ALLAH Ta’ala
berfirman maksudnya:
“Dan
hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang
beriman.” (Asy-Syu'araa' 26:215)
Perintah di
dalam ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. supaya merendah diri
kepada pengikut-pengikutnya.
Di dalam
ayat lain Allah perintahkan kepada pengikut-pengikutnya agar taat kepada Nabi
s.a.w.
Antara ayat
yang memerintahkan demikian adalah:
“Wahai
orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada
Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari
kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu
perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran)
dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
“Dan taatlah kamu kepada Allah
dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.”
“Wahai
orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya
dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran yang
mewajibkan taatnya).”
Dan banyak
lagi….
Namun begitu,
terdapat ayat yang mengaitkan ketaatan kepada Rasul dalam perkara yang ma’ruf
atau yang baik sahaja meskipun telah diketahui bahawa Rasul tidak akan menyuruh
kecuali yang ma’ruf kerana baginda tidak mengeluarkan arahan mengikut nafsu,
sebaliknya berdasarkan wahyu yang diterima “Dan ia tidak
memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan
pendapatnya sendiri. Segala yang
diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu
yang diwahyukan kepadanya.” (An-Najm 53:3&4)
Firman Allah bermaksud:
“Wahai Nabi! Apabila orang-orang
perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia,
bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun, dan
mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan
membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta
yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan
menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, - maka terimalah pengakuan
taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka;
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Perhatikan dalam ayat di atas (dan
mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik). Terserlah
betapa Maha Bijak dan Maha Sempurnanya Allah mendidik hambaNya, agar kita
insafi bahawa selagi sesuatu arahan itu datagnya dari manusia maka ada
kemungkinan terselit sesuatu yang tidak baik walaupun dia adalah seorang rasul!
Namun ini tidak bermakna kita beri’tiqad
Rasul tidak maksum. Sekadar memetik pengajaran daripada firman Allah yang
mengaitkan wajib taat kepada Rasul dalam perkara ma’ruf dalam ayat tersebut. Maka,
apa lagi kalau pemimpin itu bukan Rasul? Pastinya kemungkinan untuk
mengeluarkan arahan yang tidak tepat itu sentiasa ada.
Justeru, pemimpin diperintahkan agar
merendah diri dan tidak sombong kepada pengikut (Asy-Syu'araa' 26:215).
Pengajaran:
Pemimpin dan pengikut mempunyai
tanggungjawab secara timbal balik terhadap satu sama lain.
Pengikut wajib taat kerana ketaatan
adalah disiplin yang menjamin kelancaran perjalanan organisasi sama ada besar
atau kecil.
Pemimpin mesti merendah diri, mesra
dan santun. Tidak sombong dan berlagak seperti serba tahu.
Kerana matlamat kedua-dua pihak,
pemimpin dan yang dipimpin hanyalah satu: mengharap radha Allah Rabb al’alamin.