Friday, January 15, 2016

Fahami Jamaah Ikhwan Muslimin


Oleh : Dr Muhammad Abd Al-Rahman Al-Mursi

Ia merupakan sebuah jamaah daripada kaum muslimin, bukan jamaah muslimin. Jamaah ini tidak memonopoli sifat Islam untuk dirinya atau mendakwa kebenaran hanya berada di pihaknya. Ia tidak menafikan pihak lain mempunyai sifat Islam dan memiliki kebenaran. Serta tidak menghalang jamaah lain beramal untuk Islam.

Jamaah ini berdiri di atas kefahaman Islam yang syamil dan beramal secara syamil dan mutakamil untuk menegakkannya.
Jamaah tidak mengambil satu mazhab fiqh yang khusus untuknya sahaja. Sebaliknya ia menggalakkan fahaman yang sederhana dan pertengahan serta memberi ruang kepada semua golongan.

Sesiapa yang memasuki jamaah ini dengan kehendaknya dan berpuas hati terhadap objektif serta manhajnya, dia mestilah beriltizam dengan kepemimpinannya, disiplinnya dan cara-cara beramal di dalamnya. Sesiapa yang hendak berpisah dengannya, maka menjadi haknya untuk berbuat demikian. Dan dengan keluarnya dia dari jamaah ini tidak bererti dia keluar dari Islam dan tidak bermakna dia tidak boleh beramal untuk Islam menurut pandangannya.

Jamaah ini tidak mengasingkan diri dari masyarakat. Is sentiasa menghulurkan tangannya untuk bekerjasama dalam perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada Islam dan watan.
Namun ia tetap beriltizam dengan thawabit Islam serta thawabit yang khas dengannya sebagai sebuah jamaah dan asas-asasnya yang mesti dipelihara.

Jamaah di peringkat dakwah dan takwin akan berhadapan dengan pelbagai jenis mehnah (ujian). Boleh jadi mehnah ini mengambil masa yang lama. Namun ini bukanlah petunjuk bahawa jamaah telah gagal selagi mana ia berpegang teguh dengan prinsip-prinsip perjuangannya. Ustaz Hasan al-Hudhaibi pernah berkata: "menjadi kemestian para pendokong dakwah adalah mati dalam mempertahankan prinsipnya."

Amal kita terfokus kepada takrif dengan menyampaikan dakwah, takwin dengan tarbiah dan tanfiz dengan usaha yang berterusan, selari dengan objektif yang disasarkan.

Jamaah mempunyai matlamat utama yang ke arahnya ia bekerja. Imam al-Banna telah menggariskan peringkat-peringkatnya di dalam risalah taklim, iaitu membina: individu mulim, rumahtangga muslim, masyarakat muslim, kemerdekaan tanah air, mengislah kerajaan sehingga ia menjadi Islam dengan erti kata yang sebenarnya, mengembalikan negara umat Islam kepada tempatnya dan mengambalikan sistem khilafah, dan ustaziatul-alam serta menyebarkan dakwah Islam ke seluruh pelusuknya.

Segala usaha yang dilakukan oleh jamaah adalah tercetus dari keinginan untuk melaksanakan tanggungjawab yang akan ditanya di hadapan Allah pada hari qiamat nanti, di samping menampung kekurangan yang berlaku di dalam sejarah dan keadaan umat Islam yang lemah. Jamaah ditubuhkan untuk menunaikan kewajipan ini, meninggikan kalimah Allah dengan berusaha untuk memenangkan agama Allah di muka bumi dan terlaksananya syariat Islam  sepenuhnya.

Dengan itu seluruh amal kita adalah ibadah kepada Allah. Begitu juga jamaah bukan ghayah atau wasilah. Sebaliknya jamaah adalah kewajipan kefardhuan. Apa yang tidak sempurna wajib melainkan dengannya, maka ia adalah wajib. Justeru, jamaah ini akan berterusan sehingga terlaksana objektif dan misi dengan sempurna.

Jamaah tidak menjadikan pertumpahan darah sebagai wasilahnya, ia tidak menghalalkan harta, maruah, membinasakan harta awam dan seumpamanya. Jamaah sentiasa sabar menghadapai segala ancaman yang datang dari segenap pihak sama ada pemerintah yang zalim atau lain-lain. Inilah jalan yang ditempuh oleh pendokong dakwah dari kalangan salaf.


No comments: