Saturday, April 29, 2023

AKHLAK SYAIKHUL ISLAM IBN TAIMIAH

Ibn Kathir menulis tentang Ibn Taimiah rahimahullah:

Manakala Syaikhul Islam mengarang kitabnya yang berjodol “Al-Istighathah”, Ibn al-Bakri dari golongan sufi menunggu bersama beberapa orang pengikutnya di jalan untuk memerangkap Syaikh. Mereka memukul dengan teruk sehingga Syaikh terbaring di atas jalan, Kemudian mereka melarikan diri.

Orang ramai termasuk anggota tentera berhimpun di tempat kejadian. Mereka meminta izin dengan Syaikh untuk berintdak balas ke atas Ibn al-Bakri. Syaikh tidak mengizinkan. Beliau berkata:

Membalas dendam itu sama ada menjadi hak aku atau hak kamu atau hak Allah.

Jika hak aku. maka aku halalkan

Jika hak kamu, kamu mesti meminta fatwa daripadaku. Jika aku tidak memfatwakan harus, kamu tidak boleh lakukan.

Jika hak Allah, maka Dia akan mengambil hakNya dengan cara yang Dia kehendaki, pada masa yang Dia kehendaki.

Namun mereka tidak memperdulikan nasihat Syaikh. Mereka terus memnuru dan mencari Ibn al-Bakri di serata tempat. Namun tidak berjumpa. Akhirnya mereka menemui Ibn al-Bakri bersembunyi di rumah Syaikh.

Syaikh yang menyembunyikannya untuk memohon pengampunan daripada Su;tan. Maka Sultan ampunkannya.

Demikianlah anehnya sikap Syaikh sehinggakan sebahagian ulamak Asya’eirah berkata: Sesungguhnya dia (Syaikh Ibn Taimiah) memiliki akhlak yang tidak dimiliki kecuali para nabi dan individu-individu terentu sahaja.

Semoga Allah Rahmati Syaikhul Islam Ibn Taimiah.


- Al-Bidayah wa Al-Nihayah (14/76)


Thursday, April 20, 2023

SYUKUR DI ATAS NI’MAT MEMASUKI RAMADAN


Daripada Talhah bin Ubaidillah RA. Beliau menceritakan bahawa dua orang lelaki dari Baliy datang ke Madinah. Kedua-duanya sama-sama memeluk Islam.

Salah seorang daripada mereka sangat rajin berbanding seorang lagi. Beliau ikut berperang lalu syahid.

Manakala yang seorang lagi dipanjangkan usia sehingga satu tahun. Kemudian beliau meninggal dunia.

Talhah berkata, pada suatu malam aku bermimpi aku berada di hadapan pintu syurga. Tiba-tiba aku terpandang kedua-dua lelaki dari Baliy itu.

Aku melihat seseorang keluar dari syurga lalu mengizinkan lelaki yang mati kemudian masuk.

Selepas itu dia keluar dan mengizinkan lelaki yang syahid pula masuk.

Kemudian dia keluar menemuiku dan berkata kepadaku:

“Pulanglah! Waktu untukmu belum tiba lagi.”


Pada paginya Talhah menceritakan mimpinya kepada semua orang yang ditemuinya. Mereka berasa hairan dengan peristiwa yang dialami oleh Talhah dalam mimpinya.

Akhirnya cerita tentang mimpi itu sampai ke pendengaran Rasulullah SAW.

Mereka meluahkan rasa hairan mereka kepada Rasulullah SAW.


Maka Baginda SAW bertanya:

“Apa yang kamu hairankan?”

Mereka berkata:

“Ya Rasulullah, salah seorang daripada kedua mereka sangat rajin beribadah kemudian beliau syahid. Kenapa pula yang seorang lagi itu masuk syurga terlebih dahulu daripadanya?”

Rasulullah SAW bertanya lagi:

“Bukankah dia hidup selama setahun selepasnya?”

“Ya, benar,” jawab mereka.

“Dan dia sempat memasuki Ramadan, lalu dia berpuasa, solat dan lain-lain seperti sujud selama setahun?”

“Ya, benar,” jawab mereka lagi. 

“Maka jarak antara keduanya sejauh langit dengan bumi,” jelas Baginda SAW

Sunan Ibn Majah (3925). Dikategorikan sahih oleh al-Albani.


Justeru, memasuki Ramadan merupakan satu anugerah terbesar, satu ni’mat yang maha hebat. Memasuki Ramadan, lalu berpuasa pada siangnya dan qiam pada malamnya dapat mendahului syuhada’ fi sabilillah. 


Allahu Akbar walillahilhamd!


UMD

30 Ramadan 1444

21 April 2023


Tuesday, April 18, 2023

BERTABAHLAH ORANG KELANTAN

Bertabahlah wahai saudaraku orang Kelantan

Ini yang demo nak dan demo pilih

Demo nak Islam

Tapi Islam logo dan Islam jenama

Bukan Islam ajaran serta maqasidnya

Islam yang dipimpin oleh ulamak

Tapi ulamak jubah, kopiah, serban serta petah berbicara

Bukan ilmu, kebijaksanaan dan keprihatinannya


Bersabarlah menghadapi kesesakan jalanraya

Demi tujuan mulia menziarahi ayah bonda

Bukannya saban hari, hanya sekali sekala

Maka tak payahlah bersusah mencari jalan penyelesaiannya

Senangnya berbicara

Lonaknya kata-kata

Dan rakyatpun redha

PRU dan PRN akan datang YB juga pilihan mereka


Andailah rakyat tahu

Kata-kata yang lonak itu

Sekadar alasan yang merapu

Nabi SAW tak ajar begitu

Baginda bersikap rahmah dan prihatin selalu

Kemudahan dan ketenangan umat di sisinya nombor satu

Tika mula bertakbir untuk mendirikan solat fardhu

Dengan Hasrat untuk memanjangkan bacaan dengan suaranya yang merdu

Tetiba terdengar tangisan bayi di saf belakang di sisi ibu

Lantas Baginda memendekkan bacaan kerana kasihan dan tidak mahu ibunya terganggu!

Keselesaan jalan juga begitu

Bayangkan menghilangkan duri di jalan yang membuatkan pengguna boleh terganggu

Akan diganjari syurga tanpa ragu

Maka apatah lagi jika menyediakan jalan yang selesa untuk rakyat pulang, sampai ke destinasi dengan lebih laju?


Fikir-fikirkan lah…


UMD

28 Ramadan 1444

19 April 2023



Monday, April 17, 2023

ADUHAI RAMADAN


Ramadan 
Agung namamu
Mulia maqammu
Engkau pembawa rahmah dan maghfirah
Titipan Tuhan yang Maha Pemurah

Hadirmu memikul misi suci
Mengejutkan manusia
Yang terlena dan terleka
Yang hanyut diheret arus dunia
Memanggil mereka segera kembali 
Berpaut pada satu tali
Agar selamat sampai ke destinasi
Syurga Allah yang sedia menanti

Kini waktumu hampir tamat
Namun…
Yang terlena masih ramai dibuai mimpi
Yang terleka terus alpa
Yang hanyut bergelak ketawa
Dan engkau tetap akan melangkah pergi
Tanpa lambaian hiba 
Dan titisan air mata duka dari mereka…

Apalah dayamu Ramadan
Hadirmu disia-siakan
Meskipun diiringi ribuan tawaran
Seluruh tentera langit dan bumi bersenandung riang
Iblis dan syaitan dihalang berkeliaran
Rahmah dan maghfirah terhidang siang dan malam
Ditambah satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan
Namun ….
Apa terjadi pada
Hati yang keras
Mata yang gersang
Jiwa yang kontang
Dada yang gelap dan kelam?
Yang keras tak kunjung lembut
Yang gersang tak juga basah
Yang kontang tak jadi lembab
Yang gelap tak tembus dek cahaya
Alangkah malang
Alangkah rugi
Alangkah celaka
Alangkah derita…..!!!

Aduhai Ramadan….

UMD
27 Ramadan 1444
18 April 2023

Sunday, April 16, 2023

SURAH AL-QADAR


Beberapa poin menarik mengenai surah yang memperkatakan tentang malam yang hebat ini, Lailatul Qadar.


1. Surah ini terdiri daripada LIMA ayat. Ia bersesuaian dengan lima malam yang diharapkan padanya Lailatul Qadar, iaitu malam yang ganjil daripada 10 terakhir Ramadan: malam ke 21, 23, 25, 27, 29

2. Perkataan Lailatul Qadar ( لَيْلَةِ الْقَدْرِ ) terdiri daripada SEMBILAN huruf. Ia disebut sebanyak TIGA kali, iaitu ayat 1, 2, 3. 9 darab 3 bersamaan 27. Secara tidak langsung seolah-olah mengisyaratkan bahawa Lailatul Qadar jatuh pada malam ke 27.

3. Surah ini terdiri daripada 30 perkataan. Perkataan ( هِيَ), iaitu gantinama yang merujuk kepada Lailatul Qadar adalah perkataan yang ke 27 daripada 30 perkataan. Satu lagi isyarat tidak langsung tentang kemungkinan malam ke 27.

4. Hubungan dengan surah sebelumnya, al-‘Alaq. Surah al-‘Alaq diakhiri dengan perintah supaya sujud dan mendekatkan diri kepada Allah. Surah al-Qadar adalah tentang malam untuk kita membanyakkan sujud dan mencari keredhaan Allah. Surah al-‘Alaq dimulai dengan (Iqra’: bacalah). Surah al-Qadar menceritakan tentang kitab yang Allah turunkan. Maka perintah bacalah dalam surah al-‘Alaq secara tersiratnya suruhan membaca kitab yang Allah turunkan yang disebut dalam surah al-Qadar.

5. Hubungan dengan surah selepasnya, al-Bayyinah. Surah al-Qadar dimulakan dengan ayat (Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada Malam al-Qadar), iaitu dengan menggunakan gantinama (Kami) tetapi tidak diterangkan siapakah (Kami) itu. Begitu juga gantinama (nya pada perkataan menurunkannya) pun tidak dinyatakan (nya) itu merujuk kepada siapa/apa?. Maka dalam surah al-Bayyinah dijelaskan perkara itu. Allah berfirman (Iaitu seorang Rasul dari Allah yang membacakan (kepada mereka) Lembaran-lembaran Suci, Terkandung di dalamnya pelajaran-pelajaran dan hukum-hukum yang benar.) Jelas daripada ayat ini maksud Kami dalam surah al-Qadar adalah Allah. Dan gantinama (nya) yang diturunkan itu adalah Kitab Allah (al-Quran)


Itu hanyalah beberapa poin menarik yang dapat dipetik daripada surah yang hebat ini. 

Poin no 2 dan 3 bukanlah dalil mutlak yang menunjukkan Lailatul Qadar pasti berlaku pada malam ke 27. Ia tetap rahsia yang terbuka boleh berlaku pada sebarang malam 10 terakhir Ramadan. 

Moga-moga kita diberikan kesempatan untuk menghayatinya, diampunkan dosa, diterima amalan dan dibebaskan dari api neraka, Aamiiin.


UMD

26 Ramadan 1444

17 April 2023