Thursday, December 30, 2021

PENUTUP 2021

Hari terakhir tahun 2021, sama-sama kita renung sepotong hadis sahih Riwayat al-Bukhari dan lain-lain daripada Abu Hurairah RA.

Pada suatu hari, setelah selesai menunaikan solat subuh Rasulullah SAW mengadap kepada para jamaah lantas bersabda (maksudnya):

“Ketika seorang lelaki mengheret lembu miliknya, tiba-tiba dia berasa penat. Maka dia cuba untuk menunggangi lembunya itu. 

Lembunya berkata kepadanya: “Sesungguhnya kami tidak diciptakan untuk tujuan ini! Sebaliknya kami diciptakan untuk menenggala sawah!”

Para hadirin yang mendengar cerita itu rasa kagum dan berkata: “Subhanallah! Adakah lembu berkata-kata?”

Rasulullah SAW menjawab: “Sesungguhnya aku beriman dengan kisah ini. Begitu juga Abu Bakar dan Umar.” (Menurut periwayat, Abu Bakar dan Umar tidak ada dalam majlis itu)

Lalu para hadirin berkata: “Kami beriman kepada apa yang diimani oleh Rasulullah SAW!”

Pengajarannya:

1. Setiap makhluk Allah ciptakan untuk tujuan tertentu. Manusia wajib mengetahui tujuan itu dan menggunakannya selaras dengan tujuan yang Allah telah tentukan. 

2. Secara tidak langsung hadis ini mengajar kita supaya belajar dan mengkaji tentang tabiat serta potensi setiap makhluk agar dapat diketahui kegunaannya dan dibongkar rahsia-rahsia di sebalik penciptaannya untuk diambil manfaat dengan semaksimumnya.

3. Lembupun tahu tujuan ia dicipta. Alangkah malunya manusia yang berakal dan mengaku lebih cerdik daripada lembu, tetapi tidak mengetahui tujuan mereka dicipta, iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT yang mencipta dirinya dan semua makhluk seluruhnya.

4. Nabi SAW berkata dia beriman dengan kejadian itu menunjukkan kejadian itu diwahyukan kepada baginda, bukan disaksikannya sendiri.

5. Nabi SAW mengiktiraf ketinggian iman dua sahabatnya Abu Bakar dan Umar. Keduanya pasti beriman dan percaya kepada apa jua yang disampaikan oleh Nabi SAW walaupun perkara yang disampaikan itu zahirnya pelik dan luar biasa.

Dan banyak lagi pengajaran-pengajaran yang tidak akan habis jika dikaji dan diperhalusi. Allahu A’lam.


*UMD*

31/12/2021

26/05/1443


No comments: