Saturday, August 14, 2021

DOA NABI MUSA ALAIHIS-SALAM

وَقَالَ مُوسَىٰ إِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي وَرَبِّكُـمْ مِّن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ لاَّ يُؤْمِنُ بِيَوْمِ ٱلْحِسَابِ

“Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: "Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu - dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!" (Ghaafir 40:27)


Dalam ayat di atas Allah menerangkan doa Nabi Musa AS.

Semua maklum, siapakah yang dimaksudkan dalam doa tersebut. Siapakah orang yang baginda sebut sebagai “orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!". 

Kenapakah Nabi Musa tidak menyebut nama orang tesebut?

Kerana yang sebenarnya membahayakan bukan orang tertentu atau pemilik nama tertentu.

Yang membahayakan dan yang wajib dijauhi adalah keburukan yang ada pada seseorang itu, tidak kira apakah nama atau gelaran yang dibawanya.

Keburukan yang mesti dijauh ialah sifat sombong (mutakabbir), iaitu orang yang rasa dirinya hebat, pandai dan bijak. Orang yang memiliki sifat ini memandang orang lain lebih rendah daripada dirinya. Lantaran itu, sangat sukar untuknya menerima pandangan, cadangan, saranan daripada orang lain. Dia sentiasa beranggapan hanya pendapat dia sahaja yang betul. Dia sahaja yang alim dan bijak. 

Lihatlah apa yang Firaun kata tentang dirinya yang menunjukkan kesombongannya:

“Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar". (Ghaafir 40:29) 


Sifat kedua ialah “tidak beriman kepada hari hitngan amal”.

Apabila seseorang tidak beriman atau beriman tetapi lupa kepada hari hitungan amal di akhirat kelak, dia tidak akan teragak-agak melakukan apa saja yang dikehendaki oleh hawa nafsunya. Dia tidak takut kepada dosa dan tidak mengharapkan pahala. Yang diharapkannya tidak lebih daripada keuntungan, kemegahan, kejayaan di dunia semata-mata menurut perhitungan nafsu dan kaca matanya yang sempit dan terbatas. 

Dia tidak teragak-agak untuk merasuah, mungkir janji, menipu, berbohong, berpura-pura baik dan sebagainya. Yang penting hajatnya tercapai, keinganan nafsunya terlaksana.


Sama-sama kita amalkan do aini, semoga Allah pelihara kita daripada dihinggapi sifat-sifat tersebut dan jauhkan kita dari diperintah oleh mereka yang memiliki sifat tersebut.


Aamiiin 


No comments: