Monday, July 18, 2005

Pengenalan Ilmu Ketamadunan

Pengenalan Ilmu Ketamadunan
Organisasi sosial manusia (ijtima’ insani) itu adalah suatu yang harus (wajib). Ahli-ahli falsafah menyatakan hakikat ini dengan berkata: al-insan madaniyyun bit-tab’ei.
Menurut Ibn khaldun, organisasi sosial adalah suatu keharusan (kemestian) bagi manusia. Tanpanya, kewujudan manusia tidak sempurna. Allah s.w.t. mahu memakmurkan dunai ini dengan makhluk manusia dan menjadikan mereka itu sebagai khalifah di permukaan bumi ini tentulah tidak akan terhasil. Inilah ertinya suatu peradaban (‘umran).
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”. Al-Baqarah:30
“Dan kepada Thamud, Kami utuskan saudara mereka Salih. Ia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah Allah! Tiada tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan bumi, serta memakmurkan kamu di dalamnya. Maka mintalah ampun kepada-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku amat dekat, lagi memperkenankan doa hamba-Nya”. Hud:61
Definisi
1. Tamadun
Keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran (social, budaya, politik dll) yang tinggi, peradaban. (KD, hal.1274)
Menurut ‘Uthman El Muhammady, tamadun berasal daripada perkataan ‘maddana’ yang bererti membina sesuatu bandar atau kota; atau seseorang / masyarakat yang mempunyai peradaban. Justeru itu perkataan tamadun boleh diertikan keadaan hidup seseorang bermasyarakat yang bertambah maju ke hadapan.
E. B. Tylor : tamadun dan budaya sama kedudukan – merangkumi keseluruhan pencapaian manusia termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat dan keupayaan-keupayaan serta tabiat-tabiat lain yang di dapati oleh manusia sebagai anggota masyarakat.
Tamadun : kehalusan budi bahasa dan kesopanan tingkah laku.
Mempunyai kaitan dengan madana : memperhaluskan budi bahasa dan memperelokkan tingkah laku; membuka atau membuat bandar.
Madinah : Bandar
Madani : peradaban dan kemakmuran hidup; orang yang berkelakuan seperti orang bandar yang bersifat halus dalam berbudi bahasa dan beradab sopan dalam tingkah laku.

2. ‘Umran
Dikemukan oleh Ibn Khaldun yang memberi pengertian bahawa kawasan tanah di mana sekumpulan masyarakat yang tinggal menetap di suatu tempat itu dalam keadaan yang berkembang subur lagi makmur; di sebalik kawasan kering dan terbiar. (Zakarian Hashim, 1970)
3. Hadharah
Suatu wilayah yang mengandungi aspek-aspek kehidupan sosial dan nilai-nilai yang berdasarkan ajaran Islam di kalangan mereka apabila dibentuk kehidupan bernegara dengan kota pertahanan serta kehidupan secara kolektif yang tersusun. (‘Uthman El Muhammady, 1989)
4. Civilization
Berasal daripada istilah bahasa Perancis. Juga mempunyai kaitan rapat dengan istilah civitas dalam bahasa Greek
Jacqueta Hawkes: Kualiti tinggi yang dimiliki oleh sesuatu masyarakat.
Collingwood : keadaan masyarakat yang telah mencapai ciri-ciri masyarakat bandar ataupun mempunyai ciri-ciri persamaan dengan ciri-ciri masyarakat bandar
Samuel Johnson : suatu keadaan yang bertentangan dengan kehidupan biadab (barbaric), iaitu mencapai satu tahap kesopanan yang tinggi
Gordon Childe : memberi penekanan kepada pencapaian material sebagai lambang ketamadunan; pengukuran tamadun adalah berdasarkan kepada kewujudan Bandar atau urban civilization
Edward L. Farmer: unit budaya yang besar yang mengandungi norma-norma sosial, tradisi dan institusi yang dikongsi bersama dan diwarisi dari generasi ke generasi.
Dr. Elbert Schwetzer (Nobel 1954) : keseluruhan kemajuan yang dibuat oleh manusia dalam setiap tindakan dan pemikiran selagi kemajuana ini membawa kepada penyempurnaan kerohanian seorang individu. Elemen ini adalah penyempurnaan etika individu dan komuniti.
Nourouzzaman As Shiddiqi M.A (1986) : Pengolahan akal budi dalam bentuk lahiriah sahaja; seperti mendirikan bangunan pencakar langit, mengirim satelit ke ruang angkasa dan seumpamanya. Jadi civilization yang bermaksud peradaban itu mengandungi erti hanya meningkatkan kemajuan dalam perkembangan social semata-mata.

5. Culture
Akal budi manusia yang bersifat batiniah, iaitu akal budilah yang memberi dorongan kepada manusia untuk menciptakan sesuatu seperti kesusasteraan, kesenian, agama, akhlak dan pembangunan-pembangunan yang lain dalam rangka meningkatakan pencapaian kehidupan manusia yang lebih baik. Jadi culture yang bermaksud kebudayaan itu adalah perkembangan intelektual yang memimpin manusia kedalam kehidupan dari pelbagai lapangan.
Kesimpulan
Sejumlah pencapaian dan pemerolehan dalam segala perlakuan, pemikiran dan penciptaan yang baik (termasuklah dalam bidang seni bina dan lain-lain kemahiran), halus, sopan dan santun bagi pembentukan peribadi, akhlak, tatasusila, adab, tingkah laku dan budi bahasa yang mulia bagi individu dan juga sesuatu kelompok manusia yang membentuk sebuah bangsa atau negara bangsa. Ringkasnya tamadun boleh dilihat sebagai pencapaian satu bentuk budaya tinggi.

No comments: