Baru-baru
ini, saya mengikuti satu ceramah politik yang disampaikan oleh seseorang yang
mempunyai kedudukan tinggi dalam sebuah parti dan kerajaan. Antara kata-katanya
yang diulang-ulang dengan penuh rasa bangga ialah beliau sanggup menjadi “macai”
kepada pemimpin yang ada sekarang kerana ketokohan dan kehebatan pemimpin
tersebut.
Saya cuba
mencari apakah makna perkataan “macai”?
Penulis blog
http://ipohmalay.blogspot.my/
mengatakan bahawa perkataan itu berasal daripada dua perkataan China yang
digabungkan, iaitu “ma” yang bererti kuda atau singkatan daripada melayu yang
disebut dalam Bahasa China malai.
Manakala “cai”
bermaksud 'si kecil, si muda , atau binatang yang muda'.
Bila digabungkan
“ma” dengan “cai” maka ia membawa maksud “budak yang diperkudakan”.
Kata penulis,
perkataan macai tidak wujud dalam kamus bahasa Cina di Tanah Besar China
dan ia merupakan perkataan yang lahir di Tanah Melayu.
Cikgu Rozi menulis
di dalam blognya http://cikgurozikasim.blogspot.my/
bahawa beliau tidak dapat menjumpai entri kata perkataan
“macai” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Selain itu, beliau juga tidak
menjumpai maksud perkataan “macai” dalam laman web Pusat Rujukan Persuratan
Melayu (PRPM). Mengikut laman web PRPM, perkataan “macai” tidak terdapat dalam
pangkalan data Dewan Bahasa dan Pustaka dan belum diterima sebagai perkataan
rasmi bahasa Melayu. Selain itu dalam laman web Malay Concordance Project juga
tiada perkataan “macai” ditemui.
Kata beliau lagi, meskipun perkataan tersebut
masih tiada di dalam entri kamus tetapi perkataan itu digunakan dengan meluas
di laman-laman sosial yang berunsurkan politik. Maka sudah pastilah perkataan
“macai” mempunyai maksud yang tersendiri walaupun tiada di dalam entri kamus
kerana kita perlu sedar bahawa otak manusia lebih cepat daripada kamus.
Sering kali kita mendengar bahawa perkataan
“macai” itu sebenarnya didenotasikan kepada perkataan “pencacai”. Denotasi
bermaksud sesuatu ungkapan atau perkataan itu dirujukkan kepada sesuatu objek,
benda, orang, tempat, dan lain-lain (Norsimah Mat Awal, 2014).
Jika perkataan “macai” merujuk kepada
“pencacai”, jadi kita harus lihat maksud sebenar bagi “pencacai”. Namun
malangnya, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dan laman web PRPM, perkataan
“pencacai” atau “cacai” merupakan perkataan yang tidak wujud. Tetapi yang
peliknya di sini bahawa Tan Sri P. Ramlee telah menggunakan perkataan
“pencacai” ini di dalam filem 3 Abdul pada tahun 1964.
Maka beliau
membuat kesimpulan: “berdasarkan pemerhatian penulis terhadap
penggunaan perkataan “macai” ini, perkataan ini lebih merujuk kepada orang yang
terlalu taksub dengan sesuatu parti politik itu. Parti politik yang dimaksudkan
ini bukan sahaja parti kerajaan yang memerintah ketika ini, tetapi juga merujuk
kepada parti pembangkang di Malaysia ketika ini. Hal ini disebabkan apabila
kita pergi ke “page’ facebook seperti Friend’s Of Barisan
Nasional, Anwar Ibrahim, dan lain-lain, penggunaan perkataan “macai” ini akan
ditujukan kepada pengikut yang terlalu taksub. Mereka akan menulis perkataan
seperti “macai BN”, “macai Anwar Ibrahim”.”
Jelas bahawa kedua-dua maknanya “budak yang
menjadi kuda tunggangan” sebagaimana pendapat penulis blog ipohmalay atau “orang
yang terlalu taksub” sebagaimana pendapat Cikgu Rozi, sifat tersebut bercanggah
dengan ajaran Islam.
Taksub adalah satu ciri golongan jahiliah. Slogan
mereka adalah “Bantulah saudaramu dan berpihaklah kepadanya sama ada dia zalim
atau dizalimi”.
Sikap sedemikian ditentang oleh Nabi s.a.w.
Baginda bersabda maksudnya, “Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada
asabiah (taksub)” Riwayat Abu Daud. Status
hadis ini adalah dhaif. Namun maksudnya selari dengan beberapa hadis sahih
riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Manakala makna “budak yang menjadi
kuda tunggangan” pula jelas menggambarkan sifat serta sikap yang sangat hina
yang tidak layak dimiliki oleh makhluk bernama manusia yang dianugerahi akal
yang sempurna. Al-Quran selalu mengingatkan kita agar tidak mengikuti sesuatu
atau seseorang secara membabi buta, tanpa mengetahui hakikat sebenarnya apa
yang diikuti itu sama ada betul atau salah.
Di antara ayat-ayat yang mengandungi
maksud sedemikian adalah firman Allah yang mafhumnya:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka"
Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab:
"(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek
kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya
itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula
mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?” (Al-Baqarah 2:170)
Memang kita dituntut supaya taat
setia kepada pemimpin. Namun ketaatan dan kesetiaan mestilah dengan syarat
pemimpin berada di landasan yang benar. Kita tidak dituntut mencapai tahap “macai”
yang tahu ikut saja tanpa mengira benar atau salah.