Sunday, January 23, 2022

TRIBUTE UNTUK ANAK MUDA

(Sempena Himpunan Tangkap Azam Baki)


Anak Muda

Aku telah dengar suaramu 

Bergema menerobos awan

Mencegah kemungkaran

Menentang petualang


Anak Muda

Aku telah saksikan semangatmu

Yang kental bak gunung ganang

Melawan kebejatan

Menghalang kezaliman


Anak Muda

Aku yakin pada tenagamu

Yang gagah perkasa bak besi waja

Untuk memikul amanah

Menegak keadilan

Membela kebenaran


Anak Muda

Hari ini pasti berganti esok

Generasi kini pasti berinsut

Hari esok adalah untukmu

Generasi kini engkaulah pengganti 

Tanah ini engkaulah yang akan mewarisi 

Masa depanmu engkaulah yang mencorak dan mewarnai 


Anak Muda

Teruskanlah 

Angkat suaramu

Kentalkan semangatmu

Binalah kekuatanmu

Dengan panduan ilmu

Amalan yang jitu

Persaudaraan dan perpaduan

Tanpa mengenal darjat atau memilih bulu


ALLAH PASTI BERSAMA DENGANMU


*UMD*

24012022

21061443


Tuesday, January 18, 2022

PENUNGGANG AGAMA?

Ada pihak yang begitu mudah mengeluarkan kenyataan melabelkan pihak lain sebagai penunggang agama, meliberalkan Islam, menganut ajaran pluralisme dan sebagainya  dengan hanya menaikkan satu poster ucapan selamat hari agama sedunia. 

Adakah dengan satu poster itu, maka dia telah sah memiliki semua ciri-ciri yang disebutkan itu?

Tidak adakah secebis rasa husnu dzon terhadap sesama muslim atas dasar ukhuwah islamiah? Adakah kerana dia bukan daripada kumpulan yang sama fikrah dengan kita, maka apa saja tindakannya yang kita tidak bersetuju, maka kita mempunyai hak yang mutlak untuk melabelkannya dengan pelbagai label yang selari dengan apa yang kita fahami?

Kita harus tahu bahawa di sana terdapat dua isu yang berbeza, iaitu pluralisme dan plurality.

Isu yang disepakati ialah kita menolak pluralisme dengan makna menganggap semua agama adalah sama benar. Kita yakin dan percaya, hanya Islam agama yang benar berdasarkan bukti dan hujah yang sangat nyata secara hujah wahyu atau hujah akal.

Kedua, kita perlu mengiktiraf wujudnya isu khilaf iaitu kita perlu membezakan antara makna plurality dan pruralisme yang banyak menjadi kekeliruan oleh banyak pihak. Hal ini telahpun diberi pencerahan oleh Mufti Wilayah:

Kami sekali lagi ingin menegaskan bahawa, Islam adalah agama rahmat yang bersifat universal, penuh toleransi dan menerima hakikat wujudnya pelbagai agama (pluraliti) di muka bumi ini. Namun demikian, ia bukan bermakna Islam menyeru kepada kesamarataan agama seperti yang dipercayai dalam ajaran pluralisme agama. Justeru, kami menyokong penuh keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 74 pada 25 – 27 Julai 2006 berkenaan gerakan pemikiran liberal yang mengandungi fahaman-fahaman menyeleweng termasuk konsep pluralisme yang disenaraikan sebagai salah satu doktrin yang sesat lagi menyesatkan. Muzakarah menyimpulkan bahawa pluralisme agama adalah satu konsep yang berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality), bererti semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung. Akhirnya, semoga Allah mengurniakan taufiq dan hidayah-Nya buat kita semua agar sentiasa berada di atas jalan-Nya yang lurus, dan menjauhkan kita daripada jalan yang menyimpang. Wallahu a’lam. (https://muftiwp.gov.my/en/artikel/tashih-al-mafahim/2999-tashih-al-mafahim-8-pluraliti-agama-bukan-pluralisme-agama)

Justeru, adakah dengan menaikkan satu poster maka sah-sahlah individu itu menganut fahaman pluralisme. Tidak adakah lagi kemungkinan beliau cuba untuk mengetengahkan konsep plurality?

Saya tidak berhasrat untuk mengulas tentang poster itu dinaikkan atau diturunkan. Tetapi ingin mengajak kita bertabayun dan bersangka baik kepada saudara seislam kita sebelum melabel dan menghukum. 

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Jaafar bin Muhammad berkata: “Apabila sampai kepadamu tentang saudaramu sesuatu yang kamu tidak senangi, carilah untuknya satu sampai 70 keuzuran atau alasan kenapa dia berbuat demikian. Jika kamu temui keuzurannya, terimalah. Jika kamu tidak temui juga, maka katakanlah, “boleh jadi dia mempunyai keuzuran lain yang aku tidak tahu!”

Ibn ‘Asakir meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Muhammad bin Sirin berkata: “Sekiranya sampai kepadamu sesuatu (yang kamu tidak suka) tentang saudaramu, maka carilah keuzuran untuknya. Jika kamu tidak menemuinya, maka katakanlah: “Boleh jadi dia mempunyai keuzurannya yang tersendiri!”

Demikianlah para salaf yang soleh mengajar kita adab dalam berkhilaf. Tidak semestinya pendapat atau pendirian yang tidak selari dengan pendirian kita semuanya sesat lagi menyesatkan…

Tabayun dan berlapang dada itulah yang paling selamat.


Saturday, January 15, 2022

ORANG MATI MAHU KEMBALI KE DUNIA HANYA UNTUK SEDEKAH?


Betulkah apabila seseorang meninggal dunia, dia meminta untuk kembali ke dunia walaupun seketika hanya untuk bersedekah? 

Mungkin itu yang anda pernah dengar, khususnya daripada pihak-pihak tertentu yang sedang mengumpul dana untuk sesuatu tujuan seperti membina masjid, sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan seumpamanya.

Dalil yang dibawakan adalah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". (Al-Munaafiquun 63:10)

Perhatikan apa yang mereka nyatakan: "supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh". Di samping hendak bersedekah, mereka juga hendak menjadi orang soleh, iaitu orang yang melakukan semua kebaikan yang disukai Allah, termasuklah solat, puasa, berakhlak mulia, berbakti kepada ibu bapa dan lain-lain. Bukan sedekah sahaja.

Perhatikan firman Allah SWT yang berikut:

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin". (As-Sajdah 32:12) 

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman maksudnya:

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) -

"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Al-Mu'minuun 23:99-100) 

Dalam ayat-ayat di atas pun tidak dinyatakan secara khusus untuk bersedekah. Tetapi mereka hendak mengerjakan amal-amal soleh yang mereka abaikan semasa hidup di dunia.

Kesimpulannya, selagi hayat dikandung badan berusahalah bersungguh-sungguh menggunakan kesempatan yang masih ada untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Jangan tunggu ajal tiba, barulah merayu mendayu supaya diberi tempoh atau dikembalikan semula ke dunia untuk beramal soleh…. Segalanya sudah terlambat.


Thursday, January 13, 2022

SEJAHAT-JAHAT MUSLIM VS SEBAIK-BAIK NON MUSLIM

Ada pihak yang berpegang dengan konsep sejahat-jahat seorang muslim yang beriman diterima taubatnya oleh Allah SWT. Manakala sebaik-baik amalan orang yang tidak beriman akan ditolak juga pada Hari Kiamat nanti.

Bukan hendak pertikaikan konsep itu. Sekadar ingin mengingatkan beberapa noktah yang kita sebagai manusia tidak tahu dengan pasti:

Pertama - muslim yang buat jahat itu, pastikah dia sempat bertaubat sebelum malaikat maut datang meragut nyawanya? Tahukah dia bilakah masa malaikat maut akan datang supaya dia dapat bertaubat? Sekiranya kejahatan itu bersabit dengan hak manusia seperti mengambil harta dengan cara yang salah, memfitnah, menjatuhkan maruah, merampas hak yang dimiliki oleh orang lain dengan cara menipu dan berpakat dengan golongan yang zalim, sempatkah meminta maaf dengan mereka yang dizalimi dan memulangkan hak-hak mereka sebelum mati? 

Kalau sempat, alhamdulillah. Kalau tak sempat, bagaimana? 

Kedua –kita tidak tahu siapakah yang akan mati sebagai muslim dan siapakah yang akan mati sebagai kafir. Hal ini difahami daripada hadis sahih Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibn Masud RA yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang hamba (manusia) itu benar-benar beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga hanya satu hasta, namun telah tercatat dalam ilmu Allah bahawa dia ahli neraka, maka dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia masuk neraka. Sebaliknya, seseorang hamba (manusia) itu benar-benar beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dia dengan neraka hanya satu hasta, namun telah tercatat dalam ilmu Allah bahawa dia ahli syurga, maka dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu dia masuk syurga.”

Ketiga – semuanya serba mungkin. Kita sebagai manusia tidak diberi hak untuk menghukum. Orang yang jahat, mungkin dia sempat bertaubat dan Allah terima taubatnya seperti kisah lelaki yang telah membunuh 100 orang (Riwayat Muslim daripada Abu Saeid al-Khudri RA) dan mungkin dia tidak sempat bertaubat, maka Allah pasti membalasnya setimpal dengan kejahatan yang dia telah lakukan.

Orang yang belum beriman yang melakukan kebaikan, mungkin dengan sebab kebaikan yang dia lakukan itu, Allah berikannya hidayah pada akhir umurnya dan mati sebagai muslim yang beriman, lalu Allah kurniakannya ganjaran yang tidak terhitung banyaknya.

Sesungguhnya Allah Maha Adil. Allah tidak mensia-siakan amalan hambaNya sama ada baik atau jahat walaupun sebesar zarah.

Justeru, kita tidak boleh terlalu yakin dan berasa bangga dengan keislaman kita kerana mungkin dalam ilmu Allah kita akan mati sebagai kafir atau munafiq, na’uzubillahi minzalik (Semoga Allah pelihara kita daripada berlaku sedemikian).

Juga tidak boleh memandang hina dan rendah kepada mereka yang masih kafir kerana mungkin dalam ilmu Allah mereka akan mati sebagai muslim.

Sentiasa berdoa dan bersangka kepada Allah.


Allahu A’lamu bis-sowab. 



Friday, January 07, 2022

ADAKAH KITA TERMASUK DALAM KALANGAN MEREKA YANG BANYAK BERZIKIR?


Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.”
(Al-Ahzaab 33:41-42) 

Ibn Kathir berkata bahawa Ibn Abbas RA mentafsirkan ayat ini dengan berkata:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak memfardhukan ke atas hambaNya satu kefardhuan kecuali Dia meletakkan satu had atau sempadan tertentu yang diketahui dan dimaklumi sempadan itu. (Contohnya puasa, Allah fardhukan selama satu bulan dalam bulan Ramadhan. Hadnya jelas satu bulan). Kemudian Allah berikan pengecualian pula kepada mereka yang ada keuzuran.
Berbeza dengan ZIKIR. Allah perintahkan hambaNya supaya berzikir. Dia tidak meletakkan had sempadan di mana hambaNya patut berhenti dan tidak diberikan pengecualian kepada sesiapapun untuk meninggalkannya. 
Semua hambaNya disuruh supaya berzikir (mengingati atau menyebut namaNya) malam dan siang, di daratan dan di lautan, masa musafir dan bermukim, kaya dan faqir, sakit dan sihat, secara rahsia dan terang-terangan, dalam semua waktu dan semua keadaan.”

Sehubungan dengan itu, Rasulullah SAW ditanya oleh seseorang:
“Ya Rasulullah, sesungguhnya Syariat Islam telah banyak yang difardhukan ke atas kami. Maka ajarkan saya satu amalan yang saya tetap sentiasa berpegang dengannya!”
Nabi SAW menjawab:
“Lidahmu sentiasa basah dengan zikrillah ta’ala!” (Ahmad, Tirmizi dan Ibn Majah)

Sunday, January 02, 2022

KISAH PENCURI BERPRINSIP


Satu kisah yang dipetik daripada buku “Bahjah an-Nufus…” 

Pada suatu malam, ketua pencuri menceroboh masuk sebuah rumah saudagar yang kaya raya. 

Dia mendapati saudagar itu berada dalam bilik tidur bersama isterinya.

Dia berkata kepada saudagar: 

“Tutuplah aurat isterimu! Kami pencuri.”

Saudagar pun menutup aurat isterinya dan berkata kepada pencuri: 

“Ambillah apa yang kamu mahu dan jangan bunuh kami!”

Pencuri menjawab:

“Kami sekali-kali tidak akan membunuh kamu. Kami datang hanya untuk mengambil keperluan makanan kami hari ini sahaja!”

“Berapakah bilangan kamu?” tanya saudagar.

“Aku dan sembilan orang kanak-kanak.” Jawab pencuri.

Lalu saudagar mengeluarkan wang berjumlah 10,000 untuk dibahagikan kepada setiap orang 1000.

Pencuri berkata:

“Kami tidak akan ambil lebih daripada keperluan kami.” 

Dia mengambil 1000 dan memulangkan 9000 kepada saudagar.

Ketika pencuri-pencuri itu berjalan melangkah keluar dari rumah saudagar, seorang daripada pencuri kanak-kanak terpandang sebuah kotak comel, namanya “Huq”. Dia sangat berkenan pada kotak itu lalu mengambil, membuka dan mencubit sedikit makanan yang ada dalam kotak itu. Dia mendapati makanan itu adalah garam.

Ketua pencuri itu berkata: “Oleh kerana engkau telah makan garam daripada rumah saudagar ini, kita tidak berhak mengambil apa-apa lagi daripadanya.”

Dia mengambil semua duit daripada sembilan orang kanak-kanak itu dan memulangkannya kepada saudagar.

Saudagar bermurah hati memberikan 400 kepada mereka. Pencuri menolak. Saudagar tawarkan 100. Pencuri tetap menolak.

Saudagar tawarkan makanan. Pencuri naik berang dan tidak mahu lagi berbincang apa-apa dengan saudagar. Dia terus keluar tanpa mengambil apa-apa daripada rumah saudagar itu kerana seorang daripada kanak-kanak yang datang bersama dengannya memakan secubit garam daripada rumah itu.

Dia berpegang kepada prinsip yang diamalkan dalam kalangan masyarakat ketika itu:

“Jika engkau makan makanan seseorang, engkau tidak berhak untuk menyakiti tuan punya makanan itu walaupun engkau seorang pencuri!”

“Jika engkau minum seteguk air daripada rumah seseorang, atau engkau memberi salam dan dia menjawab salammu, engkau tidak berhak menyakitinya dengan apa cara sekalipun walaupun engkau seorang pencuri!” 

Apakah agaknya prinsip utama yang dipegang oleh semua masyarakat kita hari ini?


Diterjemah secara bebas daripada FB Raschida Nefzi