Sunday, October 13, 2013

Kenyataan ke 115 Tahaluf Wataniy : 'Eid al-Adha adalah 'Eid Syahid dan Tadhiyyah



Tahaluf Wataniy bagi pendokong legitimasi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah, semurni-murni ucapan mubarak dan setulus-tulus doa buat rakyat Mesir tercinta sempena Hari Raya Qurban yang penuh keberkatan. Semoga Allah pulangkan kepada kita dan kepada umat Islam semua kebaikan, keamanan dan keberkatan. Semoga Allah anugerahkan kepada keluarga syuhada' kesabaran, kedamaian dan ketenangan dengan kemenangan mereka yang cedera, dipenjara dan syahid.

Hari raya hari bahagia, riang gembira. Hari Raya Qurban merupakan hari kemenangan dan kegembiraan. Allah limpahkan perasaan itu di dalam hati hamba-hambaNya yang beriman, yang sabar, tabah dan berterusan dalam perjuangan. Hari Raya Korban adalah hari di mana kita menimba inspirasi makna penebusan dan pengorbanan. Maka alangkah bahagianya mereka yang menghulur dan memberi, yang berbelanja dan berkorban, yang mengharap ganjaran dan keredhaan Tuhan. Mereka itulah orang yang paling layak untuk bergembira. Mereka itulah yang paling besar ganjarannya in syaa Allah.

Allah tahdirkan sebahagian kita bergembira pada hari raya dengan bertemu   orang-orang tersayang dari kalangan ahli dunia, iaitu kaum kerabat serta sahabat-sahabat. Sebahagian yang lain pula Allah anugerahkan mereka kegembiraan mendapat syahadah dan jannah, bertemu para kekasih yang terdiri dari Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat Baginda. Maka tahniah kepada kamu wahai para syuhadaa' yang mulia dan terpilih. Tahniah kepada keluarga kamu, keluarga para pahlawan dan pejuang, keluarga mereka yang tabah, mulia dan bersemangat waja. Mereka adalah cahaya Mesir yang bergemerlapan, keberkatannya yang melimpah dan melata. Tahniah kepada kamu pada hari raya kamu dengan ganjaran dan pahala daripada Tuhan Yang Maha Pemurah dan Pemberi ni'mat.

Tahaluf ingin mengucapkan tahniah secara khusus kepada pemuda dan pemudi Mesir, lelaki dan wanitanya yang sabar, tabah dan teguh di medan juang. Mereka telah mengorbankan segala yang mahal dan berharga demi kebebasan, kemuliaan dan kemegahan tanah air mereka, supaya mereka dapat hidup sebagai insan yang merdeka dan bermaruah, tidak diinjak oleh mereka yang zalim, tidak ditindas oleh pelampau. Sehingga kini mereka terus berpegang kepada janji, mereka telah lakarkan di atas lembaran sejarah kisah-kisah sumbangan dan pengorbanan, lakaran di dada sejarah kemanusiaan dengan huruf-huruf daripada cahaya dan tinta daripada emas. Sesungguhnya tidak ada mana-mana bangsa yang bangkit menentang rampasan kuasa oleh tentera sebagaimana yang dilakukan oleh rakyat Mesir yang hebat.

Dengan ini Tahaluf menyeru semua rakyat dan warga Mesir yang mulia dan ikhlas supaya menyertai perhimpunan berjuta-juta yang kita namakan "Doa Untuk Mesir", yang akan berlangsung pada waktu Zohor Hari Arafah sehingga waktu Maghrib hari yang besar ini. Kita mengikuti dan mencontohi para hujjaj yang berwuquf dan berdoa pada hari yang dihadiri oleh saksi-saksi dari kalangan para malaikat, iaitu Hari Arafah. Doa adalah senjata paling tajam dan paling kuat yang dimiliki oleh orang beriman. Maka jadikanlah doa kita untuk Mesir memperolehi segala kebaikan, kebaikan dengan pertolongan Allah kepada kebenaran dan keadilan, kebaikan dengan Allah singkirkan kezaliman dan kekejaman, kebaikan dengan Allah  hapuskan kezaliman, pengkhianatan dan penipuan, Allah balas pelaku-pelakunya dengan pembalasan yang sepadan dengan mereka, kebaikan dengan Allah membersihkan bumi Mesir daripada ulamak jahat, fitnah dan pertumpahan darah, kebaikan dengan Allah jadikan setiap tangan yang dihulurkan ke arah seorang muslim lalu membunuhnya dan mencabut nyawanya tanpa hak sebagai ibrah kepada mereka yang mahu mengambil pengajaran, kebaikan dengan Allah sempurnakan kepada kita kemenangan dan menzahirkan kebenaran. Maka bersungguh-sungguhlah wahai hamba-hamba Allah dalam berdoa. Hari ini merupakan hari yang diharapkan terqabulnya doa. Justeru, jangan sia-siakan hembusan kemurahan Tuhan kamu pada hari yang mulia ini.

Dan dirikanlah solat hari raya di sepanjang negara dan selebarnya, timurnya dan baratnya. Jadikanlah solat itu untuk Allah. Jadikanlah beberapa detik pada hari raya bersama Maha Pencipta dan sunnah NabiNya yang terpilih s.a.w. Dan beberapa detik lagi bersama keluarga, anak-anak, suami-isteri. Mesukkan kegembiraan ke dalam hati mereka sebagaimana diperintahkan oleh Tuhan kita dan dipesankan oleh Rasul kita s.a.w. Jadikanlah setiap medan, setiap padang untuk solat. Solat kita sebagai solat satu bangsa, satu warganegara, tiada perbezaan, tiada pengkhususan untuk sesuatu golongan. Solat seluruh rakyat, satu bangsa, satu tanah air, satu Tuhan, tiada Tuhan melainkan Dia. Biar tersungkur hidung mereka yang benci.

Akhirnya, semoga sepanjang tahun kamu semua berada dalam kebaikan, kemuliaan, kemenangan, harapan, keazaman, keyakinan dan kesabaran sehingga Allah sempurnakan urusan kita, urusan kebaikan, urusan kemuliaan dan kemajuan Mesir.
 الله أكبر الله أكبر الله أكبر، لا إله إلا الله، الله أكبر ولله الحمد

Sumber:
http://www.ikhwanonline.com/Article.aspx?ArtID=165126&SecID=230