Hari Khamis 2 May 2013, jam 23.50 dengan berat hati aku
melangkah meninggalkan tanah air yang panas membahang dengan pelbagai isu dalam
menghadapi PRU 13 yang bakal berlangsung pada 5 May 2013. Aku bagaikan tersepit
di antara dua panggilan; panggilan naluri keibuan yang ingin menyaksikan
upacara penganugerahan ijazah kepada seorang anak, dan panggilan tanggungjawab
sebagai rakyat dalam menentukan kepimpinan negara untuk tempoh lima tahun akan
datang. Namun, aku seolah-olah tidak dapat membuat pilihan kerana visa dan
tiket telah pun dibeli beberapa bulan sebelum perisytiharan pembubaran parleman
dan penetapan tarikh PRU 13.
Penerbangan dengan American Airlines melalui jalan London,
Chicago, Detroit mengambil masa lebih kurang 27 jam. Cuaca masih tidak menentu
antara sejuk dan panas musim bunga. Musim sejuk yang baru berlalu meninggalkan
pokok-pokok tidak berdaun. Banyak yang masih gondola. Namun pada masa yang sama
ada setengah pokok yang telah galak berbunga menyerlahkan aneka warna yang
sangat indah dan mempersona.
Dari lapangan terbang Detroit, singgah di sebuah masjid yang
didirikan oleh penganut Syi’ah, merupakan antara masjid tertua dan terbesar di
Amerika. Solat jamak Zohor dan Asar.
Kemudian menjamu selera di Restoran Arab, Alsaha.
4 May 2013, hari yang dinantikanpun tiba. Majlis Graduasi
yang gilang gemilang mengikut tradsi ‘Orang Putih’. Berbeza dengan Majlis
Konvokesyen yang pernah aku hadiri di sini. Suatu yang menarik, ketika menyampaikan ijazah, penyampai itu tidak menghulurkan tangan untuk bersalam dengan pelajar wanita yang memakai tudung. Diapun tahu menghurmati pegangan seorang muslimah. Sekalung tahniah buat anakku, Muhammad 'Aakif dan
kawan-kawan seangkatan dengannya.
Pada malamnya, merupakan siang hari 5 haribulan 5 di
Malaysia di mana sedang berlangsungnya pengundian di seluruh Negara. Sepanjang malam
tidak dapat melelapkan mata disebabkan mata masih belum dapat disesuaikan
dengan perubahan waktu siang dan malam dan sebab kedua pastinya kerana hati
dihambat debaran mengikuti pelbagai karenah pengundian di pusat-pusat mengundi yang
dilaporkan melalui internet, minit demi minit.
Pagi 5 May di sini aku dijemput mengisi dua slot ceramah kepada
sekumpulan pelajar yang datang dari pelbagai pelusuk bumi USA, lelaki dan perempuan.
Waktu itu,
pengiraan undi dan pengumuman keputusan undian sedang berjalan. Pastinya sedikit
sebanyak mengganggu penumpuan terhadap ceramah yang disampaikan. Boleh dikatakan,
ceramah diselang seli dengan melihat keputusan setiap kali muncul pengumuman
terbaru. Sedih dan hampa tidak dapat dipadam dengan mudah apabila keputusan
tidak seperti apa yang diharapkan. Cuma, perasaan bersalah kerana tidak
mengundi sedikit terubat apabila mengetahui kawasan tempat mengundiku tidak
kalah, Alhamdulillah. Sebaliknya calon yang mengatakan dia yakin 101% akan
menang itulah yang tumbang dengan izinNya.
Kalau ditakdirkan dia menang, pastinya aku akan rasa berdosa kerana
menjadi sebahagian daripada sebab dia menang.
Urusan graduasi telah selesai, Alhamdulillah. Kini tiba pula
urusan jelajah. 6 May, tempat pertama yang dituju ialah Holland, sebuah taman yang
dipenuhi bunga tulip yang bermacam-macam bentuk dan warna yang indah.
Bersambung, in syaa’ Allah
No comments:
Post a Comment