Tuesday, March 30, 2010

PABILA IMAN BERTAKHTA DI JIWA

Dalam perjalanan pulang ke Madinah dari Peperangan Tabuk yang bersejarah itu, Rasulullah s.a.w. dikunjungi oleh 'Urwah bin Mas'ud ath-Thaqafiy, seorang ketua yang amat disegani, dihormati, dikasihi dan ditaati oleh kaumnya, Thaqif.

Ketika pertemuan itu, 'Urwah bin Mas'ud ath-Thaqafiy mengisytiharkan memeluk Islam. Lantas beliau meminta untuk pulang menemui kaumnya, menyeru mereka kepada Islam, agama yang baru saja dianutinya.

Rasulullah s.a.w. yang bimbang dia akan disakiti kaumnya bersabda: “Mungkin mereka akan membunuhmu!”

Ini kerana baginda mengetahui Thaqif adalah satu kaum yang degil, kasar dan kurang beradab walaupun dengan pembesar mereka sendiri.

'Urwah bin Mas'ud yang tahu kedudukannya di sisi kaumnya berkata dengan yakinnya: “Ya Rasulullah! Aku lebih dikasihi mereka daripada anak dara mereka sendiri”.

Kembalilah ‘Urwah ke Thaqif untuk menyeru kaumnya kepada Islam. Hatinya penuh mengharap mereka tidak akan membantah disaebabkan kedudukannya yang sangat mulia di sisi mereka.

Setiba di desanya, dia mencari tempat paling tinggi, lalu diseru sekelian penduduk Thaqif agar berkumpul dengan segera. Mendengar seruan seorang ketua yang disegani, penduduk Thaqif tidak berlengah. Mereka segera berkumpul, menanti penuh debar, apa yang akan diperkatakan.

Dia menyeru mereka agar memeluk Islam dan menyatakan bahawa dia telah melakukannya sambil mengucap syahadatain berulang-ulang di hadapan mereka semua.

Ucapan yang tidak diduga itu disambut dengan suara riuh rendah membantah keras tindakan meninggalkan agama nenek moyang dan tuhan-tuhan yang disembah zaman berzaman. Mereka tidak dapat mengawal diri lantas bertindak ganas membaling busur-busur panah kepadanya dari semua arah sehingga dia tumbang dalam keadaan menggelupur kesakitan.

Anak-anak suadaranya meluru mendapatkannya yang sedang bertarung dengan maut.
Dalam keadaan cemas mereka berkata: “Wahai Urwah! Apa katamu tentang darahmu ini?” Maksudnya adakah engkau mahu kami menuntut bela di atas kematianmu dan membunuh mereka yang telah membunuhmu!

Dengan tercungap-ngucap dia menjawab: “Ini adalah karamah (kemuliaan) yang Allah beri kepadaku, syahadah (mati syahid) yang Allah datangkan kepadaku. Maka tidak ada apa-apa keperluan untuk menuntut bela di atas darahku sebagaimana mereka yang syahid di medan perang bersama Rasulullah s.a.w. Maka jangan kamu bunuh seorangpun kerana membela kematianku. Dan jangan balas dendam ke atas sesiapapun keranaku.”

Apabila Nabi s.a.w. mengetahui kematiannya, baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya perumpamaan ‘Urwah dengan kaumnya adalah sama dengan lelaki di dalam Surah Ya Sin dengan kaumnya” (lihat ayat 20 – 27)

Pengajaran:
Orang sanjungi kita tidak bermakna kita baik
Orang musuhi kita tidak bermakna kita jahat.

Thursday, March 25, 2010

Umat Yang Tenat!

Pada Ahad lalu (21 Mac 2010), sebuah portal media perdana melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim bahawa sepanjang tahun 2009 sahaja terdapat 17,303 anak luar nikah berbangsa Melayu/Islam yang didaftarkan di JPN. Katanya, bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya(16,541), manakala pada 2007 jumlahnya seramai 16,100 orang.

Alwi menjelaskan lagi dalam tempoh lima tahun lalu, sejumlah 74,723 pendaftaran anak luar nikah membabitkan orang Melayu/Islam. Jumlah itu pula tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes-kes yang tidak dilaporkan.

17.303 orang berzina hingga melahirkan anak yang didaftar!
Berapa puluh ribu pula anak yang lahir tapi tak didaftar?
Berapa puluh ribu pula anak yang dibuang hidup-hidup atau digugurkan sebelum cukup bulan?
Berapa puluh ribu pula yang berzina tapi tak mengandung?
Berapa puluh ribu pula yang berzina dan termengandung, lalu cepat-cepat diaqad nikahkan, maka tertutuplah kisah lahir anak haram?

Ya Allah! Betapa tenatnya umat kini! Kalau tidak kerana Maha Penyayang dan Pengampunnya Dia, pasti pelbagai bencana telah menimpa kita semua.

Dia telah melarang, tapi ramai buat tak endah. Hukuman yang Allah tetapkan dikatakan kejam. Sekarang siapa yang lebih kejam? Anak tak berdosa dibuang merata-rata...macam ... tak tau lah, tak sampai hati nak sebut.
Firman Allah s.w.t. bermaksud:
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)". (Al-Isra':32)
Menariknya, ayat yang sebelumnya adalah mengenai larangan membunuh anak. Seolah-olah mengisyaratkan terdapat perkaitan antara berzina dengan membunuh.
"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar". (Al-Isra':31)

Rasulullah s.a.w. sendiri menggambarkan keburukan zina ini dengan sabdanya yang bermaksud: "Tidak ada dosa yang paling besar di sisi Allah selepas syirik, selain daripada perbuatan seorang lelaki meletakkan nutfahnya (maninya) di dalam rahim yang tidak halal baginya". Riwayat Ibn Abi ad-Dunia daripada al-Haitham bin Malik.

Berbalik kepada suatu penyelesaian mudah yang diambil oleh sebahagian mereka yang terjebak dengan zina dan termengandung ialah mempercepatkan aqad. Apakah itu satu penyelesaian yang selaras dengan kehendak Syara'?

Ikuti pandangsn fuqahak mengenainya di:
http://penyuluh.blogspot.com


Dia telah tetapkan hukuman, tapi hamba-Nya sombong, tak mahu laksanakan.

Tuesday, March 23, 2010

BOIKOT! BOIKOT! BOIKOT!


JIKA ANDA TIDAK MAMPU MEMBANTU SAUDARA YANG SEDANG BERJIHAD,
JANGAN HULURKAN BANTUAN KEPADA MUSUH YANG JAHAT!


















JIKA ANDA BOIKOT, ANDA TAK AKAN MATI!
JIKA ANDA TAK BOIKOT, SAUDARA ANDA AKAN MATI!

SESIAPA YANG MENINGGALKAN SESUATU KERANA ALLAH, ALLAH GANTIKANNYA DENGAN SESUATU YANG LEBIH BAIK DARIPADA ITU.

Thursday, March 18, 2010

CERITA TAK MASUK AKAL

Seorang ayah pergi merantau ke luar negara untuk mencari rezeki meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Dia seorang yang penyayang dan sangat dikasihi dan dihormati pula oleh ahli keluarganya.

Setelah keadaannya di rantau orang agak stabil, dia menghantar surat pertama kepada keluarganya. Mereka sangat gembira menerima surat yang sungguh bermakna dari seorang ayah yang sangat dikasihi dan disayangi. Sampul surat itu ditenung berulang kali. Masing-masing memeluk dan mengucup surat tersebut bagai tidak mahu dilepaskan. Kemudian surat yang berharga itu disimpan di dalam pembalut sutera yang indah. Sekali sekala surat itu dikeluarkan dari pembalutnya untuk dibersihkan daripada debu dan habuk. Kemudian meletakkan kembali di dalam pembalutnya.

Kemudian tiba pula surat kedua, ketiga dan seterusnya. Semuanya disimpan dan dijaga rapi seperti surat pertama.

Beberapa tahun berlalu…

Tibalah masa untuk si ayah pulang menemui keluarga tercinta. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tiada seorangpun yang tinggal kecuali anak bongsunya. Dengan cemas dia bertanya:
- Mana ibumu?
- Ibu ditimpa sakit yang amat teruk. Kami tidak ada wang untuk membiayai rawatannya sehingga akhirnya dia meninggal dunia.
- Kenapa begitu? Apakah kamu tidak membuka suratku yang pertama? Di dalamnya terkandung sejumlah wang yang banyak untuk perbelanjaan kamu?
- Tidak!
- Di mana pula abangmu?
- Dia telah terpengaruh dengan kawan-kawan sebaya yang jahat. Selepas kematian ibu, tidak ada siapa yang mampu menasihatinya. Sekarang dia sudah jadi sebahagian daripada mereka.
- (Ayah semakin hairan) Kenapa begitu? Aku telah tulis dengan panjang lebar menasihati kamu agar berhati-hati memilih kawan. Jangan berkawan dengan orang jahat kerana lama kelamaan kita juga akan jadi jahat! Aku juga meminta agar abangmu itu mengikut aku di rantau orang. Apakah kamu tidak membaca suratku?
- Tidak!
- لا حول ولا قوة إلا بالله
- Kakakmu di mana?
- Dia pernah tulis surat kepada ayah meminta nasihat tentang seorang pemuda yang melamarnya. Sekarang dia telah berkawin dengan pemuda itu. Tapi malangnya dia tidak bahagia. Hidupnya menderita didera sepanjang masa lahir dan batin.
- Bukankah aku telah jawab surat itu menasihatinya agar jangan terima lamaran pemuda itu? Aku telah ingatkan, jangan pillih pasangan berdasarkan harta dan kedudukan. Tapi pilihlah berdasarkan agama, akhlak dan keturunan! Kamu tidak baca semua surat-suratku?
- Tidak! Kami simpan surat-surat ayah di dalam pembalut sutera yang cantik, kami usap dan cium surat itu sebagai tanda sayang dan rindu kami kepada ayah! Tetapi kami tidak membacanya…

Tidak ada siapa yang percaya akan kebenaran cerita ini. Mungkin ada yang akan berkata ia tidak masuk akal sama sekali!

Namun sedarkah kita bahawa inilah kisah benar. Kisah yang tak masuk akal inilah yang berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini?

Kita menerima surat dari Yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Memerhati lagi Maha Bijaksana. Surat yang mengandungi panduan, ajaran serta petunjuk dalam segenap bidang kehidupan. Tetapi sejauh mana kita membaca, memahami dan mengikuti panduan yang diberi?

Maka jadilah apa yang terjadi! Umat Islam mati dibunuh saban hari, di sana sini. Jenayah meningkat, keruntuhan akhlak mencemaskan di semua peringkat, wanita-wanita didera dan diperkosa tanpa mengira tua atau muda, bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang merata-rata, dan bermacam-macam kejahatan, maksiat dan kemungkaran yang menjijikkan.

Semuanya berpunca daripada tidak membaca dan mengambil pengajaran daripada Surat yang dikirim oleh Pencipta Yang Maha Esa Yang Amat Sayang kepada makhluk-Nya!

Wednesday, March 17, 2010

Kenyataan PACE: Pelaburan Syarikat Coca-cola di Malaysia



Assalamualaikum wrt bth

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Kenyataan dan Pendirian Rasmi PACE: Pelaburan berjumlah RM1 bilion oleh Syarikat Coca Cola di Malaysia.

PACE merakamkan rasa dukacita terhadap pelaburan berjumlah RM1 bilion oleh Syarikat Coca-Cola di Malaysia. Syarikat Coca-cola akan mendirikan kilangnya di atas tanah yang dibeli daripada TH (Tabung Haji) Properties di Nilai, Negeri Sembilan dan upacara pecahtanahnya telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Hj Abdul Razak pada 15 Mac 2010.

Lebih meresahkan lagi perkembangan ini berlaku di saat-saat Masjid al-Aqsa dikepung dan pihak Zionis Israel terus mengancam keselamatan Masjid al-Aqsa dengan mengumumkan perasmian kuil Hover di persekitaran kejiranan Masjid. Tindakan regim Zionis ini jelas merupakan provokasi terancang sedang di masa yang sama rakyat Palestin di bawah umur 50 tahun dihalang dari memasuki masjid al-Aqsa yang berada beberapa ratus meter sahaja dari kuil tersebut.

Mungkin orang ramai akan bertanya apa hubungkait di antara pembukaan kilang Coca-cola di Malaysia dengan ketegangan yang berlaku di Baitul Maqdis timur dan di Masjid al-Aqsa. Dua perkembangan ini saling berkaitan kerana Syarikat Coca-cola telah dikenal pasti sebagai penyokong kuat kepada ekonomi Israel dan kewujudan entiti haram Yahudi Zionis yang merampas negara Palestin dan mengusir rakyatnya keluar. Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia berhak untuk menentukan dasar dan pendiriannya tanpa di pengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan. Namun Malaysia telah mempertahankan dasar luar yang konsisten terhadap penubuhan negara haram Israel sejak mencapai kemerdekaan iaitu tidak akan mengiktiraf entiti haram tersebut, meskipun Israel adalah negara anggota penuh PBB. Berdasarkan kepada hakikat ini, tindakan membenarkan Syarikat Coca-cola melabur dan membina kilang pembotolan produk minumannya di sini adalah sesuatu yang bercanggah dengan prinsip yang dipertahankan sekian lama. Oleh kerana Syarikat Coca-cola menyokong ekonomi Israel secara terbuka maka mereka bersekongkol dengan regim Zionis yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia. Membenarkan kilang syarikat Coca-cola beroperasi di bumi Malaysia boleh memberi implikasi merestui regim Zionis yang bertindak sebagai negara penyangak yang tidak pernah akur kepada undang-undang antarabangsa dan menghormati hak asasi rakyat Palestin.

Sokongan Coca-cola kepada Israel bukanlah berdasarkan dakwaan semata-mata bahkan terdapat dokumentasi lengkap mengenai penglibatan Syarikat Coca-cola di dalam membangunkan ekonomi Israel sejak tahun 1966. Pada tahun 1997, misi ekonomi Kerajaan Israel telah memberi penghargaan kepada Syarikat Coca-cola dalam majlis Penganugerahan Perdagangan Israel atas sokongan berterusan syarikat itu terhadap Israel selama 30 tahun dengan mengabaikan seruan boikot Israel oleh Liga Arab. Pada tahun 2002 Syarikat Coca-cola membuka kilang di atas tanah rakyat Palestin yang dirampas di Kirvat (Qiryat) Gat dalam negara Palestin yang dijajah. Berita ini dilaporkan di dalam akhbar rasmi Israel Haaretz pada 19 Julai 2002. Seperti yang dilaporkan oleh akhbar Ha'aretz pada 18 Oktober 2005, Coca-cola meningkatkan pelaburannya di Israel dengan menguasai 51% saham dalam Tavor Winery, sebuah syarikat pembuat arak di Israel. Ini hanyalah sebahagian dari rekod cemerlang Coca-cola di dalam menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Zionis Israel.

Fakta-fakta ini adalah hakikat yang tidak mungkin disanggah tentang betapa eratnya hubungan yang terjalin di antara Syarikat Coca-cola dan entiti haram Israel.

PACE dengan ini mengambil pendirian berikut:

1. PACE memohon agar Kerajaan Malaysia mengkaji semula keputusan untuk membenarkan Syarikat Coca-cola melabur dan membuka kilang operasinya di Malaysia.

2. PACE juga memohon agar TH (Tabung Haji) properties tidak melabur atau terbabit dengan transaksi perniagaan yang meragukan kerana Tabung Haji terlibat secara langsung di dalam menjana pendapatan untuk urusan pengendalian jemaah Haji rakyat Malaysia. PACE mengajak semua pihak supaya prihatin dengan perkara ini kerana secara simboliknya ziarah, umrah dan ibadah haji ke tanah suci Makkatul Mukarramah tidak sewajarnya membawa kepada keruntuhan satu lagi tanah suci, masjid al-Aqsa al-Haram as-Syarif di Baitul Maqdis.

3. PACE menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama supaya menyahut seruan boikot barangan Israel yang kini sedang berkumandang di seantero dunia. PACE menyokong kempen BDS (Boikot, Divestment and Sanctions - Boikot, pengalihan pelaburan dan sekatan) ke atas Israel yang diterajui oleh VPM (Viva Palestina Malaysia - sebuah koalisi NGO yang menganjurkan kempen boikot ke atas empat produk utama yang menyokong Israel iaitu Coca-cola, McDonald, L'oreal dan Nestle). PACE menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengutamakan produk tempatan dan hanya membeli produk luar khususnya produk Amerika Syarikat apabila perlu sahaja dan sebagai pilihan yang terakhir.

4. PACE akan terus menyokong Kerajaan Malaysia yang secara konsisten mempertahankan dasar tidak mengiktiraf Israel dan sentiasa peka dengan penderitaan rakyat Palestin dengan membangkitkan hak mereka di pelbagai forum antarabangsa terutama di Persidangan Agung PBB dan OIC.

5. PACE berdoa dan mengharapkan negara Malaysia akan terus dilimpahi dengan rezeki yang melimpah ruah dan penuh keberkatan dari Allah SWT.

Prof Madya Dr Hj Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE
(Pusat Kecemerlangan Palestin)

Tuesday, March 16, 2010

Kenyataan Majlis Ulamak Ikhwan Muslimin Jordon mengenai serangan ke atas tempat suci Umat Islam.



Firman Allah s.w.t. bermaksud: Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar. (Al-Baqarah:114)

Sesungguhnya Majlis Ulamak Ikhwan Muslimin Jordon sentiasa mengikuti apa yang berlaku di Palestin. Antaranya pencerobohan ke atas Masjid Ibrahimi dan menggabungkannya ke dalam warisan Yahudi, penggalian terowong yang berterusan di bawagh Masjid al-Aqsa, pencabulan yang berulangkali ke atas kawasan sekitarnya, pengisytiharan 15/3/2010 sebagai hari pembukaan gereja paling besar di dunia yang dibina oleh Yahudi selepas Kuil ke dua yang dinamakan sebagai gereja kharab (kemusnahan), iaitu gereja yang mengingatkan mereka kepada kemusnahan kuil Sulaiman. Gereja itu dibina di kawasan yang terletak beberapa puluh meter sahaja daripada dinding barat Masjid al-Aqsa. Pembukaan ini memberi isyarat yang sangat berbahaya kepada masa depan Bandar al-Quds. Mereka mewarawarakan ramalan salah seorang pendeta mereka bahawa hari ulangan pembukaan gereja kemusnahan adalah hari permulaan ulang bina kuil ke tiga. Semua dilakukan itu atas keruntuhan Masjid al-Aqsa yang mulia yang secara langsung menunjukkan bahawa Masjid al-Aqsa diancam bahaya yang sangat besar.

Sesungguhnya kami, dengan penuh rasa bertanggungjawab di hadapan Allah Ta’ala, dan sebagai melaksanakan kewajipan, ingin menyatakan dengan tegas perkara-perkara berikut:

1. Sesungguhnya Masjid al-Aqsa adalah satu juzuk daripada aqidah setiap muslim. Ia merupakan tempat suci umat Islam selain daripada Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi yang mulia. Ia merupakan satu ayat yang disebut di dalam al-Quran, destinasi Isra’ Nabi kita Muhammad s.a.w., sumber keberkatan untuk bumi di sekitarnya. Allah berfirman mengenainya: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al-Isra’:1). Ia juga qiblat pertama daripada dua qiblat, masjid ketiga yang disuruh kita bersusah payah mengungjunginya. Bersolat di dalamnya digandakan ganjaran dan pahala. Melindungi dan mempertahankannya serta bumi di sekitarnya adalah tanggungjawab paling utama yang dituntut oleh agama, kefarduan Islam yang amat besar. Sesiapa yang mencuaikannya atau berlengah-lengah daripada menolongnya dengan segala kemampuan yang ada bererti telah mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.

2. Sesungguhnya hukum syara’ yang diwajibkan oleh syari’at Islam, pada ketika bumi Islam diserang, dan penduduknya tidak mampu mempertahankannya, maka seluruh umat Islam wajib bangkit bergabung tenaga dengan rakyat yang diserang untuk mempertahankannya, lebih-lebih lagi yang tinggal berjiran dengannya. Umat Islam adalah umat yang satu. Mereka wajib berpadu dalam menentang musuh mereka. Muslim adalah saudara muslim. Dia tidak harus menzaliminya, menyerahkannya kepada musuh dan mengeciwakannya. Maka bagaimana pula kalau yang diserang itu adalah al-Quds dan Masjid al-Aqsa yang mulia? Ini merupakan tanggungjawab kerajaan dan rakyat seluruhnya. Setiap orang, setiap pihak mesti laksanakan apa yang termampu olehnya.

Oleh itu Majlis Ulamak Ikhwan Muslimin Jordon menggesa semua umat Islam agar melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap Masjid al-Aqsa mengikut kemampuan yang ada padanya:

Pertama: Kami menyeru para pemimpin umat Arab dan Islam supaya bangkit melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap al-Quds, iaitu dengan menggunakan segala bentuk tekanan ke atas musuh seperti memanggil pulang duta-duta, memutuskan hubungan diplomatic, bercakap dengan satu suara dan satu nada di perhimpunan antarabangsa seperti PBB dan sebagainya menuntut supaya serangan ke atas tempat suci Islam dihentikan dengan serta merta. Sesungguhnya sikap membisu bererti berkongsi dalam melakukan jenayah. Orang yang diam dari memperkatakan kebenaran adalah syaitan yang bisu. Pemerintah juga mesti membenarkan rakyatnya untuk menyatakan bantahan dan kemarahan mereka terhadap apa yang dilakukan ke atas al-Aqsa dan membenarkan mereka mengumpulkan sumbangan untuk membantu saudara mereka di Palestin.

Kedua: Kami menuntut para ulamak, penceramah, ahli fikir, professor dan guru-guru agar melaksanakan tanggungjawab mereka sebagaimana dituntut oleh agama dalam menyedarkan umat dan menggerakkan mereka, menghimpunkan suara mereka, menyatukan pendirian mereka menentang serangan ke atas al-Quds. Mereka janganlah takut kepada celaan orang yang suka mencela dalam mempertahankan agama Allah.

Ketiga: Kami menyeru petugas dan pemilik media agar memainkan peranan mereka menjelaskan kebenaran kepada umat dan dunia seluruhnya. Mereka mesti berusaha bersungguh-sungguh menyiarkan keburukan dan kebejatan penjajah zionis. Media janganlah melalaikan umat dengan perkara remeh temeh yang tidak berguna.

Keempat: Kami menyeru umat seluruhnya agar memainkan peranan mereka. Mereka hendaklah mengangkat suara menuntut kerajaan agar menjalankan kewajipan terhadap al-Quds. Rakyat juga mesti memboikot penjajah zionis. Jangan berurusan dengan mereka sama ada jual, beli dan melancong. Mereka hendaklah menghulurkan apa yang termampu dalam bentuk material dan moral kepada saudara mereka di Palestin. Mereka hendaklah membaiki hubungan dengan Allah, membanyakkan doa agar diberi kemenangan, ketugahan dan dikembalikan kekuasaan kepada orang yang beriman.

Ya Allah, sesungguhnya kami telah sampaikan! Ya Allah, Engkau saksikanlah!

Majlis Ulamak Ikhwan Muslim Jordon.
Sumber:
http://www.palestine-info.info/ar

Kahwin dengan gadis lumpuh, buta, pekak dan bisu!!!

Ramai di antara kita mungkin pernah mendengar cerita ini. Ada yang percaya, ada yang tidak. Ada yang berpendapat ia hanya rekaan semata-mata.

Namun terdapat banyak riwayat yang menunjukkan ia benar-benar berlaku dan bukan rekaan.

Pada suatu hari, seorang pemuda bernama Thabit bin Ibrahim berjalan-jalan di kebun buah-buahan di Kufah. Dia melintasi sebuah kebun epal dan terjumpa sebiji epal yang gugur ditiup angin. Dia mengambil epal tersebut dan terus memakannya. Belum sempat menghabiskannya, tiba-tiba dia teringat bahawa epal itu bukan kepunyaannya, bagaimana dia boleh memakannya?

Dengan tergesa-gesa dia memasuki kebun itu dan bertemu dengan seorang lelaki yang sedang menguruskannya. Dia meminta maaf kerana telah memakan epal dari kebun itu tanpa izinnya. Lelaki itu berkata bahawa dia bukan pemiliknya tetapi hanyalah seorang pekerja sahaja.

Thabit bertanya di manakah tuannya?

Lelaki itu menjawab rumah pemilik kebun ini sejauh perjalanan satu hari satu malam!

Didorong oleh sifat taqwa dan waraknya dia sanggup berjalan dengan bersusah payah satu hari satu malam untuk meminta maaf dengan tuan kebun kerana telah memakan separuh biji epal tanpa izinnya.

Setibanya di rumah pemilik kebun, dia segera berkata: maafkan saya kerana telah memakan separuh biji epal tanpa keizinan tuan. Inilah separuh baki yang belum saya makan!

Pemilik kebun yakin bahawa tidak ada orang yang sanggup buat begini kecuali seorang yang benar-benar soleh.

Maka dia berkata dengan tegas: saya akan maafkan kamu, tetapi dengan satu syarat!

Thabit bertanya: apakah syarat tuan?

Pemilik kebun menjawab: saya ada seorang anak gadis yang buta, bisu, pekak serta lumpuh. Saya mahu kamu menikahinya!

Thabit berfikit seketika. Kemudian menyetujuinya asalkan dia mendapat kemaafan kerana telah memakan epalnya. Pada fikirannya perkahwinan ini mungkin satu ujian untuk dia mendapat pahala daripada Allah ‘Azza wa Jalla.

Aqad nikahpun dilangsungkan.

Setelah sempurna aqad dan sahlah dia sebagai suami, ditunjukkan kepadanya kamar isteri yang belum dikenali kecuali seorang yang cacat.

Dia memberi salam: assalamu’alaikum…

Tiba-tiba wanita itu bangkit berdiri sambil menjawab salamnya: wa’alaikumus-salam…

Thabit terpinga-pinga kehairanan…

Dia bertanya apa maksud kata-kata ayahnya yang menyifatkannya sebagai buta, pekak, bisu dan lumpuh?

Isterinya menjawab: ayahku berkata benar. Saya buta daripada memandang perkara yang haram, pekak daripada mendengar perkara yang dimurkai Allah, bisu daripada bercakap perkara yang dilarang dan lumpuh kerana kaki ini tidak pernah membawa saya ke tempat maksiat.

Thabit menceritakan: aku renung wajahnya, sesungguhnya dia sangat cantik laksana bulan pernama!

Perkahwinan ini dilimpahi dengan keberkatan. Daripadanya lahir seorang anak yang diberkati. Kemasyhuran serta ilmunya memenuhi bumi. Anak itu ialah Imam Abu Hanifah Nu’man bin Thabit (80H/699M – 150H/767M) rahimahullah, pengasas salah satu Mazhab Fiqh yang terkenal.

Monday, March 15, 2010

Siapkan perisai kamu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ

خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ

"خُذُوا جُنَّتَكُمْ"

قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، أَمِنْ عَدُوٍّ حَضَرَ؟

فَقَالَ: "خُذُوا جُنَّتَكُمْ مِنَ النَّارِ،

قُولُوا: سُبْحَانَ اللهِ وَالحَمْدُ للهِ وَلا إِلَهَ إِلا الله وَالله أَكْبَرُ وَلا حَوْلَ وَلا قُوَّةَ إِلا بِاللهِ

فَإِنَّهُنَّ يَأْتِينَ يَوْمَ القِيَامَةَ مُسْتَقْدِمَاتٍ وَمُسْتَأْخِرَاتٍ وَمُنجيَاتٍ وَهُنَّ البَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ

Daripada Abu Hurairah رَضِيَ الله عَنْهُ katanya:

Rasulullah صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ telah keluar menemui kami seraya bersabda (maksudnya):

“Siapkan perisai kamu!”

Kami bertanya:

“Ya Rasulullah, adakah perisai untuk mempertahankan diri daripada musuh yang bakal menyerang?”

Baginda menjawab (maksudnya):

“Siapkan perisai kamu daripada api neraka!”

“Ucapkanlah: Maha Suci Allah, dan segala puji bagi Allah, dan tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah”.

"Sesungguhnya kalimah-kalimah itu akan akan datang pada Hari Qiamat nanti dari depan, belakang dan menyelamatkan. Itulah perkataan yang berkekalan pahala dan berterusan ganjarannya. Dan itulah sebaik-baik harapan yang diharapkan oleh seorang hamba dan sebaik-baik pahala.”

Riwayat an-Nasa’i, al-Hakim, at-Tobrani dan al-Baihaqi

Friday, March 12, 2010

1000 LILIN SEMPENA 1000 HARI KEPUNGAN



Khamis 11 Mac 2010 rakyat Gaza menyalakan 1000 lilin bertemakan ‘HENTIKAN KEPUNGAN’ DAN ‘KEBEBASAN UNTUK GAZA’.
Lilin dinyalakan dalam pelbagai bentuk yang boleh disaksikan di link dibawah. Antaranya dalam bentuk tulisan ‘HENTIKAN KEPUNGAN’

http://www.palestine-info.info/ar/default.aspx?xyz=U6Qq7k%2bcOd9i39xY6%2f%2bPYOarD1hkT8XDdJIIGnrJBfia7Xeow8RCF1hWW%2fv1yk6p3stYplRTtGprcbjPmNddZ3DYRTDxYReATQsW1t0XFAKkq7AAcAfK6wI39Hoz%2fYTVvQSch3i8YYe0I6v3XDG3QJMkhvVtUP%2bl

dan:

http://www.palestine-info.info/ar/default.aspx?xyz=U6Qq7k%2bcOd9i39xY6%2f%2bPYOarD1hkT8XDdJIIGnrJBfia7Xeow8RCF1hWW%2fv1yk6p3stYplRTtGprcbjPmNddZ3DYRTDxYReA6KPFEcProigIhtdiUAOH2gaNMh%2fNXKJMo3%2fZnmKD9YTyolG2X6HU4GgTzEblX2DW

Thursday, March 11, 2010

MARI BERDOA



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيِمِ
الحَمْدُ لله رَبِّ العَالَمِينَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الخَلْقِ أَجْمَعِينَ وَخَاتَمِ الأَنْبِياءِ وَالمُرْسَلِينَ سَيِّدِنا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتّابِعِينَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيِنِ
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌ لِّمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ (57) قُلْ بِفَضْلِ اللهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُواْ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ (58) سورة يونس

اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا، وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا، وَارْحَمْنَا فَوْقَ الأَرْضِ وَتَحْتَ الأَرْضِ وَيَوْمَ العَرْضِ عَلَيْكَ

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنْ تُطْفِئَ عَنِّي نَارَ مَنْ شَبَّ لِي نَارَهُ، وَأَنْ تَكْفِيَنِي هَمَّ مَنْ أَدْخَلَ عَليَّ هَمَّهُ، وَأَنْ تُدْخِلَنِي فِي دِرْعِكَ الحَصِينِ، وَأَنْ تَسْتُرَنِي بِسِتْرِكَ الوَاقِي

اللَّهُمَّ يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ حَتَّى أَلْقَاكَ، وَارْزُقْنِي وَأَهْلِي وَالْمُسْلِمِينَ شَفَاعَةَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

اللَّهُمَّ بَيِّضْ وَجْهِي يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ

اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلاَ تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنا فِي السَّاعَاتِ وَالأَوْقَاتِ.. وَبَارِكْ لَنا فِي أَعْمَارِنا وَأَعْمَالِنا

اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَالِحَ الأَعْمَالِ وَاجْعَلهَا خَالِصةً لِوَجْهِكَ الكَرِيمِ

وَصَلِّ اللَّهُمَّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتّابِعِينَ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيِنِ، وَالحَمْدُ لله رَبِّ العَالَمِيِنَ


MAKSUDNYA;

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji hanya bagi Allah Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia makhluk, penydah nabi-nabi dan rasul-rasul, sayyidina Muhammad dan ke atas keluarganya, sahabat-sahabatnya dan pengikut-pengikut yang mengikutinya dengan berbuat baik hingga ke Hari Pembalasan.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayat petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (57) Katakanlah (wahai Muhammad): Kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya) kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal).” (58) – Surah Yunus.

Ya Allah, tutupilah keaiban kami, amankanlah kegentaran kami, kasihanilah kami ketika berada di atas permukaan bumi, ketika berada di dalam perut bumi dan ketika kami bibawa mengadap-Mu di kemudian hari nanti!

Ya Allah, aku bermohon agar Engkau padamkan api (fitnah atau permusuhan) yang dicampakkan oleh seseorang ke arah kami, lindungiku daripada perasaan dukacita yang cuba dimasukkan oleh seseorang ke dalam hatiku, masukkanlah aku ke dalam perisai-Mu yang amat kukuh dan tabirilah aku dengan tirai-Mu yang sangat utuh!

Ya Allah, Tuhan yang membalikkan hati-hati. Tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu sehingga aku menemui-Mu. Kurniakanlah aku, ahli keluargaku dan seluruh muslimin syafaat Sayyidina Muhammad صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Ya Allah, putihkan dan serikanlah wajahku pada hari Engkau menjadikan sebahagian daripada wajah-wajah itu putih berseri dan sebahagiannya hitam legam.

Ya Allah, rahmat-Mu aku tagih, maka janganlah serahkan aku kepada nafsuku walau sekelip mata. Perbaikilah urusanku semuanya. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Maha Suci Engkau dari segala sekutu dan kelemahan.

Ya Allah, berkatilah kami pada setiap saat dan waktu, berkatilah kami pada usia kami dan amalan kami.

Ya Allah, terimalah daripada kami amalan-amalan yang baik, dan jadikanlah amalan-amalan kami ikhlas untuk-Mu semata-mata.

Ya Allah, kurniakanlah rahmat, kesejahteraan dan keberkatan kepada penghulu kami Muhammad, ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya, pengikut-pengikut yang mengikutinya dengan baik sehingga ke Hari Pembalasan. Dan segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam.

Tuesday, March 09, 2010

Perbaiki dirimu, Allah akan baiki zuriatmu!


Seorang sahabat memberitahu bahawa dia mempunyai seorang teman yang berpangkat tinggi dan bergaji besar, bekerja di sebuah jabatan kerajaan yang sangat berprestij. Setiap hari temannya itu akan mengkhususkan beberapa jam untuk aktiviti dakwah dan amal kebajikan. Suatu hari dia bertemu dengan temannya di dalam suatu program dakwah anjuran temannya itu. Dia bertanya kenapa anda menyibukkan diri dengan aktiviti sebegini? Bukankah anda seorang yang berjawatan tinggi? Kenapa tidak tumpukan sahaja kepada urusan pejabat yang pastinya bertimbun-timbun itu?

Apakah jawapan temannya? Sila ikutinya di:

http://www.malaysiaharmoni.com

Sunday, March 07, 2010

Tazkirah



Tiada seorang penulispun kecuali akan pergi akhirnya
Yang kekal adalah apa yang telah dikarang dan ditulisnya
Justeru, jangan engkau tulis dengan jari jemarimu
Kecuali sesuatu yang membahagiakanmu ketika engkau bertemu Tuhanmu