Wednesday, April 26, 2006

PRINSIP PENGURUSAN ISLAM

Prinsip ialah asas atau dasar yang menjadi pokok sesuatu pemikiran, tindakan atau pelaksanaan. Dalam kontek pengurusan Islam, prinsi[ bertindak selaku landasan dalam melaksanakan kegiatan pentadbiran atau pengurusan untuk mencapai sesuatu matlamat yang telah dirancang dan ditetapkan.

Pentadbiran dan pengurusan Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah di samping tidak mengenepikan daya pemikiran manusia. Lantaran itu prinsip pengurusan Islam bersifat global, universal dan kekal.

Di antara prinsip pengurusan Islam:

Kepatuhan kepada Keesaan Allah

Kepatuhan kepada Keesaan Allah menjadi teras kepada Islam. Seluruh aktiviti manusia terikat dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa Allah Yang Maha Agong mentadbir dan mengurus segala-galanya.

Kepatuhan manusia kepada keesaan dan kekuasaan Allah akan melahirkan para pekerja, pentadbir dan pengurus yang sedar tentang tanggungjawab mereka yang sebenarnya. Justeru pentadbiran atau pengurusan akan menjadi perantaraan serta alat yang boleh memartabatkan kemanusiaan dalam diri manusia. Ia boleh menyusun dan mengagihkan segala nilai yang diperlukan oleh manusia secara adil dan saksama. Inilah hasrat yang ingin dicapai oleh sesuatu pengurusan atau pentadbiran.

Mengimplementasikan Amalan Syura

Islam menjadikan amalan syura sebagai suatu pendekatan yang perlu diterapkan dalam segala bidang kehidupan.

Proses syura yang dijalankan akan memberi peluang kepada yang terlibat untuk mengemukakan pandangan secara bebas dan pada masa yang sama menghargai pandangan pihak lain. Akhienya keputusan yang terbaik akan dapat dicapai melalui penyertaan pelbagai pihak.

Mementingkan Persamaan (al-Musawah)

Para pentadbir, pengurus, ketua dan lain-lain adalah sama di sisi peraturan dan undang-undang Islam. Tiada sesiapa yang boleh dilucutkan hak asasinya melainkan mengikut undang-undang.

Setiap pekerja adalah sama dari segi:
i. Tanggungjawab terhadap undang-undang.
ii. Tanggungjawab terhadap hukuman.
iii. Agihan dan penerimaan kemudahan-kemudahan.

Mendaulatkan keadilan (al-‘Adalah)

Keadilan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempat dan keadaan yang betul. Ia mesti dipatuhi di dalam setiap aktiviti.

Skop keadilan teramat luas, meliputi Keadilan dalam:
i. urusan persendirian
ii. menguruskan harta
iii. pertuturan
iv. proses perbicaraan dan penghukuman
v. melayani mereka yang tidak sealiran pendapat.

Dalam konteks pentadbiran dan pengurusan keadilan boleh berlaku dalam hal-hal-hal seperti berikut:
i. Keadilan dalam bentuk persamaan – semua kakitangan dibayar gaji pada hari yang sama.
ii. Keadilan dalam bentuk yang berbeza – jumlah imbuhan atau gaji diberi berbeza mengikut kepakaran atau profesion masing-masing.
iii. Keadilan dalam bentuk hak keistimewaan – ketua boleh menetapkan peraturan dalam pejabat demi kebaikan jabatannya.

Mengtumakan Kebebasan (al-Hurriyyah)

Mengikut undang-undang, setiap orang berhak untuk mendapat kebebasan dalam perkara berikut:
i. Kebebasan diri
ii. Kebebasan beragama
iii. Kebebasan bergerak
iv. Kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat
v. Kebebasan mencari dan memiliki harta dengan cara yang halal.
Assalamu’alaikum.

Puan,
Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Telah lama persoalan ini berligar di dalam fikiran saya. Beberapa kali cuba berbincang dengan teman-teman, namun kesimpulan tetap tidak memuaskan hati. Oleh itu saya harap puan dapat memberikan penjelasan yang sebaik mungkin. Soalan saya ialah sejauh mana kewajipan wanita di dalam dakwah? Apakah sama dengan kaum lelaki? Terima kasih.

Lina,
Shah Alam.

Peranan wanita di dalam dakwah

Sebagai sebuah agama fitrah, Islam telah mengatur hidup para penganutnya kearah kesejahteraan, keharmonian dan kedamaian. Islam datang dengan prinsip-prinsip serta asas-asas yang menjadi tiang kepada tamadun. Ia merupakan penutup kepada segala tamadun terdahulu. Ia menjadikan manusia sebagai unsur asasi di dalam proses pembinaan tamadun.

Manhaj rabbaniy ini menyelaraskan antara kegiatan kaum wanita dan lelaki dalam membangunkan masyarakat dan membina tamadun. Ia menjadikan kegiatan ini wujud dalam bentuk yang pelbagai. Ada yang khusus untuk kaum lelaki, ada yang khusus untuk kaum wanita dan ada yang dikongsi bersama.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya wanita adalah saudara kandung (seibu sebapa) bagi lelaki” ( Diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada ‘Aisyah r.a.)


Maksud saudara kandung ialah dari sudut penciptaan,taklif dan kemuliaan yang diberikan sebagai seorang manusia.

Allah s.w.t. berfirman maksudnya: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) sesetengah kamu (adalah keturunan) dari sesetengah yang lain.” Aali ‘Imran : 195

Tidak syak lagi wanita Islam mempunyai peranan istimewa dalam melaksanakan amal bagi melengkapkan peranan kaum lelaki. Bahkan peranan mereka mengatasi peranan lelaki dalam sesetengah bidang yang didominasi oleh kaum wanita. Ini kerana kaum wnaita mempunyai beberapa keistimewaan dari sudut kesediaan, kemampuan, sifat-sifat keperibadian, kejiwaan dan perasaan yang berbeza daripada kaum lelaki.

Dakwah kepada Allah merupakan kerjaya paling agong dan mulia. Kerja yang diwariskan oleh Rasulullah s.a.w. kepada seluruh umatnya tidak kira lelaki atau perempuan. Di dalam surah at-Taubah ayat 71 Allah s.w.t.menyatakan dengan terang dan jelas bahawa tugas dakwah yang mulia, penting lagi berat ini tidak harus dipikul oleh kaum lelaki secara bersendirian, malah tugas ini mesti dikongsi dan dipikul secara bersama oleh kaum wanita.

Masyarakat Islam terawal memberikan contoh yang praktikal mengenai peranan wanita di dalam dakwah. Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah umpamanya menjadikan rumahnya tempat tumpuan kaum lelaki di dalm menimba ilmu. Beliau begitu terkenal kerana keaktifannya di dalam memberi nasihat dan menyampaikan ajaran Islam di kalangan pelbagai qabilah pada zaman Nabi s.a.w.Baliau pernah disiksa dan dipenjara. Namun semangatnya tidak patah.

Menurut Zainab al-Ghazali di dalam bukunya yang berjodol Ila Ibnati, keadaan umat masa kini sangat memerlukan kaum wanita memainkan peranan yang aktif di dalam dakwah. Ini disebabkan penjajah Barat mengeksploitasi wanita di dalam menabur benih-benih kejahatan dan keruntuhan nilai-nilai akhlak dan kemanusiaan. Wanita Islam yang lemah pegangan agamanya serta cetek ilmunya akan terus menjadi alat propaganda syaitan di dalam melariskan kemungkaran yang ditajanya melalui media massa, sama ada media cetak maupun media elektronik.

Menurut penelitian beliau, wanita adalah orang yang paling layak diketengahkan untuk menjalankan opereasi dakwah di kalangan kaum sejenis mereka. Mereka lebih memahami tabiat, kedudukan dan permasalahan yang dihadapi kaum sejenis mereka. Dengan itu mereka lebih berupaya menembusi hati-hati mad’u dengan pendekatan yang bersesuaian serta lebih serasi dengan fitrah mereka.

Medan-medan Dakwah

Dakwah bukan terbatas pada menyampaikan ceramah di masjid-masjid, memberi tazkirah di dalam liqa’ mingguan atau memberi syarahan di dalam suatu perhimpunan. Sebaliknya dakwah merangkumi keseluruhan tingkah laku dan gaya hidup seseorang; memiliki akhlak yang mulia, tuturkata yang baik, kasih sayang yang mendalam, persaudaraan yang jujur, kegigihan dalam bekerja, sabar ketika bencana, teguh setia menanggung suka dan derita.

Jelas kepada kita, medan dakwah cukup luas dan pelbagai. Setiap orang boleh memainkan peranan mengikut kemampuan dan kesesuaian masa, tempat, kebolehan serta kelebihan yang dimiliki. Seseorang wanita tidak harus memenjarakan dirinya di dalam permasalahan keluarga dan rumahtangganya yang sempit, sehinggakan seolah-olah rumah itulah sahaja dunianya, suami dan anak-anaknya sahajalah segala-galanya dalam hidup ini. Akhirnya dia menjadi seorang muslimah yang tidak mempunyai wawasan, tidak mengendahkan masa depan agama dan dakwahnya. Lama kelamaan dia menjadi wanita biasa yang larut di dalam masyarakat, lupa pada tanggungjawab serta cita-cita untuk membangunkan rumahtangga muslim yang soleh.

Jadi, perseimbangan antara tanggungjawab dakwah dengan urusan rumahtangga amatlah dituntut. Sebagai muslimah yang memiliki kesedaran yang mendalam tentang tanggungjawab, anda mestilah mengatur kehidupan secara seimbang. Rumah tangga tidak harus diabaikan kerana dakwah. Begitu juga sebaliknya dakwah tidak harus dikorbankan kerana sibuk melayani suami serta kerenah anak-anak. Anda mesti memahami keutamaan bagi setiap perkara, masa dan keadaan. Ketika anak-anak masih kecil, tumpuan mesti diberikan kepada mereka,didik mereka supaya menjadi pelapis yang bakal meneruskan risalah. Namun pada masa yang sama anda tidak boleh meninggalkan medan dakwah sepenuhnya atas alasan mendidik anak. Tindakan ini akan membawa kerugian kepada anda dari segi pendedahan, pengalaman dan pahala.

Sesungguhnya kita sangat berhajat kepada muslimat da’iah yang memahami betapa umat ini amat memerlukan dakwahnya, sumbangan tenaga serta kepakaran yang ada padanya bagi membimbing wanita-wanita Islam dan mendidik mereka agar beriltizam dengan ajaran Islam. kita sangat berhajat kepada muslimat da’iah yang prihatin terhadap hal ehwal masyarakat dan umat Islam, yang memahami tugas yang diamanahkan kepadanya, yang bercita-cita untuk mengangkat dirinya ke martabat du’at yang berjuang dan berjihad mendaulat serta mempertahankan din yang agong ini.