Membaca laporan di atas pelbagai persoalan timbul
dalam benak saya.
Pertama, apa yang disifatkan sebagai fahaman wahabi.
Kalau benar ianya suatu fahaman ia tidak boleh disekat atau dicegah dengan
kuatkuasa undang-undang kerana fahaman adalah sesuatu yang berakar umbi di
dalam pemikiran seseorang berdasarkan dalil-dalil yang diyakininya. Al-Quran
menganjurkan dakwah dengan hikmah dan dialog dengan cara yang terbaik. Allah
Ta'ala berfirman maksudnya:
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan
hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan
mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya
Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya
dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat
petunjuk.” (An-Nahl:125)
Jelas di dalam ayat di atas Allah perintahkan Nabi
s.a.w. agar menyeru orang yang belum Islam dengan cara hikmah dan berbincang
atau berbahas dengan mereka dengan cara yang terbaik.
Pengajarannya, alangkan dengan non muslim kita disuruh
berbincang dan berdialog, maka apakah dengan sesama Islam yang beriman dan
berpegang dengan kitab yang sama tidak ada ruang untuk berbincang, berbahas dan
berdialog? Lojiknya mestilah ruang perbincangan lebih terbuka luas.
Kedua, Enggan berbincang merupakan ciri-ciri musyrikin
kerana mereka sebenarnya tidak ada hujjah untuk dikemukakan bagi mempertahankan
kesyirikan mereka. Lalu mereka mengambil pendekatan sekat, halang, penajara dan
yang serupa dengannya. Inilah yang disebut di dalam al-Quran sejak sekian lama.
Apakah pihak AMIN suka meniru pendekatan mereka itu?
“(Bapanya) menjawab: Patutkah engkau bencikan
tuhan-tuhanku, wahai Ibrahim? Demi sesungguhnya jika engkau tidak berhenti
daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku akan melontarmu dengan
batu dan (ingatlah lebih baik) engkau tinggalkan daku sepanjang masa.”
(Maryam:46)
“Firaun berkata: Demi sesungguhnya! Jika engkau
menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau
dari orang-orang yang dipenjarakan.” (Asy-Syu’araa’ : 29)
“Mereka (mengugut dengan) berkata: Jika engkau tidak
mahu berhenti (daripada menyiarkan agamamu itu) wahai Nuh, sudah tentu engkau
akan menjadi dari orang-orang yang direjam! (Asy-Syu’araa’ :116)
“Mereka menjawab: Sesungguhnya jika engkau tidak
berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan
diusir keluar!” (Asy-Syu’araa’ : 167)
Ayat-ayat di atas hanyalah sebahagian daripada contoh
kaum musyrikin terdahulu ketika berhadapan dengan orang yang tidak sefahaman
dengan mereka. Mereka tidak mengemukakan sebarang hujjah selain daripada ugutan
penjara, rejam, usir, buang negeri dan seumpamanya.
Ketiga, imam-imam ahli sunnah waljamaah sangat terbuka
dalam menerima perbezaan pendapat dan menolak taksub kepada sesuatu pendapat
tertentu. Sebagai contoh, Khalifah Abu Jaafar al-Mansur telah mencadangkan
kepada Imam Malik rahimahullah agar menulis sebuah buku supaya menjadi rujukan
umat Islam ketika itu. Lalu Imam Malik menulis kitab al-Muwatto’ tetapi beliau tidak
bersetuju sekiranya semua manusia dimestikan berpegang dengan apa yang
dimuatkan di dalam buku yang merupakan hasil ijtihadnya itu.
Beliau yang berijtihad sendiri dengan penuh taqwa dan
amanah itupun tidak menerima cadangan agar pendapatnya dipaksakan ke atas semua
umat Islam. Antara kata-katanya yang masyhur, “Tidak ada seorangpun daripada
makhluk Allah kecuali boleh diambil kata-katanya dan boleh ditinggalkan
melainkan Nabi s.a.w.”
Kalau mujtahid tidak memaksakan pendapatnya ke atas
orang lain, apakah muqallid (orang yang bertaqlid) patut memaksakan semua umat
mengikut pendapat yang dia taqlid? Memang tidak munasabah.
Keempat, Imam asy-Syafie yang kita mengaku sebagai
pengikut mazhabnya, menunjukkan contoh keterbukaan apabila beliau berkata:
“Pendapat aku betul, tetapi berkemungkinan salah. Dan pendapat lawanku salah,
tetapi berkemungkinan betul. Dan aku tidak pernah berbahas dengan seseorang
kecuali aku suka dan berharap kebenaran keluar daripada lidahnya.”
Sikap terbuka Imam asy-Syafie selari dengan apa yang
diajar di dalam al-Quran. Allah Ta’ala berfirman di dalam surah Saba’ maksudnya:
“Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang
musyrik itu): Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?
Terangkanlah jawabnya: Ialah Allah dan sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan),
sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik (tidak sunyi
daripada salah satu dari dua keadaan): Keadaan tetapnya di atas hidayat
petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata. (24)
(Oleh itu) katakanlah (wahai Muhammad): Kamu tidak
akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan dan kami pula tidak
akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan. (25) Katakanlah lagi:
Tuhan kita akan menghimpunkan Kita semua (pada hari kiamat), kemudian Dia akan
menyelesaikan perselisihan yang ada di antara kita dengan penyelesaian yang
benar dan Dialah jua Hakim yang seadil-adilnya, lagi Yang Maha Mengetahui
segala-galanya. (26) Katakanlah lagi: Tunjukkanlah kepadaku sifat-sifat
ketuhanan yang ada pada makhluk-makhluk yang kamu hubungkan dengan Allah
sebagai sekutu-sekutuNya. Tidak ada pada sesuatu makhluk pun sifat-sifat itu,
bahkan yang mempunyai sifat-sifat ketuhanan ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi
Maha Bijaksana.” (27)
Perhatikan dalam ayat ke 24, walaupun telah jelas
golongan musyrikin itu sesat, namun Allah tetap membuat andaian bahawa mereka
mungkin berada di atas jalan petunjuk! “… sesungguhnya (tiap-tiap satu
golongan), sama ada golongan kami ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik
(tidak sunyi daripada salah satu dari dua keadaan): Keadaan tetapnya di atas
hidayat petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan yang jelas nyata.”
Itulah Allah mengajar kita bagaimana adab serta tujuan
perbincangan dan perbahasan. Benar atau salah mesti berpaut kepada hujjah. Bukan
di awal-awal lagi telah meletakkan hukuman, telah membuat keputusan bahawa pihak
kita saja yang betul dan orang yang tidak sefahaman dengan kita selamanya
salah. Justeru, pendapatnya mesti disekat dan dibenamkan habis-habisan.