Lama tidak berkesempatan memasukkan apa-apa
bahan ke dalam blog. Hari ni, sempat berkenalan secara sepintas lalu dengan seorang
tokoh yang sangat hebat dilahirkan di bumi barakah, Palestin. Beliau tidak lain
dan tidak bukan, Perdana Menteri Ismail Haniyeh.
Dilahirkan pada tahun 1962 di khemah
pelarian Palestin di kawasan pantai Ghazzah (Gaza). Keluarganya merupakan pelarian
yang berasal dari kampung al-Jurah dekat Asqalan. Kampung itu telah termasuk di
dalam sempadan kawasan yang dikuasai Zionis sejak tahun 1948.
Ismail Haniyeh mengikuti pengajian di Gaza
sehingga ke peringkat universiti dan memperolehi ijazah dalam bidang
kesusasteraan Arab pada tahun 1987.
Beliau mempunyai 13 orang cahayamata.
Beliau ditangkap oleh rejim zionis sebanyak
empat kali. Tempoh paling lama beliau meringkuk di dalam penjara adalah pada
tahun 1989 yang berlanjutan selama tiga tahun. Selepas dibebaskan, beliau
diusir ke Selatan Lubnan bersama 400 orang aktivis dari kalangan anak-anak
Palestin, termasuk Mahmud az-Zahhar dan Abdul Aziz ar-Rantisi. Sekembalinya ke
Gaza semula pada tahun 1993, beliau dilantik sebagai dekan di Universiti Islam
Gaza.
Selepas keluar dari penjara zionis kali
terakhir pada tahun 1997, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengurus pejabat
Sheiikh Ahmad Yasin. Kehadirannya telah dapat menguatkan lagi saf perjuangan
HAMAS.
Beliau terlepas dari cubaan membunuh yang
dilepaskan dari udara yang ditujukan ke arah Ahmad Yasin pada tahun 2003,
menjadikan dia masih hidup sehingga ke hari ini.
Selepas Ahmad Yasin dibunuh, HAMAS telah
memutuskan beliau menjadi salah seorang anggota kepimpinan bersama Mahmud
az-Zahhar, Sa'eid Siam dan Abdul Aziz ar-Rantisi pada tahun 2004. (Ar-Rantisi
juga telah ditembak sehingga syahid oleh rejim zionis)
Pada bulan Januari 2006 Ismail telah˙ memimpin
barisan "Islah wa Taghyir" dan telah mencapai kemenangan besar dalam
pilihanraya parleman Palestin. Dengan kemenangan itu, HAMAS berjaya membentuk
kerajaan di bawah pimpinan Ismail Haniyeh.