Bolehkah anak zina dinasabkan kepada bapa biologinya?
Khilaf di kalangan ulamak.
Majoriti kata tak boleh.
Sebahagian kata boleh.
Masing-masing ada alasan. Ada hujjah. Ada buruk dan baiknya.
Masalah khilaf memang sukar untuk capai kata sepakat. Namapun
khilaf.
Namun ada satu yang tidak ada khilafnya, iaitu zina itu
haram. Dan penularan jenayah zina dalam masyarakat sudah sampai ke tahap yang
amat-amat mencemaskan.
Inilah yang perlu diberi perhatian. Bagaimana membendung
jenayah ini. Ingatlah bahawa zina adalah satu jenayah terhadap kemanusiaan yang
paling kejam dan paling bahaya. Di dalam al-Quran, zina sering dikaitkan atau
diletak seiring dengan jenayah membunuh. Sebagai contoh, lihat surah al-Israa’:31,32,33
dan al-Furqan:68. Ia benar-benar membunuh dan mengancam perkembangan zuriat
manusia secara sihat dan selamat.
Ibn Majah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. pernah memberi
amaran betapa bahayanya zina apabila ia berlaku secara meluas. Baginda bersabda
maksudnya: “Apabila timbul zina di kalangan sesuatu kaum sehingga mereka
lakukannya secara terang-terangan, akan menularlah taun dan penyakit-penyakit
yang tidak pernah menimpa orang-orang sebelum mereka yang telah pergi terlebih
dahulu.” Hadis dikategorikan hasan oleh al-Albani.
Tidak syak lagi sekarang “mereka lakukannya secara
terang-terangan” sehingga boleh ditonton di mana saja oleh sesiapa saja
sehingga kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa. Lantas tersebarlah berita
yang menyedihkan dan memilukan, anak-anak perempuan kita diperkosa di mana-mana
oleh siapa saja dari yang bertaraf datuk sehingga ke taraf tadika.
Jadi, sekadar berbahas tentang nasab anak-anak yang tidak
berdosa itu tentunya tidak akan dapat menyelesaikan punca permasalahan yang
sebenar. Idea dan usaha yang sungguh-sungguh terutama oleh pihak berwajib mesti
dicurahkan ke arah membendung gejala zina itu sendiri sehingga ke akar umbinya.