Sunday, March 14, 2021

SUDAHKAH ANDA BERSEDIA UNTUK MENYAMBUT RAMADHAN?

Esok 1 Syaaban. Apakah persediaan yang harus dilakukan untuk menyambut ketibaan Ramadhan?
Pertama – persediaan EMOSI.
Memupuk rasa rindu yang membuak-buak untuk menyambut kedatangan bulan yang penuh dengan kebaikan, kemuliaan, keberkatan, keampunan dan kasih sayang. Menunggu dengan penuh harap agar dapat bertemu dengannya di samping rasa bimbang akan terlepas peluang
Kedua – persediaan RUHI.
Sucikan ruh, bersihkan hati dengan mengikis sifat-sifat keji yang Allah benci. Banyakkan taubat, istighfar dan berdoa agar Allah memudahkan kita melangkah ke dalam bulan Ramadhan dengan iringan taufiq serta hidayahNya. Mudah-mudahan kita dapat menjalani ibadah dengan sebaik-baiknya selari dengan kehendak serta keredhaanNya
Ketiga – persediaan AQLI. Memperbaharui ilmu tentang hukum-hukum yang berkaitan dengan amalan dalam bulan Ramadhan, khususnya puasa, solat, tilawah, qiamul-lail dan lain-lain.
Keempat – persediaan JASADI. Amanlan-amalan yang dituntut sepanjang Ramadhan tidak dapat dilaksanakan sekiranya badan tidak sihat dan mengalami berbagai-bagai penyakit. Untuk menunaikan puasa, qiamul-lail dan sebagainya tidak cukup dengan bekalan keimanan dan keazaman yang kental semata-mata. Justeru, kesihatan mesti dijaga mulai sekarang. Jika sakit, segeralah berusaha merawat. Mengikut sunnah Nabi SAW, baginda banyak berpuasa sunat dalam bulan Syaaban. Mungkin boleh difahami baginda hendak mengajar kita berlatih untuk puasa Ramadhan.
Kelima – PARANCANGAN.
Dengan mengimani kelebihan-kelebihan yang Allah tawarkan sepanjang Ramadhan, maka buatlah perancangan supaya tidak terlepas begitu sahaja.
Di antara keberuntungan yang mesti direbut ialah:
1. TAQWA (Al-Baqarah:183). Maka fahami makna taqwa, bagaimana hendak mendapatkannya dan bagaimana hendak mengukur pencapaian kita.
2. KEAMPUNAN. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. menaiki mimbar, lalu berkata, "Aamiin, Aamiin, Aamiin!". Maka seseorang bertanya, "Ya Rasulullah, sesungguhnya anda menaiki mimbar, lalu anda berkata, "Aamiin, Aamiin, Aamiin!"? Baginda menjawab: "Sesungguhnya Jibril a.s. datang menemuiku. Dia berkata, sesiapa yang sempat memasuki Ramadhan, namun tidak diampunkan dosanya, lalu dia masuk neraka, maka Allah menjauhkan dia dariNya." Jibril menyuruhku berkata Aamiin. Maka akupun berkata, "Aamiin, Aamiin, Aamiin!" (Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 997). Oleh itu, rancanglah untuk mengisi masa dengan membanyakkan taubat dan istihgfar.
3. MENJADI AHLI AL-QURAN. Ini kerana Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran untuk membimbing kita ke jalan yang Allah redha. Maka rancanglah bagaimana mendekati Al-Quran dari segi membaca, memahami, mengamal dan menyebarkannya.
4. PERSAUDARAAN. Puasa mendidik kita agar memahami erti persaudaraan dan persamaan antara manusia seluruhnya. Justeru, usahakan untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama insan sama ada yang beriman atau belum dengan mengikis sifat takabur, mementingkan diri, tidak peduli dan sebagainya. Sebaliknya suburkan kasih sayang, empati, murah hati, tawadhu’ dan akhlak yang terpuji.

No comments: