Sunday, March 15, 2026

Monday, March 09, 2026

MEMBURU LAILATUL QADAR

INGAT!!! Malam ni bermula pemburuan Lailatul Qadar. Perlu jelas apa yang kita patut capai! 

Iaitu keampunan-Nya serta bebas dari api neraka. Itulah anugerah Allah yang paling berharga buat kita. Hadis di bawah ini menjelaskan, orang yang tidak mendapat keampunan, maka dia rugi serugi-ruginya. 

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. menaiki mimbar, lalu berkata, "Aamiin, Aamiin, Aamiin!". Maka seseorang bertanya, "Ya Rasulullah, sesungguhnya anda menaiki mimbar, lalu anda berkata, "Aamiin, Aamiin, Aamiin!"? Baginda menjawab: "Sesungguhnya Jibril a.s. datang menemuiku. Dia berkata, sesiapa yang sempat memasuki Ramadhan, namun tidak diampunkan dosanya, lalu dia masuk neraka, maka Allah menjauhkan dia dariNya." Jibril menyuruhku berkata Aamiin. Maka akupun berkata, "Aamiin, Aamiin, Aamiin!" (Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 997)


Perhatikan Ketika Aishah RA bertanya Nabi SAW jika beliau bertemu Lailatul Qadar, apa yang beliau patut mohon? Baginda SAW hanya mengajar satu doa sahaja 

(اللَّهمَّ إنَّكَ عفوٌّ تُحِبُّ العفوَ، فاعفُ عنِّي )


Kenapa keampunan? Bukankah Allah perintahkan kita berpuasa supaya menjadi hamba yang bertaqwa?

Ya. 

Orang yang bertaqwa ialah orang yang sentiasa berusaha menjauhi dosa dan maksiat.

Orang yang bertaqwa disediakan untuk mereka syurga yang lebarnya antara langit dengan bumi.

Namun syurga yang seluas itu tidak boleh dimasuki selagi diri diselimuti dosa. Justeru, maghfirah sangat-sangat diperlukan. Perhatikan firman Allah :

“Dan segeralah kamu kepada (mendapat) KEAMPUNAN dari Tuhan kamu, dan (mendapat) SYURGA yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;”  (A-li'Imraan 3:133)

Allah seru supaya mendapat keampunan terlebih dahulu sebelum mendapat syurga.


Lantaran itu, seluruh Ramadan adalah janji keampunan.

“Sesiapa yang puasa Ramadan dengan iman dan ihtisab diampuni dosanya yang lalu.” Muttafaq ‘alaih.

“Sesiapa yang qiam Ramadan dengan iman dan ihtisab diampuni dosanya yang lalu.” Muttafaq ‘alaih

“Sesiapa yang qiam Lailatul Qadar dengan iman dan ihtisab diampuni dosanya yang lalu.” Muttafaq ‘alaih


Maka, banyakkanlah taubat dan istighfar.


SELAMAT MEMBURU LAILATUL QADAR. MOGA DOSA KITA DIHAPUSKAN DAN DIBEBASKAN DARI API NERAKA.


Saturday, March 07, 2026

Tadabbur Satu Ayat Daripada Al-Quran al-Karim

Allah Taala berfirman maksudnya:

Dan Kami cabut segala rasa dendam yang ada di dalam dada mereka; sungai-sungai mengalir di bawah mereka. Mereka berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada kami ke tempat ini. Kami sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk sekiranya Allah tidak memberi petunjuk kepada kami. Sesungguhnya para rasul Tuhan kami telah datang membawa kebenaran.” Lalu diserukan kepada mereka: “Itulah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan.” 

[Surah Al-A‘raf: 43]

🌻 Ayat ini (Surah Al-A‘raf ayat 43) dianggap antara ungkapan paling lembut dan indah daripada penghuni syurga. Ia menggambarkan puncak rasa syukur dan kerendahan hati. Berikut ialah huraian ringkas tentang keindahan maknanya:

🌻 Kandungan ayat: Menikmati kurniaan Ilahi

Bayangkan suasana itu: orang-orang beriman telah menetap dalam kenikmatan syurga. Mereka memandang kembali perjalanan hidup yang penuh ujian di dunia, namun mereka tidak mengaitkan kejayaan mereka dengan kepandaian atau banyaknya amal semata-mata. Sebaliknya, mereka mengembalikan segala kelebihan itu kepada Pemilik segala kurniaan.

1. Mengakui nikmat kurniaan Allah

Keindahan ayat ini terletak pada perkataan “memberi petunjuk kepada kami”. Hidayah bukan sekadar “peta jalan”, tetapi bimbingan dan taufik dalam setiap langkah. Walau setinggi mana ilmu seseorang, dia tetap memerlukan “cahaya” yang menerangi jalannya. Cahaya itu adalah anugerah Allah yang tidak dapat dibeli hanya dengan usaha manusia.

2. Bebas daripada sifat “aku”

Di dunia, manusia kadang-kadang terpedaya dengan kejayaannya lalu berkata, “Aku yang melakukannya.” Tetapi penghuni syurga telah mempelajari hakikat tertinggi: kita tidak mempunyai apa-apa tanpa pertolongan Allah. Pengakuan ini membawa ketenangan jiwa yang besar kerana kita menyerahkan urusan kita kepada Tuhan yang lebih penyayang kepada kita daripada diri kita sendiri.

3. Kegembiraan dipilih oleh Allah

Apabila seseorang berkata, “Kalaulah bukan kerana Allah memberi petunjuk kepada kami,” itu bererti dia mengakui bahawa Allah telah “memilihnya” untuk berada dalam kalangan orang yang mendapat hidayah. Ia adalah perasaan cinta yang saling bertaut antara Pencipta dan hamba: Allah mengurniakan hidayah, dan hamba membalasnya dengan syukur.

🌻 Kesimpulannya:

Ayat ini bukan sekadar kata-kata yang akan diucapkan di akhirat, tetapi ia juga merupakan panduan hidup bagi seorang Muslim di dunia. Setiap kejayaan dalam pekerjaan, kebahagiaan dalam hubungan, atau keteguhan dalam memegang prinsip; semuanya adalah bentuk hidayah yang layak disyukuri dengan pujian yang indah kepada Allah. 🌷


Wednesday, March 04, 2026

MUHASABAH

14 Ramadhan….

Sebelum melangkah ke hari seterusnya

Duduklah sekejap untuk muhasabah

Toleh ke belakang

Hari-hari yang telah dilalui…


Puasa kita, benarkah ditunaikan dengan iman dan ihtisab

Atau sekadar mengisi hari melayan rasa penat

Adakah redha Allah dikejar tiap saat

Atau asyik melayan gamitan nafsu yang pelahap

????????


Qiam kita, jujurkah berdiri di malam hari dengan iman dan ihtisab

Atau sekadar mengejar bilangan rakaat

Untuk segera menyahut panggilan mata yang sering terlelap

?????????


Tilawah kita, apakah masih berkira-kira

Khatam tanpa tadabur

Tadabur tapi tak khatam

Sehingga habis separuh Ramadhan

Berapa juzuk sudah dibaca

Berapa ayat sudah ditadaburi

?????????


Taubat kita, masih ada lagikah dosa-dosa lama yang terus mengekori

Sedang Nabi SAW telah memberi amaran keras

Rugi, dan amat rugi

Mereka yang diberi peluang memasuki Ramadhan sehingga akhirnya

Dia melangkah keluar dari Ramadhan sedang dosanya tidak diampunkan

 (Maksud sebahagian Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Astaghfirullah! 

Memang Allah Maha Pengampun, sangat suka untuk mengampun

( عفو تحب العفو انك)

Namun Dia memberi kepada yang mengharap dan meminta

Yang insaf dan kembali berserah

Jangan berlagak sombong di kala Dia membuka peluang untuk kita memohon

Kelak bila nyawa telah sampai ke halqum

Tak guna meraung, bertempik, terpekik, terlolong-lolong


Dan Lailatul-Qadar….

Sudah bersedia untuk menyahut cabaran 10 malam terakhir

??????????


اللهم بلغنا ووفقنا ليلة القدر

واعنا على قيامها

واجعلنا من عتقائك من النار

آمين