Bercakap tentang hijrah, kita sering mendengar kisah-kisah pengorbanan dan kekentalan semangat yang dipandu oleh iman yang tulus dan murni. Jarang kita dengar kisah mereka yang lemah dan tertindas. Sama-sama kita renungi kisah ini.
Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a. menceritakan kisah hijrah beliau dan sahabatnya ‘Ayyasy sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Ishak yang diceritakan kepadanya oleh Nafi’ mawla Abdullah bin Umar daripada Abdullah bin Umar daripada ayahandanya Umar:
Ketika hendak berhijrah, saya berjanji dengan ‘Ayyasy bin Abi Rabi’ah dan Hisyam bin al-‘Aasi akan bertemu di satu tempat bernama at-Tanadub (kira-kira 10 km dari Mekah) pada waktu pagi. Kami bersetuju bahawa sekiranya salah seorang daripada kami tidak berada di tempat itu pada pagi esok, itu bermakna dia telah dihalang. Maka dua orang lagi hendaklah pergi meneruskan perjalanan. Keesokan paginya saya dan ‘Ayyasy tiba di at-Tanadub pada waktu yang dijanjikan, sedangkan Hisyam tidak tiba. Dia telah dihalang dan telah terfitnah (terpedaya dengan orang musyrik dan menjadi murtad)
Apabila tiba di Madinah, kami menumpang di rumah Bani ‘Amru bin ‘Auf di Quba’. Abu Jahal bin Hisyam dan al-Harith bin Hisyam telah keluar dari Mekah menjejaki ‘Ayyasy bin Abi Rabi’ah yang merupakan sepupu mereka dari sebelah bapa dan adik beradik seibu dengan mereka berdua. Mereka bertemu kami di Madinah. Ketika itu Rasulullah s.a.w. masih berada di Mekah. Mereka berkata kepada ‘Ayyasy:
- Sesungguhnya ibumu telah bernazar tidak akan menyikat rambutnya selagi dia tidak melihatmu dan tidak akan berteduh dari kepanasan matahari sehinggalah dia melihatmu.
Maka hati ‘Ayyasy menjadi lembut mendengar perkhabaran itu. Saya memujuknya:
- Wahai ‘Ayyasy, sesungguhnya mereka hanya mahu memperdayakanmu dan memalingkanmu dari agamamu. Berwaspadalah! Demi Allah, sesungguhnya ibumu itu jika kepalanya disakiti oleh kutu, dia akan sikat rambutnya. Dan jika dia tidak tahan dengan kepanasan Mekah yang terik, dia akan berteduh.
‘Ayyasy menjawab:
- Aku akan pulang untuk melepaskan nazar ibuku. Selain itu aku mempunyai harta di Mekah. Bolehlah aku mengambilnya.
Saya menjawab:
- Demi Allah, sesungguhnya engkau mengetahui bahawa aku adalah antara orang Quraisy yang paling banyak hartanya. Aku akan beri separuh daripada hartaku kepadamu. Maka janganlah engkau ikut mereka pulang ke Mekah!
Umar menyambung ceritanya, ‘Ayyasy enggan mendengar nasihat saya. Dia tetap dengan keputusannya mahu pulang bersama Abu Jahal dan al-Harith. Saya berkata kepadanya:
- Sekiranya engkau hendak pulang juga, maka ambillah untaku ini. Ia unta yang tangkas dan mudah dikawal. Engkau jangan sekali-kali turun dari belakangnya. Jika engkau nampak sesuatu yang meragukanmu pada gerak geri mereka, maka segera selamatkan dirimu dengan unta ini.
Maka keluarlah ‘Ayyasy bersama mereka berdua menuju ke Mekah. Di pertengahan jalan, abu Jahal berkata kepada ‘Ayyasy:
- Wahai saudaraku, demi Allah sesungguhnya aku rasa tidak selesa dengan untaku ini. Mahukah kamu tukar menaikki untaku dan aku menaikki untamu?
‘Ayyasy bersetuju dengan permintaan Abu Jahal. Maka kedua-duanya turun dari unta masing-masing untuk bertukar unta. Apabila ‘Ayyasy turun saja dari untanya, mereka terus mengikatnya dan membawanya ke Mekah dalam keadaan terikat. Lalu akhirnya ‘Ayyasy pun terfitnah (keluar dari Islam).
Ibn Ishak berkata: Setengah keluarga ‘Ayyasy memberitahu saya bahawa Abu Jahal dan al-Harith membawa ‘Ayyasy masuk ke Mekah waktu siang hari dalam keadaan terikat sambil berkata:
- Wahai penduduk Mekah, beginilah sepatutnya kalian lakukan terhadap ahli keluarga kalian yang bodoh-bodoh sebagaimana kami lakukan terhadap ahli keluarga kami yang bodoh!
Umar berkata, maka kami berkata (berpendapat), Allah sekali-kali tidak akan terima daripada mereka yang terftnah sebarang bayaran, tebusan dan taubat. Kaum yang telah mengenal Allah kemudian kembali kepada kekufuran. Benar-benar suatu bencana yang telah menimpa ke atas mereka. Dan mereka juga menganggap diri mereka begitu (tidak diterima oleh Allah).
Manakala Nabi s.a.w. sampai ke Madinah, Allah s.w.t. menurunkan ayat membetulkan anggapan kami terhadap mereka dan anggapan mereka terhadap diri mereka, “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. Dan turutlah Al-Quran sebaik-baik (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya.” (Maksud az-Zumar: 53, 54, 55)
Umar berkata, sayapun menulis ayat itu dengan tangan di atas selembar kertas dan menghantarnya kepada Hisyam bin al-‘Aasi.
Hisyam berkata, apabila aku menerima surat itu aku membacanya di suatu tempat bernama Dzi Tuwa. Aku meneliti dan membacanya. Namun aku tidak faham apa maksudnya. Akhirnya aku berdoa: Ya Tuhanku, fahamkanlah aku!
Maka Allah mencampakkan ke dalam hatiku bahawa ayat ini hanya sesungguhnya diturunkan tentang kami dan tentang apa yang kami anggap terhadap diri kami dan apa yang dianggap oleh orang lain terhadap kami. Akupun menunggang untaku dan terus meluru mendapatkan Rasulullah s.a.w. di Madinah.
Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berdoa di dalam solatnya untuk golongan yang tertindas di Mekah. Al-Bukhari dan lain-lain meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. apabila mengangkat kepalanya dari rukuk yang terakhir akan berdoa:
«اللَّهُمَّ أَنْجِ عَيَّاشَ بْنَ أَبِي رَبِيعَةَ، اللَّهُمَّ أَنْجِ سَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ، اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ، اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ، اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ، اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا سِنِينَ كَسِنِي يُوسُف»
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah ‘Ayyasy bin Abi Rabi’ah, Ya Allah selamatkanlah Salamah bin Hisyam, Ya Allah selamatkanlah al-Walid bin al-Walid, Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang tertindas dari kalangan mukminin. Ya Allah perhebatkanlah tekanan-Mu ke atas Mudhar, Ya Allah jadikanlah mereka menghadapi kemarau sebagaimana kemarau di zaman Yusuf”
Ibn Hisyam pula berkata, orang yang aku percayai menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda ketika baginda berada di Madinah, “siapa yang sanggup membawa ‘Ayyasy bin Abi Rabi’ah dan Hisyam bin al-‘Aasi kepadaku?” Al-Walid bin al-Walid bin al-Mungirah menyahut, “Saya akan membawa keduanya kepadamu, ya Rasulullah.” Maka al-Walid menuju ke Mekah dan memasukinya secara sembunyi. Dia bertemu dengan seorang perempuan membawa makanan, lalu dia bertanya, “mahu ke manakah kamu wahai hamba perempuan Allah?” Perempuan itu menjawab bahawa dia akan membawa makanan kepada dua orang yang terkurung, iaitu ‘Ayyasy dan Hisyam. Maka al-Walid mengekuri perempuan itu untuk mengetahui tempat kurungan. Kedua-duanya dikurung di dalam sebuah rumah yang tidak berbumbung. Menjelang waktu petang, al-Walid memanjat rumah itu dan memotong ikatan keduanya dengan pedangnya, kemudian membawa mereka berdua menaiki untanya dan dia mengeretnya. Ketika mengheret untanya kakinya tergelincir sehingga jari kakinya berdarah. Dia berkata kepada jarinya:
Engkau hanyalah sebatang jari, engkau berdarah
Lantaran apa yang egkau tempuhi di jalan Allah.
Akhirnya al-Walid Berjaya membawa kedua-duanya ke Madinah menemui Rasulullah s.a.w.
Perhatian: terdapat percanggahan antara dua riwayat tentang Hisyam bin al-‘Aasi. Ibn Ishak berkata Hisyam pergi sendiri setelah membaca surat Umar. Ibn Hisyam berkata dia dibebaskan oleh al-Walid. Allahu A’lam. Ana cuba cari kepastian, tapi belum jumpa.
No comments:
Post a Comment