Anatara amalan yang sangat dituntut Ketika berpuasa ialah berdoa.
Allah Ta’ala berfirman, maksudnya : “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” (Al-Baqarah 2:186)
Apabila berdoa, pastilah kita mengharapkan doa kita diperkenankan.
Justeru, terdapat beberapa perkara yang mesti dijaga Ketika berdoa:
Pertama – ikhlas. Doa adalah satu ibadah. Ibadah tidak diterima jika tidak ikhlas.
Kedua – jangan isti’jal. Isti’jal bermaksud kita mahu Allah segera menunaikan apa yang kita mohon. Kita wajib yakin bahawa Allah lebih mengetahui apa yang
terbaik
buat kita. Apa yang kita mohon, Dia tetap perkenankan, tetapi dengan cara yang terbaik
berdasarkan ilmuNya sama ada dengan memberi apa yang kita hajati, atau mengelakkan sesuatu bencana yang membahayakan kita atau menyimpannya untuk diberikan pada hari akhirat kelak. Antara tanda isti’jal dalam berdoa ialah seseorang itu berkata: “Aku telah berdoa, tetapi tidak diperkenankan doaku!”Ketiga – jangan berdoa meminta perkara dosa atau memutuskan salatul Rahim. Contohnya berdoa supaya Allah mudahkan urusannya mendapat sesuatu projek dengan cara merasuah atau seumpamanya.
Keempat – berdoa dengan hati yang hadir, khusyuk, merendah diri, penuh mengharap kepada Yang Maha Kuasa. Bukan dalam keadaan hati yang leka dan lalai. Hanya mulut sahaja berkumat kamit, tangan menadah dengan lemah dan tidak bermaya.
Kelima – bertaqwa kepada Allah dengan melakukan apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang. Sebahagian salaf pernah berkata: “Jangan kamu sebut lambatnya doamu diperkenan, pada hal kamu telah menutup jalannya dengan maksiat!”
Keenam – ketahuilah bahawa halangan terbesar daripada doa diperkenankan ialah makan daripada sumber yang haram, iaitu pendapatan yang diperolehi dengan cara yang tidak halal seperti mencuri, rasuah, menipu dan sebagainya.
Semoga Allah sentiasa mudahkan kita untuk berdoa dan memperkenankan doa yang baik buat kita.
No comments:
Post a Comment