“(Ingatkanlah wahai insan yang tidak beriman) akan
masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat) dan mereka diseru supaya
sujud maka mereka tidak dapat melakukannya;
Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka
diliputi kehinaan dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru
supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat.”
(Al-Qalam: 42,43)
Zahir ayat ini menggambarkan keadaan manusia yang
ketika mereka hidup di atas muka bumi yang permai ini enggan sujud kepada Allah
padahal mereka mampu berbuat demikian. Maka pada hari akhirat kelak mereka
tidak akan dapat sujud walaupun mereka ingin melakukannya.
Iktibar buat kita yang masih dianugerahi kesihatan,
yang masih mampu membongkokkan badan untuk sujud di atas lantai dan tanah beralaskan
tikar atau sejadah, mahupun tidak beralas apa-apa.
Lihatlah kepada mereka yang telah uzur. Baik kerana
factor usia atau kerana penyakit yang menimpa. Mereka tidak mampu lagi
meletakkan dahi di bawah. Sujud hanya sekadar isyarat membongkokkan badan tanpa
mencecah sejadah. Meskipun sujud itu sah dan diterima sebagai rukhsah, ni’mat
dan kemanisan sujud pasti tidak sama.
Justeru, hargailah kesihatan anda sebelum ia ditarik
pada bila-bila masa.
Sujud dan sujudlah. Ni’matilah kemanisan sujud. Di
kala dahi mencecah tanah, hati bertaut, jiwa berpaut pada Khaliqnya yang
melihat, mendengar, menjawab, membelai dengan cinta kasih nan maha agung!
“Dan bertawakkallah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi
Maha Mengasihani,
Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan
solat),
Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang SUJUD.
Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Asy-Syu’araa’ : 217 - 220
No comments:
Post a Comment