Thursday, July 22, 2021

Hajar mengajar aku…

Hajar mengajar aku…

Bahawa sesungguhnya aku mampu tidur di atas padang pasir yang sunyi sepi, jauh daripada ahli keluarga dan orang-orang yang disayangi selagi aku yakin dengan sepenuh hati “Allah sekali-kali tidak akan mengabaikanku”

Hajar mengajar aku…

Bahawa sesungguhnya jalan menuju Allah kadang-kadang berlawanan dengan nafsu. 

Dia bukanlah seorang isteri yang tidak memerlukan suami dan rumah tempat berlindung. Ibrahim bukanlah seorang manusia yang tidak punya sifat kebapaan, atau tidak punya kasih cinta terhadap isteri. 

Tetapi mereka semua mengetahui dengan yakin bahawa syurga itu dilingkungi dengan perkara yang sukar dan tidak menyenangkan hawa nafsu.

Hajar mengajar aku…

Bahawa sesungguhnya kata-kata yang paling indah, paling afdhal untuk diungkapkan bila ditanya, kenapa kamu lakukan ini? Jawapanku yang paling indah dan paling afdhal adalah: “kerana Allah perintahkan aku berbuat begini!”

Hajar mengajar aku…

Bahawa sesunggunya Allah mahu kamu berusaha!

Allah hendak melihat hatimu!

Maka apakah yang Hajar lakukan supaya Allah membuka jalan keluar untuknya?

Apakah yang dilakukan oleh Nabi Ayyub AS untuk mendapatkan penawar sakitnya? 

Allah perintahkan kepadanya: "Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu "

Allah yang telah membuka jalan keluar kepada orang lain, Dialah yang akan membuka jalan keluar untukmu.

Hajar mengajar aku…

Bahawa sesungguhnya kadang-kadang engkau berusaha di suatu tempat, tetapi penyelesaian berlaku di tempat lain.

Hajar berlari-lari di antara Safa dan Marwah, tetapi air terpancur keluar di bawah tapak kaki Ismail.

Justeru, berusahalah dengan kudrat yang kamu miliki, Allah akan berikan kepadamu apa yang kamu tidak miliki.

Hajar mengajar aku…

Bahawa sesungguhnya jalan keluar tidak semestinya terbentang ketika kamu sedang bermandi peluh berlari-lari.

Bilakah jalan keluar terbentang untuk Hajar?

Selepas beliau berhenti berlari di antara Safa dan Marwah! 

Hajar mengajar aku…

Ulang dan ulang

Sesungguhnya berlari di antara Safa dan Marwah mengajar kita pentingnya ulangan

Maka aku terus mengetuk pintuMu, berulang dan berulang

Hajar mengajar aku…

Berlari-lari anak…

Aku akan terus berlari meninggalkan hasutan nafsu sedaya upayaku

Aku akan terus berlari mengejar amalan-amalan yang diperintahkan sedaya mampuku

Hajar mengajar aku…

Bahawa sesungguhnya aku tidak mungkin memandang remeh kepada Hajar hanya kerana dia seorang perempuan

Hajar adalah orang pertama yang sa’ei. 

Maka setiap orang yang melakukan sa’ei di antara Safa dan Marwah adalah mengikut jejak Hajar.

Sesungguhnya Hajar benar-benar mengajarku bahawa sesiapa yang jujur dan berlaku benar dengan Allah, Allah akan abadikan namanya dalam ingatan dan sebutan sepanjang zaman.


Diterjemah daripada teks asal dalam Bahasa Arab.

Penulis tidak diketahui

Hari Tasyriq yang ke 2 1442H


No comments: