Thursday, April 15, 2010

Memahami amal soleh dan tatacaranya

Sedia maklum bahawa Allah ‘Azza wa Jalla memerintahkan mukminin dan mukminat supaya melakukan kebaikan. Ini terkandung di dalam firman-Nya bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Al-Hajj:77)

Amal kebaikan atau amal soleh mesti memenuhi dua syarat, iaitu:

Pertama: lakukan dengan niat semata-mata kerana Allah

Kedua: perbuatan itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam, dan jika amalan itu berkaitan dengan sumbangan harta benda, maka ditambah syarat ketiga.

Ketiga: harta yang disumbangkan itu halal dan diperolehi dengan cara yang halal.

Dalam melakukan amal soleh, terdapat beberapa kaedah dan tata cara yang perlu dipatuhi:

1. Allah tidak menerima amalan sunat sebelum ditunaikan amalan wajib jenis yang sama. Contohnya solat sunat pada waktu yang sepatutnya ditunaikan solat fardhu. Walaupun solat sunat dilakukan berpuluh-puluh rakaat, tetapi solat fardhu tidak ditunaikan, maka tiada makna solat sunat tersebut. Begitu juga mereka yang memiliki harta yang telah cukup syarat untuk dikeluarkan zakat, tidak diterima sedekah yang sunat selagi tidak dikeluarkan zakat hartanya.

2. Amalan fardhu lebih disukai Allah daripada amalan sunat dan lebih besar pahalanya. Lantaran itu mukminin dan mukminat mesti mengetahu dan memahami perkara-perkara fardhu serta jenis-jenisnya, memahami Islam dengan kefahaman yang syumul dan menyeluruh supaya mereka dapat melakukan amal yang paling utama, paling baik, paling penting di samping pahala yang diharapkan adalah lebih besar.

3. Wajib waktu mesti diutamakan terlebih dahulu. Umpamanya bila masuk waktu solat, mestilah utamakan solat daripada amalan wajib yang lain. Bila gendang seruan jihad dipalu, ia mesti segera disahut hatta solat sekalipun mesti ditunaikan dengan cara yang bersesuain dengan keadaan. Maksudnya menyahut seruan jihad mesti diutamakan, tidak bermakna tinggal solat yang telah masuk waktunya. Sebaliknya solat diberi rukhsah cara pelaksanaannya yang dinamakan solat dalam keadaan syiddatul-khauf (rujuk kitab-kitab fiqh)

4. Perbuatan yang manfaatnya meluas kepada orang lain lebih utama daripada perbuatan yang manfaatnya terbatas kepada diri sendiri sahaja. Umpamanya antara iktikaf di masjid dengan menolong orang yang dalam kesusahan, menolong orang lebih utama daripada beriktikaf. Allah menyifatkan umat ini sebagai umat terbaik adalah kerana usahanya menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mencegah mereka dari kejahatan (Aali Imran:104 dan 110). Di dalam sepotong Hadis, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mencetuskan satu kebaikan, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang beramal dengannya” (Muslim)

Perlu diingatkan juga bahawa perkara yang difardhukan terbahagi kepada dua jenis yang utama, iaitu fardhu ain dan fardhu kifayah.

Fardhu ain adalah amalan yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim seperti solat dan zakat (apabila cukup syarat-syaratnya).

Fardhu kifayah adalah amalan yang diwajibkan ke atas umat secara kolektif. Jika telah dilaksanakan dengan sempurna oleh sebahagian mereka maka pelaksana diberi pahala dan yang tidak melaksanakannya tidak menanggung dosa. Jika tiada yang melaksanakannya dengan sempurna, maka semuanya menanggung dosa.

Hari ini, ramai di kalangan umat Islam yang mengerjakan fardhu ain dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh. Dia menyangka bahawa dia telah menyempurnakan apa yang diwajibkan ke atas dirinya, pada hal setiap hari dia menanggung dosa tidak melaksanakan fardhu kifayah yang diwajibkan ke atas umat secara kolektif. Antara contoh fardhu kifayah ialah menegakkan Syariat Islam dengan melaksanakan semua hukum-hakam dalam segenap bidang kehidupan; individu, keluarga, masyarakat, negara, antarabangsa dan alam sekitar.

Contoh lain ialah kewajipan melantik ketua untuk menjalankan pemerintahan berlandaskan manhaj Islam, melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar melalui system hisbah dan takzir, jihad fi sabilillah (fardhu kifayah ketika bumi umat Islam tidak diceroboh dan tidak dijajah. Apabila diceroboh dan dijajah maka jihad menjadi fardhu ain). Dan termasuk fardhu kifayah juga ialah menyediakan perkara-perkara asas yang diperlukan untuk membangun tamadun Islam dan mengeluarkan umat dari kelemahan, kejahilan dan kehinaan. Semua ini mesti dilaksanakan oleh umat secara kolektif. Jika tiada yang berusaha untuk melaksanakannya, atau terdapat segolongan yang berusaha melaksanakannya tetapi belum berhasil, maka mereka yang tidak berusaha atau tidak membantu mereka yang berusaha, menanggung dosa. Mereka hanya akan terlepas daripada menanggung dosa itu selepas mereka bertaubat dan bangkit melaksanakan apa yang diwajibkan.

Dipetik daripada tulisan Hisham Saqar,
http://www.ikhwanonline.com

No comments: