Friday, August 26, 2022

M U H A S A B A H

23 Ogos 2022 adalah tarikh bersejarah buat DSNR dan buat seluruh rakyat Malaysia apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau bagi pertuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menyampaikan penghakiman sebulat suara itu selepas prosiding dramatik di mana pihak pembelaan cuba menggugurkan beliau daripada pendengaran rayuan tersebut.
Beliau akan mula menjalani hukuman penjara hari ini (23 Ogos 2022), menjadikan beliau sebagai perdana menteri pertama dihantar ke penjara.
Najib, 69, disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.
Mahkamah Rayuan turut mengekalkan keputusan itu pada 8 Disember 2021.
Demikianlah secebis kisah perjalanan seorang hamba yang Allah beri peluang kepadanya menduduki takhta kuasa sebagai Perdana Menteri semenjak April 2009 hingga May 2018.
Keputusan yang dibuat oleh Yang Arif Hakim adalah berdasarkan keterangan saksi-saksi serta bukti-bukti yang berupa dokumen, gambar dan sebagainya yang dikemukakan oleh pihak pendakwaraya.
Itulah perjalanan penghakiman di dunia. Kita mungkin meragui keabsahan dokumen yang dikemukakan. Meragui kejujuran para saksi. Meragui kewibawaan pendakwaraya serta hakim-hakim.
Namun, jangan kita lupa suatu hari kita akan berhadapan dengan penghakiman yang maha benar dan maha adil.
Yang menjadi saksi bukan manusia. Tetapi anggota kita sendiri; kaki, tangan, telinga, mata serta kulit yang membalut tubuh kita.
“Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.”
(Yaa Siin 36:65)
“Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan.”
(Fussilat 41:20)
“Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: "Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit-kulit badan mereka menjawab: "Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata - telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia lah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).”
(Fussilat 41:21)
Maka ketika itu kita tidak akan dapat lari lagi, tidak ada siapa yang dibenarkan untuk menjadi peguam bagi membela dan berhujjah bagi pihak kita dan tidak akan diterima sebarang jaminan walaupun kita mampu untuk membayar dengan semua harta yang kita ada di dunia.
“Dan pada masa itu sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain) itu mempunyai segala yang ada di bumi, tentulah ia rela menebus dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya); dan mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat azab itu; dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu.”
(Yunus 10:54)
Justeru, peringatan buat diriku dan DSNR muhasabahlah diri. Jadikan hukuman yang diterima pada hari ini sebagai peluang untuk bermuhasabah dan bertaubat. Jika benar anda telah melakukan jenayah menggunakan harta rakyat dan negara dengan cara yang salah, bertaubatlah kepada Allah, minta maaf kepada seluruh rakyat dan pulangkan hak rakyat dan negara sebelum anda dihadapkan di mahkamah akhirat di hadapan Allah Yang Maha Perkasa, yang tidak ada peguam akan membela serta seluruh anggota tidak akan menjadi saksi bagi pihak anda.
Ingatlah! Penjara di dunia ini walau sepanjang mana pun tempohnya tetap singkat berbanding dengan penjara di akhirat. Mungkin hikmah di sebalik pemenjaraan ini Allah hendak memberi peluang kepada anda membetulkan kesilapan dan menyelamatkan diri anda daripada azab yang lebih dahsyat di akhirat kelak.
“Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.”
(As-Sajdah 32:21)
*UMD*
26 Ogos 2022

Tuesday, July 26, 2022

HINA ISLAM

Hina Islam: Agama Bukan Bahan Jenaka, Segera Taubat – Mufti WP

Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, trend menggunakan agama sebagai bahan jenaka ini sebenarnya telah menjadi kebiasaan di negara Barat melalui filem-filem, rancangan televisyen, nyanyian dan juga pentas komedi.

“Trend ini kami dapati antara kesan dan pengaruh sekularisme yang menjadikan agama bukan lagi dianggap sebagai sesuatu yang suci.”

Beliau berkata, agama juga bebas untuk dikritik dan dipersoalkan oleh sesiapa sahaja atas dasar kebebasan bersuara (freedom of speech) dan berekspresi (freedom of expression).

Perbuatan ini mengingatkan kepada firman Allah SWT berkenaan golongan yang mengejek-ejek agama dalam Surah at-Taubah ayat 65;

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu), tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

Benar sekali apa yang dikatakan oleh Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Abdullah itu. Selain itu, harus diingat bahawa menghina agama bukan hanya dengan kata-kata mengejek dan mencela agama yang dilakukan oleh pihak tertentu yang kadang-kadang apabila diperhalusi latar belakang si pengejek itu didapati mereka terdiri dari golongan yang bermasalah seperti seorang lelaki yang ditahan kerana didakwa mempersenda dan menghina agama Islam serta Nabi Muhammad SAW melalui hantaran video di media sosial, baru-baru ini. Suspek berusia 35 tahun yang tidak bekerja kemudiannya ditahan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang ketika melakukan serbuan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang.

Hasil soal siasat, suspek mengaku memuat naik video yang menyebut perkataan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.


Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis methaphetamine.

Memang kita berasa sedih dan marah dengan perlakuannya itu. Namun kita jangan lupa, menghina agama juga berlaku secara terang-terangan dengan perbuatan dan tindakan pihak yang waras, siuman, dilakukan dengan sengaja dan penuh bangga. Tindakan itu bukan sahaja tidak dikecam, malah dibiarkan berleluasa dan pelakunya terus disanjung, dipuji dan dipuja.

Ini hanyalah beberapa contoh menghina dan mempersendakan agama secara terang-terangan. Namun ramai dalam kalangan umat Islam diam membisu seribu bahasa.

Pertama: isu rasuah. Hadis dengan jelas menyatakan: daripada Abdullah bin Amru RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah!” Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi dan statusnya adalah sahih.

Hari ini, rasuah sudah membarah. Seolah-olah telah menjadi sebahagian daripada system pentadbiran negara yang diperakui sah di sisi undang-undang. Pelakunya tidak segan silu memberi dan menerima secara terang-terangan.

Kedua: akhlak khususnya sifat malu. Nabi SAW menyifatkan malu adalah sebahagian daripada iman. Baginda bersabda maksudnya: “Iman mempunyai lebih daripada 70 cabang. Yang paling afdhal ialah ucapan tiada tuhan melainkan Allah dan yang minimum ialah menyisihkan perkara yang menyakitkan dari jalan. Dan malu adalah satu cabang daripada iman.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Tetapi ada orang mempopularkan slogan yang jelas bercanggah dengan penegasan Rasulullah SAW, kemudian slogan itu “MALU APA….” Disambut dan diviralkan tanpa rasa bersalah

Ketiga: mengkhianati perjanjian. Semua maklum tentang kepentingan berpegang kepada janji dalam ajaran Islam. Nabi SAW menyifatkan memungkiri janji itu satu daripada sifat munafiq (hadis sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Namun orang yang memungkiri perjanjian yang telah ditandatangani sendiri secara terang-terangan memungkirinya kemudian dia diangkat dan disokong oleh ramai pihak termasuk golongan agamawan dan dianggap sebagai PM Malaysia terbaik kerana pandai baca doa dan isterinya memakai tudung. Perjanjian yang dimungkirinya sehingga menyebabkan tumbangnya sebuah kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses PRU yang sah tidak langsung dipertikaikan.

Itu hanyalah beberapa contoh yang amat ketara menunjukkan sebahagian kita tidak melihat kepada mempersendakan agama itu secara menyeluruh.

Apabila dilakukan oleh rakyat biasa yang mungkin mengalami masalah mental, ramai di kalangan kita yang bising sehingga menggelegak darah di kepala. Tetapi apabila pelanggaran terang-terangan yang dilakukan oleh pemimpin tertentu ia bukan sahaja dipandang sepi malah disokong pula sehingga sehingga diangkat sebagai wira.

Sesungguhnya tulisan ini tidak sekali-kali bermaksud membela dan mempertahankan sesiapa yang telah ditahan atas tuduhan menghina agama. Itu tanggungjawab pihak berkuasa untuk menjalankan tugasnya. Hanya sekadar untuk mengajak kita sama-sama berfikir dan sama-sama insaf bahawa agama kita sesungguhnya sedang dipermainkan bukan oleh golongan bawahan sahaja. Sebaliknya pihak yang ada kuasa yang mengabaikan perintah agama dengan sengaja itu lebih berbahaya sebenarnya.



PAS MAHU SENDIRIAN TADBIR KEDAH

Hari ini terbaca satu lopran di (https://inforakyat.net/ ) yang bertajuk: 

(Pas mahu sendirian tadbir Kedah, tak mahu parti lain – Hadi). 

“Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, PAS berhasrat memerintah Kedah secara bersendirian selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tanpa perlu parti lain.

Bagaimanapun, katanya, jika PAS tidak memerintah bersendirian, seboleh-bolehnya parti lain yang “menumpang” mereka dan bukan sebaliknya.”

Kita tidak ada masalah dengan hasrat dan cita-cita yang diutarakan oleh tuan presiden itu. Lumrah parti politik begitulah. Tergetnya adalah kuasa.

Yang menimbulkan persoalan ialah apa telah berlaku pada Muafakat Nasional (MN)?

Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan PAS, antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Elemen berkenaan terkandung dalam piagam yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam bulan September 2019. 

(https://www.bharian.com.my/, September 14, 2019)

Menurut Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, belum ada mana-mana pihak sama ada UMNO mahupun PAS yang mengisytiharkan pembubaran Muafakat Nasional (MN), atau keluar daripada muafakat itu. Beliau berkata perbincangan di peringkat tertinggi antara kedua-dua parti berkenaan status MN, juga masih belum diadakan setakat ini.

(https://www.astroawani.com/ Mac 21, 2022)

Laporan itu pada bulan Mac 2022. Adakah sekarang MN dengan rasminya telah terbubar atau dibubarkan setelah dimeterai pada bulan September 2019? Sudah terbubarkah muafakat itu? Kalau terbubar, kenapa? Adakah matlamat pembentukannya telah berjaya dicapai atau sebaliknya jalan untuk mencapainya telah menemui kebuntuan?

Namun pada masa yang sama kita lihat PAS masih bersama dengan UMNO memerintah kerajaan Persekutuan. Adakah MN dimeterai hanya bertujuan untuk menjalin kerjasama di peringkat pusat sahaja, sedang di peringkat negeri tidak? 

Namun begitu, kita lihat di Selangor lain pula ceritanya. Menurut Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir Kerjasama PAS-Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) di Selangor hampir lengkap dan hanya menunggu isyarat daripada kepimpinan tertinggi kedua-dua parti sahaja. Ketika dihubungi Malaysiakini beliau berkata perbincangan yang dimulakan sejak awal penubuhan MN di peringkat pusat itu berjalan dengan baik.

“Jadi, semua perundingan dan berjalan dengan baik. Cuma dia jadi tersangkut bila ada perubahan di peringkat atasan.

“Tetapi untuk di Selangor ini, kita dah hampir lengkap, antara PAS dengan UMNO.

“Dan kita hanya menunggu signal (isyarat) dari pimpinan pusat parti masing-masing,” katanya kepada portal ini. 

(https://www.malaysiakini.com/ Jun 2, 2022)

Ini belum lagi sentuh tentang hubungan dan kerjasama dengan PN, apakah statusnya di peringkat pusat maupun negeri?

Hemm …Tidak mudah sebenarnya untuk memahami jalan pemikiran seorang politikus yang bertaraf ulamak. Baginya semua keputusan dan tindakannya ada dalil. Justeru, kebanyakan pengikut dan pendukungnya lebih suka untuk memilih jalan senang, ikut saja. Dia lebih tahu kerana dia lebih berilmu berbanding dengan kita.

Memang benar Islam suruh taat kepada pemimpin, dengar cakap ulamak. Namun tidak bermakna kita tidak mempunyai hak untuk bertanya. Sahabat Nabi RA, apabila melihat sesuatu tindakan Nabi SAW yang mereka rasa kurang tepat atau kurang sesuai, mereka bertanya dengan penuh adab, “adakah ini wahyu atau pendapat sendiri?” Jika Nabi SAW menjawab, “pendapat sendiri”, mereka memberi cadangan yang pada pendapat mereka lebih sesuai. Dan Nabi SAW menerima cadangan yang dikemukakan oleh sahabat RA (Rujuk peristiwa peperangan Badar al-Kubra).

Maka apabila melihat kenyataan serta keputusan yang sering berubah, yang kadang-kadang kelihatan seperti bercanggah antara satu sama lain, tidak ada salahnya untuk kita bertanya, adakah ini menepati roh politik Islam atau lebih dekat kepada politik Machiavelli? 

Allahu A'lam





Thursday, June 30, 2022

JOM ZIKIR!

Hari ini bermula hari-hari
terbaik
di dunia.
Marilah kita membanyakkan zikir sebagaimana yang disarankan oleh Nabi kita SAW.
Banyak zikir yang mudah, namun besar fadhilatnya. Contohnya:
Sa’ad bin Waqqas RA melaporkan:
Ketika kami sedang duduk bersama Nabi SAW, baginda bertanya
“Adakah dalam kalangan kalian seseorang yang tidak mampu berusaha untuk meraih 1000 hasanah (kebaikan) setiap hari?”
Maka seorang daripada kami bertanya:
“Bagaimanakah cara yang membolehkan kami meraih 1000 hasanah?”
Baginda SAW bersabda:
“Bertasbih 100 kali, maka ditulis untuknya 1000 hasanah, atau dipadamkan darinya 1000 kesalahan.”
Riwayat Muslim (Kitab al-Azkar, Imam al-Nawawi)
Hanya dengan bertasbih ( سبحان الله ) 100 kali akan memperoleh 1000 kebaikan! Bukan sekadar itu, malah dipadamkan 1000 kesalahan!
Berapakah waktu yang kita perlukan untuknya?
Hanya 2 atau 3 minit daripada 1440 minit yang Allah berikan kepada kita.
Jom…!!!
UMD
1/12/1443
1/07/2022

BILAKAH KITA AKAN BERPUASA SUNAT HARI ARAFAH?


“Berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang…” Maksud Hadis Riwayat Muslim

Umat Islam di seluruh Malaysia dijadual menyambut Hari Raya Aidiladha tahun 2022, pada 10 Julai ini. 1 Zulhijjah 1443 jatuh pada hari Jumaat bersamaan dengan 1 Julai 2022.

Pengumuman pengisytiharan itu dibuat oleh Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd. Aseral Jusman malam tadi.

Dalam pada itu, kita dimaklumkan ibadah wuquf di Arafah tahun ini jatuh pada Jumaat bersamaan 8 Julai 2022. Ini bermakna Hari Raya Aidiladha yang akan disambut oleh Umat Islam di Malaysia pada 10 Julai lewat sehari daripada sambutan di Arab Saudi.

Situasi seperti ini menimbulkan persoalan tentang puasa sunat Arafah; adakah perkiraannya mengikut anak bulan di sesebuah negeri atau mengikut hari wukuf di Arafah? Adakah umat Islam di Malaysia akan berpuasa sunat pada hari Jumaat bersamaan dengan berlangsungnya wuquf di Arafah atau pada hari Sabtu bersamaan dengan 9 Zulhijjah berdasarkan perkiraan rukyah dan perisytiharan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia? 

Persoalan ini telah dibahas oleh fuqahak sejak dahulu. Ada  dua pendapat tentang masalah ini. 

Pertama: Pendapat Ibnu Rajab Al-Hanbali Rahimahullahu Taala dan sebahagian Ulama Malikiyyah Rahimahumullahu Taala. Mereka berkata, puasa sunat Hari Arafah adalah hari di mana para jemaah haji wukuf di Arafah.

Kedua: Pendapat Mazhab As-Syafie, dan juga sebahagian Ulama Malikiyyah seperti Ibnu Abd al-Barr Rahimahumullahu Taala. Mereka berkata, puasa sunat Arafah mengikut perkiraan melihat anak bulan Zulhijjah pada sesuatu negeri, iaitu tanggal 9 Zulhijjah itu sendiri kerana setiap negeri mempunyai matla’ (tampat terbit anak bulan) yang berbeza. 

(Rujuk Fathul Bari oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani Rahimahullahu Taala (4/123)

Pendapat kedua merupakan pendapat yang ditarjih dalam Mazhab As-Syafi’e Rahimahullahu Taala dan terpakai di Malaysia

Pendapat ini juga diperkuatkan dengan dalil-dalil daripada al-Quran, al-Sunnah dan qias.

Dalil daripada al-Quran, firman Allah yang bermaksud: “…Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu;…” (Al-Baqarah 2:185) 

Ayat ini berkaitan dengan puasa Ramadhan di mana Allah kaitkan kefardhuan puasa dengan melihat anak bulan. Maka sesiapa yang belum menyaksikannya, belum wajib kerana harus disempurnakan bulan Syaaban dahulu. Demikianlah juga dengan bulan Zulhijjah. Ada negeri yang melihat anak bulan lebih awal daripada negeri lain. Maka tarikhnya lebih awal.

Dalil daripada al-Sunnah, sabda Nabi SAW bermaksud: “Apabila kamu melihatnya (anak bulan Ramadhan) berpuasalah. Dan apabila kamu melihatnya (anak bulan Syawwal) berbukalah!” (Muttafaq ‘alaih) 

Hadis ini sama maksud dengan ayat di atas, iaitu berkaitan dengan ibadah puasa. Maka ibadah lain boleh dikira samalah prinsipnya, iaitu melihat anak bulan.

Dalil qias ialah, waktu mula berpuasa (imsak) dan berbuka (iftar) setiap hari adalah berbeza dari satu negeri dengan negeri yang lain berdasarkan waktu terbit dan tenggelam matahari di setiap negeri. Negeri-negeri di sebelah timur waktu imsak dan iftarnya lebih awal daripada ngeri di sebelah barat. Hal ini telah ijmak dalam kalangan semua ulamak. Maka perbezaan awal bulan diqiaskan dengan perbezaan waktu imsak dan waktu iftar setiap hari yang telah disepakati.

(https://islamqa.info/ar/answers/40720)

Allahu A’lam.


UMD

30/06/2022

30/11/1443 





Saturday, June 25, 2022

KELEBIHAN 10 HARI PERTAMA ZUL HIJJAH

Terdapat nas-nas yang sahih berkaitan dengan kelebihan 10 hari pertama Zul Hijjah. Antaranya:

1. Allah bersumpah dengannya. Apabila Allah bersumpah dengan sesuatu, itu menunjukkan kelebihan dan kemuliaannya di sisi Allah. Allah berfirman: “Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);” (Al-Fajr 89:1-2). Majoriti ahli tafsir berpendapat bahawa maksud  “malam yang sepuluh” dalam ayat itu ialah 10 pertama Zul Hijjah. Ibn Kathir menyebut beberapa pendapat yang berbeza. Namun beliau menyimpulkan bahawa inilah, iaitu 10 awal Zul Hijjah yang sahih.

2. Hari-hari maklumat yang disyariatkan supaya membanyakkan zikir, mengingat dan menyebut-nyabut Nama Allah. Allah SWT berfirman maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada HARI-HARI YANG TERTENTU,..” (Al-Hajj 22:28) Hari-hari tertentu (Ayyam Maklumat) dalam ayat ini, menurut majoriti ulamak termasuk Ibn Umar dan Ibn Abbas adalah 10 pertama Zul Hijjah.

3. Persaksian Rasul sendiri bahawa 10 hari ini merupakan hari paling afdhal di dunia. Daripada Jabir RA, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Hari-hari di dunia yang paling afdhal ialah 10 hari pertama Zul Hijjah…” Riwayat al-Bazzar dan Ibn Hibban. Al-Albani berkata statusnya adalah sahih.

4. Padanya terdapat Hari Arafah. Hari Arafah adalah hari haji akbar, hari maghfirah daripada dosa-dosa, hari pembebasan dari api neraka. Andainya tidak ada kelebihan lain dalam 10 hari ini selain hari Arafah, itu sudah mencukupi.

5. Padanya terdapat Hari Nahar. Hari Nahar adalah hari paling afdhal dalam satu tahun menurut sebahagian ulamak berdasarkan sepotong hadis yang bermaksud: “Hari paling agung di sisi Allah ialah hari Nahar, kemudian hari Qarr (hari tasyriq yang pertama, iaitu 11 Zul Hijjah)” Riwayat Abu Daud dan al-Nasae. Al-Albani berkata statusnya adalah sahih.

6. Berhimpun padanya pelbagai ibadah utama yang disebut sebagai Ummahat al-ibadah. Rasulullah صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda maksudnya:

“Amal soleh yang paling Allah sukai dilakukan oleh hamba-Nya ialah amal-amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (10 pertama Zul-Hijjah)”, mereka bertanya: “Ya Rasulullah, adakah Allah lebih suka daripada berjihad fi sabilillah?” Baginda menjawab (maksudnya): “Ya, tidak dapat mengatasi jihad fi sabillah, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid)” Sunan Ibn Majah.

APAKAH PERSEDIAAN KITA UNTUK MENYAMBUTNYA?

Kedatangan tetamu yang hebat, pastinya disambut dengan persediaan yang sepadan dengannya. 

Pertama, tanamkan azam dengan sungguh-sungguh, niat yang benar untuk memanfaatkan hari-hari terbaik ini dengan amalan-amalan yang terbaik demi meraih redha Allah SWT.

Kedua, betaubat dari segala dosa kerana orang yang bertaubat dijanjikan Allah akan memeperoleh kejayaan sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “… dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(An-Nuur 24:31)

Ketiga, jauhi maksiat yang lahir dan yang tersembunyi kerana maksiat adalah sebab utama yang menjauhkan seseorang hamba dari Rabbnya. 


AMALAN-AMALAN YANG DISARANKAN

Dengan rahmatNya Allah anugerahkan kita hari-hari yang Dia paling suka kita beramal untuk mendekatkan diri kepadaNya. Maka berusahalah untuk mengisi hari-hari tersebut dengan pelbagai amal sama ada yang wajib atau sunat seperti:

1. Menyempurnakan manasik haji dan umrah. Ini khusus bagi mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah.

2. Puasa. Boleh dilakukan mulai 1 hingga 9 hari bulan. Sekiranya tidak dapat dilakukan daripada awal, usahakan supaya dapat ditunaikan pada hari ke 9, iaitu hari Arafah. Kelebihannya dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: “Berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram) menghapuskan dosa setahun yang lalu” Riwayat Muslim.

3. Solat. Tidak diragukan lagi kelebihan solat yang merupakan rukun Islam yang pertama selepas syahadah. Selain solat fardhu banyak solat-solat sunat yang digalakkan sama ada siang atau malam.

4. Banyakkan zikir seperti takbir, tahmid, tahlil dan sebagainya. Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah selain daripada 10 hari pertama bulan Zul-Hijjah, dan tidak ada amalan yang paling Dia suka dilakukan selain daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari pertama bulan Zul-Hijjah. Maka hendaklah kamu membanyakkan TAHLIL, TAKBIR dan TAHMID pada hari-hari tersebut.” Musnad Ahmad

5. Sedekah. Sedekah adalah tanda syukur atas ni’mat yang dianugerahkan Allah kepada kita di samping mengharapkan keampunan serta dijauhkan dari api neraka. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sedekah tidak akan mengurangkan harta sedikitpun” Riwayat Muslim. 

6. Korban. Disunatkan pada hari ke 10, 11, 12 dan 13. 

“Amalan anak Adam yang paling Allah sukai pada Hari Nahar ialah menyembelih haiwan ternakan. Sesungguhnya haiwan-haiwan itu akan bangkit pada hari kiamat nanti bersama tanduk-tanduk, kuku-kuku dan bulu-bulunya. Sesungguhnya darahnya akan sampai kepada Allah sebelum ia menitis ke bumi. Maka laksanakanlah korban dengan sepenuh hati mu”. Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi

7. Banyak lagi amalan-amalan yang baik yang boleh diusahakan seperti menuntut ilmu dan mengajarkannya, menguhubungkan silatul rahim, menyebarkan salam, menyediakan makanan kepada mereka yang memerlukan, mendamaikan dua pihak yang bermusuhan, menyantuni ahli keluarga, jiran tetangga dan lain-lain. 

8. Setiap orang ada medannya dan ada kewajipan yang khusus baginya yang mungkin tidak sama dengan orang lain. Justeru, sempena hari-hari terbaik ini berusahalah sedaya mampu untuk melaksanakan kewajipan dengan penuh amanah, ikhlas, selari dengan tuntutan syariah. Ingatlah bahawa sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada orang lain. Daripada Ibn Umar RA, seorang lelaki bertemu Rasul Allah dan bertanya: “Ya Rasul Allah, siapakah manusia yang paling dikasihi Allah?” Baginda menjawab: “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah yang paling bermanfaat kepada manusia. Dan amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hulurkan kepada seorang muslim. Engkau ringankan bebanan kesusahannya, atau lunaskan hutangnya, atau hilangkan kelaparannya. Sesungguhnya seandainya aku berjalan bersama seorang saudara untuk memenuhi satu keperluannya lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid ini, iaitu masjid Madinah selama sebulan.” Riwayat al-Tabrani.


UMD

26/06/2022

26/11/1443


Sunday, June 19, 2022

AL-QURAN TIDAK MENGANGKAT PENGORBANAN AYAH?

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

(Luqman 31:14) 

Ada yang bertanya kenapa dalam ayat ini Allah hanya menyebut kesukaran yang ditanggung oleh ibu tetapi tidak langsung menyentuh tentang ayah pada hal kita diwajibkan supaya berbuat baik kepada keduanya: ibu dan ayah?

Memahami al-Quran bukan hanya dengan melihat pada nas atau lafaz yang zahir sahaja. Lihat juga pada makna yang tersirat di sebaliknya.

Cuba kita bayangkan di saat ibu menanggung kesusahan ketika mengandung, melahir dan menyusukan sebagaimana yang diungkapkan dalam ayat di atas (kelemahan demi kelemahan), manakala dalam surah al-Ahqaf pula Allah menggunakan ungkapan (ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah- Al-Ahqaaf 46:15), bayangkan siapakah yang berada di sisi ibu? Siapakah yang menyantuni perasaannya, yang membantu meringankan bebannya, yang berusaha memenuhi kehendak dan keperluannya? Bukankah ayah? Malah kadang-kadang ayah sampai tidak dapat berehat kerana terpaksa membereskan semua urusan rumah yang tidak mampu dilakukan oleh ibu yang berada dalam keadaan lemah, mabuk, tak lalu makan, sakit, penat dan sebagainya.

Jadi, bila al-Quran menyebut kesusahan yang dialami oleh ibu tidak bermakna pengorbanan ayah diabaikan kerana di sebalik kesusahan yang ditanggung oleh ibu itulah terserlahnya peranan ayah yang setia di samping ibu dengan segala bantuan dan sokongan dalam serba serbi: fizikal, mental dan emosi. Maka wajarlah perintah berbuat baik adalah kepada kedua-duanya tanpa beza (Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya - Al-Ahqaaf 46:15)

Jika begitu, apakah hikmahnya Allah tidak sebut pengorbanan ayah yang turut menanggung kesusahan melayan ibu?

Allah SWT Maha Bijaksana. Setiap ayat dan setiap huruf yang diturunkan pasti ada hikmahnya. 

Lumrahnya kesusahan yang ditanggung oleh ibu bersifat tetap. Asalkan dia mengandung, melahirkan dan menyusukan, segala kesusahan dan kesulitan pasti dialaminya.

Manakala ayah pula tidak tetap kerana kadang-kadang ayah tidak ada di sisi ibu seperti Maryam yang Allah pilih untuk mendapat anak tanpa berkahwin dengan lelaki, atau ayah meninggal semasa ibu mengandung, atau wanita yang mengandung kerana diperkosa oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab, atau berbagai-bagai situasi yang menyebabkan ayah tidak ada bersama ibu. Namun ibu tetap meneruskan misinya: (mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan - Al-Ahqaaf 46:15)

Allahu A’lam.


UMD

20/06/2022



Friday, April 29, 2022

KISAH PENYESALAN

Pada suatu malam dalam bulan Ramadan, seseorang memberitahu saya, kawan-kawannya ajak keluar makan-makan selepas pukul 10 malam. Memandangkan tempat yang dicadangkan itu agak jauh, waktupun agak lewat dan hujan turun renyai-renyai dia buat keputusan untuk tidak pergi walaupun mereka mendesak dengan sungguh-sungguh.

Keesokannya dia baru tahu rupa-rupanya bukan sekadar makan-makan biasa, sebaliknya ada acara istimewa, iaitu majlis sambutan hari jadi bossnya.

Bukan main menyesalnya dia tak pergi kerana tidak diberitahu secara tenrus terang tentang hal itu.

Cuba fikir, kita tidak pergi kerana tidak diberitahu tentang keistimewaan yang ada pada majlis itu. Lalu kitapun menyesal kerana telah terlepas satu peluang yang cukup istimewa.

Cuba bayangkan, jika kita diberitahu akan hal yang sebenar adakah kita sengaja memilih untuk tidak pergi atau kita akan berusaha mengatasi segala halangan untuk tidak terlepas dari menghadiri majlis yang istimewa itu?

Tahukah kita, berapa banyak peluang istimewa yang Allah ofer sama ada melalui surat rasmi yang dihantar kepada kita (al-Quran) atau melalui utusan rasmiNya (hadis Nabi SAW) yang tidak diragui ketulinannya, namun tawaran-tawaran istimew itu kita lepaskan begitu saja tanpa rasa menyesal?

Contohnya:

1. Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Affan RA. Dia berkata: saya mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang solat Isya berjamaah, maka seolah-olah dia qiam separuh malam. Dan sesiapa yang solat subuh berjamaah, maka seolah-olah dia solat satu malam sepenuhnya!”

Adakah kita mampu untuk solat sepenuhnya sepanjang malam? Tentu tidak. Adakah kita berkejar untuk solat Subuh berjamaah bagi merebut fadhilat solat malam sepenuhnya? Tidak juga. 

Adakah kita menyesal dan berasa amat rugi jika tidak dapat solat Subuh berjamaah? 

Tepuk dada, tanyalah iman.

2. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Pada setiap 1/3 terakhir malam, Allah berfirman (maksudnya): “Sesiapa yang berdoa, Aku akan qabulkan. Sesiapa yang meminta, Aku akan tunaikan. Sesiapa yang memohon ampun, Aku akan ampunkannya. Hal itu berlaku berterusan sehingga terserlah waktu fajar.” Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Kita tahu tawaran yang sangat hebat ini. Dan kitapun banyak perkara yang ingin dipohon, sama ada yang berkaitan dengan hajat duniawi mahupun hajat ukhrawi. Namun, adakah setiap malam kita segera berkejar untuk bangkit pada waktu itu atau kita lebih mengutamakan tilam yang empuk, selimut yang hangat, bantal yang selesa serta tidur yang lena tanpa sedikitpun rasa rugi, terkilan dan menyesal?

Banyak lagi janji-janji hebat yang tidak cukup ruang untuk dibilang. Semua itu menjadi pengukur kepada tahap iman dan keyakinan kita kepada janji Allah SWT dan hari akhirat.

Muhasabahlah…! 


Thursday, April 28, 2022

LATIHAN QIAMUL-LAIL

Sepanjang Ramadan, kebanyakan kita gigih merebut peluang menunaikan solat sunat tarawih sebagai satu ibadah yang sangat dituntut dalam bulan Ramadan.

Bagaimanakah agaknya selepas berakhirnya Ramadan?

Akan berakhirkah juga qiamul-lail?

Sebenarnya solat tarawih itu adalah latihan untuk membudayakan qiamul-lail yang merupakan ibadah yang sangat afdhal dan dipuji oleh Allah.

Allah SWT berfirman maksudnya:

"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

(Az-Zumar 39:9) 

( قَانِتٌ ءانَاء ٱلَّيْلِ سَـٰجِداً وَقَائِماً ) 

قَانِتٌ  bermaksud orang yang taat kepada Allah dengan mengerjakan apa yang diperintahkanNya

ءانَاء ٱلَّيْلِ bermaksud beberapa ketika daripada waktu malam sama ada pada awalnya, pertengahannya atau pada akhirnya

سَـٰجِداً وَقَائِماً adalah merujuk kepada perbuatan solat.

Ini jelas menunjukkan kelebihan solat malam. 

Kelebihan solat malam terserlah dari beberapa aspek:

1. Lebih terlindung dari pandangan mata manusia. Dengan itu lebih terpelihara daripada penyakit ria’

2. Waktu manusia sedang tidur lena. Justeru, mereka tidak mendengar apa yang kita kerjakan. Dengan itu lebih berpeluang untuk kita memberikan sepenuh tumpuan kepada ibadah

3. Berkorban sebahagian daripada waktu tidur, sesuatu yang bukan senang untuk dilakukan. Maka diharapkan dengannya akan memperoleh ganjaran yang besar.

4. Apa yang Allah sebut dalam surah al-Muzzammil:6 “Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.”

Selain menekankan kepentingan dan kelebihan qiamul-lail, ayat ini mengandungi pengajaran yang tidak kurang penting, iaitu gabungan ilmu dan amal. pada permulaan ayat Allah sebut tentang amal, iaitu taat mengerjakan perintah Allah (قانتاً ساجداً قائماً ). Pada akhir ayat Allah sebut kepentingan ilmu (Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?).  ini menunjukkan bahawa kesempurnaan seseorang insan itu hanya tercapai dengan adanya dua unsur ini, ilmu dan amal.

Seterusnya, ayat ini menekankan bahawa sesuatu amalan itu benar-benar memberi manfaat kepada orang yang beramal sekiranya dilakukan dengan konsisten dan berterusan. Perkataan qanit menunjukkan seseorang itu sentiasa tangkas, bangkit melaksanakan apa jua yang Allah perintahkan. Dan ilmu juga hanya bermanfaat jika diamalkan dengan berterusan.

Mudah-mudahan latihan tarawih sepanjang Ramadan berjaya menjadikan kita umat yang konsisten dengan qiamul-lail.


Wednesday, April 27, 2022

KEBAHAGIAAN AHLI SYURGA (SURAH YA SIN 55 – 58)

Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;

Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;

Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;

(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.

(Yaa Siin 36:55-58)

Huraian 1: أَصْحَابَ ٱلْجَنَّةِ

Ashab jamak atau plural kepada sohib. 

Sohib bermakna orang yang kita pilih untuk menemani dan mendampingi kita sepanjang masa. Seolah-olahnya mereka adalah teman bagi Jannah dan Jannah adalah teman bagi mereka. Itulah gambaran orang beriman di dunia. Selalu ingat dan rindukan Jannah. Lalu mereka melakukan amalan-amalan yang memungkinkan mereka bertemu dengan Jannah.

Sohib juga bermakna pemilik. Seolah-olahnya Jannah itu milik mereka. Mereka memegang kuncinya dan memasukinya bila-bila mereka suka

Huraian 2: فِي شُغُلٍ فَاكِهُونَ

Berada dalam kenikmatan yang membuat mereka tidak sempat atau terlalu sibuk untuk mengingati sesuatu yang lain atau saudara mara dan kenalan mereka yang berada di dalam neraka

Fakihun – dalam keadaan menikmati kelazatan, kesenangan yang sepenuh-penuhnya. Kalau mereka makan, bukan kerana lapar, atau kerana mengubati sakit, hanya kerana untuk menikmati kelazatan dan keenakannya.

Huraian 3: هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ

Azwaj bermakna ahli kumpulan yang memiliki kriteria yang sama, iaitu amal soleh

Azwaj juga bermaksud pasangan suami dan isteri. Inilah makna yang paling kerap digunakan. Suami isteri yang beriman dan beramal soleh akan duduk bersama di dalam syurga. Jalinan yang berasaskan sakinah mawaddah dan rahmah bukan hanya sekadar di dunia. Malah berterusan hingga ke akhirat.

Huraian 4:  فِي ظِلاَلٍ

Di tempat teduh. Terlindung daripada panas atau hujan atau apa-apa yang mengancam keselamatan serta keselesaan

Atau mungkin bermaksud teduhan atau bayangan yang disediakan Allah sebagaimana yang disebut di dalam hadis " سبعة يُظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله.. " 

Huraian 5: عَلَى ٱلأَرَآئِكِ مُتَّكِئُونَ

Ara-eki jamak arikah – katil yang mempunyai bantal tempat bersandar.

Seseorang yang tidak tidur, mereka berada dalam keadaan sama ada duduk ( قاعد ) atau berdiri (قائم  ) atau bersandar (متكئ ).

Berdiri untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Duduk orang yang tertekan melayan fikiran atau perasaan. Bersandar sedang berihat sepenuhnya

Huraian 6: لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُمْ مَّا يَدَّعُونَ

Fakihah – makan untuk kesedapan, bukan kerana lapar atau keperluan

dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;  yang diminta atau tanpa meminta

Huraian 7:  سَلاَمٌ قَوْلاً مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ 

Salam boleh membawa maksud 

i. Apa yang mereka ingini (dalam ayat 57) diserahkan kepada mereka dengan selamat sempurna tanpa cacat atau kurang

ii. Ucapan salam daripada Allah secara direct, tanpa perantaraan

Allah adalah Rabb, iaitu Tuan yang mencipta dan memiliki. Setiap pencipta akan kasih kepada ciptaannya. Apa lagi pencipta yang memiliki sifat Maha Pengasih

Kesimpulan:

Kesempurnaan ni’mat untuk ahli syurga:

1. Berada dalam kesibukan, bukan sibuk kerja, sibuk memikir masalah, tetapi sibuk menikmati kesenangan atau sambutan luar biasa daripada Tuhan mereka.
2. Dalam pada itu mereka tidak perlu fikir tentang orang yang disayangi kerana semuanya ada bersama (azwaj)
3. Tempat yang selesa, tidak bimbang apa-apa (fi zilal)
4. Semua keinginan dipenuhi dengan sempurna 
5. Alu-aluan salam daripada Tuhan yang Maha Penyayang

Tuesday, April 26, 2022

DOSA YANG BERGANDA

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Apakah yang diturunkan oleh Tuhan kamu (kepada nabi Muhammad)?" Mereka menjawab: "Cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala".

(Mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar; sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu.”

(Al-Nahl 16:24-25) 

Ayat ke 25 mengenai ketua kaum yang memimpin atau mengajak kaumnya melakukan kejahatan. Mereka bukan sahaja memikul dosa sendiri, malah turut memikul dosa orang-orang yang mengikutinya.

Allah mengatakan “mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya ( أَوْزَارَهُمْ كَامِلَةً )” menunjukkan bahawa Allah tidak akan meringankan siksaan yang dikenakan ke atas mereka walau sedikitpun. 

Kata ar-Razi, ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa di akhirat nanti akan ada siksa yang diringankan daripada orang-orang yang beriman. Jika tidak, tidak ada gunalah Allah menyebut perkataan  كَامِلَةً atau sepenuhnya di sini. Jika benar pandangan ini, maka satu berita gembira kepada orang beriman, harapan supaya siksa diringankan dengan rahmatNya.

Ayat ini juga sejajar dengan hadis yang bermaksud “sesiapa yang mengajak kepada kebaikan, dia akan mendapat pahala orang yang mengikutinya tidak kurang daripada pahala mereka sedikitpun. Dan sesiapa yang mengajak kepada kejahatan, dia akan menanggung dosa orang yang mengikutinya tidak kurang daripada dosa mereka sedikitpun” (Riwayat Muslim)

Justeru dengan kemudahan teknologi penyebaran maklumat seperti sekarang, berhati-hatilah sebelum menyebarkan sesuatu yang tidak baik supaya kita terselamat dari bebanan memikul dosa yang berganda-ganda.

Ada yang bertanya, Bagaimana Kita memahami ayat ini dgn ayat , Dan seseorang tidak menanggung dosa orang lain..?

Dalam hal ini, ar-Razi berkata: ketahuilah bahawa bukanlah maksudnya di sini sesungguhnya Allah Ta’ala akan menyampaikan azab yang patut menimpa pengikut kepada ketuanya kerana itu tidak selari dengan keadilan Allah berdasarkan firmanNya “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;” (An-Najm 53:39) 

Dan firmanNya “(Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);” (An-Najm 53:38)

Sebaliknya, maknanya ialah bahawa seorang ketua itu apabila dia mencetuskan satu sunnah yang buruk, besarlah siksaannya sehinggakan siksaan itu menjadi sama dengan setiap siksaan yang patut didapati oleh setiap orang pengikutnya. Allahu A’lam.


Monday, April 25, 2022

AL-QURAN YANG DIPINGGIRKAN

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini MAHJURA".” (Al-Furqaan 25:30) 

Mahjura berasal daripada perkataan hijrah. Jadi mahjur bermaksud dihijrahkan, ditinggalkan, tidak dipedulikan.

Ibn Kathir berkata, ayat ini mengenai kaum musyrikin. Mereka mendengar al-Quran tetapi tidak memberikan perhatian, tidak memberikan tumpuan dengan memerhati maksudnya.

Ar-Razi berkata, ada dua pendapat tentang maksud mahjur dalam ayat ini: 

Pertama: daripada hijrah. Ertinya mereka meninggalkan seruannya, tidak beriman dengannya dan enggan mendengarnya.

Kedua: meminggirkannya dengan melemparkan pelbagai tuduhan seperti sihir, syair, dusta dan sebagainya.

Selain daripada dua pandangan di atas, beliau juga membawakan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang belajar al-Quran dan mengajarnya, dan dia menggantung mushaf tanpa menyantuni, tanpa menghirau dan memandangnya, mushaf itu datang pada hari qiamat nanti bergantung kepada tuannya seraya berkata:

“Wahai Tuhan Rabbul Alamin, hambaMu ini menjadikan aku MAHJURA. Maka bicarakanlah dan putuskanlah hukuman (yang adil) antara aku dengannya!”

Adakah kita termasuk dalam kalangan mereka yang menjadikan al-Quran MAHJURA?

Renungkanlah…






Friday, April 22, 2022

ZIKIR POWER


Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang mengucap:

لا إله إلا الله وحده لا شريك له 

له الملك، وله الحمد، وهو على كل شيء قدير

100  kali dalam sehari, baginya pahala: 

• membebaskan 10 orang hamba, 

• ditulis untuknya 100 kebajikan, 

• dihapuskan daripadanya 100 kesalahan, 

• dilindungi daripada syaitan pada hari tersebut sehingga ke petang, dan 

• tidak ada seorangpun yang mendapat lebih baik daripadanya kecuali orang yang beramal lebih banyak daripadanya

(Al-Bukhari dan Muslim)

Zahir hadis ini tidak mensyaratkan berturut-turut 100 kali untuk mendapat ganjaran yang disebutkan. 

Yang penting cukup 100 kali dalam sehari, sama ada diucapkan berturut-turut dalam satu majlis, atau pada waktu yang berbeza seperti sebahagiannya pagi, sebahagiannya petang. Demikian pendapat Imam an-Nawawi. Cuma katanya, yang afdhal adalah diucap secara berturut-turut pada waktu pagi supaya mendapat perlindungan daripada syaitan sepanjang hari tersebut.


Thursday, April 21, 2022

CADANGAN AMALAN YANG MUDAH UNTUK MENGISI LAILATUL-QADAR


Lailatul-Qadar yang ditunggu-tunggu bakal menjelma. 
Pastinya kita mengharapkan agar bertemu dengannya
Apakah persediaan kita untuk mengisi kehadirannya
Agar dapat diraih kebaikan yang sebanyak-banyaknya?

Ini beberapa cadangan mudah, yang mampu dibuat oleh siapa saja, tanpa menafikan ramai yang mampu lakukan lebih banyak dan lebih baik daripada apa yang dicadangkan ini. 
Hanya sekadar cadangan supaya setiap orang tidak terlepas daripada kebaikannya.

1. Ikhlaskan niat, bulatkan tekad, panjatkan doa supaya Allah permudahkan segala-galanya 
2. Malam bermula dengan masuknya waktu maghrib, waktu berbuka. Berilah makanan untuk berbuka walaupun hanya sebiji kurma atau seteguk air kosong kepada sesiapa saja yang berpuasa.
3. Jika tak mampu untuk qiam sepanjang malam, usahakan supaya dapat tunaikan solat isya dan subuh secara berjamaah. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang solat isya berjamaah maka seolah-olah dia qiam separuh malam. Dan sesiapa yang solat subuh berjamaah, maka seolah-olah dia qiam satu malam sepenuhnya.” (Muslim) 
4. Jika tak mampu untuk khatam al-Quran, bacalah surah al-Zalzalah 2 kali, surah al-kafirun 4 kali dan surah al-Ikhlas 3. Semua itu menyamai khatam al-Quran sebanyak 3 kali.
5. Bersedekah setiap malam walaupun hanya sekadar RM1 (satu ringgit)
6. Sebarkan kebaikan walaupun hanya dengan sepatah perkataan.
7. Santuni ibu bapa yang masih hidup dengan menelefon atau menghantar pesanan ringkas walaupun hanya sekadar memberi salam. Jika mereka telah meninggal, doakan mereka agar Allah ampunkan dosa-dosa mereka serta angkat darjat mereka di sisiNya. 
8. Banyakkan istighfar, zikir dan doa untuk kebaikan dunia dan akhirat.
9. Sebarkan pesanan ini, anda akan diberikan ganjaran setiap orang yang mengamlkannya in syaa Allah.
10. Ingat! Semua amalan tersebut jika berbetulan Lailatul-Qadar, ganjarannya lebih baik daripada 1000 bulan. Jangan terlupa untuk melakukannya setiap malam pada 10 terakhir ini, moga-moga satu daripadanya adalah Lailatul-Qadar.

SELAMAT BERAMAL.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, dan Engkau suka memberi maaf, maka maafkanlah aku."

Tuesday, April 05, 2022