Beberapa poin menarik mengenai surah yang memperkatakan tentang malam yang hebat ini, Lailatul Qadar.
1. Surah ini terdiri daripada LIMA ayat. Ia bersesuaian dengan lima malam yang diharapkan padanya Lailatul Qadar, iaitu malam yang ganjil daripada 10 terakhir Ramadan: malam ke 21, 23, 25, 27, 29
2. Perkataan Lailatul Qadar ( لَيْلَةِ الْقَدْرِ ) terdiri daripada SEMBILAN huruf. Ia disebut sebanyak TIGA kali, iaitu ayat 1, 2, 3. 9 darab 3 bersamaan 27. Secara tidak langsung seolah-olah mengisyaratkan bahawa Lailatul Qadar jatuh pada malam ke 27.
3. Surah ini terdiri daripada 30 perkataan. Perkataan ( هِيَ), iaitu gantinama yang merujuk kepada Lailatul Qadar adalah perkataan yang ke 27 daripada 30 perkataan. Satu lagi isyarat tidak langsung tentang kemungkinan malam ke 27.
4. Hubungan dengan surah sebelumnya, al-‘Alaq. Surah al-‘Alaq diakhiri dengan perintah supaya sujud dan mendekatkan diri kepada Allah. Surah al-Qadar adalah tentang malam untuk kita membanyakkan sujud dan mencari keredhaan Allah. Surah al-‘Alaq dimulai dengan (Iqra’: bacalah). Surah al-Qadar menceritakan tentang kitab yang Allah turunkan. Maka perintah bacalah dalam surah al-‘Alaq secara tersiratnya suruhan membaca kitab yang Allah turunkan yang disebut dalam surah al-Qadar.
5. Hubungan dengan surah selepasnya, al-Bayyinah. Surah al-Qadar dimulakan dengan ayat (Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada Malam al-Qadar), iaitu dengan menggunakan gantinama (Kami) tetapi tidak diterangkan siapakah (Kami) itu. Begitu juga gantinama (nya pada perkataan menurunkannya) pun tidak dinyatakan (nya) itu merujuk kepada siapa/apa?. Maka dalam surah al-Bayyinah dijelaskan perkara itu. Allah berfirman (Iaitu seorang Rasul dari Allah yang membacakan (kepada mereka) Lembaran-lembaran Suci, Terkandung di dalamnya pelajaran-pelajaran dan hukum-hukum yang benar.) Jelas daripada ayat ini maksud Kami dalam surah al-Qadar adalah Allah. Dan gantinama (nya) yang diturunkan itu adalah Kitab Allah (al-Quran)
Itu hanyalah beberapa poin menarik yang dapat dipetik daripada surah yang hebat ini.
Poin no 2 dan 3 bukanlah dalil mutlak yang menunjukkan Lailatul Qadar pasti berlaku pada malam ke 27. Ia tetap rahsia yang terbuka boleh berlaku pada sebarang malam 10 terakhir Ramadan.
Moga-moga kita diberikan kesempatan untuk menghayatinya, diampunkan dosa, diterima amalan dan dibebaskan dari api neraka, Aamiiin.
UMD
26 Ramadan 1444
17 April 2023
No comments:
Post a Comment