Saturday, August 14, 2021

DOA NABI MUSA ALAIHIS-SALAM

وَقَالَ مُوسَىٰ إِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي وَرَبِّكُـمْ مِّن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ لاَّ يُؤْمِنُ بِيَوْمِ ٱلْحِسَابِ

“Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: "Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu - dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!" (Ghaafir 40:27)


Dalam ayat di atas Allah menerangkan doa Nabi Musa AS.

Semua maklum, siapakah yang dimaksudkan dalam doa tersebut. Siapakah orang yang baginda sebut sebagai “orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!". 

Kenapakah Nabi Musa tidak menyebut nama orang tesebut?

Kerana yang sebenarnya membahayakan bukan orang tertentu atau pemilik nama tertentu.

Yang membahayakan dan yang wajib dijauhi adalah keburukan yang ada pada seseorang itu, tidak kira apakah nama atau gelaran yang dibawanya.

Keburukan yang mesti dijauh ialah sifat sombong (mutakabbir), iaitu orang yang rasa dirinya hebat, pandai dan bijak. Orang yang memiliki sifat ini memandang orang lain lebih rendah daripada dirinya. Lantaran itu, sangat sukar untuknya menerima pandangan, cadangan, saranan daripada orang lain. Dia sentiasa beranggapan hanya pendapat dia sahaja yang betul. Dia sahaja yang alim dan bijak. 

Lihatlah apa yang Firaun kata tentang dirinya yang menunjukkan kesombongannya:

“Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar". (Ghaafir 40:29) 


Sifat kedua ialah “tidak beriman kepada hari hitngan amal”.

Apabila seseorang tidak beriman atau beriman tetapi lupa kepada hari hitungan amal di akhirat kelak, dia tidak akan teragak-agak melakukan apa saja yang dikehendaki oleh hawa nafsunya. Dia tidak takut kepada dosa dan tidak mengharapkan pahala. Yang diharapkannya tidak lebih daripada keuntungan, kemegahan, kejayaan di dunia semata-mata menurut perhitungan nafsu dan kaca matanya yang sempit dan terbatas. 

Dia tidak teragak-agak untuk merasuah, mungkir janji, menipu, berbohong, berpura-pura baik dan sebagainya. Yang penting hajatnya tercapai, keinganan nafsunya terlaksana.


Sama-sama kita amalkan do aini, semoga Allah pelihara kita daripada dihinggapi sifat-sifat tersebut dan jauhkan kita dari diperintah oleh mereka yang memiliki sifat tersebut.


Aamiiin 


Monday, August 09, 2021

IBRAH DARIPADA HIJRAH

Sesungguhnya peristiwa hijrah telah meninggalkan kesan yang sangat besar dalam sejarah umat Islam khususnya dan sejarah manusia umumnya.

Kalau hendak diambil pengajaran daripada peristiwa bersejarah itu, pastilah tidak terhitung banyaknya. Kita petik sebahagian kecil daripadanya:

1. PENGORBANAN

Betapa besar pengorbanan Nabi SAW serta para sahabat radhiallahu’anhum yang terpaksa meninggalkan kampung halaman, tanah tumpah darah, tempat membesar, bermain, berkeluarga yang tentunya telah mengukir pelbagai kenangan indah, suka dan duka. Rasulullah SAW sendiri mengungkapkan kata-kata yang menggambarkan betapa pilu dan sayu hatinya meninggalkan tanah air tercinta, “Demi Allah, sesungguhnya engkau adalah sebaik-baik bumi Allah, dan engkau adalah bumi Allah yang paling aku cintai. Kalaulah tidak kerana kaumku menghalauku, aku tidak akan keluar darimu.” HR al-Tirmizi.

2. KECEKALAN

Nabi SAW telah berdakwah di Mekah beberapa tahun lamanya. Yang menyahut dakwahnya hanya sedikit sahaja. Mereka yang beriman ditindas dan disiksa dengan berbagai-bagai cara. Semua itu tidak pernah mematahkan semangat baginda. 

Baginda cuba mencari ruang dan peluang untuk mengembangkan dakwahnya. Baginda pernah ke Taif dengan berjalan kaki untuk menyampaikan seruan Allah. Namun, mereka bukan sahaja menolak dakwah baginda, sebaliknya mereka melayan baginda dengan seburuk-buruk layanan. Dihalau dan dipaling dengan batu sehingga menyebabkan kaki baginda yang mulia berdarah. 

Baginda bertemu dengan ketua-ketua qabilah di musim haji dan berkata kepada mereka: “Siapakah di antara kalian yang boleh membawa aku bertemu dengan kaumnya (untuk menyampaikan dakwah)? Sesungguhnya Quraisy telah menghalang aku dari menyampaikan kalam Tuhanku.” HR Ibn Majah

Tawaran baginda ditolak oleh 15 qabilah sehingga akhirnya Allah membuka hati kaum ansar. Maka, hijrah baginda ke Madinah bukan kerana keciwa dan putus asa, sebaliknya tidak ada tujuan lain kecuali untuk meneruskan dakwah dengan lebih rancak dalam suasana yang lebih selamat, bebas dan terbuka.

3. PERSAHABATAN YANG BAIK

Kesetiaan yang ditunjukkan oleh Abu Bakar RA sekeluarga amat terserlah dalam peristiwa hijrah yang penuh sejarah. Manakala Nabi SAW memberitahunya: “Aku diperlihatkan negeri hijrahku tempat yang banyak kurma yang dikelilingi dua bukit yang besar,” Abu Bakar terus membuat persiapan untuk berhijrah. Nabi SAW berkata kepadanya, 

“Tunggu dulu. Aku berharap akan diberi izin kepadaku untuk berangkat.”

Maka Abu Bakar RA menanti dengan harapan akan menemani Rasulullah SAW. 

Beliau menunggu selama empat bulan mempersiapkan dua kenderaan yang dimilikinya.

Apabila Rasulullah SAW memberitahu bahawa baginda telah mendapat keizinan untuk berhijrah, Abu Bakar RA seperti tidak percaya bahawa beliau mendapat penghormatan menemani baginda sehingga beliau menangis kerana terlalu gembira. Aisyah RA berkata, “Demi Allah, aku tidak pernah tahu sebelum ini ada orang menangis kerana gembira sehinggalah aku melihat ayahku, Abu Bakar menangis pada hari itu.” HR Bukhari.


Ketika dalam perjalanan, Abu Bakar RA akan berjalan di hadapan untuk mempastikan tidak ada sesuatu yang membahayakan baginda SAW. Apabila sampai di pintu gua, beliau berkata kepada Nabi SAW, “Tunggu sebentar wahai Rasulullah. Biarkan aku membersihkannya untukmu!” HR Hakim.


4. PERANCANGAN YANG RAPI

Hijrah mengajar kita bagaimana membuat perancangan yang rapi dan tersusun serta pembahagian tugas dengan teliti.

Pertama: memilih kawan yang tepat sebelum memulakan perjalanan

Kedua: menyediakan keperluan-keperluan seperti kenderaan yang bersesuaian dan sebagainya.

Ketiga: Aisyah dan Asmaa’ RA memainkan peranan menyediakan bekalan makanan. Ini menunjukkan wanita juga tidak diabaikan dalam pembahagian tugasan yang bersesuaian dengan kepakaran mereka.

Keempat: Abdullah bin Abu Bakar RA yang masih muda remaja juga tidak ketinggalan. Beliau menemani Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA di gua waktu malam dan pulang ke Makah sebelum subuh selama tiga malam. Beliau mendapatkan maklumat dengan terperinci apa yang dirancang dan diperkatakan oleh kaum Quraisy dan menyampaikan segala yang didengarnya kepada Rasulullah SAW.

Kelima: ‘Aamir bin Fuhairah, seorang pengembala datang membawa kambing-kambing ke gua untuk memadamkan tapak kaki manusia sambil memberi susu kepada Nabi SAW dan Abu Bakar RA.

Keenam: mengupah penunjuk jalan yang pakar dan boleh dipercayai, Abdullah bin Uraiqit seorang musyrik. Ini memberi isyarat yang jelas bahawa Nabi SAW sangat mementingkan  ilmu dan kepakaran dalam sesuatu tugas yang diamanahkan. Tidak semestinya mukmin boleh memikul semua tugasan dan tidak semua orang bukan Islam tidak boleh dipercayai.


5. MAKNA HIJRAH YANG MENYELURUH

Hijrah bukan sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Hijrah merangkumi perpindahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lain seperti mengubah sikap, meninggalkan akhlak yang buruk dan sebagainya. Allah Ta’ala berfirman maksudnya: 

“Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau hijrah (tinggalkan).” (Al-Muddaththir 74:5) 

Dalam sepotong hadis, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Muslim itu ialah orang yang menjaga lidahnya dan tangannya daripada menyakiti muslim lain. Dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa yang Allah larang.” HR Bukhari dan Muslim.

Termasuk juga hijrah meniggalkan golongan yang derhaka dan tegar dalam kemaksiatan. Allah berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu (hijrah) dari mereka dengan cara yang baik.” (Al-Muzzammil 73:10)

Dan yang paling penting adalah membawa hati berpindah kepada Allah dengan mengikhlaskan niat dalam semua amalan, pakataan, perbuatan dan perlakuan hanya semata-mata kerana Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang berhijarah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diraihnya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang dia hijrah kerananya.” HR Bukhari dan Muslim.


SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH

1 MUHARRAM 1443 / 10 OGOS 2021


Thursday, August 05, 2021

SEMBANG CIK KIAH

“Leha, ada berita sensasi lah!” Ujar Kiah dengan gaya orang nak membawang

“Berita apa pulak, Kiah?” Sahut Leha acuh tak acuh seolah-olah boleh membaca apa yang hendak diberitakan oleh jirannya itu.

“Ada perlantikan baru, penasihat khas PM bertaraf Menteri!” Kiah menjawab. Dia mencemikkan bibir menggambarkan perasaan tidak puas hati dengan perlantikan itu.

“Hemm… itulah kreativiti dan inovasi PM  yang disayangi dan disanjungi ramai ni…” sahut Leha dengan nada mengeluh.

“Apa kau cakap? Inovasi?” tingkah Kiah. Bola matanya bulat menikam wajah Leha.

“Ye lah, buat perkara yang orang lain tak buat sebelumnya. Ada Menteri kanan, duta khas bertaraf Menteri, satu kementerian dipecah kepada dua atau tiga, setiap kementerian ada satu Menteri dengan satu atau dua timbalan. Dan terkini penasihat khas bertaraf menteri pula” bebel Leha

“Bukankah itu membazirkan duit rakyat namanya? Berapa banyak duit rakyat digunakan untuk bayar gaji dan elaun semua tu?” soal Kiah seperti tidak bersetuju dengan kata-kata Leha.

“Dia buat semua tu untuk memartabatkan Melayu, kan? Dia nak bagi peluang kepada seramai mungkin orang Melayu mendapat jawatanlah. Jawatan-jawatan itu bukankah diberikan kepada orang Melayu? Tak apalah!”  sambung Leha dengan nada sinis.

“Adakah cara itu selari dengan ajaran Islam?” soal Kiah lagi

“Kau ni macam tak tahu pulak! Dalam kabinet dia kan ramai ulamak dan ustaz ustazah. Tentu mereka dah beri pandangan dan dalil-dalilnya. Kau jangan nak persoalkan pulak. Nanti kau dilabel anti Melayu dan musuh Islam!” kata-kata Leha membuatkan mulut Kiah terlopng.

“Kes covid semakin mencanak ni, bukankah keutamaannya menambah alat-alat kelengkapan di hospital serta petugas-petugas bagi menangani pesakit yang semakin bertambah?” Kiah masih belum boleh menerima kewajaran menambah bilangan Menteri dalam situasi yang amat genting seperti sekarang.

“Kau pun tahu kan? Covid ni bukan melanda negara kita saja, Kiah. Seluruh dunia terkena. Tak boleh salahkan kerajaan kalau ia semakin merebak. Malah kalau makin ramai mati pun tak ada masalah, Menteri kata tanah kubur masih banyak dan mencukupi untuk menampung kematian yang ramai” ujar Leha

“Kau ni betul ke sokong semua yang kerajaan tebuk atap buat, Leha?” Kiah mula berasa cuak dengan jawapan-jawapan Leha kali ini

“Bila pula aku kata sokong?” soal Leha balik.

“Cara kau jawab tu macam mempertahankan mereka?” 

“Aku nak bagi tau kau, itulah hujah dan alasan mereka. Demi kepentingan Melayu, buatlah apapun, tak mengapa asalkan jangan terlepas kepada kafir harbi!”

“Ya, aku pun teringat kata-kata seorang pemimpin tu: sejahat-jahat orang Islam, bila taubat masuk syurga juga. Tapi sebaik-baik orang kafir, akan kekal dalam neraka! Jadi, macam-macam mana pun kita mesti sokong orang Islam!” Kiah kembali bersemangat mengemukakan pandangan setelah mengetahui sebenarnya Leha tidak menukar pendiriannya. Kemudian dia menyambung,

“Apa komen kau tentang kenyataan seperti itu, Leha?”

“Memang betul jika mati dalam dalam kekafiran akan kekal dalam neraka. Tetapi kita tahu ke siapa yang akan mati dalam kekafiran? Nabi SAW pernah bersabda maksudnya: “Seseorang itu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga satu hasta saja. Namun dengan takdir Allah dia menukar arah, dia beramal dengan amalan ahli neraka lalu dia masuk neraka, na’uzubillah”

“Na’uzubillah” sahut Kiah dan menyambung, “dan seseorang itu pula beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dia dengan neraka hanya satu hasta. Dengan takdir Allah, di akhir usianya dia beramal dengan amalan ahli syurga lalu dia masuk syurga, in syaa Allah.”

“Sebab itu bila kita tengok orang tu kafir kita tidak boleh kata dia pasti masuk neraka. Mana kita tahu, berkat doa dan usaha kita menyampaikan Islam dengan cara yang baik dia menerima Islam dan menjadi muslim yang lebih baik daripada kita?”

“Jadi, apa yang kita boleh buat sekarang, Leha?” suara Kiah mengendur

“Entah lah, Leha. Aku pun tak tahu. Yang penting kita jangan putus asa, teruskan usaha dan berdoa…. In syaa Allah kebenaran pasti terselah akhirnya…”

“Cantik …” sahut Kiah bersemangat seraya mengisyaratkan tanda bagus dengan kedua belah jari tangannya. Pada riak wajahnya tergambar sejuta harapan terlaksananya kemenangan yang dijanjikan…


Tuesday, August 03, 2021

ALLAH SEBAIK-BAIK PENOLONG


Terjumpa sepotong hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah akan menolong agama ini dengan lelaki yang fajir!” Muttafaq alaih.

Fajir bermaksud jahat. Ia merangkumi orang kafir dan fasiq.


Sesungguhnya agama ini milik Allah.

Allah yang berkuasa menentukan kemenangan dan kejayaan agamaNya.

Sebagai hamba, kita hanya berusaha untuk menegakkan agama dan mendaulatkannya. Mungkin usaha kita menjadi sebab kemenangan dengan izinNya. 

Atau mungkin usaha orang lain. Dan orang lain itu mungkin terdiri daripada golongan yang kita anggap jahat, fasiq, munafiq, kafir dan sebagainya. 

Namun siapa tahu, merekalah yang menjadi sebab agama ini menang dengan kehendak Allah dan izinNya?


Justeru, jangan sekali-kali kita mendabik dada bahawa kitalah orang yang terbaik, yang layak mengangkat agama ini ke persada kemenangan yang diimpikan. 

Ikhlaskan niat dan berusahalah sehabis daya. 

Serahkan natijahnya kepada Allah semata-mata. 

Jangan perkecilkan pihak lain. Jangan perkecilkan usaha yang dilakukan oleh orang lain meskipun pada mata kita orang itu jahat, kafir atau fasiq.


4OGOS2021