Sunday, August 30, 2009

IKTIKAF




Iktikaf bermaksud berada dalam masjid dengan niat bertaqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah’Azza wa Jalla sesaat atau lebih, baik waktu siang atau malam. Ia adalah satu daripada ibadah yang disyari’atkan ke atas umat Islam. Hukumnya sunat kecuali jika bernazar untuk melakukannya. Maka ia jadi wajib.

Waktu serta Tempoh Iktikaf

Harus pada bila-bila masa siang atau malam. Disunatkan membanyakkan iktikaf pada bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada 10 hari terakhir kerana Rasulullah s.a.w. melakukannya sehingga baginda wafat, kemudian amalan itu diteruskan oleh isteri-isteri baginda.

Tiada had minimum atau maksimum untuk iktikaf. Sah dilakukan di waktu siang sahaja atau malam sahaja melainkan orang yang bernazar untuk iktikaf pada waktu-waktu tertentu, maka wajiblah terikat dengan nazarnya. Bagi mereka yang mensyaratkan puasa maka minimum iktikaf adalah satu hari.

Syarat Iktikaf

1. Muktakif atau orang yang beriktikaf itu mestilah muslim, berakal dan suci daripada hadas besar.
2. Niat.
3. Izin suami (bagi bagi wanita).
4. Di dalam masjid.
5. Puasa (pendapat segolongan ulamak)

Masjid Tempat Iktikaf

Iktikaf mesti dilakukan di dalam masjid. Hal ini disepakati semua ulamak berdasarkan firman Allah yang bermaksud: ”..... dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. ....” (Al-Baqarah:187)
Masjid yang paling afdhal untuk iktikaf adalah Masjid al-Haram, kemudian Masjid al-Nabawi dan seterusnya Masjid al-Aqsa. Selain itu, semua masjid adalah sama. Sekiranya seseorang bernazar untuk iktikaf beberapa ketika di masjid tertentu (selain daripada tiga masjid di atas), tidak wajib ke atasnya pergi ke masjid yang dinazarkan itu. Sebaliknya sah baginya beriktikaf di mana-mana masjid sekalipun dan dikira telah menunaikan nazarnya.
Setengah ulamak mensyaratkan masjid tempat beriktikaf itu mestilah masjid yang didirikan padanya solat Jumaat dan solat jamaah lima waktu. Ini supaya dia tidak meninggalkan Jumaat dan jamaah kerana tidak boleh keluar dari tempat iktikafnya.

Tempat Iktikaf Bagi Wanita

Menurut Mazhab Hanafi, wanita harus beriktikaf di mana-mana masjid termasuk masjid di rumahnya, iaitu tempat yang disediakan khusus untuk dia bersolat di situ.
Menurut Mazhab Syafi’e dan Hanbali, wanita harus beriktikaf di masjid yang tidak didirikan solat jamaah dan Jumaat padanya kerana kedua-dua solat tersebut (jamaah dan Jumaat) tidak dituntut dan tidak diwajibkan ke atas mereka. Namun tidak harus bagi mereka iktikaf di masjid rumahnya kerana iktikaf adalah satu ibadah khusus yang dilakukan di dalam masjid sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah di atas.

Wednesday, August 26, 2009

Anda Mampu Bersedekah 3 juta Sehari!!!

Anda mampu bersedekah 3 juta sehari!!!

Ya! Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: Sesiapa yang mengucap:

لا إله إلا الله وحده لا شريك له،له الملك، وله الحمد، وهو على كل شيء قدير

100 kali dalam sehari, baginya pahala membebaskan 10 orang hamba, ditulis untuknya 100 kebajikan, dihapuskan daripadanya 100 kesalahan, dilindungi daripada syaitan pada hari tersebut sehingga ke petang dan tidak ada seorangpun yang mendapat lebih baik daripadanya kecuali orang yang beramal lebih banyak daripadanya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.)

Lihat berapa nilai pahala yang anda dapat!

Membebaskan 10 orang hamba.

1 orang hamba nilainya 100 ekor unta.
1 ekor unta berharga RM3000.
100 ekor adalah RM300000.
1 orang hamba nilainya RM300000
10 orang hambanya adalah RM3000000.

Berapa kos yang anda perlu keluarkan?

HANYA 10 MINIT SEHARI!!!

SELAMAT BERSEDEKAH BERJUTA-JUTA!

Saturday, August 22, 2009

Kisah Seorang Jururawat Memeluk Islam

Seorang jururawat dari Amerika Syarikat bercerita mengenai perjalanannya memasuki agama suci kita, Islam.
Pertama kali aku mendengar bicara mengenai Islam ialah ketika sedang menonton satu program di TV. Aku ketawa mendengar apa yang diperkatakan oleh mereka.
Setahun selepas itu, sekali lagi aku mendengar tentang ajaran Islam. Kamu tahu di mana? Di hospital tempat aku bekerja.
Hari itu sepasang suami isteri datang membawa seorang wanita tua yang sakit tenat. Si isteri duduk di hadapan tempat dudukku memerhatikan aku menjalankan tugasku. Aku perhatikan dia benar-benar dalam keadaan resah. Sekali sekala dia mengesat air matanya yang tak henti-henti mengalir.
Acuh tak acuh aku bertanya kenapa dia begitu sedih dan menangis tak henti-henti? Katanya, dia dan suami datang dari jauh, mencari tempat untuk merawat ibu mertuanya. Sambil bercakap dia tidak reda menangis dan berdoa agar ibu mertuanya sembuh dan kembali pulih.
Aku tergamam. Kagum dan kaget. Dia datang dari jauh bersama suami semata-mata bertujuan untuk merawat ibunya. Tiba-tiba aku teringatkan ibuku. Aku bertanya kepada diri sendiri, di mana ibuku? Sudah empat bulan aku tidak bertemu dengannya dan sampai saat ini aku tidak terfikir untuk menziarahinya. Itu ibuku sendiri, bagaimana pula kalau ibu mertuaku?
Sungguh. Aku benar-benar kagum melihat suami isteri ini, lebih-lebih lagi keadaan ibu sangat tenat, harapan untuk hidup dan sembuh terlalu tipis. Dan yang lebih mengkagumkan aku ialah si isteri. Apa masalah dia, walhal yang sakit ibu suaminya. Buat apa dia menyusahkan diri memberi perhatian kepada wanita tua yang bukan ibunya, pada hal dia seorang perempuan muda dan cantik? Kenapa?
Itulah persoalan yang berlegar di dalam benakku. Segenap ruang dalam fikiranku seoalah-olah dipenuhi persoalan itu sahaja! Aku bayangkan diriku berada di tempat wanita tua yang sedang bertarung dengan kematian itu. Alangkah bahagianya ku rasa! Alangkah beruntungnya wanita tua itu! Sungguh aku cemburu akan keberuntungannya! Suami isteri yang baik itu berada di sisinya sepanjang waktu. Panggilan telefon dari luar pula hampir tidak putus bertanyakan hal keadaan ibu tua yang sedang sakit tenat.
Suatu hari ketika aku masuk ke ruang menunggu, aku dapati si isteri sedang bersendirian di situ. Aku menggunakan kesempatan itu untuk bertanya beberapa soalan yang aku inginkan jawapannya. Aku begitu terpukau mendengar penjelasannya tentang hak ibu bapa di dalam Islam dan betapa Islam mengangkat darjat kedua-duanya serta bagaimana sepatutnya kita berinteraksi dan melayani kedua-dua ibu bapa.
Beberapa hari kemudian ibu tua pun meninggal dunia. Wanita muda dan suaminya menangis sekuat-kuatnya seperti kanak-kanak yang masih kecil.
Selepas itu keadaan suami isteri muda dan hak ibu bapa dalam Islam terus menghantui fikiranku. Aku menulis surat kepada sebuah pusat Islam meminta buku-buku mengenai hak ibu bapa dalam Islam. Setelah membacanya, aku hidup dalam mimpi indah yang tidak pernah pergi dari sisiku. Aku bayangkan aku seorang ibu yang mempunyai anak-anak yang sangat menyayangiku, sentiasa mengambil berat tentang diriku dan berbakti kepadaku sehingga ke penghujung usiaku tanpa mengharap apa-apa balasan daripadaku. Dengan mimpi yang indah itu membuatkan aku terus mengisytiharkan keislamanku walaupun aku belum mengetahui apa-apa tentang Islam kecuali hak ibu dan bapa. Alhamdulillah aku telah berkahwin dengan seorang lelaki yang juga baru memeluk Islam dan kini telah dikurniakan beberapa orang anak yang aku sentiasa doakan kesejahteraan mereka.

Sumber: http://www.way2jana.com

Wednesday, August 19, 2009

Berdakwah Setiap Hari

Ramadhan adalah peluang yang dibuka untuk kita menambah pahala sebanyak-banyaknya. Antara amal yang dijanjikan pahala yang besar dan berkekelan ialah dakwah.
Serulah seramai mungkin manusia kepada kebaikan Islam.
Gunakan pelbagai media dan pendekatan.
Alat komunikasi sekarang begitu canggih, mudah, pantas dan murah. Malah ada yang percuma. Manfaatkan dengan sebaiknya.
Untuk lebih memudahkan anda, saya senaraikan 40 ungkapan yang anda boleh pilih setiap hari.
Ungkapan-ungkapan ini saya petik daripada maksud al-Quran, Hadis yang sahih, kata-kata sahabat dan ulamak terbilang.
Hantarkan kepada sesiapa yang ingin anda hantarkan melalui email, sms, facebook dan lain-lain.
Sekiranya Allah membuka hati seseorang menerima hidayah kerana usaha anda maka ganjarannya lebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Marilah kita lakukan sama-sama dengan ikhlas dan kita kongsi pahalanya, insya Allah.

40 panduan SMS

1. Sesiapa yang selalu beristighfar, Allah jadikan untuknya jalan keluar daripada segala kesempitan dan kesusahan – maksud hadis
2. Sesungguhnya amal yang baik itu menjadikan hati bercahaya, wajah berseri, rezeki yang luas dan perasaan sayang di hati manusia.
3. Al-Aqso mendambakan doa anda. Banyakkan berdoa untuknya ketika anda berpuasa.
4. Perkara yang paling dikesali oleh ahli syurga ialah membiarkan satu detik berlalu tanpa mengingati Allah.
5. Aku memohon kepada Yang menghimpunkan kita di dunia yang fana ini agar menghimpunkan kita semula di akhirat yang kekal abadi.
6. Bayangkan kehidupan di dalam syurga yang kekal selama-lamanya dan kehidupan di dalam neraka juga kekal selama-lamanya. Kehidupan manakah yang menjadi pilihan anda?
7. Sesungguhnya hati akan berkarat sebagaimana besi. Pengikis dan penggilatnya adalah istighfar
8. Allah berfirman maksudnya: teman-teman rapat hari ini akan menjadi musuh pada hari qiamat nanti kecuali orang-orang yang bertaqwa. Maka pilihlah teman anda dari kalangan mereka.
9. Kebahagiaan yang sebenar adalah menghimpunkan kebahagiaan dunia dan akhirat. Caranya ialah beriltizam dengan Islam
10. Sekiranya anda ditimpa pelbagai masalah, jangan berkata: ”Ya Allah, saya ada masalah besar!” Sebaliknya katakanlah! ”Wahai masalah, saya ada Tuhan Maha Besar yang membantu saya menyelesaikan kamu!”
11. Menghina saudara anda kerana satu maksiat yang dilakukannya adalah lebih besar dosanya daripada maksit itu.
12. Di dalam hati ada bara penyesalan yang tidak bisa dipadamkan kecuali dengan ridha di atas segala ketentuanNya dan sabar menerima ujian
13. Menghabiskan malam dengan tidur, kemudian bangun pagi dengan penuh penyesalan lebih baik daripada menghabiskan malam dengan qiam (solat) kemudian bangun pagi dengan perasaan ujub (bangga dengan ibadah yang banyak)
14. Rintihan penyesalan hamba yang berdosa lebih disukai Allah daripada alunan zikir hamba yang ria’.
15. Manusia akan mengalami dua jenis penyakit: penyakit hati dan jasmani. Penyakit jasmani akan berakhir dengan kematian, penyakit hati akan mula dirasai selepas kematian.
16. Menundukkan kepala kerana penyesalan, itulah ketinggian
17. Mengaku silap itulah tindakan paling tepat
18. Kesedihan hati tidak mungkin diubati kecuali dengan kegembiraan mengenal Allah dan berhubung denganNya.
19. Mungkin sedekah yang sedikit lebih cepat diterima oleh Allah daripada sedekah berjuta-juta. Maka segeralah memberi sedekah, jangan difikir berapa nilainya.
20. Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya
21. Sekiranya anda memerlukan cahaya untuk keluar daripada kegelapan, bacalah surah al-Kahfi pada setiap malam Jumaat
22. Peluang keemasan untuk memiliki sebuah rumah di dalam syurga: solat sunat 12 rakaat setiap hari
23. Dua mata tidak akan disambar api neraka: mata yang menangis kerana takut kepada Allah, mata yang berjaga mempertahankan agama Allah
24. Seandainya Allah jadikan engkau buta, dapatkah engkau melihat apa yang Allah larang engkau lihat? Tentu tidak! Jadi, engkau melihat perkara yang haram kerana nikmat penglihatan yang Allah berikan!
25. Seandainya Allah jadikan engkau pekak, dapatkah engkau mendengar apa yang Allah larang engkau dengar? Tentu tidak! Jadi, engkau mendengar perkara yang haram kerana nikmat pendengaran yang Allah berikan!
26. Seandainya Allah jadikan engkau bisu, dapatkah engkau cakap apa yang Allah larang engkau cakap? Tentu tidak! Jadi, engkau cakap perkara yang haram kerana nikmat pertuturan yang Allah berikan!
27. Seandainya Allah jadikan engkau lumpuh, dapatkah engkau kerjakan apa yang Allah larang engkau kerjakan? Tentu tidak! Jadi, engkau kerjakan perkara yang haram kerana nikmat kesejahteraan anggota yang Allah berikan!
28. Sesungguhnya Allah lebih gembira menerima taubat hambaNya daripada ibu yang menyambut kepulangan anaknya yang telah lama menghilang
29. Allah jadikan mati dan hidup kita untuk menguji siapa yang paling baik amalnya.
30. Makanan yang paling baik bagi seseorang ialah yang diperolehi daripada hasil usahanya sendiri
31. Setiap kebaikan ada nilai walau sekecilmana sekalipun
32. Senyuman adalah sedekah paling mudah, tak perlu modal namun keuntungannya tidak ternilai
33. Sesiapa yang menunjukkan jalan kebaikan, baginya pahala orang yang melakukan kebaikan itu
34. Abdullah bin Umar r.a. pernah berkata: seandainya mataku mengeluarkan setitis airmata kerana takut kepada Allah, lebih aku sukai daripada aku bersedekah seribu dinar
35. Manusia paling bodoh ialah orang yang mengikut hawa nafsu dan berangan-angan bahawa Allah akan memasukkannya ke dalam syurga – maksud hadis riwayat Ibn Majah.
36. Seandainya semua manusia diseru supaya masuk ke dalam neraka kecuali satu orang, maka aku berharap satu orang itu adalah aku. Dan seandainya semua manusia diseru supaya masuk ke dalam syurga kecuali satu orang, maka aku takut satu orang itu adalah aku – kata-kata Umar bin al-Khattab
37. Janganlah seseorang kamu mati kecuali dalam keadaan dia bersangka baik kepada Tuhannya – maksud hadis riwayat Muslim
38. Apabila terdapat empat perkara pada seseorang, maka dia adalah munafiq tulin sekalipun dia sembahyang, puasa dan mendakwa bahawa dia muslim. Empat perkara itu ialah: apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, apabila diberi amanah dia khianati dan apabila bertengkar dia zalim dan melampau - maksud hadis muttafaq ’alaih.
39. Sesiapa yang tidak ridha menerima ketentuan Allah, maka tidak ada penawar untuk mengubati kebodohannya itu.
40. Ikatan iman yang paling kukuh ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah – maksud hadis riwayat Ahmad

Saturday, August 15, 2009

Tawaran HEBAT! Peluang Tambah Pahala!

Dakwah adalah satu kewajipan yang dituntut ke atas setiap muslim. Namun tidak semua mempunyai kemahiran dalam menyampaikan dakwah, terutama kepada mereka yang masih belum mengenal Islam.

Semua pertubuhan dakwah yang berpusat di Riyad, Saudi menawarkan bantuan kepada mereka yang mempunyai kenalan yang belum Islam dan sangat berharap agar kenalannya mendapat penjelasan mengenai Islam, moga-moga dengan penjelasan itu Allah membuka pintu hatinya menerima Islam sebagai cara hidupnya.

Sila penuhi seperti yang diminta di dalam iklan di bawah.

Percayalah! Tugas kita hanya usaha, Allah yang akan menentukan hasilnya. Andai ditakdirkan usaha kita berjaya, untuk kita pahala yang tiada nilainya.

Sunday, August 09, 2009

BISIKAN CINTA RAMADHAN

Bisikan 1

Pujilah Allah dan bersyukurlah kepadaNya sebanyak-banyaknya kerana menyampaikan kita kepada Ramadhan sekali lagi.
Berapa ramai orang yang bersama dengan kita pada bulan Ramadhan tahun lalu, kini telah pergi mengadap Ilahi.
Maka pujilah Allah sebanyak-banyaknya. Bersyukurlah di atas peluang yang masih terbentang untuk kita mendekatkan diri kepadaNya, menambah pahala dengan melakukan kebaikan di bulan yang mulia penuh barakah ini.

Bisikan 2

Jadikan Ramadhan sebagai landasan untuk meluncurkan azam dan melancarkan misi meninggalkan maksiat secara besar-besaran.
Katakan:
selamat tinggal kepada maksiat!
Selamat tinggal kepada perangai jahat!
Hamburkan ucapan itu di wajah syaitan terlaknat!
Pergi engkau!
Pergi dari sisiku segala yang menjauhkan aku dari Tuhanku!
Bergembiralah menyambut janji Allah, taufiq dan hidayahNya. Dia pasti akan memimpinmu ke jalan yang diridhaiNya.

Bisikan 3

Ramadhan adalah bulan al-Quran.
Galilah makna-maknanya, fahamilah ayat-ayatnya, nikmatilah kelazatan membacanya!
Peruntukkanlah masa tertentu setiap hari untuk mendampinginya dengan membaca, memahami dan menghayati. Carilah kitab tafsir yang mudah difahami. Ia akan membantu memudahkan kita memahami kalam suci Allah Rabbul 'Izzati.

Bisikan 4

Jangan kita termasuk dalam golongan mereka yang pada siang hari tidur dan menganggur, malam berjaga membuat maksiat dan mungkar.
Sebaliknya penuhi waktu siang dengan zikir dan tilawah, waktu malam dengan solat dan ibadah.

Bisikan 5

Banyakkanlah infaq di bulan Ramadhan khususnya mereka yang dianugerahi rezeki yang berlebihan.
Beramai orang miskin dan kelaparan menanti ihsan dan belas kasihan kita. Bahagiakan hati kita dengan melihat mereka bahagian menerima pemberian dari kita.

Bisikan 6

Jangan berbuka puasa dengan perkara yang dilarang seperti menghisap rokok, menonton adegan lucah, cerita-cerita yang mempersendakan ajaran Islam, menghina kitab Allah serta rasulNya. Atau menghabiskan masa dengan mendengar musik dan lagu-lagu yang mengasyikkan dan tidak mengajak kepada kebaikan.

Bisikan 7

Banyakkan berdoa lebih-lebih lagi waktu sedang berpuasa. Nabi s.a.w. telah mengkhabarkan kita bahawa doa orang yang berpuasa itu tidak akan ditolak. Maka berdoalah untuk diri sendiri, keluarga, saudara-saudara seagama yang berselerak di seluruh pelusuk muka bumi ini. Doakan dengan penuh keikhlasan agar Dia membantu perjuangan kita menegakkan agama dan mendaulatkan syari’ah.

Bisikan 8

Bagi yang berkemampuan, kunjungilah Baitillah, tunailah umrah dan ziarahilah masjid Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya satu umrah di bulan Ramadhan menyamai satu kali haji bersama Nabi s.a.w.

Bisikan 9

Ketahuilah bahawa setiap malam di bulan Ramadhan Allah s.w.t. membebaskan sebilangan hambaNya dari api neraka. Iaitu hamba-hambaNya yang telah menyempurnakan puasa, mendirikan solat di waktu malam, membanyakkan amal kebaikan. Jangan lupakan peluang ini. Rebutlah anugerah agung ini dengan bersungguh-sungguh. Moga-moga diri kita termasuk dalam golongan hamba yang terpilih, bebas dari api neraka.

Bisikan 10

Hadiri majlis ilmu dan majlis zikir. Sesungguhnya itulah tempat kunjungan orang-orang yang beriman, tempat singgah orang-orang yang soleh. Allah s.w.t. berbangga menyebut nama-nama hamba-hambaNya yang berada di dalam majlis zikir di hadapan para malaikat yang berada di alam tinggi. Apabila kita bangun untuk beredar dari majlis zikir, kita bangun dalam keadaan dosa-dosa kita telah diampunkan. Alangkah bertuahnya.
Maka jangan beralasan untuk hadir ke majlis zikir.

Semoga Allah memberkati kita, mengampuni dosa-dosa kita, mengikhlaskan hati-hati kita dan menerima amalan kita. Amin

Tuesday, August 04, 2009

Cabut Gigi

Gigi merupakan struktur putih kecil yang terdapat di dalam mulut manusia dan juga haiwan vertebrat. Gigi digunakan untuk mengoyak, mengikis, memotong dan mengunyah makanan. Sesetengah haiwan, terutamanya karnivor, juga menggunakan gigi untuk memburu atau mempertahankan diri. Akar gigi diselaputi oleh gusi.
(Dari Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas).

Sebagai hamba kita sentiasa insaf bahawa setiap sesuatu yang ada pada badan kita walau sekecil mana, yang kita nampak atau tidak nampak semuanya anugerah yang tidak ternilai.
Justeru, ia perlu dijaga dan dipelihara dengan penuh amanah. Menjaga setiap ni'mat pemberianNya adalah satu tanggungjawab yang besar.

Demikianlah gigi kita yang putih bak mutiara, menjadi penyeri di kala senyuman diukir, penghias ketika berbicara (mungkin juga penapis air liur supaya tak tempias, apa lagi bila bercakap dalam keadaan semangat meluap-luap)!!!

Sebenarnya, bukan nak cerita sangat pasal gigi dan penjagaannya. Sayapun bukan pakar gigi yang layak berbicara mengenainya.

Apa yang ingin diperkatakan adalah sedikit perkongsian pengalaman cabut gigi.

Hari Jumaat lepas, 31 July 2009 saya ke klinik gigi untuk periksa gigi yang sakit. Setelah diperiksa, doktor kata kena cabut.

Mulalah operasi mencabut sebatang gigi yang sudah rosak, yang menurut kata doktor tidak boleh diselamatkan lagi.

Dengan izin Allah, bertungkus lumuslah sang doktor untuk mencabut sebatang gigi, itupun yang dah rosak. Sakitnya yang menanggung ini bukan kepalang. Lebih kurang 45 minit barulah gigi yang rosak itu berjaya dikeluarkan. Ketika itulah saya teringat bahawa setiap perkara yang Allah dah tanam dalam badan kita, bukan mudah untuk dibuang. Bayangkanlah nak cabut sebatang gigipun ambil masa hampir 1 jam dengan rasa sakit yang susah digambarkan. Apa lagi bila tiba waktu malaikat nak cabut nyawa yang meresap ke serata tubuh, betapalah sakitnya?

Ya Allah kami mohon kepadaMu rahmat ketika menghadapi kematian, keampunan selepas kami dimatikan. Amin.