Wednesday, October 18, 2017

Tanggungjawab Pemimpin

Perkongsian hari ini berkenaan dengan tanggungjawab seorang pemimpin

عن الحسن البصري أن عائذ بن عمرو رضي الله عنه -وكان من أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم- دخل على عبيد الله بن زياد فقال: "أي بُنَيَّ! إني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: (إِنَّ شَرَّ الرِّعَاءِ الحُطَمَةُ), فإياك أن تكون منهم، فقال له: اجلس فإنما أنت من نُخَالة أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم، فقال: وهل كانت لهم نُخَالة؟ إنما كانت النخالة بعدهم وفي غيرهم" رواه مسلم.

Daripada Hasan al-Basriy, bahawasanya ‘Aaedz bin ‘Amru r.a masuk bertemu dengan Ubaidillah bin Ziyad dan berkata: “Wahai anakku, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya sejahat-jahat pemimpin ialah al-hutomah.” Maka berwaspadalah engkau agar tidak termasuk dalam golongan itu!”
Ubaidillah berkata kepada ‘Aaedz: “Duduklah engkau! Sesungguhnya engkau hanyalah daripada hampas sahabat-sahabat Muhammad s.a.w.!”
‘Aaedz menjawab: “Adakah terdapat di kalangan mereka itu hampas? Sesungguhnya hampas hanya ada pada generasi selepas mereka dan orang lain daripada mereka.” Riwayat Muslim

Ubaidillah bin Ziyad adalah seorang gabenor pada ketika itu. Dia banyak melakukan kezaliman dan menumpahkan darah tanpa belas kasihan. ‘Aaedz datang untuk menasihatinya dengan menyampaikan apa yang pernah didengarnya sendiri daripada mulut Nabi s.a.w. tentang sifat pemimpin yang jahat yang disebut sebagai hutomah. Ia bermaksud pemimpin yang bersikap kasar dan zalim terhadap rakyatnya dan tidak ada perasaan kasihan belas terhadap mereka. Satu daripada sifat neraka adalah hutomah kerana ia melanyak dan menghancurkan penghuninya tanpa belas.

Dan kerasnya hati Ibn Ziyad tergambar pada jawapannya sehingga menyifatkan sahabat Nabi s.a.w. yang cuba menasihatinya sebagai hampas. Ulamak sepakat bahawa para sahabat semua merupakan insan terbaik yang telah dipilih oleh Allah untuk mendampingi Rasulullah s.a.w. dan berjuang bersamanya dalam menyebar dan menegakkan agama suci ini. Mereka adalah insan terpilih, bukan hampas.

Hadis ini memberikan panduan yang sangat berguna tentang kewajipan pemimpin terhadap orang yang dipimpinnya, tidak kira sama ada pemimpin di peringkat negara, daerah, organisasi, jabatan, perkumpulan sehingga kepada institusi yang paling kecil dan paling asas, pemimpin dalam sebuah rumahtannga.
Betapa kasih dan cintanya seorang pemimpin terhadap orang yang dipimpinnya digambarkan pada peribadi Rasulullah s.a.w. di dalam ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah 9:128)

Hadis ini juga menunjukkan akhlak serta sikap sahabat r.a. Mereka tidak berdiam diri melihat kezaliman pihak berkuasa. Mereka tidak teragak-agak untuk menegur tanpa memikirkan implikasinya.

Pengajaran penting:
1. Sebagai pemimpin hendaklah bertanggungjawab dan sentiasa memikirkan kebajikan orang yang dipimpin dengan penuh rasa kasih dan sayang terhadap mereka.
2. Sebagai rakyat hendaklah memainkan peranan menasihati dan melarang pemimpin dari melakukan penyelewengan dan kezliman terhadap rakyatnya.

Sunday, October 08, 2017

RENUNGAN



Allah Ta’ala berfirman maksudnya:

“Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.
(Ghaafir 40:7)
"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan pasangan hidup mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Ghaafir 40:8)
"Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)".
(Ghaafir 40:9)

Itulah di antara ayat-ayat yang paling mendamaikan hati yang walang.

Ayat yang menggambarkan keindahan dan keluasan Islam.

Hidup ini tidak terbatas di dalam ruang lingkup dunia yang sempit.

Iman kepada yang ghaib membuka ruang kehidupan yang amat luas, maha luas. Tak terjangkau oleh pancaindera mahupun minda.

Makhluk-makhluk Allah di luar sana tidak terhitung banyaknya.

Walaupun mereka tidak dilihat berada di sekeliling kita, bersama dengan kita, namun mereka sentiasa menyaksi dan mengambil peduli. Mereka sayang kepada kita. Mereka berdoa untuk kebaikan kita.

Mereka tahu betapa peritnya azab neraka, lalu mereka memohon agar kita dijauhkan darinya.

Mereka tahu indahnya syurga, lalu mereka berdoa agar kita dimasukkan ke dalamnya.

Mereka tahu betapa eratnya hubungan serta kasih sayang kita terhadap ibu bapa, pasangan dan zuriat keturunan kita, lalu mereka berdoa agar kita dihimpunkan bersama-sama di dalam syurga sebagaimana kita telah dihimpunkan di dunia sementara.

Jazakumullahu khaira wahai para malaikat yang suci.



Ya Allah, jadikanlah kami di antara mereka yang termasuk di dalam senarai orang yang didoakan oleh makhlukMu yang suci itu.