Monday, December 25, 2006

PENCARI DUNIA DAN PENCARI AKHIRAT

Ya Allah, hari ini aku cuba menjadi hambaMU yang lebih baik dari semalam. seawal pagi aku bangun bertahajjud dan bersahur. Seiring suara azan bergema dari menara masjid aku menaiki kenderaan bersama suami menuju ke rumahMu.

Dalam perjalanan ku lihat seorang lelaki terbongkok-bongkok membersihkan daun-daun kering yang gugur dari pokoknya. Sejak pukul berapa dia bangun dan bekerja? Lebih awal daripada aku?

Terimbas wajah ayah (almarhum), jam 4.00 pagi dia telah pergi ke bukit untuk menoreh getah dengan mengayuh basikal tua dan pulang setelah mentari meninggi hari. Waktu yang sama (4.00 pagi) ibu bangun masak nasi kerabu dan kuih muih untuk dijual di atas gerai (geghe - loghat kelate) di tepi rumah (teratak dengan pengertiannya yang sebenar). Itulah sumber rezeki yang dengannya aku membesar dan bersekolah....

Memasuki kawasan masjid, beberapa buah kereta telah mengambil tempat di lot-lot parking yang disediakan. Kelihatan bilangannya terlalu sedikit berbanding lot-lot parking yang banyak. Tidak seperti lot-lot parking di komplek-komplek membeli belah; meskipun bertingkat-tingkat namun nak cari satu yang kosong tetap susah.

Melangkah ke dalam masjid dengan kaki kanan dan bacaan doa terasa kedamaian mengusap jiwa. Solat sunat tahiyyatul-masjid dengan termengah-mengah kerana panjat tangga. Sudah tua rupanya aku, panjat tangga ke tingkat satu sudah mengah begitu. Habis rakaat pertama baru terasa nafas kembali normal.

Kefasihan imam mengalunkan butiran wahyu mengetuk pintu hati yang terkadang keras laksana batu pejal. Itulah antara ni'mat solat berjamaah. Selain dijanjikan pahala berlipat ganda, al-Fatihah serta surah-surah yang dibacakan imam al-hafiz dengan fasih menjadi penawar, peringatan, pengajaran dan tamparan yang mengundang keinsafan.

Dalam perjalanan pulang aku terpandang sepasang suami isteri dalam lingkungan usia 60an sedang berjoging. Pastinya untuk menjaga kesihatan. Semua orang mahu sihat. Tapi yang sebenar-benarnya mengetahui ni'mat sihat hanyalah orang sakit. Begitu juga dengan masa. Yang sebenar-benarnya mengetahui nilai masa hanyalah orang yang sibuk. Orang yang tidak sibuk sering merasa bosan, tidak tahu bagaimana nak habiskan masa yang kononnya lapang.

Itulah aku namakan coretan ini PENCARI DUNIA DAN PENCARI AKHIRAT. Keduanya sama saja dari segi bangun awal, cari rezeki, jaga kesihatan dan dot dot dot. Yang beza adalah niat serta beberapa garis panduan yang mesti dipatuhi. Pencari dunia panduannya adalah norma-norma kemanusiaan dan kemasyarakatan di samping undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Pencari akhirat garis panduannya adalah Syariat yang dibawa oleh para rasul utusan Allah Yang Esa.

Pencari dunia akan memperolehi dunia semata-mata.
Pencari Akhirat dijanjikan kedua-duanya: dunia dan akhirat.
Lantaran itu pencari akhirat sepatutnya lebih gigih daripada pencari dunia.

No comments: