(Tolong
sebarkan mesej ini kepada semua kaum wanita agar mereka bangkit memainkan
peranan dalam membuat perubahan demi masa depan negara dan anak cucu kita
semua)
Tidak dapat
dinafikan bahawa wanita yang merupakan ibu dan isteri kepada lelaki memainkan
peranan yang cukup besar pengaruhnya dalam merobah sesuatu fahaman, sikap serta
pendirian sesuatu kaum.
Buktinya dapat
kita saksi antara lainnya pada kisah Ikrimah bin Abu Jahal yang memeluk Islam
atas inisiatif seorang wanita, iaitu isterinya.
Ikrimah merupakan
manusia yang paling memusuhi Rasulullah s.a.w. Sikap permusuhan yang melampau
itu diwarisi daripada bapanya yang merupakan Firaun umat ini, Abu Jahal. Ketika
Fathu (pembukaan) Makkah, Rasulullah s.a.w. mengampunkan seluruh penduduk Mekah
kecuali empat orang. Salah seorangnya adalah Ikrimah. Baginda memerintahkan
empat orang ini dibunuh walaupun mereka ditemui bergantung di tabir Kaabah.
Mus’ab bin
Sa’ad menceritakan daripada ayahnya bahawa Ikrimah lari dari Mekah. Sampai di
pantai, dia menumpang sebuah kapal menuju ke Yaman. Namun kapal itu dipukul gelombang
dan tidak dapat meneruskan pelayaran.“
Abdullah bin
Zubair r.a. menceritakan kisah Ikrimah memeluk Islam:
“Ummu
Hakim, isteri Ikrimah bin Abu Jahal berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya
Ikrimah telah lari ke Yaman. Dia takut tuan akan membunuhnya. Maka berilah
jaminan keamanan untuknya.” Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dia aman.”
Ummu Hakim lantas
keluar dari Mekah untuk mencarinya ditemani oleh seorang hambanya yang
berbangsa Rum. Dalam perjalanan itu hambanya cuba memperkosa Ummu Hakim. Ummu Hakim
dapat mengelak sehinggalah mereka sampai ke sebuah kampung. Ummu Hakim meminta
tolong dari penduduk kampung itu. Mereka menangkap dan menambatnya. Ummu Hakim
meneruskan perjalanan seorang diri mencari Ikrimah. Ikrimah telah menaiki kapal
untuk menuju ke Yaman.
Kelasi kapal
berkata kepada Ikrimah: “Ikhlaslah!”
Ikrimah menjawab:
“Apa yang engkau mahu aku katakan?”
Kelasi: “Katakanlah:
la ilaha illa Allah!”
Ikrimah: “Aku
tidak lari melainkan daripada perkataan itu.”
Di ketika
itu, Ummu Hakim tiba di pelabuhan. Beliau memujuk dan merayu Ikrimah agar
mengucapkan kata-kata itu. Beliau berkata: “Wahai sepupuku, aku datang dari
seseorang yang paling kuat silatul rahimnya, paling berbakti kepada manusia dan
paling baik dari kalangan semua manusia. Janganlah engkau membinasakan dirimu.”
Ikrimah datang
menghampiri isterinya.
Ummu Hakim
menyambung katanya: “Sesungguhnya aku telah memohon kepada Muhammad Rasulullah
agar memberikan jaminan keamanan buatmu.”
Ikrimah
bertanya seperti tidak percaya: “Adakah engkau telah lakukan demikian?”
Ummu Hakim
menjawab: “Benar. Aku sendiri berbicara dengannya. Dan dia telah memberikan
keamanan buatmu.”
Ikrimah bersetuju
untuk pulang ke Mekah bersama Ummu Hakim. Ikrimah bertanya tentang hambanya
yang berbangsa Rum. Ummu Hakim menceritakan apa yang berlaku. Lalu Ikrimah
mendapatkan hamba itu dan membunuhnya.
Ikrimah meminta
untuk menyetubuhi isterinya. Tetapi Ummu Hakim menolak. Dia berkata: “Engkau
kafir, sedangkan aku seorang muslimah.”
Ikrimah
berkata: “Sesungguhnya perkara yang menghalangmu dari (memenuhi kehendakku,
pastinya sesuatu yang besar.”
Ummu Hakim
membawa Ikrimah menemui Rasulullah s.a.w.
Manakala
melihat Ikrimah, Rasulullah s.a.w. melompat ke arahnya kerana gembira dengan kehadirannya.
Kemudian baginda duduk. Ikrimah berdiri di hadapan baginda. Isterinya turut
berdiri dengan memakai niqab. Ikrimah berkata: “Ya Muhammad, sesungguhnya
wanita ini memberitahuku bahawa engkau telah memberikan jaminan keamanan
buatku.”
Rasulullah
s.a.w. menjawab: “Benar. Engkau aman.”
Ikrimah berkata:
“Engkau menyeru kepada apa wahai Muhammad?”
Baginda
menjawab: “Aku menyeru agar engkau bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah
dan aku adalah utusanNya, engkau mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan..
dan … baginda menyebut beberapa perkara daripada ajaran Islam”
Mendengar
penjelasan itu, Ikrimah berkata: “Demi Allah engkau tidak menyeru kecuali
kepada kebenaran dan mengajak kepada perkara yang baik dan cantik. Sesungguhnya
demi Allah engkau berada di kalangan kami sebelum engkau membawa seruan ini,
dan engkau merupakan orang yang paling benar percakapan dan paling berbakti di
kalangan kami semua. Maka aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan
bersaksi bahawa Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya..” Riwayat al-Waqidi dan
as-Suyuti.
Ikrimah telah
menebus segala kejahatan dan permusuhannya terhadap Islam dengan berjihad fi
sabilillah sehingga syahid dalam peperangan Yarmuk
Ibn ‘Asakir
meriwayatkan daripada ‘Amru Ibn Dinar, manakala Ikrimah datang ke Madinah,
orang ramai mengerumuininya. Mereka berkata: “Ini anak Abu Jahal!” Rasulullah
s.a.w. menegur mereka: “Jangan kamu sakiti orang hidup dengan mencaci orang
mati.”
Itulah secebis
kisah yang menunjukkan betapa besarnya peranan seorang wanita dapat menukar
seorang musuh Allah sehingga menjadi seorang mujahid yang berjuang menegakkan
Kalimah Allah.
Mari kita
contohi Ummu Hakim.