nuh pernah mendoakannya. Daripada Ibn Abbas r.’anhuma katanya: “Nabi Nuh telah berdoa kepada Tuhannya untuk cicitnya Mesir bin Baisor bin Ham. Nama cicitnya itulah dinamakan bumi Mesir dan dia adalah bapa kepada Qibti. Doa Nabi Nuh bermaksud “Ya Allah berkatilah dia (Mesir) dan zuriatnya. Tempatkanlah dia di bumi yang berkat yang merupakan ummu al-bilad, penolong sekelian hamba, sungainya semulia-mulia sungai di dunia. Dan jadikan padanya seafdhal-afdhal keberkatan, serta sediakan untuknya dan anak-anaknya bumi dan jadikan bumi itu tunduk kepada mereka (senang bagi mereka mengambil manfaatnya).”
Abu al-Anbiaa’ Ibrahim ‘alaihis-salam pernah singgah di Mesir dan dihadiahkan kepadanya Hajar. Dan Allah anugerahkan menerusi Hajar Ismail ‘alaihis-salam. Yang menjadi sebab Nabi Ibrahim memasuki Mesir ialah apabila baginda diperintahkan keluar dari negerinya dan berhijrah ke Syam, baginda keluar bersama isterinya Sarah dan Lut ‘alaihis-salam. Ketika mereka sampai di Harran dan berhenti di situ, penduduknya sedang mengalami kebuluran, lalu Nabi Ibrahim berangkat ke Mesir bersama Sarah.
Nabi Yusuf ‘alaihis-salam pernah hidup di Mesir dan mengendalikan khazanahnya. Ayahandanya Nabi Ya’kub serta saudaranya turut berhijrah ke Mesir kerana menyelamatkan diri dari kebuluran yang menimpa negeri tempat mereka tinggal. Di Mesir juga lahir Nabi Musa dan Harun. Di situ mereka berhadapan dengan Firaun serta tukang sihirnya. Lantas semua tukang sihir beriman secara serentak. Kita tidak pernah mendengar satu kumpulan manusia yang ramai beriman secara serentak pada masa yang sama, lebih ramai daripada jamaah Qibti. Maka mereka menjadi pengikut Musa yang setia. Dan tidak terdapat seorangpun dari kalangan Qibti yang terpesong aqidahnya bersama bani Israel yang terpedaya menyambah anak lembu. Ini jelas menunjukkan bahawa kebatilan tidak akan kekal lama dan usaha untuk menyesatkan yang dilakukan oleh media massa akan lebur apabila kebenaran menyerlah. Dan para pendokong kebenaran sedia berkorban nyawa demi mempertahankannya. Inilah yang ditunjukkan oleh ahli sihir: “Mereka menjawab: Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja. Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya.” (To Ha: 72-73)
Dan ketika Maryam bimbangkan puteranya Isa ‘alaihis-salam dibunuh Bani Israel, Allah ilhamkannya supaya membawa puteranya ke Mesir. “Dan Kami jadikan (Nabi Isa) Ibni Mariam serta ibunya sebagai satu tanda (mukjizat) dan Kami telah menempatkan keduanya di tanah tinggi, tempat tinggal yang ada tanaman dan mata air yang mengalir.” (Al-Mu’minun:50)
Adapun Rasul kita s.a.w. telah singgah pada malam Isra’ di Tur Sina. Ketika tiba di situ Jibril berkata kepada Rasulullah s.a.w.: “Turunlah dan solatlah”. Maka Nabi pun solat. Lalu Jibril bertanya: “Tahukah anda di mana anda solat? Anda telah solat di Tur Sina tempat Allah berbicara dengan Musa.”
Dan Mesir adalah satu-satunya Negara yang disebut namanya di dalam Taurat, Injil dan Quran. Begitu juga tidak terdapat Negara di dunia yang mempunyai bendera dengan tertulis namanya.
Wahai bangsa Mesir yang hebat:
Ini adalah satu titik darpada lautan yang amat luas, yang menegaskan bahawa Mesir adalah negeri yang hebat dan sejarahnya yang agong. Agama merupakan rahsia kehebatannya, sumber ketamadunannya. Dan rasul-rasul yang mulia adalah pembawa agama samawi yang turun di Mesir, lantas orang yang takut menjadi aman, orang yang lapar menjadi kenyang. Dan selepas dibuka oleh Islam, Mesir terus gemilang, menjadi tempat perlindungan semua penganut agama, menyebarkan rahmat, keadilan dan persamaan. Semua golongan terdiri dari muslim, masihi dan yahudi hidup aman dan sejahtera di bumi Mesir.
Wahai bangsa Mesir yang hebat:
Sesungguhnya kamu telah bangun dengan thaurah yang hebat secara aman membuatkan dunia terpesona. Kini kamu keluar untuk menyempurnakan perjalanan thaurah dalam acuan tamadun untuk memberi undi kepada dustur (perlembagaan). Kamu berbaris dalam barisan yang panjang, menanti masa yang lama untuk memberikan suara kamu, menyatakan pandangan kamu. Semua ini merupakan jawapan secara amali kepada golongan yang mahu mengangkat diri mereka sebagai penguasa ke atas rakyat jelata. Rakyat menunjukkan contoh terunggul bahawa tidak ada seorangpun yang boleh menipu mereka. Mereka bukan cecair yang mengikut apa saja aliran. Mereka adalah bangsa yang tidak memberikan kepercayaan kecuali kepada orang yang mengenali hak watan, orang yang mengutamakan kemaslahatan watan keatas maslahat peribadi, yang berkorban apa saja demi mengangkat darjat watan dan memuliakannya, yang berjaga malam supaya orang lain tidur tenang, yang membanting tulang supaya orang lain bahagia, bahkan mengorbankan nyawanya demi kehidupan watannya.
Wahai bangsa Mesir yang hebat:
Nilai dirimu dengan nilai yang sebenarnya. Kemukakan kepada dunia gambaran kehidupan Mesir yang hebat dan bangsanya yang unik. Sesungguhnya umat manusia berhak untuk menuntut kamu mara, bukan untuk kebangkitan Mesir sahaja, tetapi untuk menyelamatkan manusia dari kecelakaannya dan penderitaannya yang telah sekian lama mencengkam disebabkan system dunia yang menguasai mereka.
Dunia telah merasai cengkaman system komunis dan masih merasai cengkaman kapitalis. Komunis menghancurkan hak individu demi kemaslahatan masyarakat, manakala kapitalis mengabaikan hak masyarakat serta nilai-nilainya demi kemaslahatan individu. Komunis telah lenyap dan kapitalis juga akan lenyap dengan izin Allah. Dan tidak tinggal untuk membangun kemanusiaan kecuali manhaj Allah yang disediakan untuk hambaNya. “Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!” (Al-Mulk:14)
Demikianlah dunia ini, di bawah kekuasaan politik yang zalim dan tamak menjadi seperti sebuah kapal yang terumbang ambing di tengah lautan yang kaptannya kebingungan, ditiup angin kencang dari segenap penjuru. Manusia seluruhnya menderita, tersiksa, tidak tentu hala dibakar api ketamakan harta benda. Mereka sangat-sangat berhajat kepada kedamaian hidup di dalam lingkungan Islam yang suci, bagi membalut luka-luka yang pedih dan seterusnya membawanya ke mercu kebahagiaan.
Masa depan untuk Islam
Sesungguhnya Imam Hasan al-Banna rahimahullah telah meramalkan bahawa masa depan untuk Islam. Beliau berkata: “Sesungguhnya kepimpinan dunia pada suatu masa dahulu di tangan Timur sepenuhnya, kemudian setelah kemunculan Yunan dan Rom berpindah ke Barat. Kemudian dengan kebangkitan Nabi-nabi Musa, Isa dan Muhammad berpindah ke Timur sekali lagi. Kemudian timur menjadi leka dan Barat bangkit semula. Maka sunnah Allah ‘Azza wa Jalla tidak bertukar ganti, Barat mengambil alih sekali lagi. Dan kini Barat sedang membuat kezaliman, melampau batas dan hilang arah tujuan. Maka tidak tinggal sedikit waktu melainkan Timur akan menghulurkan tangannya yang kuat, mengebarkan panji-panji Allah Ta’ala. Lantas dunia akan tunduk menyerah penuh redha dan alam seluruhnya melaungkan “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayat petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufikNya);” (Al-A’raf:43)
Ini bukan satu khayalan. Bahkan ia merupakan hukum sejarah yang benar. Meskipun ia mungkin tidak berlaku pada zaman kita “maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.” (Al-Maidah:54)
Namun kita tetap mengharapkan agar kita termasuk dalam golongan yang berjaya meraih kelebihan ini dan tertulis nama-nama kita di dalam senarai kemuliaan “Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya.” (Al-Qasas:68)
Wahai bangsa Mesir yang hebat:
Kita berada di ambang persimpangan sejarah yang memisahkan masa lalu dan masa akan datang. Keyakinan kita tetap teguh bahawa Mesir akan selamat dari segala bentuk fitnah. Mesir akan keluar dari halangan-halangan ini memimpin manusia dan menerajuinya kerana thaurah yang hebat ini berlaku dengan izin Allah dan kurniaNya semata-mata, dengan taqdir dan peliharaanNya. Dengan NamaNya dia bergerak, dengan NamaNya dia balayar dan dengan tenteraNya serta tadbiranNya dia akan sampai ke destinasinya. Bangsa yang hebat ini tidak berhajat kecuali mengikhlaskan niat dan jujur dengan Allah ‘Azza wa Jalla. Sesungguhnya sesiap yang jujur dengan Allah, Allah akan jujur dengannya. Di samping ikhlas dan jujur kita perlukan amal yang berterusan serta tidak henti-henti di atas landasan ilmu, berpaksikan akhlak dan nilai yang menjadi tonggak kepada kebangkitan dan kemajuan sesuatu bangsa.
Jangan kamu pedulikan media massa yang menyesatkan, yang semakin terbongkar kebohongannya. Kita bimbang sekiranya mereka berterusan berbohong, Allah akan catatkan nama mereka di sisiNya sebagai pembohong sebagaimana yang pernah diberi peringatan oleh Rasulullah s.a.w. “Hendaklah kamu sentiasa benar. Sesungguhnya benar membawa kepada birr, dan birr membawa kepada jannah. Dan sentiasalah seseorang itu benar sehingga ia ditulis di sisi Allah sebagai siddiq. Jauhilah dusta kerana dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa ke neraka. Dan sentiasalah seseorang itu berdusta sehingga ia ditulis di sisi Allah sebagai kazzab (maha pendusta)”.
Dan Maha Benarlah Allah yang berfirman: “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayat petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.” (As-Soff:8-9)
والله أكبر ولله الحمد
Cairo 7 Safar 1434 bersamaan 20 Disember 2012
Sumber:
http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=213&ArtID=132424
Subscribe to:
Posts (Atom)