رسالة من: أ.د. محمد بديع- المرشد العام للإخوان
المسلمين
Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam, selawat dan
salam ke atas pemimpin para nabi,
penyudah para rasul, dan ke atas keluarga baginda, para sahabat, tabi’in
serta semua yang mengikuti dengan sebaiknya sehingga ke hari pembalasan. Amma
ba’du..
Sesungguhnya Islam adalah agama samawi terakhir yang merupakan penyudahnya. Islam adalah
manhaj rabbani yang diturunkan Allah untuk memimpin manusia yang teraba-raba
dalam kesesatan. Matlamatnya ialah untuk merealisasikan ubudiyyah yang sempurna
untuk Allah semata-mata. Dengan pengabdian yang sempurna kepada Allah Ta’ala
semata-mata, wujudlah kebebasan yang sempurna. Manusia memiliki kehendak yang
benar-benar bebas. Kebebasan yang tercetak dengan sibghah Allah Ta’ala. Ia
menjadi contoh nilai murni, model akhlak terpuji demi kebaikan sekelian makhluk
dan kemakmuran sejagat.
Sesungguhnya satu-satunya agama yang diiktiraf di sisi
Allah adalah Islam kerana Islam merupakan agama fitrah yang meliputi semua
tuntutan hidup: kemasyarakatan, pendidikan, akhlak, siasah, kesihatan, ekonomi
dan lain-lain. “(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka
hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah
agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang
Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk
menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu;
itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
(Ar-Rum:30)
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Setiap anak dilahirkan dalam
keadaan fitrah. Lalu kedua ibu bapanya menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau
Majusi.”
Fitrah ialah sifat yang ada pada setiap yang wujud sejak awal
kejadiannya. Manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah mengakui keesaan Allah
‘Azza wa Jalla. Pengakuan itu merupakan janji setia yang telah diikat dengan
Allah sebagaimana dinyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan (ingatlah
wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam
(turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi
terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah
Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami
menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari qiamat kelak:
Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat
tauhid) ini.” (Al-A’raf:172)
Maka manusia, mengikut fitrahnya yang suci mengenali Tuhannya, berdamping
denganNya, bergantung kepadaNya ketika ditimpa bencana, lebih-lebih lagi ketika
tidak ada manusia yang menulungnya, tidak ada apa-apa yang membantunya. Ketika
itu fitrahnya akan kembali kepada Allah dan memohon pertulunganNya. “Dan
apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari
ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila
Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan
memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah). (Al-Israa’:67)
Kaum musyrikin pada masa turunnya al-Quran mengenali Tuhan
yang menciptakan mereka. Fitrah mereka berkata benar ketika ditanya. Hal ini
dijelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Tanyakanlah (wahai Muhammad):
Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?
Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah: Mengapa kamu tidak mahu
ingat (dan insaf)? Tanyakanlah lagi: Siapakah Tuhan yang memiliki dan
mentadbirkan langit yang tujuh dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?
Mereka akan menjawab: (Semuanya) kepunyaan Allah. Katakanlah: Mengapa kamu
tidak mahu bertakwa? Tanyakanlah lagi: Siapakah yang memegang kuasa
pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta dia dapat melindungi (segala-galanya) dan
tidak ada sesuatupun yang dapat disembunyi daripada kekuasaannya? (Jawablah)
jika kamu mengetahui! Mereka akan menjawab: (Segala-galanya) dikuasai Allah.
Katakanlah: Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati kepada perkara yang
tidak benar?” (Al-Mu’minun:84-89)
Dan naluri ini tidak terbatas pada manusia sahaja. Bahkan
fitrah mengenal Allah ini meliputi semua makhluk; haiwan, burung-burung,
batu-batan, kayu-kayuan dan lain-lain. Semuanya diciptakan di atas landasan
fitrah yang sama: pengabdian kepada Allah, bertasbih, memuji dan
mengagungkanNya. “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada
padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan
bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (Al-Israa’:44)
Kenapakah Islam merupakan agama fitrah?
Sesungguhnya Islam adalah agama fitrah kerana ia tidak
meninggalkan satupun pintu yang menyampaikan manusia kepada kesempurnaan dan
kebahagiaan melainkan ditunjukkannya, diperintah supaya memasukinya serta
dijanjikan pahala ganjaran yang baik untuknya. Pada masa yang sama, ia tidak
meninggalkan satupun pintu yang membawa kepada kebinasaan, kejahatan dan
kehancuran kecuali diperingatkan dan dilarang dari mendekatinya serta diancam
balasan siksa yang dahsyat dan mengerikan.
Islam agama fitrah kerana ia sejajar dengan sunnatullah di
dalam penciptaan insan; ia memberikan kepada jasad haknya dan kepada ruh
haknya. Ia berjalan seiring dengan kedua-duanya secara seimbang sehingga
mencapai mercu kesempurnaannya.
Islam agama fitrah kerana ia menghormati akal, menjulang
tinggi ilmu dan ulamak serta mengangkat darjat mereka. “Allah meninggikan
darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu
pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat” (Al-Mujadilah:11)
Islam agama fitrah kerana ia memacakkan tiang-tiang rahmah.
Sesungguhnya risalah yang dibawa oleh Muhammad, tiada lain kecuali rahmah bagi
semesta alam. “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan
untuk menjadi rahmah bagi sekalian alam.” (Al-Anbiaa’:107) Dalam konteks ini Nabi s.a.w. bersabda
maksudnya: “Kamu tidak beriman sehinggalah kamu berkasih sayang. Mahukah aku
tunjukkan kamu sesuatu yang membuatkan kamu berkasih sayang?” Mereka menjawab:
“Ya, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Hebahkan salam di kalangan kamu.
Maka demi Tuhan yang jiwaku di TanganNya, kamu tidak akan masuk syurga
sehinggalah kamu sayang menyayangi.” Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, kami
semua saling sayang menyayangi.” Baginda bersabda: “Bukan rahmah (sayang
menyayangi) antara kamu secara khusus, tetapi rahmah yang umum.”
Islam agama fitrah
kerana ia merealisasikan keadilan yang sempurna, merangkumi manusia seluruhnya
termasuk dengan musuh. Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Wahai
orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang
yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan
sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada
tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua)
kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Maidah:8)
Islam agama fitrah
kerana ia mengiktiraf prinsip persamaan sesama manusia. Tidak ada kelebihan
bagi orang Arab ke atas orang ‘ajam (bukan Arab) kecuali dengan taqwa. “Wahai umat
manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan
Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu
berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara
kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan
keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat:13)
Islam agama fitrah
kerana ia menegaskan bahawa kebebasan itu sesuatu yang suci sehinggakan manusia
diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menganut apa saja agama yang dipilihnya. “Tidak ada
paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam)
dari kesesatan (kufur).” (Al-Baqarah:256). Islam
menganggap kebebasan lahir bersama kelahiran manusia itu sendiri. Khalifah Umar
bin al-Khattab pernah mengungkapkan kata-kata yang masyhur tentang kebebasan: “Bilakah
kamu (diberikan hak untuk) memperhambakan manusia, padahal mereka dilahirkan
oleh ibu-ibu mereka sebagai insan yang merdeka?”
Islam agama fitrah
kerana ia datang membawa kemuliaan akhlak yang mengangkat darjat manusia dan
meninggikan nilai mereka. Bahkan Islam menjadikan kemuliaan akhlak sebagai matlamat pengutusan
risalah yang terakhir. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya aku
diutuskan hanyalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik.”
Islam agama fitrah
kerana ia bersifat syumul. Ia merangkumi dasar-dasar serta prinsip-prinsip asas
yang mengatur semua aspek kehidupan: akhlak, kemasyarakatan, ekonomi, politik
dan lain-lain. Tidak ada satu bidangpun ditinggalkan. Semuanya diatur rapi. “Tiada Kami
tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini;” (Al-An’am:38) “Kami telah menerangkannya satu persatu
(dalam Al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.”
(Al-Israa’:12)
Islam agama fitrah
kerana ia agama yang seimbang. Objektifnya kebaikan di dunia dan kebaikan di
akhirat. Ia menekankan aspek kesihatan jasmani dan kesucian rohani. Menseimbangkan
antara fizikal dan spritual, antara keperluan dan nillai-nilai murni. “Dan
tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan
pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu
(keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba
Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang
melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi;
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas:77)
Terdapat serangkap athar: “Beramallah untuk duniamu seolah-olah engkau akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah
untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.”
Sebab-sebab
perubahan fitrah
Apabila kita
mengatakan bahawa beragama itu satu fitrah di dalam diri manusia, maka apa yang
ada di sekitarnya menjadi sebab fitrah yang lurus suci itu terseleweng. Rasulullah
s.a.w. menjelaskan hal ini di dalam sabdanya yang bermaksud: “Setiapa
anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Lalu kedua ibu bapanya menjadikannya
Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”
Justeru, fitrah
akan terseleweng dengan sebab-sebab berikut:
1. Bisikan syaitan dari kalangan jin. Syaitan telah
berjanji pada diri sendiri akan menyesatkan bani Adam sebagaimana dinyatakan di
dalam firman Allah yang bermaksud: “Iblis berkata: Demi kekuasaanmu (wahai
Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, Kecuali hamba-hambaMu di antara
zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan
penyelewengan.” (Sad:82-83) Di dalam sepotong Hadis Qudsi,
Allah berfirman maksudnya: “Dan sesungguhnya Aku telah menciptakan
hamba-hambaKu bersifat lurus murni semuanya. Dan syaitan-syaitan mendatangi
mereka lalu memesongkan mereka dari agama mereka. Syaitan-syaitan mengharamkan
ke atas mereka apa yang Aku halalkan untuk mereka. Syaitan-syaitan menyuruh
mereka supaya mempersekutukan Aku dengan perkara yang tidak punya apa-apa
kuasa.” Dan segala faktor dan rintangan-rintangan yang berikut semuanya
merupakan tentera-tentera syaitan dan talibarutnya. Manusia tidak akan terlepas
dari jerat syaitan kecuali dengan memohon perlindungan daripada Allah dan
bergantung denganNya.
2.
Apa yang disemai
oleh ibu bapa di dalam diri anak-anak mereka. “Lalu kedua ibu
bapanya menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”
3.
Apa yang diajar
oleh mereka yang mendakwa berilmu, mengkaji dan menyelidik. Rasulullah s.a.w.
mentafsirkan ayat “Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli
agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah dan juga (mereka
mempertuhankan) Al-Masih Ibni Mariam, padahal mereka tidak diperintahkan
melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” (At-Taubah:31)
dengan sabdanya yang bermaksud: “Adapun mereka itu tidak menyembah padri dan
pendeta mereka. Tetapi mereka ikut apa yang padri itu halalkan dan apa yang
padri itu haramkan.”
4.
Kejahilan dan
taqlid buta, walaupun dengan bertaqlid itu membuatkan mereka binasa “ Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): Turutlah akan apa
yang telah diturunkan oleh Allah. Mereka menjawab: (Tidak), bahkan Kami hanya
menurut apa yang Kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah mereka
(menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan
perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab api Neraka yang marak
menjulang?” (Luqman:21)
5.
Teman-teman jahat
yang ada di sekeliling, yang fitrahnya telah rosak dan menganggap kerosakan
itulah yang elok. “Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang
zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata:
Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama
Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia
itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan
peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku dan adalah Syaitan itu
sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).” (Al-Furqan:27-29).
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Seseorang itu mengikut agama teman
setianya. Maka hendaklah seseorang kamu meneliti siapakah yang jadi teman
setianya.”
Gejala-gejala penyelewengan fitrah
Orang yang melihat kepada reality akan nampak dengan
jelas gejala-gejala terselewengnya fitrah dari landasannya yang lurus. Antaranya: lunturnya nilai-nilai akhlak kemanusiaan yang
murni seperti tidak ada sifat malu, merebaknya dusta, khianat, pergaduhan,
kezaliman, permusuhan yang melampau. Munculnya puak-puak yang mengajak kepada
kerosakan dan merosakkan di muka bumi sehingga ke tahap merosakkan tanaman,
keturunan, meruntuhkan pembangunan, memusnahkan institusi, menghancurkan apa
saja yang boleh dicapai oleh tangan mereka. Mereka menghalalkan harta, darah
dan maruah manusia. Ciri-ciri yang ada pada mereka tepat seperti apa yang
digambarkan di dalam friman Allah “Dan di antara manusia ada orang yang
tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati
(mendengarnya) dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi
atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras
permusuhannya (kepadamu). Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat
hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya dan
membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia);
sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.” (Al-Baqarah:204 –
205)
Dan lebih menakjubkan lagi mereka menganggap munkar
itu ma’ruf dan ma’ruf itu munkar. Bukan sekadar
itu. Bahkan mereka menyuruh kepada munkar dan mencegah dari ma’ruf. “Orang-orang
munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang
lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat dan melarang
dari perbuatan yang baik dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil
kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah
juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik
itu, merekalah orang-orang yang fasik.” (At-Taubah:67)
Dan boleh jadi bencana yang berlaku di kebanyakan
negara merupakan balasan dari Allah Ta’ala kerana rosaknya fitrah. Hal ini pernah
dikhabarkan oleh Nabi s.a.w. Baginda maksudnya:
“Bagaimana keadaan kamu apabila wanita-wanita kamu telah melampau batas,
pemuda-pemuda kamu telah fasiq dan kamu meninggalkan jihad?” Mereka bertanya: “Adakah
perkara sedemikian akan berlaku wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Ya. Dan lebih
dahsyat daripada itu akan berlaku. Bagaimana keadaan kamu apabila kamu tidak
menyuruh yang ma’ruf dan tidak melarang dari yang munkar?” Mereka bertanya: “Dan
perkara itupun akan berlaku?” Baginda menjawab: “Ya. Dan lebih dahsyat daripada itupun akan
berlaku. Bagaimana keadaan kamu apabila kamu melihat ma’ruf itu munkar dan
munkar itu ma’ruf?” Mereka bertanya: “Dan perkara itupun akan berlaku?” Baginda
menjawab: “Ya. Dan lebih dahsyat
daripada itupun akan berlaku. Bagaimana keadaan kamu apabila kamu menyuruh yang
munkar dan kamu mencegah dari yang ma’ruf?” Mereka bertanya: “Dan perkara
itupun akan berlaku?” Baginda menjawab: “Ya.
Dan lebih dahsyat daripada itupun akan berlaku. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:
Demi DiriKu Aku bersumpah, Aku akan datangkan kepada mereka ujian sehingga
orang yang sabarpun berada dalam kebingungan?”
Rawatan
Wahai umat Islam di semua tempat,
Sesungguhnya rawatan yang paling berkesan dan ubat
yang paling mujarab ada pada agama fitrah yang dibawa oleh penutup nabi-nabi
dan rasul-rasul. Di situlah ubat dan penawar bagi segala jenis penyakit,
penyembuh bagi segala jenis wabak. Apabila kita tegakkan agama itu di dalam
hati dan reality, kita laksanakan ajarannya, kita tunaikan haknya dengan
sempurna, Tuhan kita redha dan kita akan memperolehi kebaikan akhirat dan
dunia. Imam al-Banna berkata: “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengutus
RasulNya sebagai rahmah kepada alam semesta hingga ke hari qiamat. Dia
mengutuskan bersama dengannya kitabNya yang benar sebagai nur, petunjuk
sehingga ke hari Qiamat. Sesungguhnya kepimpinan Rasulullah s.a.w. kekal
sehingga kini dengan sunnahnya. Sesungguhnya kekuasaan al-Quran tetap kuat
dengan hujjahnya. Dan sesungguhnya manusia akan menuju ke arah keduanya, tidak
ada jalan lain lagi untuk mereka sama ada dengan rasa bangga atau hina, pada
masa yang singkat atau lambat, sehingga terlaksanalah firmanNya yang bermaksud:
“supaya Dia
memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain;” (Al-Fath:28)
Maka jadilah kamu orang yang melangkah dahulu dengan
nama Rasulullah s.a.w. dengan membawa botol ubat daripada doktor al-Quran demi
menyelamatkan dunia yang tersiksa sakit yang tenat.
Sesungguhnya langkah ini merupakan langkah yang berani
tetapi dijamin tepat insya Allah. Dan Allah pasti menang di dalam segala urusan.
“dan pada
ketika berlakunya (kemenangan) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; Dengan
kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang
dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (Ar-Rum:4-5)
Pada masa lain, beliau berkata: Dan sesungguhnya
antara kewajipan kita, yang mana di tangan kita ada unggun cahaya, ada botol
ubat, kewajipan kita ialah melangkah ke hadapan, kita perbaiki diri kita dan kita
seru orang lain. Andainya kita berjaya, maka itu harapan kita. Jika tidak, maka
cukup sekurang-kurangnya kita telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah dan
menginginkan kebaikan untuk manusia. Kita tidak harus sama sekali memandang rendah
kepada diri kita. Orang yang membawa risalah dan memikul tanggungjawab dakwah, cukuplah
bagi mereka memiliki faktor-faktor kejayaan yang berikut: Mereka hendaklah
beriman dengan risalah yang dibawa, ikhlas kepadanya dan berjihad di jalannya. Biarlah
masa yang menantinya, dan dunia tertunggu-tunggu kehadirannya. Maka adakah
sesiapa yang menyahut?
Setiap pendakwah di semua masa dan tempat selalu
berkata “Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada
kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari Allah yang
menciptakan daku;” (Hud:51)
Dan Allah jua matlamat kami. Dialah yang memberi
petunjuk ke jalan yang lurus.
والله أكبر ولله الحمد
القاهرة في: الخميس 29 جمادى الآخرة 1434هـ، 9 مايو 2013م.
Sumber: