And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Tuesday, December 13, 2011
Manusia Paling Zalim
Friman Allah Ta’ala bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu dan tentulah Dia tidak memberitahu kamu akan Al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al-Quran ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya? Dengan yang demikian, tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa itu tidak akan berjaya.” (Yunus: 16-17)
Manusia ini memang pelik. Lebih-lebih lagi Arab Quraisy. Mereka telah mengenali Muhammad s.a.w. sejak kecil. Mengetahui keperibadiannya yang tidak pernah berdusta. Malah mereka menerima penghakiman yang dibuat oleh Muhammad ketika mereka berebut untuk meletakkan Hajar al-Aswad di tempatnya, sehinggakan jika tidak kerana kebijaksanaan Muhammad, hampir-hampir akan berlaku pertumpahan darah di kalangan mereka.
Perhatikan soalan yang ditanya oleh Hirqal, Raja Rum kepada Abu Sufyan: “Adakah kamu pernah menuduhnya berdusta sebelum dia mendakwa apa yang didakwanya sekarang (sebelum dia mendakwa menjadi Rasul Allah)? Abu Sufyan yang ketika itu merupakan salah seorang ketua Quraisy tanpa berselindung menjawab: “Tidak!”. Satu persaksian yang cukup mantap dari Abu Sufyan. Persaksian seorang musuh tentang keperibadian unggul musuhnya. Pastinya persaksian itu tidak mungkin ditolak kerana kebiasaannya musuh tidak akan menyebut kebaikan musuhnya, kecuali kerana kebaikan itu begitu menyerlah laksana sinaran matahari di waktu dhuha. Maka apa komen Hirqal? “Sesungguhnya kalau itu keadaannya, tidak pernah berbohong dengan manusia, maka tidak mungkin tiba-tiba dia akan berbohong terhadap Allah (dengan mendakwa Allah mengutusnya)!”
Itu pengakuan musuh. Mukmin apatah lagi. Jaafar bin Abi Talib, dalam bicaranya kepada an-Najashi telah menyebut: “Allah telah mengutus kepada kami seorang Rasul yang kami kenali, kami ketahui kejujurannya, keturunannya dan kebenarannya. Sesungguhnya dia telah berada bersama kami sebelum diutus menjadi Nabi selama 40 tahun!”
Maka jenayah paling besar, kezaliman yang peling teruk ialah seorang yang mendakwa dirinya diutus sebagai rasul tetapi hakikatnya tidak. Atau orang yang mendustakan Rasul, sedangkan bukti kerasulan sangat jelas. Terlalu jauh perbezaan antara insan yang terpilih sebagai rasul dengan pendusta yang zalim seperti cahaya dhuha dengan kehitaman malam yang pekat.
Abdullah bin Sallam r.a. berkata, “Apabila Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah, orang-orang Yahudi berasa sangat jengkel. Dan aku tarmasuk dalam kalangan mereka yang berasa sangat jengkel. Namun apabila aku melihat wajahnya, aku mengetahui bahawa wajahnya bukan wajah seorang pendusta. Perkara pertama yang aku dengar darinya ialah: “Wahai sekelian manusia, hebahkan salam, berilah makanan (kepada orang yang memerlukan), hubungi silatul rahim, bersolatlah di waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan salam (sejahtera)”
Diriwayatkan bahawa ‘Amru bin al-‘As telah bertemu dengan Musailamah al-Kazzab. Mereka berdua merupakan sahabat sejak sekian lama. ‘Amru ketika itu belum lagi memeluk Islam. Musailamah bertanya ‘Amru: “Hai ‘Amru, apa ayat yang diturunkan kepada lelaki itu sekarang?”
‘Amru menjawab: “Aku dengar sahabat-sahabatnya membaca satu surah yang hebat tapi pendek.”
Musailamah bertanya lagi: “Surah apa yang mereka baca?” Maka ‘Amru membacakan surah al-‘Asr dari awal hingga akhir.
Musailamah termenung seketika, kemudian berkata: “Dan aku juga telah diturunkan kepadaku surah seperti itu.”
‘Amru meminta supaya dia membacanya. Musailamahpun membaca:
يا وبر يا وبر إنما أنت أذنان وصدر وسائرك حفر نفر
Selepas membacanya dia bertanya kepada ‘Amru: “Apa pendapatmu wahai ‘Amru?”
‘Amru menjawab: “Demi Allah sesungguhnya engkau pun tahu bahawa aku memang yakin engkau pembohong.”
Lihat ‘Amru, seorang yang musyrik pun tidak keliru antara yang benar dengan yang palsu. Apatah lagi mukmin. Semakin dibaca ayat-ayat Allah, semakin digali sirah Rasulullah, semakin bertambah iman dan taqwa dengan izin Allah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment