Saturday, May 23, 2009

Secawan Kopi Secamca Garam

(Kisah benar yang mencuit kalbu, lucu dan terharu!)

Seorang jejaka biasa, tidak lawa dan tidak berharta.
Dia terpikat gadis di sebelah rumahnya, pada akhlak, agama dan tidak kurang pula rupa parasnya.
Dia ingin berkenalan, tetapi segan.
Ingin bertegur sapa, tetapi tidak tahu bagaimana.
Akhirnya dia memberanikan diri, merisik ahli keluarga serta tuan punya diri.
Tanpa diduga hasrat hatinya bersahut, pinangannya disambut.

Suatu hari dia mengajak tunangnya keluar makan di sebuah restoran yang cantik.
Mereka memilih tempat duduk yang agak tersorok.
Oleh kerana itulah kali pertama keluar berduaan dengan perempuan, dia menggelabah tak keruan. Tiada sepatah kata mampu diucapkan.
Begitu juga dengan si gadis. Tetapi dia lebih tenang dan dapat mengawal perasaan.
Diperhatinya si jejaka yang keresahan. Pun tidak tahu bagaimana nak mulakan bicara. Pabila mata bertentang, hanya senyuman terukir di bibir.
Tiba-tiba jejaka memanggil pelayan: “Saudara, bawakan sedikit garam untuk kopi saya!”
Si gadis memandang penuh keheranan. Seumur hidupnya tidak pernah mendengar air kopi dibubuh garam?
Dia mengambil garam yang dibawa oleh pelayan dan meletakkan satu camca ke dalam cawan kopi dan meminumnya.
Gadis bertanya kenapa minum kopi dengan garam?
Dia menceritakan bahawa dia dibesarkan di sebuah kampong yang terletak di tepi pantai. Dia sangat suka bermain di pantai dan mandi manda di dalam laut yang masin airnya.
Air kopi yang masin menyingkap kenangan manis zaman kanak-kanaknya serta kedua ibu bapanya yang banyak berjasa, mendidik dan membesarnyakan.
Dan dia meneruskan bicara dengan suara yang perlahan, sedang air mata bergenang dibirai matanya.
“Kini mereka berdua telah berpindah ke alam baqa’. Moga-moga Allah cucuri rahmat ke atas roh mereka berdua”.
Bicara tulus yang terbit dari hati yang mulus benar-benar menyentuh hati si gadis. Tanpa disedari airmatanya turut berjurai menghiasi pipi. Jauh di lubuk hati dia bersyukur pada Ilhali yang telah mempertemukan dia dengan jejaka yang penyayang, setia dan berbakti kepada ibu dan bapa. Dia bersyukur kerana Allah telah memakbulkan apa yang dipintanya di dalam doanya selama ini.
Itulah kali pertama dan terakhir mereka keluar bersama sebelum diijab qabulkan sebagai suami isteri yang sah.
Hiduplah mereka berdua aman damai dalam sebuah rumahtangga yang bahagia. Setiap kali dia membancuh kopi untuk suaminya, diletakkannya secamca garam kerana itu yang digemari suaminya.
Selama 40 tahun melayari bahtera rumahtangga, mereka telah dikurniakan cahaya mata yang diasuh dengan sempurna.
Anak pertama dan kedua menjadi pakar bedah, anak ketiga seorang jurutera, anak keempat seorang peguam, anak kelima pakar sakit puan dan anak keenam belum tamat pengajian.
Kini, bapa yang penyayang telah pergi menyambut seruan Ilahi.
Beberapa hari selepas pemergiannya ibu menjumpai sepucuk surat yang ditulis untuknya. Surat itu berbunyi:
Wahai isteriku tersayang, ibu kepada anak-anakku tercinta, maafkan aku. Sesungguhnya aku telah membohongimu satu kali sepanjang hidupku. Pastinya kau masih ingat saat kita keluar bersama di sebuah restoran. Aku menggigil, perasaanku bercelaru. Aku telah meminta pelayan membawakan garam untuk air kopiku. Sebenar aku hendak meminta gula, tapi tersebut garam. Aku malu untuk mengakui kesilapanku. Lalu aku terus minum air kopi yang dicampur garam.
Aku ingin berterus terang denganmu selepas itu. Namun aku tidak sanggup kerana bimbang kau akan menuduh aku seorang yang pandai menipu. Maka aku berjanji kepada diriku tidak akan membohongimu lagi sepanjang hidupku. Cukuplah sekali itu.
Wahai isteriku, kesayanganku. Sesungguhnya aku tidak suka kopi yang dicampur garam. Rasanya pelik. Tapi itulah yang aku teguk sepanjang hidupku bersamamu selama 40 tahun. Ia tidak menjadi masalah kepadaku. Cinta dan kasih sayangmu menghapus segala rasa yang tidak enak kopi yang bergaram. Aku tetap bahagia. Sekiranya ditakdirkan Allah aku bisa hidup sekali lagi di dunia ini, pasti aku akan memilih hidup bersamamu meskipun aku terpaksa meminum kopi dengan garam lagi. Tetapi apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik dan lebih kekal. Aku berharap Dia akan menghimpunkan kita kembali di sisiNya di dalam syurga yang abadi…
Air matanya mengalir deras membasahi sekeping kertas yang terhampar diribaannya. Dia menangis sepuas-puasnya bagaikan kanak-kanak yang kematian ibu.
Suatu hari salah seorang anaknya bertanya: Mama apa rasa minum kopi dengan garam?
Dengan linangan air mata dia menjawab: “Itulah kenangan hidupku yang paling berharga. Ia lebih manis daripada gula!”

Wednesday, May 20, 2009

KEYAKINAN, KEPERCAYAAN DAN HARAPAN

Pada suatu hari, penduduk sebuah kampung berpakat untuk keluar beramai-ramai menunaikan solat istisqa’ (mohon supaya diturunkan hujan) setelah sekian lama kampung mereka ditimpa kemarau panjang.
Mereka semua berkumpul di tanah lapang untuk menunaikan solat seperti yang telah dipersetujui bersama.
Salah seorang daripada mereka keluar membawa payung.

Itulah yang dinamakan KEYAKINAN!

Bayi yang baru berusia satu tahun, apabila anda melambungnya ke atas akan tertawa terkekeh-kekeh kerana dia tahu anda akan menangkapnya dan tidak akan membiarkannya terhempas ke bawah.

Itulah yang dinamakan KEPERCAYAAN!

Setiap malam kita akan merebahkan badan, memejamkan mata dan mendengkur lena. Tiada siapa di antara kita yang yakin bahawa esok pagi kita akan bangkit semula dari perbaringan.
Namun begitu kita tetap membuat perancangan apa yang akan kita lakukan pada hari esok.

Itulah yang dinamakan HARAPAN!

Thursday, May 14, 2009

Jepun Sekilas Pandang



Alhamdulillah dengan izinNya berpeluang menjejakkan kaki di Negara Jepun dari 1 Mei 2009 hingga 11 Mei 2009.

Waktu ini Jepun sedang ditandangi musim bunga. Pemandangan dihiasi pokok-pokok yang menghijau serta bunga-bungaan pelbagai warna. Sayangnya musim sakura telah berlalu. Sakura berbunga bulan April dan hanya bertahan seminggu sahaja di atas pokok.
Bandar dan kawasan perumahan tampak bersih dan teratur. Jalan-jalannya lurus tapi agak sempit. Sepanjang empat negeri yang dilalui: Tokyo, Kanagawa, Saitama dan Chiba tiada satu pun bulatan (roundabout) ditemui. Yang banyak adalah lampu isyarat. Kalau dalam bandar, boleh dikatakan setiap simpang ada lampu isyarat. Rasa cuak juga. Dah lah kereta bergerak perlahan kerana kesesakan, terpaksa berhenti pula bila lampu merah.

Terhadap orang asing, warga Jepun bersikap tidak peduli dan tidak friendly. Malah sesama sendiripun mereka tak pandang, tak senyum dan tak bertegur sapa. Difahamkan keadaan seperti ini hanya di bandar sahaja. Di kampung-kampung mereka baik dan peramah.

Tak tahu apa sebabnya, identity card bagi warganegara asing yang tinggal di Jepun dinamakan alien card. Memang tertulis di bahagian atas kad yang bersaiz lesen memandu.

Dulu-dulu pernah dengar orang kata masyarakat Jepun rajin membaca dan tak buang masa. Namun sepanjang pemerhatian saya ketika menaiki train dan bas, ramai yang tidur dan melangut. Terdapat beberapa orang membaca buku atau akhbar, rasanya tidak sampai 10%. Kebanyakannya warga tua. Ada juga yang bermain dengan telefon bimbit. Tak tahulah buat apa? Mungkin baca internet, main game atau sms?

Seperkara yang menarik ialah mereka sangat patuh kepada peraturan dan jaga kebersihan. Umpamanya ketika menaiki escalator, semuanya berdiri di sebelah kiri. Sebelah kanan dibiar kosong. Bahagian itu dikhususkan untuk mereka yang mahu berjalan atau berlari (yang nak naik cepat-cepat).

Saya menghadiri program yang dianjurkan oleh rakyat Malaysia di sana, yang diadakan di suatu tapak perkhemahan (Gassyuku Center) di atas bukit. Untuk masuk ke dalam dewan, sama ada dewaan makan atau dewan seminar, semua peserta mesti menanggalkan kasut dan disusun di rak-rak yang disediakan kemudian memakai selipar yang mereka sediakan. Bila hendak keluar, simpan selipar di tempatnya, ambil kasut kita di rak dan keluar.
Waktu check out, penyelia akan periksa setiap bilik yang didiami. Tilam, bantal, cadar dan selimut mesti dilipat dan disusun rapi seperti keadaan kita masuk. Salah lipat sikit saja disuruh buka dan lipat semula. Salah letak bantal, disuruh susun sekali lagi. Bagitu juga dengan bilik air. Nampak basah sikit saja disuruhnya lap sampai kering.

Majoriti penduduk Jepun terdiri dari warga tua. Bilangan orang muda kian menyusut tahun demi tahun. Kita perhatikan pekerjaan yang pada kebiasaan di Malaysia dilakukan oleh anak muda seperti pelayan restoran, juru tol dan sebagainya, dilakukan oleh warga tua yang berumur dalam lingkungan 50an atau lebih.

Bunuh diri adalah satu fenomena yang lumrah di kalangan warga Jepun. Kaedah bunuh diri yang paling popular ialah terjun di atas landasan kereta api atau terjun dari bangunan yang tinggi. Kejadian bunuh diri tidak lagi menjadi berita yang dipaparkan di dalam media kecuali jika melibatkan orang-orang ternama. Jika berlaku satu kejadian bunuh diri dilandasan kereta api, maka para petugas akan segera menjalankan tanggungjawab mereka membersihkan tempat kejadian. Biasanya mengambil masa 20 minit sahaja. Jika bunuh diri dengan cara terjun dari bangunan tinggi, maka masa yang diambil untuk clear tempat kejadian hanya 10 minit.

Itulah catatan ringkas yang dapat dikongsikan berdasarkan perhatian dan maklumat yang sampai kepada saya. Ia mungkin berbeza dengan pengetahuan dan pengalaman orang lain...