Oleh Muhammad Apendy Issahak
Ipoh: “Bayi itu pasti mati jika saya dan
rakan tidak menjumpainya,” kata Chong Lean Fatt, 48, yang menemui bayi baru
dilahirkan dibuang dalam keadaan bogel di tepi longkang berhampiran Jalan
Lapangan Perdana 19, Taman Lapangan Setia, di sini, pagi semalam.
Bayi perempuan cukup sifat dan masih
bertali pusat itu dicampak di kawasan sunyi berhampiran lokasi projek pembinaan
rumah kedai yang baru disiapkan.
Chong yang juga seorang kontraktor
berkata, dia bersama seorang rakan serta wakil syarikat pemaju menemui bayi
malang itu pada jam 11 pagi selepas terdengar tangisannya.
Menurutnya, dia
datang ke kawasan itu untuk memasang jeriji besi di sebuah unit kedai dan
segera memaklumkan kepada rakan.
“Saya beritahu rakan mengenai suara bayi menangis,
tapi dia kata itu mungkin bunyi anjing liar atau kucing. Saya tidak puas hati
dan memaklumkannya kepada wakil pemaju projek kedai itu yang datang untuk
memantau kerja pengubahsuaian.
Sungguh remuk hatiku membaca tajuk dan
berita yang terpapar hari ini (10/12/2013) di: http://www.hmetro.com.my/articles/Tangisanbayitepilongkang//Article?HarianMetro
Tiada bahasa untuk ku lafazkan bagi
menggambarkan isi hati yang remuk ini.
Apakah jenis makhluk yang layak
dinamakan kepada penjahat yang zalim itu? Penjahat yang telah padam dari
hatinya perasaan sebagai insan yang penyayang secara total. Bukankah bayi itu
anaknya? Darah dagingnya? Yang tercipta dan hidup di dalam tubuh badannya
selama sembilan bulan? Tidakkah terdetik rasa sayang walau sebesar kuman?
Cuba kita fikir sama-sama, kenapa
penjahat itu menjadi begitu zalim? Kenapa hatinya begitu hitam? Kasih sayang,
belas kasihan sudah terpadam dari jiwanya?
Tidak lain dan tidak bukan kerana
maksiat dan dosa yang bertimbun dan berkarat di seluruh tubuh, luar dan dalam.
Nabi s.a.w. telah mengingatkan kita tentang bahaya dosa dengan sabdanya yang
bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin itu, apabila dia melakukan satu dosa,
terjadilah satu titik hitam di hatinya. Sekiranya dia bertaubat dan
beristighfar, tangallah titik hitam itu dari hatinya. Sekiranya dia menambah
dosanya, bertambahlah titik hitam itu sehingga ia meliputi hatinya. Itulah yang
dinamakan ar-ran yang disebut di dalam Kitab Allah (surah al-Mutaffinfin:14)”
Hadis sahih riwayat al-Hakim.
Apabila hati sudah hitam dibalut dosa, maka manusia
yang berdosa itu akan terus tenggelam dan larut di dalam dosa sehingga dia
tidak rasa bersalah lagi melakukan dosa kerana dia sendiri telah menjadi
sebahagian daripada kejahatan itu
“sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia
diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli Neraka,
mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah:81)
Dan hatinya semakin keras dan bebal.
Lebih keras daripada batu.
“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras
seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang
terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang
pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya
yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali
lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah:74)
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami. Pimpinlah kami
menuju redhaMu. Tunjukkan kami jalan ke arah melaksanakan Syari’ahMu di muka
bumi ini sepenuhnya.