Friday, October 15, 2021

Nabi Musa 'alliais-salam dan Bapa Mentua (Oktober 2017)

Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): "Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku In sya Allah, dari orang-orang yang baik".
(Al-Qasas 28:27)
Musa menjawab: "Perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama); yang mana sahaja dari dua tempoh itu yang aku tunaikan, maka janganlah hendaknya aku disalahkan. Dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa yang kita katakan itu".
(Al-Qasas 28:28)
Menurut ar-Razi, meskipun ramai yang percaya bahawa bapa kepada kedua-dua gadis yang diceritakan di dalam ayat itu adalah Nabi Syu’aib ‘alaihissalam, namun tidak terdapat bukti di dalam al-Quran yang menunjukkannya. Ibn Abbas r.a. berkata, ayah kedua-dua gadis itu bernama Birun. Beliau adalah anak saudara kepada Nabi Syu’aib. Hasan pula berkata, beliau adalah seorang lelaki muslim yang menganut agama yang dibawa oleh Nabi Syu’aib.
Namun kata ar-Razi, kalau dikatakan beliau adalah Nabi Syu’aib tidak merosakkan agama dan tidak menyalahinya.
Siapapun ayah mentua Nabi Musa yang disebut di dalam ayat tersebut, terdapat banyak pengajaran penting yang dapat kita kutip daripada kisahnya.
Pertama: kesediaan seorang ayah menawarkan puterinya berkahwin dengan seorang pemuda yang baru dikenalinya. Seorang pemuda yang lari sehelai sepinggang kerana diburu oleh pemerintah yang zalim atas kesalahan membunuh yang dilakukannya secara tidak sengaja. Ini mengajar kita, khususnya yang bakal menjadi mentua, jangan terlalu cerewet dalam memilih menantu. Bukan harta, pangkat, kedudukan yang jadi keutamaan. Sebaliknya ciri yang perlu diperhatikan adalah sifat quwwah dan amanah. Sifat quwwah bukan hanya merujuk kepada kekuatan fizikal semata-mata, tetapi merujuk kepada keupayaan memikul tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga. Ini bertepatan dengan saranan Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Apabila seseorang yang kamu redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia!” (Maksud hadis riwayat at-Tirmizi)
Kedua: kata-katanya, “engkau akan dapati aku In sya Allah, dari kalangan orang-orang yang baik". Ini menunjukkan seorang bakal mentua sepatutnya menunjukkan sikap mesra kepada bakal menantu. Bapa mentua sebagai orang yang lebih dewasa mesti menunjukkan contoh yang baik. At-Tobari mentafsirkan orang yang baik yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah baik dari segi cara pergaulan dan benar dalam berpegang kepada janji.
Ketiga: menyandarkan segala sesuatu hanya kepada Allah, termasuk dalam urusan hubungan antara menantu dengan mentua. Ini difahami daripada kata-kata si ayah “engkau akan dapati aku In sya Allah...”. beliau tidak mendabik dada mengaku dan memuji dirinya sebagai orang yang baik, atau hanya dia saja yang baik. Sebaliknya beliau berkata, aku in syaa Allah, dari kalangan orang yang baik. Jelas menampakkan sifat tawaduk dan merendah diri walaupun di hadapan seorang insan yang lebih muda daripadanya. Begitulah juga halnya dengan Nabi Musa a.s. Apabila beliau menerima tawaran bakal mentuanya itu beliau berkata: “Dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa yang kita katakan itu". Jadi, meletakkan Allah sebagai pengawas dalam hubungan antara diri kita dengan insan lain pastinya akan terelak dari permaslahan-permasalahan yang sulit dan sukar diatasi.
(sebahagian daripada kata pengantar untuk buku Pak Utih Ahmad Shafiai Uda Jaafar yang bakal terbit tak lama lagi in syaa Allah)

Sunday, October 10, 2021

KELEBIHAN MESYUARAT

Allah SWT berfirman maksudnya:

“… dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu…” (A-li'Imraan 3:159) 

Ayat ini diturunkan ketika umat Islam mengalami kekalahan dalam peperangan Uhud.

Allah SWT memerintahkan Nabi utusanNya supaya bermesyuarat dengan para pengikutnya. Ahli Usul Fiqah merumuskan bahawa perintah bermakna wajib. 

Kenapakah Allah perintahkan RasulNya SAW supaya bermesyuarat?

Ar-Razi menjelaskan persoalan ini dengan panjang lebar. Beliau menulis: 

“Dengan mesyuarat dapat diketahui kebaikan sesuatu perkara serta keburukannya. Tujuan Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah SAW supaya bermesyuarat dapat dijelaskan daripada beberapa sudut:

1. Mesyuaratnya Rasulullah SAW dengan sahabat RA secara tidak langsung baginda mengangkat darjat dan meninggikan kedudukan mereka. Ini menambahkan kecintaan mereka terhadap baginda dan membuatkan mereka lebih ikhlas dalam mentaati baginda. Sekiranya baginda tidak bermesyuarat dengan mereka, itu merupakan satu penghinaan kepada mereka yang mungkin menjadi punca lahirnya akhlak yang buruk, kelakuan yang kasar dan sikap yang agresif

2. Sungguhpun Nabi SAW seorang yang paling sempurna akal fikirannya, namun sebagai makhluk, ilmunya terbatas. Mungkin terlintas dalam hati seseorang beberapa aspek kebaikan yang tidak terfikir oleh baginda, lebih-lebih lagi yang bersangkut dengan urusan dunia. Baginda sendiri pernah bersabda, “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu dan aku lebih mengetahui urusan agama kamu”. Lantaran itu juga baginda bersabda, “Tidak bermesyuarat sesuatu kaum kecuali mereka diberi hidayah ke arah yang paling matang dan jitu dalam urusan mereka.”

3. Hasan dan Sufyan bin ‘Uyainah berkata, “Baginda diperintahkan supaya bermesyuarat supaya menjadi ikutan dan memberi teladan kepada orang lain serta menjadikan  mesyuarat satu sunnah dalam kalangan umatnya.

4. Baginda telah bermesyuarat dengan sahabat mengenai peperangan Uhud. Mereka memberi pendapat supaya keluar sedangkan baginda cenderung kepada tidak keluar. Apabila mereka keluar, terjadilah apa yang telah terjadi. Sekiranya baginda tidak bermesyuarat dengan mereka selepas itu, memberi gambaran seolah-olah masih berbekas dalam hati baginda saki-baki perasaan tidak puas hati terhadap mereka bahawa apa yang terjadi adalah hasil daripada mesyuarat dengan mereka. Maka Allah perintahkan supaya bermesyuarat untuk menunjukkan bahawa tidak ada apa-apa kesan yang terbekas dalam hati baginda tentang peristiwa yang telah berlaku.

5. Hendaklah engkau bermesyuarat dengan mereka! Bukan untuk mendapat faedah daripada buah fikiran dan ilmu mereka. Tetapi supaya engkau dapat mengetahui tingkatan fikiran dan kefahaman mereka. Engkau dapat menilai tahap kecintaan dan keikhlasan mereka dalam mentaatimu. Dengan itu engkau dapat membezakan antara mereka siapakah yang lebih afdhal daripada yang lain. Akan terserlah siapakah yang paling unggul dalam kalangan mereka.

6. Hendaklah engkau bermesyuarat dengan mereka! Bukan kerana engkau berhajat kepada mereka. Tetapi kerana apabila engkau bermesyuarat dengan mereka dalam urusan itu, setiap orang daripada mereka akan memerah fikiran mengemukakan pendapat yang paling tinggi maslahahnya dalam menghadapi tragedi itu. Maka semangat dan roh-roh mereka akan bersatu, bertaut dengan padu dalam menjayakan apa yang paling baik. Kesepakatan roh-roh dan jiwa-jiwa yang suci murni adalah factor penting untuk mencapai sesuatu tujuan. Inilah juga rahsia yang tersirat di sebalik perhimpunan pada waktu solat. Dan inilah rahsianya kenapa solat berjamaah itu lebih afdhal daripada solat bersendirian.

7. Manakala Allah perintahkan RasulNya SAW supaya bermesyuarat dengan sahabat, ini menunjukkan bahawa mereka mempunyai kedudukan serta nilai yang tinggi di sisiNya. Kedudukan ini membawa kepada kedudukan dan nilai mereka yang mulia di sisi Rasulullah SAW dan seterusnya di sisi makhluk seluruhnya.

8. Raja yang agong tidak akan bermesyuarat dalam urusan yang besar dan penting kecuali dengan mereka yang mempunyai kedudukan yang isitmewa dan rapat dengannya. Dan para sahabat radhiallahu anhum, manakala mereka telah melakukan dosa (langgar arahan Nabi SAW), Allah ampunkan mereka. Maka boleh jadi akan terlintas dalam hati mereka bahawa walaupun Allah ampunkan mereka dengan kemurahan sifatNya Yang Maha Pengampun, kedudukan mereka di sisi Allah tidak lagi berada di tahap yang tinggi dan mulia. Maka Allah menerangkan bahawa darjat mereka tidak berkurangan selepas mereka telah bertaubat. Bahkan Aku tambahkan lagi. Lihatlah, sebelum perisstiwa itu Aku tidak perintahkan RasulKu (secara khusus) supaya bermesyuarat dengan kamu. Tetapi selepas peritiwa itu Aku perintahkannya supaya bermesyuarat dengan kamu supaya kamu mengetahui bahawa keadaan kamu sekarang lebih tinggi dan lebih mulia daripada sebelumnya. Ini kerana sebelum peristiwa itu kamu bersandar kepada amalan kamu dan ketaatan kamu. Tetapi sekarang kamu bersandar kepada kurniaanKu dan keampunanKu. Maka sudah pasti kedudukan kamu dan darjat kamu sekarang lebih tinggi dan lebih mulia daripada sebelumnya, supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya keampunanKu lebih agong daripada amalan kamu dan kemurahanKu lebih banyak dan melimpah ruah daripada ketaatan kamu.”


Rujukan:

https://www.altafsir.com/Tafasir.asp?tMadhNo=1&tTafsirNo=4&tSoraNo=3&tAyahNo=159&tDisplay=yes&Page=6&Size=1&LanguageId=1