Diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa sesungguhnya beliau menangis setiap kali beliau teringat pembukaan Tustar (Shushtar). Tustar adalah sebuah bandar di negeri Parsi yang dibentengi dengan kubu yang kukuh. Kaum muslimin mengepungnya selama satu tahun setengah. Kemudian akhirnya jatuh ke tangan mereka.
Terciptanya kemenangan yang nyata untuk umat Islam. Dan ini merupakan perjuangan yang paling sukar yang pernah diharung oleh umat Islam.
Jika begitu keadaannya, kemenangan yang sungguh indah dan penuh makna, mengapakah Anas bin Malik RA menangis setiap kali teringat peristiwa kemenangan Tustar?
Sebenarnya pintu tembok Tustar telah terbuka beberapa jam sahaja sebelum masuk waktu Subuh. Bala tentera Islam menyerbu masuk ke dalam kubu yang kukuh. Dan berlakulah pertempuran yang amat sengit antara 30,000 tentera Islam dengan 150,000 tentera Parsi. Kedudukan yang amat sukar, ancaman bahaya yang sampai ke kemuncaknya. Namun akhirnya – dengan kurniaan Allah – kemenangan menjadi milik tentera Islam. Mereka berjaya mencapai kemenangan yang gemilang dengan mengalahkan musuh mereka. Kemenangan yang gilang gemilang itu telah terlaksana hanya beberapa detik selepas terbit matahari (syuruq). Dan mereka menyedari bahawa waktu Subuh telah luput dalam keadaan mereka menghadapi suasana yang amat genting.
Tentera Islam tidak mampu untuk berhenti walau seketika untuk menunaikan solat Subuh dalam suasana pertempuran yang sedang memuncak dengan begitu sengit; pedang-pedang bersimpang siur di tengkuk-tengkuk mereka.
Dan Anas RA menangis kerana terlepas waktu Subuh hanya sekali dalam hayatnya. Dia menangis sedangkan dia mempunyai keuzuran. Dan tentera Islam mempunyai keuzuran. Tentera Islam sedang menumpahkan sepenuh tenaga dalam jihad yang merupakan kemuncak tertinggi serta mercu tanda perjuangan menegakkan Islam. Dalam suasana yang sedemikian, mereka kehilangan sesuatu yang amat besar sehinggakan Anas berkata: “Apalah erti Tustar!? Sesungguhnya aku telah kehilangan solat Subuh. Aku tidak rasa gembira sedikitpun sekiranya aku memperolehi dunia ini seluruhnya sebagai ganti kepada solat ini!”
Di sinilah kita faham kenapa mereka mampu mencapai kemenangan!
Kita? Apakah nilai solat Subuh dalam kehidupan kita?
Mereka itu telah mengorbankan seluruh kehidupan mereka pada jalan Allah.
Adakah kita mampu mengorbankan satu bahagian daripada waktu tidur kita untuk berjuang di jalan Allah? Jika kita tidak mampu, maka kemenangan apakah yang kita harapkan?
- Kitab al-Bidayah wan-Nihayah, Ibn Kathir.
No comments:
Post a Comment