Tahaluf Wataniy bagi pendokong legitimasi
mengucapkan setinggi-tinggi tahniah, semurni-murni ucapan mubarak dan
setulus-tulus doa buat rakyat Mesir tercinta sempena Hari Raya Qurban yang
penuh keberkatan. Semoga Allah pulangkan kepada kita dan kepada umat Islam
semua kebaikan, keamanan dan keberkatan. Semoga Allah anugerahkan kepada
keluarga syuhada' kesabaran, kedamaian dan ketenangan dengan kemenangan mereka
yang cedera, dipenjara dan syahid.
Hari raya hari bahagia, riang gembira. Hari
Raya Qurban merupakan hari kemenangan dan kegembiraan. Allah limpahkan perasaan
itu di dalam hati hamba-hambaNya yang beriman, yang sabar, tabah dan berterusan
dalam perjuangan. Hari Raya Korban adalah hari di mana kita menimba inspirasi
makna penebusan dan pengorbanan. Maka alangkah bahagianya mereka yang menghulur
dan memberi, yang berbelanja dan berkorban, yang mengharap ganjaran dan keredhaan
Tuhan. Mereka itulah orang yang paling layak untuk bergembira. Mereka itulah
yang paling besar ganjarannya in syaa Allah.
Allah tahdirkan sebahagian kita bergembira
pada hari raya dengan bertemu orang-orang
tersayang dari kalangan ahli dunia, iaitu kaum kerabat serta sahabat-sahabat.
Sebahagian yang lain pula Allah anugerahkan mereka kegembiraan mendapat
syahadah dan jannah, bertemu para kekasih yang terdiri dari Nabi Muhammad
s.a.w. dan sahabat-sahabat Baginda. Maka tahniah kepada kamu wahai para
syuhadaa' yang mulia dan terpilih. Tahniah kepada keluarga kamu, keluarga para
pahlawan dan pejuang, keluarga mereka yang tabah, mulia dan bersemangat waja.
Mereka adalah cahaya Mesir yang bergemerlapan, keberkatannya yang melimpah dan
melata. Tahniah kepada kamu pada hari raya kamu dengan ganjaran dan pahala
daripada Tuhan Yang Maha Pemurah dan Pemberi ni'mat.
Tahaluf ingin mengucapkan tahniah secara
khusus kepada pemuda dan pemudi Mesir, lelaki dan wanitanya yang sabar, tabah
dan teguh di medan juang. Mereka telah mengorbankan segala yang mahal dan
berharga demi kebebasan, kemuliaan dan kemegahan tanah air mereka, supaya
mereka dapat hidup sebagai insan yang merdeka dan bermaruah, tidak diinjak oleh
mereka yang zalim, tidak ditindas oleh pelampau. Sehingga kini mereka terus
berpegang kepada janji, mereka telah lakarkan di atas lembaran sejarah
kisah-kisah sumbangan dan pengorbanan, lakaran di dada sejarah kemanusiaan
dengan huruf-huruf daripada cahaya dan tinta daripada emas. Sesungguhnya tidak
ada mana-mana bangsa yang bangkit menentang rampasan kuasa oleh tentera sebagaimana
yang dilakukan oleh rakyat Mesir yang hebat.
Dengan ini Tahaluf menyeru semua rakyat dan
warga Mesir yang mulia dan ikhlas supaya menyertai perhimpunan berjuta-juta
yang kita namakan "Doa Untuk Mesir", yang akan berlangsung pada waktu
Zohor Hari Arafah sehingga waktu Maghrib hari yang besar ini. Kita mengikuti
dan mencontohi para hujjaj yang berwuquf dan berdoa pada hari yang dihadiri
oleh saksi-saksi dari kalangan para malaikat, iaitu Hari Arafah. Doa adalah
senjata paling tajam dan paling kuat yang dimiliki oleh orang beriman. Maka
jadikanlah doa kita untuk Mesir memperolehi segala kebaikan, kebaikan dengan
pertolongan Allah kepada kebenaran dan keadilan, kebaikan dengan Allah
singkirkan kezaliman dan kekejaman, kebaikan dengan Allah hapuskan kezaliman, pengkhianatan dan
penipuan, Allah balas pelaku-pelakunya dengan pembalasan yang sepadan dengan
mereka, kebaikan dengan Allah membersihkan bumi Mesir daripada ulamak jahat,
fitnah dan pertumpahan darah, kebaikan dengan Allah jadikan setiap tangan yang
dihulurkan ke arah seorang muslim lalu membunuhnya dan mencabut nyawanya tanpa
hak sebagai ibrah kepada mereka yang mahu mengambil pengajaran, kebaikan dengan
Allah sempurnakan kepada kita kemenangan dan menzahirkan kebenaran. Maka
bersungguh-sungguhlah wahai hamba-hamba Allah dalam berdoa. Hari ini merupakan
hari yang diharapkan terqabulnya doa. Justeru, jangan sia-siakan hembusan
kemurahan Tuhan kamu pada hari yang mulia ini.
Dan dirikanlah solat hari raya di sepanjang
negara dan selebarnya, timurnya dan baratnya. Jadikanlah solat itu untuk Allah.
Jadikanlah beberapa detik pada hari raya bersama Maha Pencipta dan sunnah
NabiNya yang terpilih s.a.w. Dan beberapa detik lagi bersama keluarga,
anak-anak, suami-isteri. Mesukkan kegembiraan ke dalam hati mereka sebagaimana
diperintahkan oleh Tuhan kita dan dipesankan oleh Rasul kita s.a.w. Jadikanlah
setiap medan, setiap padang untuk solat. Solat kita sebagai solat satu bangsa,
satu warganegara, tiada perbezaan, tiada pengkhususan untuk sesuatu golongan.
Solat seluruh rakyat, satu bangsa, satu tanah air, satu Tuhan, tiada Tuhan
melainkan Dia. Biar tersungkur hidung mereka yang benci.
Akhirnya, semoga sepanjang tahun kamu semua
berada dalam kebaikan, kemuliaan, kemenangan, harapan, keazaman, keyakinan dan
kesabaran sehingga Allah sempurnakan urusan kita, urusan kebaikan, urusan
kemuliaan dan kemajuan Mesir.
الله أكبر الله أكبر الله أكبر، لا إله إلا الله، الله أكبر ولله الحمد
Sumber:
http://www.ikhwanonline.com/Article.aspx?ArtID=165126&SecID=230
No comments:
Post a Comment