Monday, December 09, 2013

Tangisan bayi tepi longkang



Oleh Muhammad Apendy Issahak
Ipoh: “Bayi itu pasti mati jika saya dan rakan tidak menjumpainya,” kata Chong Lean Fatt, 48, yang menemui bayi baru dilahirkan dibuang dalam keadaan bogel di tepi longkang berhampiran Jalan Lapangan Perdana 19, Taman Lapangan Setia, di sini, pagi semalam.
Bayi perempuan cukup sifat dan masih bertali pusat itu dicampak di kawasan sunyi berhampiran lokasi projek pembinaan rumah kedai yang baru disiapkan.
Chong yang juga seorang kontraktor berkata, dia bersama seorang rakan serta wakil syarikat pemaju menemui bayi malang itu pada jam 11 pagi selepas terdengar tangisannya. 
Menurutnya, dia datang ke kawasan itu untuk memasang jeriji besi di sebuah unit kedai dan segera memaklumkan kepada rakan.

“Saya beritahu rakan mengenai suara bayi menangis, tapi dia kata itu mungkin bunyi anjing liar atau kucing. Saya tidak puas hati dan memaklumkannya kepada wakil pemaju projek kedai itu yang datang untuk memantau kerja pengubahsuaian.

Sungguh remuk hatiku membaca tajuk dan berita yang terpapar hari ini (10/12/2013) di: http://www.hmetro.com.my/articles/Tangisanbayitepilongkang//Article?HarianMetro
Tiada bahasa untuk ku lafazkan bagi menggambarkan isi hati yang remuk ini.
Apakah jenis makhluk yang layak dinamakan kepada penjahat yang zalim itu? Penjahat yang telah padam dari hatinya perasaan sebagai insan yang penyayang secara total. Bukankah bayi itu anaknya? Darah dagingnya? Yang tercipta dan hidup di dalam tubuh badannya selama sembilan bulan? Tidakkah terdetik rasa sayang walau sebesar kuman?
Cuba kita fikir sama-sama, kenapa penjahat itu menjadi begitu zalim? Kenapa hatinya begitu hitam? Kasih sayang, belas kasihan sudah terpadam dari jiwanya?
Tidak lain dan tidak bukan kerana maksiat dan dosa yang bertimbun dan berkarat di seluruh tubuh, luar dan dalam. Nabi s.a.w. telah mengingatkan kita tentang bahaya dosa dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin itu, apabila dia melakukan satu dosa, terjadilah satu titik hitam di hatinya. Sekiranya dia bertaubat dan beristighfar, tangallah titik hitam itu dari hatinya. Sekiranya dia menambah dosanya, bertambahlah titik hitam itu sehingga ia meliputi hatinya. Itulah yang dinamakan ar-ran yang disebut di dalam Kitab Allah (surah al-Mutaffinfin:14)” Hadis sahih riwayat al-Hakim.
Apabila hati sudah hitam dibalut dosa, maka manusia yang berdosa itu akan terus tenggelam dan larut di dalam dosa sehingga dia tidak rasa bersalah lagi melakukan dosa kerana dia sendiri telah menjadi sebahagian daripada kejahatan itu
“sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan dia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah:81)
Dan hatinya semakin keras dan bebal. Lebih keras daripada batu.
“Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah:74)
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami. Pimpinlah kami menuju redhaMu. Tunjukkan kami jalan ke arah melaksanakan Syari’ahMu di muka bumi ini sepenuhnya.

No comments: