Oleh : Dr Muhammad Abd Al-Rahman Al-Mursi
Ia merupakan sebuah jamaah daripada kaum
muslimin, bukan jamaah muslimin. Jamaah ini tidak memonopoli sifat Islam untuk
dirinya atau mendakwa kebenaran hanya berada di pihaknya. Ia tidak menafikan
pihak lain mempunyai sifat Islam dan memiliki kebenaran. Serta tidak menghalang
jamaah lain beramal untuk Islam.
Jamaah ini berdiri di atas kefahaman Islam
yang syamil dan beramal secara syamil dan mutakamil untuk menegakkannya.
Jamaah tidak mengambil satu mazhab fiqh
yang khusus untuknya sahaja. Sebaliknya ia menggalakkan fahaman yang sederhana
dan pertengahan serta memberi ruang kepada semua golongan.
Sesiapa yang memasuki jamaah ini dengan
kehendaknya dan berpuas hati terhadap objektif serta manhajnya, dia mestilah beriltizam
dengan kepemimpinannya, disiplinnya dan cara-cara beramal di dalamnya. Sesiapa
yang hendak berpisah dengannya, maka menjadi haknya untuk berbuat demikian. Dan
dengan keluarnya dia dari jamaah ini tidak bererti dia keluar dari Islam dan
tidak bermakna dia tidak boleh beramal untuk Islam menurut pandangannya.
Jamaah ini tidak mengasingkan diri dari
masyarakat. Is sentiasa menghulurkan tangannya untuk bekerjasama dalam
perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada Islam dan watan.
Namun ia tetap beriltizam dengan thawabit
Islam serta thawabit yang khas dengannya sebagai sebuah jamaah dan asas-asasnya
yang mesti dipelihara.
Jamaah di peringkat dakwah dan takwin akan
berhadapan dengan pelbagai jenis mehnah (ujian). Boleh jadi mehnah ini
mengambil masa yang lama. Namun ini bukanlah petunjuk bahawa jamaah telah gagal
selagi mana ia berpegang teguh dengan prinsip-prinsip perjuangannya. Ustaz Hasan
al-Hudhaibi pernah berkata: "menjadi kemestian para pendokong dakwah
adalah mati dalam mempertahankan prinsipnya."
Amal kita terfokus kepada takrif dengan
menyampaikan dakwah, takwin dengan tarbiah dan tanfiz dengan usaha yang
berterusan, selari dengan objektif yang disasarkan.
Jamaah mempunyai matlamat utama yang ke
arahnya ia bekerja. Imam al-Banna telah menggariskan peringkat-peringkatnya di
dalam risalah taklim, iaitu membina: individu mulim, rumahtangga muslim,
masyarakat muslim, kemerdekaan tanah air, mengislah kerajaan sehingga ia
menjadi Islam dengan erti kata yang sebenarnya, mengembalikan negara umat Islam
kepada tempatnya dan mengambalikan sistem khilafah, dan ustaziatul-alam serta
menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuknya.
Segala usaha yang dilakukan oleh jamaah
adalah tercetus dari keinginan untuk melaksanakan tanggungjawab yang akan
ditanya di hadapan Allah pada hari qiamat nanti, di samping menampung
kekurangan yang berlaku di dalam sejarah dan keadaan umat Islam yang lemah.
Jamaah ditubuhkan untuk menunaikan kewajipan ini, meninggikan kalimah Allah
dengan berusaha untuk memenangkan agama Allah di muka bumi dan terlaksananya
syariat Islam sepenuhnya.
Dengan itu seluruh amal kita adalah ibadah
kepada Allah. Begitu juga jamaah bukan ghayah atau wasilah. Sebaliknya jamaah
adalah kewajipan kefardhuan. Apa yang tidak sempurna wajib melainkan dengannya,
maka ia adalah wajib. Justeru, jamaah ini akan berterusan sehingga terlaksana
objektif dan misi dengan sempurna.
Jamaah tidak menjadikan pertumpahan darah
sebagai wasilahnya, ia tidak menghalalkan harta, maruah, membinasakan harta
awam dan seumpamanya. Jamaah sentiasa sabar menghadapai segala ancaman yang datang
dari segenap pihak sama ada pemerintah yang zalim atau lain-lain. Inilah jalan
yang ditempuh oleh pendokong dakwah dari kalangan salaf.