“Leha, hari ni aku nak share satu hadis.”
“Bagus tu. Hadis apa yang kau nak share, Kiah?” sahut Leha dengan wajah yang ceria menanti perkongsian hadis daripada jirannya.
“Setiap muslim yang ditimpa musibah, walaupun tercucuk sebatang duri, Allah hapuskan dosa daripadanya.” Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Aisyah radhiallahu’anha.”
Leha mendengar dengan tekun maksud hadis yang disampaikan oleh Kiah.
“Best kan hadis ni?” soal Kiah apabila melihat Leha tidak memberikan apa-apa komen terhadap hadis yang dia sampaikan.
“Sabda Nabi, mestilah best. Tapi, kenapa tiba-tiba kau teringat nak baca hadis tu depan aku? Bukankah kita sama-sama belajar dalam usrah beberapa minggu yang lepas?” soal Leha pula.
“Sebab aku teringat PM cirit birit.” Jelas Kiah. Leha melopongkan mulutnya mendengar jawapan yang tidak diduga.
“Berdasarkan hadis ni, dengan musibah cirit birit tu, Allah akan hapuskan dosanya lah. Betul tak?”
Leha tidak segera menjawab. Dia memandang Kiah dengan senyuman penuh makna.
“Harap-harapnya begitulah. Tapi kita kena tahu, yang Allah hapuskan adalah dosa kita terhadap Dia. Dosa terhadap manusia tidak terhapus begitu saja. Perlu minta maaf, minta halal dengan orang yang kita sakiti atau zalimi.” Syarah Leha Panjang lebar.
“Betul juga cakap kau, Leha…” Kiah seperti baru terperasan poin yang disebut oleh Leha.
Kedua mereka diam seketika…
“Kita ni bukan nak menghukum. Tapi prinsip Islam tu jelas. khianat dan mungkir janji itu dilarang. Allah tidak suka kepada mereka yang khianat.”
“Ya, Leha. Aku terbayang para pengundi yang telah memenangkannya dalam PRU14 dahulu. Dia bertanding atas tiket PH dengan janji untuk membuat perubahan, menukar kerajaan kleptokrat kepada kerajaan yang lebih beramanah, telus, bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa. Kemudian tak sampai dua tahun, dia tinggalkan PH dan bentuk kerajaan bersama gerombolan yang tewas dalam PRU. Dia tak terfikir ke betapa keciwanya para pengundi yang telah memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya? Dan sekarang ni pula ramai rakyat yang terkesan akibat ketidak cekapannya mengurus pendamik…” Kiah meluahkan isi hatinya.
Leha setia menadah telinga.
“Rakyat bukan sahaja hilang harta, hilang kerja. Tapi hilang nyawa, hilang keluarga tempat bergantung… Allahu Akbar. Dia tak rasa apa-apa ke?” ngomel Kiah.
Leha kelu dan terkedu. Apa yang Kiah luahkan, itulah juga yang terbuku dalam hatinya. Tidak mungkin seorang manusia yang berfikiran waras tidak tahu hukum mengkhianati persepakatan dan memungkiri perjanjian. Bagaimana mungkin seorang yang mengaku beriman kepada hari kebangkitan sanggup membohongi ribuan manusia yang telah memberikan sepenuh kepecayaan kepadanya untuk melakukan perubahan dan pembaikan?
“Apa patut kita buat supaya dia sedar?”
Leha menarik nafas panjang.
“Kita ni siapa, Kiah? Siapalah yang akan dengar suara kita yang sekadar membebel di tepi pagar rumah saja?”
“Habis tu? Tak kan kita tak boleh buat apa-apa?” sahut Kiah dengan nada keciwa.
“Kau tahu tak, di bawah dia ada satu kementerian yang dinamakan kementerian agama? Ada Menteri dan Timbalan Menteri. Ada institusi-institusi agama lagi. Bagi aku, merekalah yang mesti memainkan peranan membetulkan kesilapan PM…”
“Tapi orang-orang tu PM yang lantik. Tak kan mereka akan menegur PM pula? Apalah kau ni, Leha?” Kiah membantah pandangan Leha.
Leha tertawa kecil, disambut oleh Kiah pula.
Persidangan di tepi pagar berakhir tanpa menemui jalan keluar.
Akhbar-akhbar melaporkan mangsa covid masih meningkat. Angka kematian tidak menyusut. Bertambah ramai kanak-kanak menjadi yatim dan wanita-wanita menjadi balu…