Wednesday, April 05, 2017

CORAT-CORET TETAMU ALLAH


Alhamdulillah dengan rahmat Allah serta izinNya, pada hari rabu 15 Mac 2017 aku dan suami berangkat ke tanah suci untuk menunaikan umrah dan menziarahi Rasulullah s.a.w.
Setiap detik, setiap langkah yang dilalui banyak peristiwa yang menjadi pengajaran dan pentarbiahan bagi mengukuhkan keyakinan terhadap kebesaran Allah serta kehendakNya yang mutlak, tidak mampu ditolak dan dielak. Pengalaman-pengalaman yang dilalui sepanjang perjalanan menyahut seruan Allah kali ini merupakan tarbiah bil-ahdath (tarbiah melalui peristiwa) yang mengesankan.

1.       Baju

Bulan November tahun lepas aku ke Jakarta. Oleh kerana telah tersimpan niat untuk mengerjakan umrah, aku membeli sehelai jubah putih untuk dipakai semasa ihram yang memang disunatkan memakai pakaian berwarna putih. Sehari sebelum berangkat aku mencuba jubah yang dibeli dan ternyata potongannya kurang selesa. Bahu agak besar dan panjangnya pun perlu dipotong. Keluarkan mesen jahit untuk baiki. Benang putih pulak tidak ada. Hati sudah berbolak balik sama ada nak hantar kepada tailor untuk dibaiki atau tinggalkan saja. Nak cari benang dan baiki sendiri tidak mampu. Banyak lagi urusan yang perlu dibereskan. Akhirnya selepas zohor pergi juga jumpa tailor. Alhamdulillah beliau sanggup betulkan dan janji siap sebelum maghrib.
Sebelum maghrib tak sempat ambil sebab tetamu datang. Selepas maghrib pergi ambil baju, kemudian terus ke restoran. Anak  belanja dinner. Baju tinggal dalam kereta. Lepas makan suami terus pergi usrah, aku balik ke rumah dengan anak.
Pagi rabu, selepas sarapan dan kemas barang-barang kamipun berangkat menuju ke KLIA dengan kereta anak. Di pertengahan jalan baru teringat baju di dalam kereta tak diambil. Untuk berpatah balik sudah agak jauh, waktupun dah suntuk.
Itulah ketentuannya. Baju itu tidak ditakdirkan untuk dibawa. Maka Allah izinkan kita lupa untuk mengambilnya.

2.       Beg

Penerbangan dari KLIA terus ke Madinah mengambil masa 9 jam. Urusan di airport memakan masa hampir dua jam. Dan tiba di Kota Madinah waktu maghrib. Menunggu agak lama juga untuk dapat kunci bilik. Di Masjid Nabawi solat maghrib sedang didirikan. Selepas dapat kunci, masuk ke bilik untuk bersiap ke masjid. Harap sempat solat maghrib dalam waktunya di masjid yang mulia itu. Pahlanya 1000 kali berbanding solat di tempat lain kecuali Masjidil-Haram di Mekah. Cuba buka beg untuk ambil telekung dan keperluan-keperluan lain. Terngiang-ngiang suara anakku memberitahu ketika dia mengunci beg itu bahawa kod untuk membukanya adalah 009. Namun beg tidak terbuka. Cuba 900, pun tak terbuka. Cuba yang lain-lain juga gagal. Akhirnya lupakan tentang percubaan membuka beg kerana bimbang terlepas waktu maghrib. Aku terus ke masjid bersama rakan sebilik.
Di masjid, selepas solat fardhu aku solat hajat dua rakaat memohon agar Allah beri petunjuk bagaimana hendak membuka beg yang berisi pakaian dan semua keperluan sepanjang berada di Madinah dan Mekah. Sebelum melangkah keluar dari masjid, aku minum segelas air zamzam dengan niat supaya beg dapat dibuka kerana yakin kepada janji Rasulullah s.a.w. air zamzam adalah untuk apa yang kita niat ketika meminumnya.
Balik ke bilik, dengan penuh doa dan tawakkal kepada Allah aku mencuba. Mula dengan 009 sebagaimana yang diberitahu oleh anakku. Tidak terbuka. Cuba 008. Subhanallah walhamdulillah! Dengan izinNya beg terbuka. Tak tahu di mana silapnya? Anakku salah cakap, aku salah dengar atau salah ingat? Apabila tiba waktu pulang, jumpa anak aku tanya dia berapa nombor kod untuk buka beg? Dia jawab 009.
Pengajarannya, mintalah dan bergantunglah kepada Allah sepenuhnya walau dalam urusan apa sekalipun...

3.       Kunci

Sebelum dapat buka beg, aku diuji dengan masalah kunci bilik. Ia hampir-hampir meruntuhkan istana kesabaranku ataupun benar-benar sudah runtuh?. Pulang dari masjid dengan hati yang masih sebu memikirkan masalah beg yang tak boleh dibuka, aku ke kaunter mengambil kunci bilik yang berupa sekeping kad. Naik ke bilik yang terletak di tingkat dua. Kad diimbas pada tumbol pintu. Jika kad itu betul, tumbol akan memantulkan lampu berwarna hiaju dan pintupun boleh dibuka. Jika tidak, tumbol akan memantulkan lampu berwarna merah dan pintu tidak boleh dibuka. Aku imbas kad yang ada di tangan. Sekali, dua kali, tiga kali dan entah beberapa kali, lampu merah yang terpantul. Aku mengheret kaki yang memang sudah keletihan turun ke kaunter dan memberitahu pintu tidak boleh dibuka. Receptionist  membuat sesuatu pada kad lalu diserahkan semula kepadaku. Aku keberatan untuk mengambilnya kerana bimbang perkara sama akan berulang. Dia berkata, ini ok. Tadi aku salah set 244. Aku sudah betulkan 224.
Aku mengambil kad dari tangannya, naik ke atas dan mengimbas kad di tumbol. Pintu tidak juga dapat dibuka. Aku terpaksa turun lagi dengan keletihan yang sudah berganda. Di hadapannya aku meluahkan perasaan (dalam BA, ni nak bangga sposen sebab boleh cakap arab haha) kenapa buat aku macam ni? Aku penat, turun naik, turun naik, pintu tak boleh buka juga? Dia menghantar seorang pekerja untuk tengok. Pengurus travel juga ikut naik. Pekerja itu buat sesuatu dengan kad yang di tangannya, kemudian imbas dengan kad aku. Akhirnya  pintu bilik boleh dibuka alhamdulillah.
Masuk ke bilik, tanpa berlengah, dengan harapan yang luas melaut aku terus berusaha membuka beg pula.
Selepas berjaya membuka beg dengan izinNya, aku terus ke bilik air mengambil wuduk dan menunaikan solat sunat mempersembahkan rasa syukur bergunung-gunung. Niat di hati, selesai solat mahu terus berehat. Ketika sedang duduk pada tahiyyat akhir, terdengar pintu diketuk dan suara memberi salam. Aku menamatkan solat dan bangkit membuka pintu. Ketua rombongan memberitahu aku diminta pindah ke bilik lain kerana ada jemaah yang tidak mahu berpisah dengan ahli keluarga mereka. Tak mengapalah. Perkara kecil saja. Bilik manapun sama saja sekadar untuk menumpang selama tiga malam. Akupun berpindah. Dan alhamdulillah rupanya Allah hendak bagi aku bilik yang lebih, lebih selesa dari segala segi ....
Pengajarannya, jangan putus bekalan tawakkal, sabar, syukur dan redha

4.       Solat di dalam pesawat

Penerbangan dari KLIA  ke Madinah mengambil masa selama lapan jam. Berlepas pukul 12.00 tenghari waktu Malaysia dan dijangka tiba pukul 4.00 petang waktu Saudi. Aku berkira, sempatlah solat jamak ta’khir di Madinah in syaa Allah.
Duduk di sebelah kiriku seorang jemaah wanita dari negara seberang. Dia menghabiskan kebanyakan waktu dengan tilawah. Mungkin dari kalangan yang agak terpelajar juga. Nampak dia dapat faham apabila pelayan bercakap bahasa Inggeris dengannya.
Selepas dua jam perjalanan, makan tengahari pun sudah dihidangkan, aku melihat dia bertayamum dengan menepuk belakang kerusi di hadapannya. Kemudian dia solat di tempat duduknya dua rakaat dan dua rakaat lagi. Selepas dia selesai, aku tanya “solat apa, bu?” “Zohor dan Asar” jawabnya. “Waktu belum masuk” jelasku. “Ketua rombongan yang bilang udah boleh solat”
Waktu itu pesawat sedang terbang melintasi lautan hindi. Mengikut peta perjalanan yang terpapar di skrin waktu di KL adalah 2.00 petang. Waktu tempatan (tempat pesawat berada) adalah 11.30 pagi dan waktu di Madinah adalah 9.00 pagi. Tak pasti waktu solat negeri mana yang mereka guna? Waktu tempatan belum masuk lagi. Waktu Madinah jauh sekali. Waktu KL?  Pesawat sudah terbang jauh meninggalkan KL. Pada pendapat aku kita mesti tunaikan solat mengikut waktu tempat kita berada.
Aku bangun ke tandas. Berhampirannya terdapat ruang yang agak selesa dijadikan musolla. Ramai jugalah yang sedang dirikan solat dengan bertayamum menepuk dinding musolla.
Apa yang aku ingin cuba sampaikan adalah pembimbing/mutawwif/ketua rombongan mesti peka dengan waktu solat. Pastikan jamaah yang kita bawa menunaikan solat di dalam waktunya yang betul

5.       Janji

Kami diberitahu bahawa penerbangan kami dengan SAUDIA jam 2.00 petang berlepas dari KLIA. Pagi itu kami bersiap-siap meletakkan sasaran untuk bergerak dari rumah pukul 10.00 pagi dan tiba di KLIA lebih kurang pukul 11.00.
Ketika sedang sarapan kira-kira jam 9.30, mendapat panggilan dari ketua rombongan bahawa penerbangan di tukar kepada jam 12.00 tengahari. Ya Allah rasa tak cukup nafas untuk bersiap. Tiba di kaunter, mereka sedang tunggu beg kami sahaja untuk dimasukkan. Pass masuk semua dah siap alhamdulillah. Kami terus masuk untuk menaiki pesawat. Di pass masuk tertulis gate C3. Pergi ke gate C3, diberitahu telah tukar ke C2.
Pengajarannya, janji makhluk walaupun dimaklumkan waktu serta tempat boleh berubah dan bertukar. Maka bersedialah untuk menerima perubahan dan pertukaran.
Tetapi janji al-Khaliq tidak pernah diberitahu waktu dan tempatnya. Namun ia tidak mungkin berubah dan bertukar! “maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Al-A'raaf 7:34). Maka bersedialah untuk memenuhi janji yang sudah pasti!

6.       Bilik Air

Lapan jam berada di dalam pesawat memaksa aku berulang ke tandas sebanyak tiga kali. Namun ini bukan isunya. Tapi apa yang aku temui semasa ke tandas itu.
Kali pertama, sampai di tandas pintu tidak berkunci. Aku teragak-agak untuk membukanya. Seperti ada penghuni di dalamnya. Aku tunggu sebentar. Kemudian keluar seorang penumpang dari tandas, masuk pula penumpang lain yang telah menunggu sebelum aku tiba di situ. Dia juga tidak kunci pintu. Dia keluar akupun masuk. Lantai tandas basah lenjun.
Kali kedua, sampai depan tandas ada seorang penumpang sedang menuggu. Di dalam tandas ada penghuni. Pintu tidak berkunci. Selepas penghuni itu keluar, yang menunggu lebih awal daripadaku masuk. Apabila masuk, dia tutup pintu. Kemudian membuka semula dan bertanya, “macam mana mau kunci pintu ni?” Terjawablah sudah kenapa beberapa orang penumpang sebelum ini tak kunci pintu. Selesai hajatnya, dia buka pintu dan tanya pula macam mana  mau pam?
Itu cerita tandas di dalam pesawat.

Di hotel juga ada ceritanya.

Aku keluar dari bilik air selepas mandi. Rakan sebilik bertanya, nampak ada shower tapi tak tahu nak buka. Puas cari pembukanya, tak jumpa. Aku tunjuk bagaimana cara membuka shower. Dia mandi, kemudian keluar sambil bersungut, sejuk. “Kenapa tak buka air panas?” Aku bertanya. “Ada ke? Macam mana nak buka?”
Selepas dia mandi, aku masuk. Lantai bilik air kebanjiran. Aku bertanya, “mandi atas lantai ke? Kenapa tak mandi dalam bathtub?” Dia tak jawab. Alhamdulillah ada juga lubang kecil untuk alirkan air walaupun ambil masa.
Bukan tujuan aku untuk menceritakan keaipan dan kejakunan orang lain dan menunjuk-nunjuk kepandaian diri sendiri. Tapi aku ingin supaya semua pihak yang mengandalikan urusan jemaah haji dan umrah memgambil berat perkara-perkara kecil begini. Jemaah datang dari pelbagai latar belakang. Selain bimbingan ibadah, mereka perlu didedahkan dengan kelainan budaya dan gaya hidup di tempat lain. Jangan andaikan semua orang mampu belajar sendiri walaupun perkara itu kecil.

7.       Quba’

Destinasi paling penting untuk diziarahi ketika di Madinah selain dari Masjid Nabawi adalah Quba’. Menurut penulis buku Raheeq Makhtum, dalam perjalanan hijrah ke Yathrib, Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar as-Siddiq r.a. singgah di Quba’ selama empat hari: Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Di situ baginda mengasaskan Masjid Quba’ dan menunaikan solat di masjid tersebut. Ia merupakan masjid pertama yang dibina di atas asas taqwa selepas nubuwwah (perlantikan sebagai nabi). Rasulullah s.a.w. sering mengunjungi masjid Quba’ dan menunaikan solat sunat dhuha di situ. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh  al-Bukhari daripada Ibn Umar r.a. Baginda sering mengunjunginya pada hari Sabtu. Terdapat beberapa hadis sahih mengenai kelebihan solat di masjid Quba’. Antaranya  baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian dia datang ke masjid Quba’ lalu mendirikan solat di dalamnya, baginya seperti pahala satu umrah.” Riwayat Ibn Majah.

Ketika rombongan kami tiba di persekitaran masjid Quba’ kami dapati ia di penuhi dengan bas-bas yang tak terhitung banyaknya. Ketua rombongan berkali-kali mengingatkan para jemaah agar perhati dan ingat betul-betul warna bas serta tempat parkingnya agar tidak tersilap atau tersesat.
Aku turun dari bas dan berjalan menuju ke masjid. Bagaimana banyaknya bilangan bas, begitulah ramainya bilangan manusia yang mengunjungi masjid ini. Sebelum tiba ke pintu masuk ruang solat wanita, kita akan lalui pintu ke tandas dan tempat wudhuk wanita. Subhanallah! Tak dapat digambarkan penuh sesak, berhimpit dan bertolak jemaah yang keluar dan masuk ke bilik tersebut. Syukur aku telah siap berwudhuk di hotel. Ketua rombongan telah mengingatkan, menurut hadis di atas, Nabi sebut “sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian datang ke masjid ...... baginya seperti pahala satu umrah”. Zahirnya kalau dalam keadaan belum wudhuk, tak dapat seperti pahala umrah. Namun, ada juga riwayat lain yang tak sebut tentang bersuci di rumah. Bersolat saja di masjid Quba’ dapat pahala seperti umrah sebagaimana yang ririwayatkan oleh Ahmad dan Tirmizi dan ditashihkan oleh Sayuti “Satu solat di masjid Quba’ menyamai satu umrah.”

Tiba di hadapan pintu masuk ke ruang solat wanita, ma syaa Allah! Tak dapat ku bayangkan betapa ramainya manusia. Aku cuba menyelit-nyelit untuk masuk dan mencari ruang untuk mendirikan solat. Aku solat tahiyyatul masjid dua rakaat dan sunat dhuha dua rakaat. Aku menangis di dalam sujud dan ketika menadah tangan berdoa kepadaNya. Dengan penuh rasa hiba, hina dan insaf aku berkata:

“Ya Allah, sesungguhnya hambaMu yang hina ini bersaksi dengan sesungguhnya Rasul yang Engkau pilih dan Engkau utuskan telah penyampaikan apa yang Engkau perintahkan dan apa yang beliau sampaikan telah tersebar dan menembusi hati makhlukMu di serata pelusuk dunia. Buktinya saat ini mereka datang berbondong-bondong kerana yakin kepada apa yang disampaikan oleh RasulMu. Mereka datang untuk mengejar pahala dan meraih RedhaMu.
“Ya Allah, ampunilah dosa semua hambaMu yang berada di sini pada saat ini, qabulkan semua doa mereka, limpahkan rahmat dan redhaMu kepada mereka...”

Itu sahaja doa yang mampu aku panjatkan dalam keadaan yang amat sesak, berhimpit-himpit, tolak menolak, jerit-menjerit, bantah-membantah dan bermacam-macam lagi termasuklah bau hapak dan masam yang terpaksa ditelan. Keadaan yang pada zahirnya memang tidak menggambarkan akhlak dan kesopanan muslim di dalam rumah Allah. Namun, siapalah aku untuk menyalahkan mereka? Bukankah mereka tetamu Allah dan tetamu Rasulullah? Bukankah mereka datang atas jemputan Allah dan RasulNya? Lantaran itu tidak ada doa yang mampu aku panjatkan ketika itu kecuali memohon agar Allah ampunkan dan memaqbulkan doa mereka semua, tetamuNya.

8.       Uhud

Uhud mencatat peristiwa penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. dalam menegakkan Islam yang suci. Uhud merupakan banjaran bukit yang terletak di sebelah utara Madinah. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda maksudnya: “Uhud adalah bukit yang mencintai kami dan kami mencintainya.” Riwayat Bukhari dan Muslim
Uhud menjadi saksi kepada satu peristiwa besar yang berlaku di dalam sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w. Satu peperangan yang sarat dengan pengajaran dan pentarbiahan. Mutawwif kami Ustaz Hakim @ Abd Alrahman Alhakim bin Md Jalil menceritakan secara terperinci detik-detik peperangan yang bersejarah itu dengan menunjukkan lokasi kejadian; di mana tempat berkumpul tentera musuh yang berjumlah 3000 orang dan dari arah mana mereka datang, di mana tempat berkumpul tentera Islam yang berjumlah 700 orang (asalnya 1000 orang tetapi 300 orang berpatah balik mengikut jejak  munafiq Abdullah bin Ubai). Bukit yang ditempatkan di atasnya tentera pemanah seramai 50 orang dipimpin oleh Abdullah bin Jubair r.a.

Dalam pusingan pertama, tentera musyrikian telah tewas dan mereka telah berundur, lari dari medan meninggalkan harta dan peralatan perang yang banyak. Tentera pemanah di atas bukit ar-Rumaah yang diperintahkan agar jangan turun selagi tidak menerima arahan dari Rasulullah s.a.w. telah membuat kesilapan. Mereka turun menuju ke tempat di mana rakan-rakan mereka sedang mengumpulkan harta rampasan yang sangat banyak. Ketika itu, tentera musyrikin di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid mengambil kesempatan berpatah balik ke medan sepantas kilat menyerbu tentera muslimin yang membawa kepada kekalahan yang teruk sehingga tersebar berita kewafatan Rasulullah s.a.w.

Mutawwif menunjukkan lokasi di mana Rasulullah s.a.w. terjatuh kemudian dibelasah oleh sekumpulan tenetera musyrikin dengan teruk, dari arah mana Khalid bin al-Walid dan tenteranya datang kembali selepas mereka tewas dan berundur dan lain-lain lagi. Semua itu berdasarkan pengalamannya bermukhayyam bersama shaikh-shaikh ketika menuntut di Jamiah Ummul Qura beberapa tahun yang lalu. Memang sangat mengesankan berbanding dengan membaca tulisan di dalam buku sirah semata-mata.

Aku mengadap ke arah perkuburan syuhada’ Uhud termasuk bapa saudara Nabi s.a.w., Hamzah bin Abdul Muttalib. Meskipun tidak dinyatakan bahawa lokasi ini tempat maqbul doa, aku tetap berdoa dan berharap Allah maqbulkannya. Aku meminta dengan penuh rasa hina supaya aku juga mati seperti mereka, mati di atas jalan yang mereka mati, mati yang bukan mati tapi mati yang menghidupkan hingga ke akhir zaman. Aamiin.

Peperangan Khandaq atau Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke lima hijrah juga tidak kurang penting di dalam sejarah kebangkitan Islam. Madinah diserang oleh Pasukan bersekutu dari kalangan musyrikin berjumlah 10,000 orang. Namun sebelum ketibaan mereka Rasulullah s.a.w. telah mengambil langkah bijak dengan menggali parit di sekeliling Madinah berdasarkan cadangan yang dikemukakan oleh Salman al-Farisi. Kesan peperangan ini tidak dapat dilihat kecuali masjid tujuh. Dikatakan bahawa masjid tujuh merupakan pos-pos kawalan tentera muslimin semasa di kepung pasukan bersekutu dalam peperangan tersebut. Akhirnya selepas satu bulan Madinah di kepung Allah Ta’ala menghantarkan tenteraNya menewaskan musuh-musuhNya sebagaimana di nyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.” (Al-Ahzaab 33:9)

Kisah peperangan yang bersejarah ini juga dipaparkan dengan begitu terperinci lagi mengesankan oleh mutawwif sebagaimana terdapat di dalam buku-buku sirah.

Kesimpulannya, jika anda berpeluang untuk menyahut seruan Allah, ambillah juga kesempatan mempelajari dan memahami sirah serta jejak-jejak perjuangan Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat yang mulia sehingga Islam tersebar menusuk ke dalam hati kita dan hati manusia di serata pelusuk alam semesta. Pilih mutawwif yang bukan saja mahir dalam ibadah tetapi mahir juga di dalam sirah (kempen!  Haha ... nak buat camana? Anak sendiri! )

9.       Oleh-oleh

Semasa berada di tanah suci, aku sempat ziarah tempat beli belah sebanyak tiga kali. Pertama, ketika lawatan ke luar Madinah melawat Quba’, Uhud dan lain-lain, kami dibawa singgah di pasar kurma. Aku dapati hanya jemaah dari Malaysia dan Indonesia sahaja yang memenuhinya. Jemaah dari negara lain tidak ada. Mungkin di tempat mereka sudah ada kurma agaknya? Allahu A’lam
Kali kedua, nak cari beberapa barang keperluan yang tidak dibawa dari Malaysia. Sempat juga singgah di sebuah kedai menjual jubah. Ketika sedang melihat-lihat jubah yang cantik bergantungan, penjual bertanya kepada suamiku, “haji, ini isteri ke berapa?” ha ha entah kenapa tiba-tiba terkeluar soalan sedemikian. Agaknya dia tengok rupa suamiku macam ada gaya mempunyai isteri lebih dari satu kot? Itupun kira ok juga la. Ada setengah orang bila melihat kami jalan berdua, mereka tanya, “ni mak ke?” hu hu lagi tak patut. Tak mengapalah, apa orang nak kata tak penting asalkan kita bahagia.
Kali ke tiga, pergi suq jaafariah mencari jubah untuk cucu-cucu. Alhamdulillah dapat beli untuk setiap orang cucu satu helai. Balik ke rumah, cucu terus minta, “ye neena dah balik. Nak oleh-oleh!” Aku buka beg, keluarkan jubah dan hulurkan. Dia kata, “kami nak oleh-oleh!”. Hai, dari mana pulak cucu aku belajar bahasa ni? Apa yang dia faham oleh-oleh tu?

10.   Ziarah dalam

Di Madinah terdapat dua sesi ziarah yang dipanggil ziarah luar dan ziarah dalam. Ziarah luar telah selesai dengan lawatan ke Quba’, Uhud dan lain-lain yang telah dicoretkan sebelum ini.
Hari berikutnya adalah ziarah dalam. Maksudnya ziarah di sekitar Masjid Nabawi. Oleh kerana hari itu adalah hari Jumaat maka masa ziarah agak suntuk. Aktiviti ziarah hanya sempat dilakukan selapas asar sehingga hampir waktu Maghrib. Kami sempat ziarah tiga tempat yang tidak pernah dilawati sebelum ini. Semuanya berhampiran dengan Masjid Nabawi.
Pertama, satu kawasan yang berupa sebidang tanah yang tidak dibangunkan. Hanya ditanam dengan beberapa jenis pokok. Waktu itu pagarnya berkunci. Kami hanya melihat dari luar. Itulah tempat yang dikenali sebagai Saqifah Bani Sa’eidah tempat berlangsungnya berbincangan hangat tentang siapakah yang akan menggantikan Rasulullah s.a.w. selepas tersebar berita yang pasti tentang kewafatan baginda yang dikasihi. Perbincangan itu berlangsung daripada hari kewafatan baginda, Isnin 12 Rabiul Awwal tahun ke 11 hijrah pada waktu dhuha dan berakhir pada hari Rabu dengan semuanya bersetuju melantik Abu Bakar as-Siddiq r.a. sebagai pengganti baginda yang pertama. Mungkin tidak ramai yang tahu tempat ini kerana kami tidak menemui rombongan lain yang melawatnya selain daripada kami.
Terasa betapa kehangatan mereka sedang berbincang, berbahas dan berhujjah. Tergambar kesungguhan para sahabat radhiallahu’anhum memerah fikiran, memberi idea bagaimana untuk menjamin kelangsungan daulah Islam yang diasaskan oleh Rasul tercinta, bagaimana untuk meneruskan penghayatan Islam dan menyebarkannya ke serata alam. Dan berkat amalan syura yang diajar oleh Allah dan dipraktiskan oleh Rasulullah s.a.w. akhirnya persetujuan dicapai. Ternyata peribadi yang mereka pilih benar-benar menepati keperluan dan dapat memenuhi tuntutan Islam pada zaman itu. Dan natijahnya kerahmatan Islam dapat kita kecapi hingga ke hari ini dengan izinNya.

Tempat kedua dan ketiga adalah muzium Asamaa al-Husna dan muzium Raulullah s.a.w.
Kedua-duanya sangat menarik dan terletak bersebelahan.

Muzium Asmaa al-Husna menerangkan makna 99 Nama Allah yang terindah dengan poster, gambar dan video serta mengaitkannya dengan diri kita, alam dan kehidupan.

Muzium Rasulullah s.a.w. menunjukkan perjalanan hidup baginda khususnya dalam menyampaikan risalah dakwah. Terdpat juga replika bangunan masjid yang baginda dirikan buat pertama kalinya serta rumah-rumah kediaman baginda bersama ummahatul-mukminin. Antara yang paling menarik adalah peta perjalanan hijrah baginda bersama sahabat setia Abu Bakar as-Siddiq r.a. di mana mereka memilih jalan yang berlainan dari jalan yang biasa dilalui oleh para pengembara dan pedagang. Ke dua-dua jalan itu hanya bertemu di satu titik, iaitu perkhemahan Ummu Ma’bad. Ketika singgah di situlah orang-orang yang memburunya dapat mengesani baginda dan berlaku percubaan oleh Suraqah bin Malik yang menemui kegagalan.
Tidak ketinggalan juga gambaran tempat-tempat berlakunya peperangan semasa hayat baginda. Sangat bermaklumat dan bermanfaat.
Masa tidak begitu mengizinkan untuk kami berlama-lama di sini kerana waktu maghrib hampir tiba, harus segera memburu tempat di dalam masjid untuk mendapat ganjaran 1000 kali ganda dengan izinNya.

11.   Tazkirah

Sewaktu di Madinah aku diberi peluang menyampaikan tazkirah ringkas kepada ahli rombongan sebanyak dua kali.
Di dalam tazkirah pertama aku sentuh dua perkara:
Pertama, hari ini kita berada di bumi yang penuh barakah. Bumi yang Allah pilih sebagai tempat perkembangnya risalah Islam yang suci. Allah memilih Mekah sebagai bumi tempat turunnya wahyu pertama, tempat terbina RumahNya yang Agung, tempat yang diwajibkan kita kunjungi untuk menunaikan ibadah yang menjadi satu daripada rukun Islam yang lima. Kenapa Allah pilih tempat yang seperti ini? Tempat yang tiada tarikan langsung dari segi bentuk muka buminya. Tidak ada tumbuhan dan taman-taman yang indah, tidak ada air terjun yang dingin airnya, tidak ada pantai yang putih pepasirnya, tidak ada lautan yang membiru dengan ombak yang menderu. Yang ada hanyalah bukit bukau dan batu-batu. Kenapa?
Kerana Allah Ta’ala mahu kita datang ke sini semata-mata untuk menyahut panggilanNya, semata-mata untuk menyerahkan diri dengan penuh rasa hina sebagai hamba, tunduk dan patuh mengaku akan keesaan dan kebesaranNya. Kita datang bukan untuk bersenang-senang menikmati pemandangan yang indah memukau atau menghirup udara segar dari taman-taman yang menghijau. Kita datang menyahut seruanNya, datang sebagai seorang hamba yang hina, memikul beban dosa yang amat berat, membawa segunung hajat agar dosa-dosa diampunkan dan permintaan dimaqbulkan.

Kedua, lihat betapa ramainya umat Islam yang berkunjung ke sini sepanjang tahun, tidak kira sama ada musim haji atau bukan. Datang dari setiap penjuru dunia dengan satu hajat dan satu tekad, menunaikan ibadah kepada Yang Maha Esa. Namun di luar sana kita dapati umat Islam lemah dan dipandang rendah. Di mana-mana termasuk di tanah air kita, namakan apa saja keburukan: menagih dadah, buang anak, rasuah, mungkir janji dan sebagainya orang Islam yang jadi juara. Di peringkat dunia, indeks rasuah negara umat Islam yang terkedepan. Indeks kebersihan negara Islam yang terkebelakang. Padahala kita belajar bab taharah sejak awal kenal alif ba ta sampailah ke tua bangka. Kenapa jadi begitu?

Kerana kita mengambil Islam tidak secara menyeluruh. Kebanyakan umat Islam memahami Islam hanya sebagai agama yang mengatur urusan ibadah dalam ertinya yang terbatas kepada amalan tertentu sahaja, solat, puasa, zakat, haji, umrah. Bila dah tunai haji, atau datang umrah berkali-kali lengkaplah sudah Islamnya. Urusan-urusan kehidupan yang lain berjalan seperti biasa tanpa mengambil kira pandangan Islam mengenainya malah ada yang tidak tahu tentang ajaran Islam mengenai urusan hidup yang lain-lain.

Maka dengan peluang yang Allah berikan kepada tuan-tuan dan puan-puan kali ini, marilah sama-sama kita menanam azam untuk memahami dan menghayati Islam dengan lebih baik, lebih menyeluruh dan lebih bersungguh-sungguh agar terlaksana tujuan agama ini diturunkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam.

Dalam tazkirah ke dua aku bawa hadis tentang niat. Ramai yang tahu hadis ini, hadis pertama dalam “Arba’ein an-Nawawiyyah”. Hadis itu membawa contoh niat di dalam hijrah. Kebetulan kita sekarang berada di negeri tempat Rasulullah s.a.w. berhijrah. Dari jauh kita datang dengan susah payah, belanja yang besar, tinggal segala kesenangan, keselesaan dan orang-orang yang disayang. Apa yang akan kita dapat?

Kita akan dapat apa yang kita niat. Niat bukan sekadar nawaitu yang kita sebuat dipermulaan setiap ibadah yang kita lakukan. Niat boleh diertikan sebagai tujuan atau motif. Atau dengan kata lain apa yang medorong kita datang? Apa yang kita mahu di sebalik kedatangan kita ke tanah suci ini? Nak buat umrah. Kenapa? Itulah yang dikatakan niat. Sebagai contoh, ada orang yang rasa serabut dengan pelbagai masalah dalam kehidupan. Dia datang untuk mencari ketenangan, berdoa supaya masalahnya dapat diselesaikan. Maka dengan izin Allah dia akan perolehi apa yang dia niatkan itu. Dan sebutlah apa saja niat yang lain-lain. Itulah yang akan dia perolehi.
Oleh itu sentiasalah perhati dan pelihara niat. Jangan terseleweng dari tujuan utama kita datang iaitu melaksanakan ibadah demi mendapat keredhaan Allah Yang Esa semata-mata.

12.   Ke Mekah

Sabtu 18 Mac, berakhirlah janji kami di bumi Madinah. Tiba masa untuk berpisah dengan Rasulullah s.a.w. Betapa sayunya meninggalkan sosok itu walaupun tidak kelihatan kelibatnya di alam nyata. Tidak putus-putus hatiku berdoa seandainya aku tidak diberi peluang untuk kembali ke sini lagi, berilah aku peluang untuk bertemu dengannya di syurga nanti.
Kami bergerak meninggalkan bumi Madinah hampir-hampir waktu zohor walaupun rancangan asalnya akan bertolak pada jam 10.00 pagi.
Destinasi pertama adalah masjid Zul Hulaifah untuk berihram umrah mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.
Perjalanan diteruskan. Alhamdulillah tiada sebarang kesulitan yang dihadapi sepanjang perjalanan yang dipenuhi dengan talbiah, tilawah, zikrullah dan tak terlepas juga raqdah (tidur).
Dengan izin Allah kami tiba di hotel dalam waktu maghrib. Menyelesaikan urusan penempatan dan pembahagian bilik, tidak sempat untuk turun berjamaah di Masjidil Haram walaupun hotel tempat menumpang terletak di pinggirnya sahaja. Memang tersangat dekat. Keluar dari pintu hotel terus memijak lantai dataran masjid. Hanya perlu berjalan ke pintu masjid dan mencari ruang yang sesuai di dalamnya. Pintu yang mengadap hotel singgahan kami ialah pintu Malik Fahad.

Malam itu juga kami ke masjid untuk menyelesaikan umrah. Terpandang Kaabah yang tersergam utuh hati jadi sebak, air mata melimpah. Tak terungkap rasa syukur di atas ni’mat Allah mengizinkan hamba yang hina ini datang lagi menziarahi rumahNya yang agung, menjadi tetamuNya yang dimuliakan.

Kali terakhir aku datang pada musim haji 2011, bertugas sebagai pakar rujuk (AJK Penasihat Ibadah Haji TH/JAKIM). Sungguh berbeza datang sebagai petugas dengan datang sebagai jemaah. Sebagai petugas terikat dengan waktu pejabat. Tidak sempat ke masjid setiap waktu. Tambahan tempat tinggal paling dekat yang disediakan terletak antara 500-600 meter. Mungkin tempat itu sudah tidak ada sekarang ini. Sebagai jemaah kita mengurus dan mengatur waktu kita sendiri.
Selesai tawaf, saei dan bergunting kami melangkah untuk pulang mengheret kaki yang kepenatan. Kami tinggalkan selipar di satu rak berhampiran dengan pintu masuk. Selipar suami dan kasutku kami masukkan di dalam satu beg kain (kantung?). Apabila kami mengangkat beg, yang tinggal hanya sepasang kasut milikku. Selipar suamiku tidak ada di dalamnya. Di luarpun tidak ada. Keluar berkaki ayam. Di hadapan pintu hotel beli selipar dengan harga 10 riyal.

Hari berikutnya ke masjid untuk solat. Selipar dan kasut di asingkan di dalam beg yang berlainan tetapi diletakkan di atas rak juga. Bukan rak yang sama yang sama dengan rak semalam. Selesai solat, pergi ke rak. Beg selipar suami kosong, beg saja yang tinggal, selipar tidak ada. Angkat beg kasutku, ada sebelah saja di dalamnya. Cari-cari sebelah lagi ada di tempat lain tidak jauh dari situ alhamdulillah. Suami beli lagi selipar 10 riyal.

Pada ketika yang lain kami letakkan kasut dan selipar dalam satu beg dan selitkan di tangga. Selesai ibadah, kami dapati hanya kasut yang ada. Selipar hilang lagi.
Bagitulah kisah hilang selipar. Apa yang kami pelajari harta yang ada pada kita sama ada kecil atau besar, mahal atau murah semuanya milik Dia yang mutlak. Dia yang tentukan bila dan bagaimana harta-harta itu akan diambil kembali.

13.   Solat jenazah

Di masjidil-haram dan masjid nabawi, boleh dikatakan setiap kali selepas solat fardhu pasti ada solat jenazah sekurang-kurangnya untuk satu mayat. Ahli-ahli hadis termasuk Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda, sesiapa yang menunaikan solat jenazah, baginya pahala satu qirat, iaitu sebesar bukit Uhud.
Selesai saja solat fardhu, akan diumumkan ada solat jenazah. Suatu hari di Mekah, ketika aku bangkit untuk mengikuti imam solat jenazah, beberapa orang jemaah dari negara jiran bangkit dan mahu beredar. Aku menegur, “solat jenazah dulu, ibu-ibu. Pahalanya besar. Sebesar bukit Uhud. Ibu udah ziarah Madinah dan telah melihat bukit Uhud bukan? Sebesar itulah pahalanya. Rugi kalau tak solat” “Iya. Tapi kami ngak tau”, balas mereka. Aku sempat memberikan penerangan ringkas dan menyuruh mereka ikut saja imam. Alhamdulillah sempat juga sebahagian mereka melakukannya.
Bayangkan betapa ruginya jika tidak solat jenazah. Setiap hari dapat pahala sebesar lima buah bukit Uhud. Di tempat kita bukan setiap hari boleh solat jenazah, malah sebulan sekalipun jarang. Ada orang meninggal, tiada kesempatan untuk pergi. Di sini, peluang terbentang di hadapan. Mahu atau tidak sahaja.
Jadi, satu peringatan untuk mereka yang bakal ke tanah suci, pelajari cara solat jenazah. 

14.   Ji’ranah

Hari Isnin 20 Mac kami keluar ke tanah halal untuk berniat umrah. Menurut Mazhab Syafie tempat yang paling afdhal ialah Ji’ranah kerana Nabi s.a.w. berihram di situ. Ji’ranah juga banyak menyimpan kisah sejarah yang hebat terutama kisah pembahagian harta rampasan daripada peperangan Hunain yang berlaku selepas Pembukaan Mekah. Setiap kali membaca atau mendengar kisah itu diceritakan pasti akan mengalir air mata, malah kadang-kadang hingga sampai tersedu sedan. Cubalah baca kisahnya di dalam buku-buku sirah. Anda pasti terpegun dan terpesona dengan kebijaksanaan Rasulullah s.a.w.

Sebelum singgah di Ji’ranah, bas lalu berhampiran dengan bukit Tsur tempat Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya Abu Bakar r.a. bersembunyi sebelum meneruskan perjalanan hijrah ke Yatsrib. Namun puncaknya yang tinggi itu terlindung di sebalik  jerebu yang terlalu tebal pada pagi itu. Kemudian kami ke bumi Arafah, Muzdalifah dan Mina. Di Arafah masih ramai yang suka panjat Jabal Rahmah walaupun tidak ada apa-apa dalil mengenai kelebihannya.

Selepas solat sunat ihram di masjid Ji’ranah aku memohon kepada Allah agar menerima ibadahku dan memudahkannya. Di samping itu aku juga memohon supaya dikurniakan pahala mengikuti sunnah Nabi s.a.w. yang pernah berihram di sini.

Selesai solat aku terus keluar dari masjid untuk menaiki bas. Berhampiran dengan tempat parking bas terdapat sebuah van menjual kekacang. Aku singgah untuk beli sedikit untuk kunyak-kunyah di dalam bas. Ketika itu penjual sedang melayani seorang jemaah lain. Selesai melayani jemaah tadi dia terus pergi ke depan van dan berborak dengan drivernya, langsung tak kisahkan diriku yang sedang tercegat mengadap kekacang. Terhijabkah diriku dari penglihatannya? Subuh tadi berlaku perkara yang sama di masjidil-haram. Dalam perjalanan pulang selepas solat Subuh, seorang lelaki duduk berhampiran sebatang tiang. Dia memegang sebuah kotak agak besar berisi kurma dan memberikan kepada setiap orang yang lalu di hadapannya. Ketika aku sampai di situ, tiga orang jemaah wanita dari negara lain sedang menadah tangan menunggu giliran. Aku turut menadah tangan. Selepas memasukkan beberapa biji kurma ke dalam tangan jemaah tadi, dia terus melayani orang lain tanpa menghiraukan tanganku yang sedang terbuka itu. Beberapa minit menunggu, aku pun berjalan mendapatkan suami yang telah jauh ke hadapan. Tidak ada rezekiku di situ. Namun rezeki untuk mengunyah kacang tetap ada. Kawan satu bas yang beli dan mengedarkannya di dalam bas.

15.   Taef

Destinasi yang jarang dilawati para jemaah haji dan umrah adalah Taef. Telah lama aku bercita-cita untuk menziarahinya, menyaksikan sendiri kesan-kesan perjalanan Nabi s.a.w. ke sana untuk menyampaikan Islam. Alhamdulillah kali ini Allah izinkan aku sampai juga.
Pada bulan Syawal tahun ke 10 nubuwwah Rasulullah s.a.w. ke Taef yang terletak kira-kira 60 batu dari Mekah berjalan kaki pergi dan balik ditemani anak angkatnya Zaid bin Haritsah. Setiap qabilah yang ditemuinya di sepanjang perjalanan itu akan diajaknya memeluk Islam. Namun tidak ada satupun yang menerima. Di Taef, baginda tinggal selama 10 hari mengajak penduduknya menerima Islam. Mereka bukan saja menolak, malah melayani baginda dengan seburuk-buruk layanan. Baginda dihalau keluar dari bumi Taef. Mereka mengerah kanak-kanak, hamba, orang-orang bodoh supaya menyiksa Nabi dan Zaid secara fizikal, mental dan emosi. Mereka berbaris di kiri kanan jalan sejauh tiga batu sambil mengutuk dengan kata-kata kesat dan membaling batu ke aras mereka berdua. Kedua belah kasut baginda berlumuran darah yang meleleh dari jasad baginda yang mulia. Zaid yang sedaya upaya cuba melindungi Rasul tercinta mengalami luka-luka di kepala. Mereka tidak berhenti berbuat demikian sehinggalah baginda memasuki sebuah kebun kepunyaan dua beradik, Utbah dan Syaibah bin Rabi’ah yang terletak tiga batu dari Taef.

Utbah dan Syaibah bersimpati dengan keadaan Rasulullah s.a.w. Mereka memerintahkan seorang hamba kepunyaan mereka yang beragama nasrani bernama Addas supaya membawakan setangkai anggur kepada insan tidak dikenali yang singgah di kebun mereka. Addas meletakkan anggur di hadapan Rasulullah s.a.w. Baginda mengambil anggur itu, membaca basmalah, lalu memakannya.
Tempat baginda singgah itu, kini ditandai dengan sebuah menara yang hanya kelihatan dari jauh. Kawasan itu telah diwartakan sebagai tanah haram oleh kerajaan Saudi. Tembok-tembok batu negeri Taef yang wujud semasa Nabi s.a.w. berkunjung dahulu masih boleh dilihat kesannya.
Sesiapa yang ingin menziarahi Taef elok baca terlebih dahulu kisah perjalanan Rasulullah s.a.w. yang penuh dengan ibrah. Dan kita akan merasai kesannya apabila melihat tempatnya ditambah dengan penceritaan mutawwif yang berpengalaman.

Di Taef singgah solat di masjid Ibn Abbas r.a.

Dalam perjalanan pulang ke Mekah, singgah di Qarnul Manazil untuk berniat Umrah.  Qarnul Manazil adalah miqat orang Malaysia yang menaiki pesawat terus ke Jedah dan Mekah. Selama ini hanya berniat di atas pesawat di udara Qarnul Manazil. Alhamdulillah hari ini berkesempatan menjejaki buminya.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Aishah r.a., ketika Nabi s.a.w. berhenti rehat di Qarnul Manazil, baginda dikunjungi Jibril a.s. bersama malaikat penjaga bukit yang siap sedia untuk melakukan apa saja perintah Rasulullah s.a.w. termasuk menghempapkan dua bukit yang berada di Mekah yang dikenali dengan akhsyabain, iaitu bukit Abu Qubais dan yang bersetentangan dengannya, bukit Qa’aiqa’an ke atas penduduk Taef sebagai balasan atas apa yang mereka lakukan kepada Rasulullah s.a.w. Tawaran itu dijawab oleh Nabi s.a.w.: “Aku hanya mengharapkan Allah mengeluarkan dari sulbi mereka zuriat yang menyembah Allah semata-mata, tidak menyengutukannya dengan sesuatupun!” 
Itulah Nabi kita! Jawapan yang lahir dari hati yang tulus suci, ikhlas dan murni, tiada mengharap apa-apa selain dari keredhaan Rabbnya.

16.   Extrafood

Bekalan yang tidak kurang penting adalah membawa ubat-ubatan dan makanan-makanan kesihatan atau supplements. Bawa lebih dengan niat untuk bantu orang lain juga. Tentunya tidak ada di kalangan kita yang minta untuk sakit. Dan bila sakit kita yakin Allah yang sembuhkkan. Tetapi berikhtiar untuk elak penyakit dan berubat bila sakit itu sunnah.
Aku membawa bekalan ubat dan supplements daripada herba-herba keluaran HNI-HPAI seperti extrafood, spirulina, deep squa dan lain-lain. Alhamdulillah di samping dapat menjaga kesihatan diri dapat bantu jemaah lain dengan izinNya. Ada jemaah yang sudah empat hari demam, pening dan muntah. Tidak dapat ke masjid, apalagi mengikut rombongan perga melawat dan mengerjakan umrah. Sudah jumpa doktor dan makan ubat. Namun keadaan tetap sama. Aku berikannya extrafood dan spirulina. Alhamdulillah dengan izin Allah keesokan harinya dia boleh bangun, mengikuti rombongan pergi ziarah dan dapat mengerjakan umrah. 
Syukur dan gembira dapat bantu hamba Allah melaksanakan ibadah.

17.   Wada’

Jumaat 24 Mac 2017 adalah hari terakhir untuk kami bertamu di bumi penuh barakah, Makkah al-Mukarramah. Walaupun penerbangan kami dari Jeddah di jangka pada jam 9.25 malam, kami terpaksa keluar awal pagi kerana dibimbangi akan terlewat kerana hari jumaat jalan sangat sesak dan laluan masuk ke Masjidil-Haram akan ditutup beberapa jam sebelum dan selepas solat Jumaat. Peringatan untuk anda, kalau boleh jangan ambil tiket pulang hari Jumaat.
Usai solat subuh kami terus melakukan tawaf wada’ dengan hati yang sayu dan pilu. Entah ada peluang atau tidak untuk datang selepas ini walaupun jauh di sudut hati tersemat doa dan  harapan yang kejap untuk datang. Namun semuanya hanya Dia yang tentukan.

Selepas semua urusan selesai kami berangkat meninggalkan bumi barakah menuju ke Jeddah. Destinasi pertama di Jeddah adalah masjid ar-Rahmah atau dikenali sebagai masjid terapung untuk tunaikan solat dan makan tengahari.

Ketibaan kami di masjid tepat-tepat waktu azan Jumaat sedang berkumandang. Selepas solat, kami makan tengahari di dalam bas, nasi bungkus yang dibekalkan oleh pihak travel dari Mekah lagi.

Ketika sedang makan, sebuah kereta berhenti di tepi jalan berhampiran dengan tempat bas berhenti. Seorang kanak-kanak membuka tinggkap lalu menghulurkan beberapa botol air mineral kepada jemaah yang sedang berdiri di bahu jalan. Tidak lama kemudian datang pula sebuah kereta dan berhenti di tempat yang sama. Seorang lelaki keluar dari kereta dan membuka boot keretanya. Dia mengangkat sebuah kotak yang penuh berisi roti dan dibawanya kepada kami yang berada di dalam bas. Itulah budaya pemurah orang Arab. Mengamalkan sifat membantu ibn sabil, orang musafir yang sedang dalam perjalanan di bumi asing. Berbeza dengan setengah tempat, tengok orang asing sebagai peluang untuk mencekik dan menaikkan harga dengan gila-gila.

18.   Airport Jeddah

Kami tiba di airport agak awal. Seorang jemaah wanita di serang demam. Badan panas, kepala pening dan tekak loya, tiada selera untuk makan. Kami mencari tempat duduk di dalam airport dan cuba memujuknya supaya mengambil ubat demam dan tahan sakit. Sama seperti airport lain, terdapat beberapa premis menjual makanan dan minuman. Dan yang paling hampir dengan tempat kami duduk adalah Starbucks. Suaminya pergi ke situ. Sebentar  kemudian dia kembali membawa secawan kopi O panas. “94 riyal”, katanya. Semua kami yang berada di situ terkejut besar dan mengulang balik ayatnya tadi dalam bentuk soalan, “94 riyal?”. “Iya!”, dia menegaskan. “Saya hulur sekeping note bernilai 50 riyal, cashier tu giling. Kemudian dia tulis di atas sekeping kertas 94. Saya bagi lah sebanyak tu”, jelasnya dengan jujur. Allahu A’lam, betul atau tidak harga secawan kopi O yang benar-benar O, tanpa gula, tanpa susu 94 riyal atau pakcik itu ditipu dan dipermainkan? Yang penting, selepas minum air panas dengan roti yang diberikan oleh dermawan di hadapan masjid tadi, isterinya dapat telan panadol dan melelapkan mata sementara menunggu waktu penerbangan.

Setelah selesai urusan check-in beg dan menerima boarding pass, kami masuk ke dalam. Ada tempat duduk di hadapan gate sementara menunggu dipanggil masuk.  

Dalam pada itu masuklah waktu maghrib. Azan dikumandangkan memenuhi seluruh ruang lapangan terbang itu. Ada tempat solat disediakan walaupun agak kecil berbanding dengan saiz dan bilangan pengguna yang sentiasa ramai.
Lebih menyedihkan tidak ada tempat mengambil wudhuk disediakan. Ada bilik air tidak jauh dari situ. Jemaah wanita mengambil wudhuk di sinki. Bayangkan apa yang mereka lakukan bila hendak membasuh kaki! Ada yang mengangkat kaki naik ke atas sinki. Ada yang menadah air dalam tapak dan menjirusnya di atas kaki di atas lantai bilik air. Ia menjadikan air melimpah di atas lantai. Dua orang pekerja wanita dengan masing-masing memegang mop, dengan wajah yang masam semestinya tidak henti-henti mengelap untuk mengeringkan air di atas lantai.

Memang sepatutnya pihak berwajib menyediakan tempat berwudhuk yang proper. Namun dalam keadaan tidak ada kemudahan, kita boleh gunakan rukhsah, iaitu tidak perlu membasuh kaki. Cukup dengan menyapu saja di atas stokin dengan syarat stokin yang dipakai itu tebal dan memakainya dalam keadaan berwudhuk. Jika terbatal wudhuk, berwudhuklah dengan cara yang biasa kecuali kaki. Stokin tidak perlu dibuka. Basahkan tangan, kemudian sapu di atas stokin. Tidak perlu angkat kaki tinggi-tinggi ke dalam sinki sampai terselak hingga ke paha dan tidak perlu juga memenatkan tukang cuci mengelap lantai tanpa henti.

Sesungguhnya Islam itu mudah, indah dan penuh rahmah.

19.   Pengiktirafan

Cukuplah sampai di sini corat-coret seorang insan yang hina yang diberi kesempatan menjadi tetamu Yang Maha Agung dalam batas waktu yang terlalu singkat.

Terima kasih kepada semua sahabat yang mendoakan kesejahteraan dan keselamatanku sekeluarga. Terima kasih kerana sudi mengikuti, LIKE dan share coretan ini dari awal hingga akhir.

Dan terima kasih secara khusus kepada suami yang menemani, melindungi dan mendampingi dengan penuh tanggungjawab. Lebih daripada itu menganggung segala perbelanjaan walaupun itu tidak diwajibkan ke atasnya. Nafkah yang wajib ke atas suami adalah makanan, pakaian, keselamatan, kesihatan dan tempat tinggal. Adapun ibadah haji dan umrah isteri tidak wajib ke atas suami menanggungnya sama ada haji dan umrah wajib, apa lagi yang sunat.

Justeru, para isteri jika suami anda tidak dapat atau tidak mahu mengeluarkan belanja untuk anda menunaikan haji atau umrah, usah berkecil hati dan bersangka buruk kerana anda memang tidak berhak menuntut darpadanya. Tetapi jika dia bermurah hati mengeluarkan belanja terimalah dengan penuh syukur dan redha. Doakan semoga Allah membalasnya dengan syurga.


Semoga Allah memberkati suamiku, meluaskan lagi rezekinya, menganugerahkannya pahala yang berlipat kali ganda dan membalasnya dengan syurga. Aamiin.