Sunday, November 13, 2022

UNDI ADALAH SATU PERSAKSIAN. JADILAH SAKSI YANG ADIL!!!


Allah SWT berfirman maksudnya:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil (ummatan wasata), supaya kamu layak menjadi orang yang memberikan keterangan (persaksian) kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu…..”

(Al-Baqarah 2:143) 


Menerusi ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW diamanahkan menjadi saksi ke atas umat manusia yang betanggungjawab memberikan keterangan tentang yang benar dan yang salah.


Saksi mesti tahu dengan yakin apa yang disampaikan.


Saksi mesti jujur dan adil, tidak boleh condong kepada mana-mana pihak berdasarkan emosi atau dipengaruhi oleh perasaan cinta kepada bangsa sendiri atau benci kepada musuh. Dalam hal ini Allah SWT berfirman maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Al-Maaidah 5:8) 


Saksi juga tidak harus sama sekali memberikan persaksian palsu atau menjadi saksi palsu. 

Anda dikira telah menjadi saksi palsu jika 

i. anda menyatakan apa yang anda tidak tahu, atau 

ii. anda memalsukan fakta yang anda tahu.


INGAT! UNDI ADALAH SATU PERSAKSIAN.


Jika anda mengundi seseorang calon, maka anda telah memberikan persaksian anda bahawa dia benar-benar layak untuk menjadi wakil rakyat yang benar-benar membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat.

Tetapi jika anda tidak tahu dengan yakin kelayakan calon yang anda pilih, atau anda hanya memilih berdasarkan sentiment kaum, kumpulan, kerabat, atau percaya kepada kempen yang tidak berfakta maka sebenarnya anda telah memberikan persaksian yang palsu. Anda telah menjadi SAKSI PALSU! 


Ingat! SAKSI PALSU amat besar dosanya di sisi Allah SWT.


Selain itu, jika anda memilih calon yang anda tahu ada calon lain yang lebih layak, maka anda sebenarnya telah mengkhianati seluruh rakyat dengan persaksian palsu yang anda berikan itu. 

Nabi SAW bersabda maskudnya:

“Sesiapa yang memberikan pendapat untuk saudaranya dalam sesuatu perkara sedangkan dia tahu bahawa kebaikan itu pada perkara yang lain (pendapat lain) maka dia telah mengkhianatinya”. Riwayat Abu Daud


No comments: