Saturday, December 30, 2017

Macai



Baru-baru ini, saya mengikuti satu ceramah politik yang disampaikan oleh seseorang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam sebuah parti dan kerajaan. Antara kata-katanya yang diulang-ulang dengan penuh rasa bangga ialah beliau sanggup menjadi “macai” kepada pemimpin yang ada sekarang kerana ketokohan dan kehebatan pemimpin tersebut.

Saya cuba mencari apakah makna perkataan “macai”?

Penulis blog http://ipohmalay.blogspot.my/ mengatakan bahawa perkataan itu berasal daripada dua perkataan China yang digabungkan, iaitu “ma” yang bererti kuda atau singkatan daripada melayu yang disebut dalam Bahasa China malai.
Manakala “cai” bermaksud 'si kecil, si muda , atau binatang yang muda'.
Bila digabungkan “ma” dengan “cai” maka ia membawa maksud “budak yang diperkudakan”.
Kata penulis, perkataan macai  tidak wujud dalam kamus bahasa Cina di Tanah Besar China dan ia merupakan perkataan yang lahir di Tanah Melayu.

Cikgu Rozi menulis di dalam blognya http://cikgurozikasim.blogspot.my/ bahawa beliau tidak dapat menjumpai entri kata perkataan “macai” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Selain itu, beliau juga tidak menjumpai maksud perkataan “macai” dalam laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Mengikut laman web PRPM, perkataan “macai” tidak terdapat dalam pangkalan data Dewan Bahasa dan Pustaka dan belum diterima sebagai perkataan rasmi bahasa Melayu. Selain itu dalam laman web Malay Concordance Project juga tiada perkataan “macai” ditemui.

Kata beliau lagi, meskipun perkataan tersebut masih tiada di dalam entri kamus tetapi perkataan itu digunakan dengan meluas di laman-laman sosial yang berunsurkan politik. Maka sudah pastilah perkataan “macai” mempunyai maksud yang tersendiri walaupun tiada di dalam entri kamus kerana kita perlu sedar bahawa otak manusia lebih cepat daripada kamus. 
Sering kali kita mendengar bahawa perkataan “macai” itu sebenarnya didenotasikan kepada perkataan “pencacai”. Denotasi bermaksud sesuatu ungkapan atau perkataan itu dirujukkan kepada sesuatu objek, benda, orang, tempat, dan lain-lain (Norsimah Mat Awal, 2014).

Jika perkataan “macai” merujuk kepada “pencacai”, jadi kita harus lihat maksud sebenar bagi “pencacai”. Namun malangnya, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat dan laman web PRPM, perkataan “pencacai” atau “cacai” merupakan perkataan yang tidak wujud. Tetapi yang peliknya di sini bahawa Tan Sri P. Ramlee telah menggunakan perkataan “pencacai” ini di dalam filem 3 Abdul pada tahun 1964.

Maka beliau membuat kesimpulan: “berdasarkan pemerhatian penulis terhadap penggunaan perkataan “macai” ini, perkataan ini lebih merujuk kepada orang yang terlalu taksub dengan sesuatu parti politik itu. Parti politik yang dimaksudkan ini bukan sahaja parti kerajaan yang memerintah ketika ini, tetapi juga merujuk kepada parti pembangkang di Malaysia ketika ini. Hal ini disebabkan apabila kita pergi ke “page’ facebook seperti Friend’s Of Barisan Nasional, Anwar Ibrahim, dan lain-lain, penggunaan perkataan “macai” ini akan ditujukan kepada pengikut yang terlalu taksub. Mereka akan menulis perkataan seperti “macai BN”, “macai Anwar Ibrahim”.

Jelas bahawa kedua-dua maknanya “budak yang menjadi kuda tunggangan” sebagaimana pendapat penulis blog ipohmalay atau “orang yang terlalu taksub” sebagaimana pendapat Cikgu Rozi, sifat tersebut bercanggah dengan ajaran Islam.

Taksub adalah satu ciri golongan jahiliah. Slogan mereka adalah “Bantulah saudaramu dan berpihaklah kepadanya sama ada dia zalim atau dizalimi”.
Sikap sedemikian ditentang oleh Nabi s.a.w. Baginda bersabda maksudnya, “Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiah (taksub)” Riwayat Abu Daud. Status hadis ini adalah dhaif. Namun maksudnya selari dengan beberapa hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Manakala makna “budak yang menjadi kuda tunggangan” pula jelas menggambarkan sifat serta sikap yang sangat hina yang tidak layak dimiliki oleh makhluk bernama manusia yang dianugerahi akal yang sempurna. Al-Quran selalu mengingatkan kita agar tidak mengikuti sesuatu atau seseorang secara membabi buta, tanpa mengetahui hakikat sebenarnya apa yang diikuti itu sama ada betul atau salah.
Di antara ayat-ayat yang mengandungi maksud sedemikian adalah firman Allah yang mafhumnya:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?” (Al-Baqarah 2:170)


Memang kita dituntut supaya taat setia kepada pemimpin. Namun ketaatan dan kesetiaan mestilah dengan syarat pemimpin berada di landasan yang benar. Kita tidak dituntut mencapai tahap “macai” yang tahu ikut saja tanpa mengira benar atau salah.

Saturday, November 18, 2017

KITA ADA PILIHAN


“Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman yang memabukkan dan makanan serta minuman yang baik lagi enak; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.”

Renungkanlah ayat di atas! Daripada buah kurma dan anggur, manusia boleh memilih sama ada untuk menjadikannya minuman yang memabukkan atau minuman yang enak, lazat serta halal. Dan ia merupakan tanda kebesaran Allah bagi orang yang berfikir dengan menggunakan akalnya.

Di sinilah letaknya peranan akal.

Gunakan akal.

Jika memilih yang memabukkan bererti akan membawa kepada hilangnya fungsi akal.

Apabila akal tidak berfungsi, bagaimana manusia dapat membuat pilihan?

Akal dapat berfungsi jika ia dibekalkan dengan ilmu. Ilmu tentang apa yang baik dan apa yang buruk. Apa yang bermanfaat dan apa yang mudarat. Apa yang menguntungkan dan apa yang merugikan.

Jalan untuk mendapat ilmu adalah dengan membaca. Justeru ayat pertama diturunkan adalah (IQRA’) “BACALAH”!

Perhatikan firman Allah yang bermaksud seperti berikut:
Dan mereka (orang yang dicampakkan ke dalam neraka itu) berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan berfikir (dengan menggunakan akal), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka".

Renukanlah! Apa yang dikesali oleh mereka ialah mereka tidak mendengar dan tidak menggunakan akal untuk berfikir.


BERILMU, BERFIKIR, PILIH!

Wednesday, November 01, 2017

PERANAN WANITA DALAM PERUBAHAN

(Tolong sebarkan mesej ini kepada semua kaum wanita agar mereka bangkit memainkan peranan dalam membuat perubahan demi masa depan negara dan anak cucu kita semua)

Tidak dapat dinafikan bahawa wanita yang merupakan ibu dan isteri kepada lelaki memainkan peranan yang cukup besar pengaruhnya dalam merobah sesuatu fahaman, sikap serta pendirian sesuatu kaum.

Buktinya dapat kita saksi antara lainnya pada kisah Ikrimah bin Abu Jahal yang memeluk Islam atas inisiatif seorang wanita, iaitu isterinya.

Ikrimah merupakan manusia yang paling memusuhi Rasulullah s.a.w. Sikap permusuhan yang melampau itu diwarisi daripada bapanya yang merupakan Firaun umat ini, Abu Jahal. Ketika Fathu (pembukaan) Makkah, Rasulullah s.a.w. mengampunkan seluruh penduduk Mekah kecuali empat orang. Salah seorangnya adalah Ikrimah. Baginda memerintahkan empat orang ini dibunuh walaupun mereka ditemui bergantung di tabir Kaabah.

Mus’ab bin Sa’ad menceritakan daripada ayahnya bahawa Ikrimah lari dari Mekah. Sampai di pantai, dia menumpang sebuah kapal menuju ke Yaman. Namun kapal itu dipukul gelombang dan tidak dapat meneruskan pelayaran.“

Abdullah bin Zubair r.a. menceritakan kisah Ikrimah memeluk Islam:
“Ummu Hakim, isteri Ikrimah bin Abu Jahal berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya Ikrimah telah lari ke Yaman. Dia takut tuan akan membunuhnya. Maka berilah jaminan keamanan untuknya.” Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dia aman.”
Ummu Hakim lantas keluar dari Mekah untuk mencarinya ditemani oleh seorang hambanya yang berbangsa Rum. Dalam perjalanan itu hambanya cuba memperkosa Ummu Hakim. Ummu Hakim dapat mengelak sehinggalah mereka sampai ke sebuah kampung. Ummu Hakim meminta tolong dari penduduk kampung itu. Mereka menangkap dan menambatnya. Ummu Hakim meneruskan perjalanan seorang diri mencari Ikrimah. Ikrimah telah menaiki kapal untuk menuju ke Yaman.
Kelasi kapal berkata kepada Ikrimah: “Ikhlaslah!”
Ikrimah menjawab: “Apa yang engkau mahu aku katakan?”
Kelasi: “Katakanlah: la ilaha illa Allah!”
Ikrimah: “Aku tidak lari melainkan daripada perkataan itu.”
Di ketika itu, Ummu Hakim tiba di pelabuhan. Beliau memujuk dan merayu Ikrimah agar mengucapkan kata-kata itu. Beliau berkata: “Wahai sepupuku, aku datang dari seseorang yang paling kuat silatul rahimnya, paling berbakti kepada manusia dan paling baik dari kalangan semua manusia. Janganlah engkau membinasakan dirimu.”
Ikrimah datang menghampiri isterinya.
Ummu Hakim menyambung katanya: “Sesungguhnya aku telah memohon kepada Muhammad Rasulullah agar memberikan jaminan keamanan buatmu.”
Ikrimah bertanya seperti tidak percaya: “Adakah engkau telah lakukan demikian?”
Ummu Hakim menjawab: “Benar. Aku sendiri berbicara dengannya. Dan dia telah memberikan keamanan buatmu.”
Ikrimah bersetuju untuk pulang ke Mekah bersama Ummu Hakim. Ikrimah bertanya tentang hambanya yang berbangsa Rum. Ummu Hakim menceritakan apa yang berlaku. Lalu Ikrimah mendapatkan hamba itu dan membunuhnya.
Ikrimah meminta untuk menyetubuhi isterinya. Tetapi Ummu Hakim menolak. Dia berkata: “Engkau kafir, sedangkan aku seorang muslimah.”
Ikrimah berkata: “Sesungguhnya perkara yang menghalangmu dari (memenuhi kehendakku, pastinya sesuatu yang besar.”
Ummu Hakim membawa Ikrimah menemui Rasulullah s.a.w.
Manakala melihat Ikrimah, Rasulullah s.a.w. melompat ke arahnya kerana gembira dengan kehadirannya. Kemudian baginda duduk. Ikrimah berdiri di hadapan baginda. Isterinya turut berdiri dengan memakai niqab. Ikrimah berkata: “Ya Muhammad, sesungguhnya wanita ini memberitahuku bahawa engkau telah memberikan jaminan keamanan buatku.”
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Benar. Engkau aman.”
Ikrimah berkata: “Engkau menyeru kepada apa wahai Muhammad?”
Baginda menjawab: “Aku menyeru agar engkau bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku adalah utusanNya, engkau mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan.. dan … baginda menyebut beberapa perkara daripada ajaran Islam”
Mendengar penjelasan itu, Ikrimah berkata: “Demi Allah engkau tidak menyeru kecuali kepada kebenaran dan mengajak kepada perkara yang baik dan cantik. Sesungguhnya demi Allah engkau berada di kalangan kami sebelum engkau membawa seruan ini, dan engkau merupakan orang yang paling benar percakapan dan paling berbakti di kalangan kami semua. Maka aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bersaksi bahawa Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya..” Riwayat al-Waqidi dan as-Suyuti.
Ikrimah telah menebus segala kejahatan dan permusuhannya terhadap Islam dengan berjihad fi sabilillah sehingga syahid dalam peperangan Yarmuk

Ibn ‘Asakir meriwayatkan daripada ‘Amru Ibn Dinar, manakala Ikrimah datang ke Madinah, orang ramai mengerumuininya. Mereka berkata: “Ini anak Abu Jahal!” Rasulullah s.a.w. menegur mereka: “Jangan kamu sakiti orang hidup dengan mencaci orang mati.”

Itulah secebis kisah yang menunjukkan betapa besarnya peranan seorang wanita dapat menukar seorang musuh Allah sehingga menjadi seorang mujahid yang berjuang menegakkan Kalimah Allah.


Mari kita contohi Ummu Hakim.