Wednesday, September 25, 2019

JANJI SYAITAN


Beberapa hari lalu ada di kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w. berkata bahawa kalau iblis dan syaitan hendak tulungpun dia akan terima.

Apa maksud dan tujuan dia berkata begitu Allah jualah yang maha mengetahui.
Namun sebagai peringatan, mari kita lihat apa yang diceritakan oleh Yang Maha Benar tentang pertulungan syaitan di dalam ayat yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: "Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu". Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: "Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya".

Ayat di atas menunjukkan bahawa:

1.     Syaitan hanya memihak kepada golongan yang jahat, golongan yang menentang kebenaran, menentang Rasulullah s.a.w. dan para pejuang kebenaran. Jadi syaitan tidak akan tulung pejuang kebenaran untuk menewaskan kejahatan dan kemungkaran. Oleh itu, jika syaitan menyokong dan menawarkan pertulungannya kepada anda, berhati-hatilah dan muhasabahlah kerana dibimbangi anda tidak berada di pihak yang benar dan bukan dari golongan mereka yang berjuang untuk menegakkan kebenaran.
2.     Janji syaitan tidak boleh dipercayai. Walaupun beriya-iya berjanji akan tulung, tiba masa apabila melihat kekuatan pihak lawan mereka lari dan berlepas diri. Bukan sekadar itu, dia berbohong pula dengan berkata “sesungguhnya aku takut kepada Allah”. Satu pembohongan yang amat nyata. Kalau betul takut kepada Allah, kenapa bersekongkol dengan kaum musyrikin menentang Rasulullah?
3.     Perkataan syaitan “sesungguhnya aku takut kepada Allah” itu juga jelas menunjukkan pihak yang dia telah berjanji akan tulung itu merupakan golongan yang sesat dan jahat. Kalau puak itu benar, kenapa lari dengan alasan takut kepada Allah? Kalau puak itu pihak yang benar, tetap berdiri teguhlah bersama mereka sehingga menang!


Maka, siapakah yang lebih benar perkataannya selain Allah Yang Maha Kuasa, Maha Bijaksana?

Tuesday, September 24, 2019

PENAWAR DENGKI


 
Dengki adalah satu daripada sifat tercela. Pendengki tidak pernah berasa puas dengan apa yang ada padanya. Apabila dia melihat kelebihan yang ada pada insan lain sama ada rupa paras yang cantik jelita, kekayaan yang melimpah ruah, pangkat yang tinggi, kedudukan yang terpuji, dan lain-lain hatinya akan sakit, jiwanya tidak tenteram, perasaannya berkecamuk, dadanya sesak.

Punca utamanya adalah tidak bersyukur dan tidak redha dengan ni’mat pemberian Allah. Sesungguh Allah Maha Bijaksana dalam memberi dan membahagi-bahagikan ni’mat kepada hambaNya. Pemberian ni’mat yang tidak sama kepada setiap makhlukNya adalah untuk menunjukkan kekuasaanNya dan menguji keimanan mereka.

Nabi s.a.w. mengajar kita doa supaya kita menjadi hamba yang bersyukur dan merawat perasaan dengki terhadap orang lain. Baginda bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berkata (berdoa) pada waktu pagi:

اللهُمَّ مَا أَصْبَحَ بِي مِنْ نِعْمَةٍ أَوْ بِأَحَدٍ مِنْ خَلْقِكَ، فَمِنْكَ وَحْدَكَ لَا شَرِيكَ لَكَ، فَلَكَ الْحَمْدُ وَلَكَ الشُّكْرُ

maka sesungguhnya dia telah melaksanakan syukur pada hari tersebut.” Riwayat an-Nasaei

Maksud doa: “Ya Allah apa sahaja ni’mat yang ada padaku pagi ini atau yang ada pada seseorang dari kalangan makhlukMu, maka semuanya itu daripadaMu Yang Maha Esa semata-mata. Maka untukMu sahajalah segala pujian dan kepadaMu sahajalah segala kesyukuran.”

#ifsyaa_salam

#negara_rahmah

Saturday, September 21, 2019

SECEBIS KISAH YANG MENDEBARKAN!


Ketika Rasulullah s.a.w. berada di suatu tempat selepas peperangan Bani Mustaliq, berlaku satu bertelagahan yang sengit di antara Jahjah bin Sa’eid al-Ghifari, pekerja kepada Umar bin al-Khattab r.anhuma dari kalangan Muhajirin dengan Sinan bin Yazid dari kalangan Ansar.

Maka Sinan bertempik menyeru kaumnya:
“Wahai seluruh kaum Ansar!”
Dan Jahjah membalas dengan seruannya:
“Wahai seluruh kaum Muhajirin!”

 Ketika itu, Zaid bin Arqam serta beberapa orang dari kalangan Ansar berada di sisi Abdullah bin Ubai.
Apabila Abdullah bin Ubai mendengar jeritan itu, dia berkata:
“Sesungguhnya kita telah digulingkan di negeri kita sendiri!
Demi Allah! Perumpaan yang tepat mengenai kita dengan kaum Quraisy adalah sama seperti kata-kata: “Gemukkan anjing kamu, kelak ia memakan kamu!” (senada dengan pepatah Melayu : seperti melepaskan anjing yang tersepit)
Demi Allah! Apabila kami pulang ke Madinah, pasti orang yang mulia akan menghalau keluar darinya orang yang hina!”
(Yang dia maksudkan orang yang mulia itu ialah dirinya dan orang yang hina itu Rasulullah s.a.w.)

Kemudian dia berkata kepada kaumnya dari kalangan Ansar yang duduk di sekelilingnya:
“Inilah apa yang telah kamu lakukan. Kamu halalkan negeri kamu kepada mereka menduduki dan kamu bahagikan harta kamu dengan mereka. Namun, demi Allah sekiranya kamu dari awal tidak menerima mereka memasuki negeri kamu pasti mereka akan beralih ke negeri yang lain daripada negeri kamu!”

Kata-kata itu didengari oleh Zaid bin Arqam r.a.
Beliau terus pergi menemui Rasulullah s.a.w. yang sedang duduk di sisi Umar bin al-Khattab r.a. Zaid menceritakan apa yang berlaku. Umar r.a. terus berkata:
“Ya Rasulullah, perintahkan Ubbad bin Basyar supaya memenggal leher Abdullah!”
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Bagaimana nanti wahai Umar andainya manusia akan berbicara bahawa Muhammad telah membunuh sahabatnya? Tidak sekali-kali! Aku tidak akan bertindak demikian.
Sebaliknya, keluarkan perintah kepada angkatan tentera kita supaya berangkat sekarang juga.”

Apabila Abdullah mengetahui bahawa kata-katanya telah sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w. dia datang mengadap Nabi s.a.w. meminta maaf dan bersumpah bahawa dia tidak pernah berkata seperti apa yang dilaporkan oleh Zaid bin Arqam itu. Dan dengan sebab dia mempunyai kedudukan di kalangan kaumnya, mereka seperti mahu membelanya dengan berkata kepada Nabi s.a.w.:
“Wahai Rasulullah, mungkin orang muda ini salah tanggap dan tidak mempastikan betul-betul maksud kata-kata lelaki ini!”
Rasulullah s.a.w. tidak mengendahkan kata-kata itu. Baginda tetap dengan keputusannya untuk berangkat. Pada hal sebelum ini baginda tidak pernah memilih waktu yang sedemikian untuk berangkat memulakan perjalanan.
Usaid bin Hudhair r.a. datang menemui baginda dan berkata: “Demi Allah, anda tergesa-gesa berangkat sedangkan bukan kebiasaan anda berangkat pada waktu begini?”
Rasulullah s.a.w. menjelaskan kenapa baginda bertindak sedemikian:
“Tidakkah kamu mengetahui apa yang diucapkan oleh temanmu, Ibn Ubai? Dia mengatakan bahawa apabila tiba di Madinah nanti orang yang mulia akan mengusir keluar orang yang hina!”
Usaid menjawab:
“Ya Rarulullah, andalah orang yang mulia dan dia itulah orang yang hina!”
Kemudian Usaid menyambung:
“Ya Rasulullah, berlaku lonaklah dengannya. Demi Allah, sesungguhnya ketika Allah menghantar anda ke Madinah, kami sedang mengatur persiapan untuk memahkotakannya sebagai raja. Jadi, dia berasa tercabar dan anda telah merampas peluangnya menjadi raja!”

Rasulullah s.a.w. tetap dengan keputusannya. Baginda s.a.w. meneruskan perjalanan bersama angkatan tenteranya tanpa henti; dari siang hingga ke petang. Petang membawa ke malam. Dan malam hingga ke subuh sehingga mencecah waktu dhuha yang terik barulah baginda berhenti. Semua itu dilakukan untuk tidak memberi ruang kepada sahabat bercakap-cakap tentang apa yang berlaku. Apabila berhenti saja di tempat persinggahan, mereka langsung terlena.

(Dipetik oleh Ibn Kathir daripada riwayat Abu Ishaq).

Banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah di atas. Antaranya:

1.     Semangat perkauman dan perasaan kekitaan akan tercetus dan bangkit ketika berlaku pergaduhan walaupun pergaduhan itu pada asalnya berpunca dari sesuatu sebab yang lain.
2.     Seruan perkauman akan segera disahut oleh mereka yang berkepentingan dan yang sudah sedia mempunyai penyakit di dalam hati.

3.     Rasulullah s.a.w. sangat tegas dan pantas mencantas bibit-bibit perkauman dan tidak memberikan ruang sedikitpun untuknya merebak. Menurut riwayat al-Baihaqi, apabila Rasulullah s.a.w. mendengar seruan orang Ansar “Wahai Ansar!” dan seruan Muhajirin “Wahai Muhajirin!”, Baginda dengan tegas bersabda: “Apahal dengan seruan jahiliah ini? Tinggalkan seruan itu! Sesungguhnya ia teramat busuk!”