And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Tuesday, March 16, 2010
Kenyataan Majlis Ulamak Ikhwan Muslimin Jordon mengenai serangan ke atas tempat suci Umat Islam.
Firman Allah s.w.t. bermaksud: Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar. (Al-Baqarah:114)
Sesungguhnya Majlis Ulamak Ikhwan Muslimin Jordon sentiasa mengikuti apa yang berlaku di Palestin. Antaranya pencerobohan ke atas Masjid Ibrahimi dan menggabungkannya ke dalam warisan Yahudi, penggalian terowong yang berterusan di bawagh Masjid al-Aqsa, pencabulan yang berulangkali ke atas kawasan sekitarnya, pengisytiharan 15/3/2010 sebagai hari pembukaan gereja paling besar di dunia yang dibina oleh Yahudi selepas Kuil ke dua yang dinamakan sebagai gereja kharab (kemusnahan), iaitu gereja yang mengingatkan mereka kepada kemusnahan kuil Sulaiman. Gereja itu dibina di kawasan yang terletak beberapa puluh meter sahaja daripada dinding barat Masjid al-Aqsa. Pembukaan ini memberi isyarat yang sangat berbahaya kepada masa depan Bandar al-Quds. Mereka mewarawarakan ramalan salah seorang pendeta mereka bahawa hari ulangan pembukaan gereja kemusnahan adalah hari permulaan ulang bina kuil ke tiga. Semua dilakukan itu atas keruntuhan Masjid al-Aqsa yang mulia yang secara langsung menunjukkan bahawa Masjid al-Aqsa diancam bahaya yang sangat besar.
Sesungguhnya kami, dengan penuh rasa bertanggungjawab di hadapan Allah Ta’ala, dan sebagai melaksanakan kewajipan, ingin menyatakan dengan tegas perkara-perkara berikut:
1. Sesungguhnya Masjid al-Aqsa adalah satu juzuk daripada aqidah setiap muslim. Ia merupakan tempat suci umat Islam selain daripada Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi yang mulia. Ia merupakan satu ayat yang disebut di dalam al-Quran, destinasi Isra’ Nabi kita Muhammad s.a.w., sumber keberkatan untuk bumi di sekitarnya. Allah berfirman mengenainya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al-Isra’:1). Ia juga qiblat pertama daripada dua qiblat, masjid ketiga yang disuruh kita bersusah payah mengungjunginya. Bersolat di dalamnya digandakan ganjaran dan pahala. Melindungi dan mempertahankannya serta bumi di sekitarnya adalah tanggungjawab paling utama yang dituntut oleh agama, kefarduan Islam yang amat besar. Sesiapa yang mencuaikannya atau berlengah-lengah daripada menolongnya dengan segala kemampuan yang ada bererti telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.
2. Sesungguhnya hukum syara’ yang diwajibkan oleh syari’at Islam, pada ketika bumi Islam diserang, dan penduduknya tidak mampu mempertahankannya, maka seluruh umat Islam wajib bangkit bergabung tenaga dengan rakyat yang diserang untuk mempertahankannya, lebih-lebih lagi yang tinggal berjiran dengannya. Umat Islam adalah umat yang satu. Mereka wajib berpadu dalam menentang musuh mereka. Muslim adalah saudara muslim. Dia tidak harus menzaliminya, menyerahkannya kepada musuh dan mengeciwakannya. Maka bagaimana pula kalau yang diserang itu adalah al-Quds dan Masjid al-Aqsa yang mulia? Ini merupakan tanggungjawab kerajaan dan rakyat seluruhnya. Setiap orang, setiap pihak mesti laksanakan apa yang termampu olehnya.
Oleh itu Majlis Ulamak Ikhwan Muslimin Jordon menggesa semua umat Islam agar melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap Masjid al-Aqsa mengikut kemampuan yang ada padanya:
Pertama: Kami menyeru para pemimpin umat Arab dan Islam supaya bangkit melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap al-Quds, iaitu dengan menggunakan segala bentuk tekanan ke atas musuh seperti memanggil pulang duta-duta, memutuskan hubungan diplomatic, bercakap dengan satu suara dan satu nada di perhimpunan antarabangsa seperti PBB dan sebagainya menuntut supaya serangan ke atas tempat suci Islam dihentikan dengan serta merta. Sesungguhnya sikap membisu bererti berkongsi dalam melakukan jenayah. Orang yang diam dari memperkatakan kebenaran adalah syaitan yang bisu. Pemerintah juga mesti membenarkan rakyatnya untuk menyatakan bantahan dan kemarahan mereka terhadap apa yang dilakukan ke atas al-Aqsa dan membenarkan mereka mengumpulkan sumbangan untuk membantu saudara mereka di Palestin.
Kedua: Kami menuntut para ulamak, penceramah, ahli fikir, professor dan guru-guru agar melaksanakan tanggungjawab mereka sebagaimana dituntut oleh agama dalam menyedarkan umat dan menggerakkan mereka, menghimpunkan suara mereka, menyatukan pendirian mereka menentang serangan ke atas al-Quds. Mereka janganlah takut kepada celaan orang yang suka mencela dalam mempertahankan agama Allah.
Ketiga: Kami menyeru petugas dan pemilik media agar memainkan peranan mereka menjelaskan kebenaran kepada umat dan dunia seluruhnya. Mereka mesti berusaha bersungguh-sungguh menyiarkan keburukan dan kebejatan penjajah zionis. Media janganlah melalaikan umat dengan perkara remeh temeh yang tidak berguna.
Keempat: Kami menyeru umat seluruhnya agar memainkan peranan mereka. Mereka hendaklah mengangkat suara menuntut kerajaan agar menjalankan kewajipan terhadap al-Quds. Rakyat juga mesti memboikot penjajah zionis. Jangan berurusan dengan mereka sama ada jual, beli dan melancong. Mereka hendaklah menghulurkan apa yang termampu dalam bentuk material dan moral kepada saudara mereka di Palestin. Mereka hendaklah membaiki hubungan dengan Allah, membanyakkan doa agar diberi kemenangan, ketugahan dan dikembalikan kekuasaan kepada orang yang beriman.
Ya Allah, sesungguhnya kami telah sampaikan! Ya Allah, Engkau saksikanlah!
Majlis Ulamak Ikhwan Muslim Jordon.
Sumber:
http://www.palestine-info.info/ar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment