Wednesday, May 24, 2023

KISAH UNTUK DIFIKIRKAN

Pada suatu masa dahulu terdapat seorang penjual susu.

Dia menjual susu segar yang berkualiti.

Ramai pelanggan yang gemar membeli susu yang dijualnya.


Pada suatu hari dia terfikir untuk mengaut keuntungan yang lebih banyak. Maka dia mencampurkan susunya dengan air.

Dia ke pasar menjual susu seperti biasa.

Pelanggan-pelanggannya membeli susunya tanpa syak wasangka.

Dia sangat gembira dengan keuntungan yang diraihnya berlipat ganda.


Dalam perjalangan pulang dia rasa terlalu penat. Dia berhenti di bawah sepohon pokok yang besar di tepi sungai untuk berehat.

Sedang dia bersandar merehatkan diri pada batang pokok tersebut, seekor kera turun dari pokok dan mengambil uncang yang berisi wang di dalamnya dan terus berlari membawa uncang itu naik ke atas pokok.

Dia menjerit-jerit meminta supaya dipulangkan uncangnya. Namun binatang itu tidak menghiraukan jeritannya.

Ia membuka uncang lalu dibalingnya duit yang berada di dalamnya satu demi satu secara bergilir. Sekeping ke arah penjual susu, kemudian sekeping lagi ke dalam sungai sehinggalah wang dalam uncang habis.

Tiada daya dan upaya si penjual yang malang kecuali mengutip kepingan-kepingan wang yang dibaling oleh kera kepadanya dari atas pokok.

Dia menghitung wang yang dikutipnya.

Alangkah terperanjatnya! Setelah dihitungnya, jumlahnya sama dengan yang diperolehi setiap hari dia menjual susu yang tidak dicampur air.

Dia tertawa sendiri lantas berkata: “Yang berasal daripada susu kembali kepada susu, yang berasal daripada air kembali kepada air”!

Mulai saat itu dia berazam tidak akan mencampurkan susu jualannya dengan air selama-lamanya. 

Dan kata-kata yang diucapkan secara spontan itu tadi akhirnya menjadi suatu ungkapan seperti kata-kata hikmah yang meniti di bibir ahli masyarakat


Saturday, May 20, 2023

ADAT-ADAT YANG CANTIK PADA ZAMAN PEMERINTAHAN KERAJAAN UTHMANIAH

ADAT-ADAT YANG CANTIK PADA ZAMAN PEMERINTAHAN KERAJAAN UTHMANIAH


1. AIR DAN KOPI
Apabila tetamu berkunjung, tuan rumah akan menyambutnya dengan menghulurkan secawan kopi bersama segelas air. Jika tetamu meminum air sebelum kopi bermakna dia sedang lapar. Lalu tuan rumah menyediakan makanan untuknya. Jika dia meminum kopi sebelum air, bermakna dia telah kenyang dan tuan rumah tidak perlu menyediakan makanan untuknya.

2. MAWAR MERAH MAWAR KUNING
Mawar kuning diletakkan di hadapan rumah untuk memberitahu jiran dan orang yang lalu lalang bahawa dalam rumah ada penghuni yang sedang sakit. Maka mereka hendaklah berjalan dengan senyap serta tidak membuat bising demi menjaga ketenangan orang yang sedang sakit. Mawar merah diletakkan di hadapan rumah untuk menyatakan bahawa dalam rumah ada gadis yang telah sampai usia perkahwinan dan sedia untuk dilamar. Orang yang lalu-lalang diperingatkan supaya tidak menuturkan perkataan-perkataan yang kotor berhampiran dengan rumah itu demi menjaga perasaan serta sensitivity si gadis yang berada dalam rumah.

3. PENGETUK PINTU
Di pintu rumah disediakan dua pengetuk, satu kecil dan satu besar. Jika pintu diketuk dengan pengetuk kecil, maknanya yang datang adalah tetamu perempuan. Maka perempuan yang akan membuka pintu untuk menyambut tetamu. Jika pintu diketuk dengan pengetuk besar, maknanya yang datang adalah tetamu lelaki. Maka lelaki yang akan membuka pintu untuk menyembut tetamu.

4. SEDEKAH
Orang-orang kaya sangat suka memberi sedekah dengan cara yang tidak menimbulkan sebarang perasaan tidak selesa kepada pihak yang ditolong. Mereka pergi ke kedai runcit atau penjual sayur dan meminta buku catatan hutang. Mereka bayar hutang-hutang itu dan meminta supaya peniaga memadamkan hutang yang telah dibayar tanpa menyebut nama yang membayar. Orang-orang miskin selalu mendapati hutang mereka telah dilunaskan tanpa mengetahui siapakah yang melunaskannya. Dengan itu mereka tidak merasai terhutang budi kepada mana-mana orang kaya.

5. UMUR 63
Ketika ditanya warga tua yang telah mencapai usia lebih daripada 63 tahun tentang usianya, mereka rasa malu dan berat hati untuk mengaku usia mereka telah mengatasi usia Nabi SAW kerana menjaga adab dan sebagai satu penghormatan kepada Baginda SAW. Mereka hanya sekadar menjawab, usia kami telah melebihi had wahai anakku.

dipetik daripada FB https://www.facebook.com/profile.php?id=100054164951438

KISAH TELADAN – RAJA DENGAN PELADANG


Seorang Raja telah mengeluarkan satu polisi dalam negaranya bahawa sesiapa yang mengungkapkan kata-kata yang baik (kalimah toyyibah) dia akan diberi ganjaran sebanyak 400 dinar.

Pada suatu hari, Raja berjalan di sebuah pekan bersama dengan pengiring-pengiringnya.

Tiba-tiba dia terpandang seorang peladang tua dalam lingkuangan usia 90 tahun sedang menanam pokok zaitun.

Dia berasa hairan, lalu bertanya:

Kenapakah anda menanam pokok zaitun? Pokok zaitun memerlukan masa 20 tahun untuk berbuah sedangkan anda telah menjangkau usia 90 tahun. Ajalmu telah terlalu hampir?

Peladang menjawab:

Tuanku, orang-orang dahulu telah menanam dan sekarang kita menuai hasilnya. Jadi sekarang kita menanam supaya generasi akan datang dapat menuai hasilnya pula.

Raja suka jawapan tersebut dan menganggapnya sebagai kalimah toyyibah. Baginda memerintahkan supaya diberikan ganjaran kepada peladang itu 400 dinar.

Peladang mengambil wang itu dan tersenyum.

Raja bertanya kenapa dia tersenyum?

Peladang menjawab: Pokok zaitun akan berbuah selepas 20 tahun. Pokok aku telahpun berbuah sekarang.

Raja sukakan kata-kata itu dan memerintahkan supaya diberikan 400 dinar lagi.

Peladang mengambil wang itu dan tersenyum.

Raja bertanya kenapa dia tersenyum?

Peladang menjawab: Pokok zaitun berbuah satu kali setahun. Pokokku berbuah dua kali.

Raja sukakan kata-kata itu dan memerintahkan supaya diberikan 400 dinar lagi dan Baginda segera berlalu dari sisi peladang itu.

Ketua tentera pengiring bertanya: Kenapakah Tuanku segera meninggalkan peladang itu?

Raja menjawab: Sekiranya beta duduk di sisinya sampai pagi, wang dari khazanah negara akan habis, namun kalimah toyyibahnya tidak akan habis….


SESUNGGUHNYA KEBAIKAN ITU AKAN SENTIASA BERBUAH!


Dipetik daripada FB https://www.facebook.com/elmolkhs